Categories
AGENDA EKONOMI

Kontrak niaga minyak sawit mentah diniaga berhati-hati

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan berikutan pedagang dijangka kekal tidak memasuki pasaran susulan bimbang mengenai paras stok, kata peniaga.

Peniaga Minyak Sawit Kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata pedagang akan memantau pengumuman mengenai paras stok minyak sawit bagi Mei, yang dijadual akan diumumkan pada 10 Jun.

“(Paras) simpanan stok dijangka tinggi pada Mei, manakala permintaan dijangka rendah berikutan selepas cuti Hari Raya. Permintaan dari Pakistan dan India turut dijangka berkurangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga komoditi itu akan berada antara RM2,200-RM2,300 satu tan minggu depan.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata Malaysia boleh menjangka eksport MSM yang tinggi pada masa akan datang ke negara-negara seperti India dan Pakistan selepas mendapat galakan pada Jumaat.

“Harga eksport MSM Malaysia akan mempunyai kelebihan daya saing berbanding Indonesia. Bagaimanapun, ringgit yang mengukuh boleh mengurangkan kelebihan daya saing tersebut,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses mulai 1 Julai 2020 hingga 31 Dis 2020, untuk mendorong sektor komoditi.

“Bagi industri pertanian dan makanan, kemudahan pinjaman Dana Agrofood sebanyak RM350 juta akan diperuntukkan untuk memastikan kelangsungan pengusaha pertanian dan komoditi dalam sektor ini,” katanya ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kelmarian.

Pasaran akan ditutup pada Isnin bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya tinggi berikutan permintaan yang kukuh disebabkan harga minyak mentah yang lebih baik dan jangkaan eksport yang tinggi selepas pengecualian cukai yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi Jun 2020 naik RM32 kepada RM2,405 satu tan, Julai 2020 meningkat RM53 kepada RM2,374 satu tan, Ogos 2020 menambah RM56 kepada RM2,348 satu tan, dan September 2020 naik RM52 kepada RM2,341 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 312,697 lot daripada 154,634 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 266,507 kontrak daripada 250,651 kontrak.

Di pasaran fizikal, harga MSM bagi Jun Selatan naik RM76 kepada RM2,378 satu tan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka lemah minggu depan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan lemah minggu depan susulan permintaan rendah yang terus menjejaskan harga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata India yang juga pembeli terbesar komoditi itu di dunia sedang menjalani sekatan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 sehingga 14 April ini yang pasti memberi kesan terhadap pasaran tempatan.

“Berikutan itu kami menjangkakan harga sekitar RM2,200 hingga RM2,300 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Ng berkata keputusan kerajaan Sabah untuk membenarkan operasi kilang dan kilang penapis sawit di enam daerah — Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Semporna, Kunak and Kalabakan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak banyak memberi impak terhadap minat belian.

“Bagaimana pun, ini akan meningkatkan pengeluaran apabila operasi disambung semula,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir ini, dagangan pasaran kebanyakannya lebih tinggi selaras dengan sentimen positif dalam pasaran ekuiti Asia, kelemahan ringgit dan kebimbangan bekalan yang meningkatkan minat belian terhadap sawit.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi April 2020 dan Mei 2020 meningkat RM69 masing-masing kepada RM2,389 satu tan dan RM2,365 satu tan, Jun 2020 menokok RM67 kepada RM2,312 satu tan manakala Julai 2020 meningkat RM66 kepada RM2,285 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 257,369 lot daripada 310,509 lot pada Jumaat lepas manakala minat terbuka berkurangan kepada 243,081 kontrak daripada 264,378 kontrak.

Di pasaran fizikal, harga MSM bagi April Selatan pada paras RM2,380 satu tan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Lapan rakyat Malaysia di India dihalang naik penerbangan

NEW DELHI, 5 APRIL: Pihak berkuasa lapangan terbang India pada Ahad tidak membenarkan lapan rakyat Malaysia menaiki penerbangan evakuasi (pemindahan) dari New Delhi kerana disyaki mengambil bahagian dalam perhimpunan agama di bandar itu, bulan lalu.

Pada 2 April, seramai 960 warga asing termasuk rakyat Malaysia disenarai hitam Kementerian Dalam Negeri India kerana menyertai perhimpunan di Tablighi Jamaat.

Lapan rakyat Malaysia itu tinggal di beberapa kawasan berasingan di New Delhi dan mendaftar menaiki penerbangan evakuasi warga asing yang terkandas, kata seorang yang mengenali mereka kepada Bernama.

Polis New Delhi memindahkan puluhan rakyat Malaysia bersama warga asing lain dari ibu pejabat Tabligh yang juga dikenali sebagai Markas.

Mereka kini ditempatkan di kemudahan kuarantin sementara untuk mengekang penularan Covid-19, ramai rakan dan keluarga mereka yang kembali ke Malaysia mendakwa pusat pengasingan itu tidak bersih dan kekurangan makanan serta perubatan sewajarnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan cari penyelesaian tindakan India henti beli minyak sawit

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas akan terus bersuara walaupun terdapat laporan India mahu memboikot minyak sawit Malaysia.

Beliau juga menjelaskan isu perdagangan itu harus dicari penyelesaiannya.

“Jika kita biarkan perkara salah berlaku dan hanya memikirkan mengenai jumlah wang yang terlibat, banyak perkara salah akan terus dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Integriti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) 2020 di sini hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan mengenai sama ada kerajaan bimbang terhadap tindakan India menghentikan belian minyak sawit Malaysia susulan kritikan beliau mengenai tindakan India di Kashmir selain undang-undang baharu kewarganegaraan.

Ditanya sama ada kritikan Perdana Menteri terhadap India akan mengorbankan industri memandangkan India merupakan pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, Dr Mahathir berkata penyelesaian perlu dicari.

“Itu kita perlu lakukan, cari penyelesaian.

“Namun hakikatnya ialah apa yang berlaku di India itulah yang menimbulkan lebih banyak masalah dan rasa tidak gembira dalam kalangan penduduk di sana,” katanya dan menambah ‘seluruh dunia merasakan tindakan diskriminasi terhadap sesiapa di sana adalah tindakan yang salah’.

Laporan berita baru-baru ini menyebut bahawa kerajaan India meminta pengimport minyak sawit negara itu menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia, namun semalam, Menteri Industri Utama Teresa Kok mengatakan berita itu tidak benar.

Categories
AGENDA NASIONAL

India catat kelahiran bayi tahun baharu tertinggi

NEW DELHI, 3 JAN: Dianggarkan sebanyak 67,385 bayi dilahirkan di India pada tahun baharu 2020 dan merupakan angka tertinggi yang dicatat di seluruh dunia, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Menurut UNICEF, sebanyak 392,078 bayi dilahirkan di seluruh dunia pada Tahun Baharu dan India menduduki tangga teratas dengan 67,385 kelahiran.

“Permulaan tahun baharu dan dekad baharu adalah peluang bagi merenungkan harapan dan aspirasi kita bukan hanya untuk masa depan kita tetapi juga masa depan mereka yang datang selepas kita,” kata Henrietta Fore, Pengarah Eksekutif UNICEF.

Menurut agensi PBB itu, lebih separuh daripada kelahiran tersebut berlaku di lapan negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Utusan Pakistan: Pendirian Tun M berhubung isu Kashmir wajar dihormati

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Ucapan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-74 yang menyeru pertikaian di Kashmir antara India dan Pakistan diselesaikan melalui rundingan, wajar di hormati, kata Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Atif Sharif Mian.

“Sebagai antara pemimpin dunia yang hebat, beliau memberikan satu kenyataan penting bahawa dunia tidak mampu lagi untuk mendepani konflik antara dua negara kuasa nuklear … ia boleh mencetuskan bencana kepada dunia,” katanya kepada Bernama selepas forum bertajuk ‘Palestine – Kashmir Forum: The Struggle for Freedom and Self Determination’, anjuran bersama Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di sini, Isnin.

Sejak sekian lama akses terhadap makanan, ubat-ubatan dan internet oleh penduduk Kashmir adalah terhad, terdapat ribuan kakitangan tentera sentiasa menjalankan rondaan, dan lebih 10,000 cedera dan 800 lagi menjadi buta akibat terkena peluru senapang angin.

Justeru, Mian menghargai pendirian tegas Dr Mahathir berhubung isu Kashmir.

Kerajaan India mengenakan perintah berkurung dan menahan hampir 4,000 orang termasuk pemimpin politik, peguam dan wartawan.

Dalam pernyataan bersama pada akhir forum, penganjur menuntut komuniti antarabangsa bersatu menentang ketidakadilan terhadap penduduk Kashmir dan Palestin.

Presiden MAPIM, Azmi Abdul Hamid berkata, pernyataan bersama itu akan diserahkan kepada Dr Mahathir di Putrajaya esok.

“Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran tentang Palestin dan Kashmir, menjadikan satu dokumen yang boleh dirujuk semua pihak supaya boleh dijadikan asas untuk melakukan banyak kempen kesedaran sama ada melalui forum, seminar dan khutbah di masjid-masjid agar dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang apa yang berlaku,” katanya.

Forum itu turut disertai wakil pertubuhan bukan kerajaan dari Kemboja, Thailand dan Indonesia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

China-India tingkat kerjasama kajian ketamadunan

CHENNAI, 12 OKT: Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada semalam bersepakat untuk menggalakkan lagi pertukaran dan saling mempelajari mengenai tamadun bagi mencapai pembangunan dan kemakmuran bersama.

Xi dan Modi mengadakan pertemuan tidak rasmi kedua mereka di Chennai, Selatan India selepas mesyuarat pertama di bandar Wuhan pada April tahun lalu, lapor agensi berita Xinhua, hari ini.

Modi turut mengiringi Xi melawat Monumen Mahabalipuram yang dibina pada abad ketujuh dan kelapan, termasuk Arjuna Penance, Panch Rathas, Kuil Shore dan monumen lain.

Tamil Nadu, hab transit maritim untuk kargo di Laluan Sutera purba, mempunyai sejarah panjang dan hubungan rapat dengan China dalam perdagangan sejak dahulu lagi, kata Xi.

Kedua-dua tamadun purba berusia ribuan tahun itu telah menjadi asas dalam hubungan kerjasama kedua-dua negara hingga ke hari ini, katanya.

Pada zaman nenek moyang pelbagai halangan berjaya dilalui untuk meningkatkan kerjasama dan menggalakkan pembangunan kesusasteraan, kesenian, falsafah dan agama, yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, kata Xi.

Presiden China itu juga menggesa kedua-dua negara mengambil peluang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik China-India pada tahun depan sebagai peluang menjalinkan jalinan budaya yang lebih meluas.

Beliau menyeru kedua-dua negara menyokong dan meneruskan dialog dan pertukaran untuk menyuntik lebih banyak daya penggerak ke dalam pembangunan hubungan dua hala.

Kedua pemimpin bersetuju China dan India perlu menghormati dan selain belajar antara satu sama lain bagi mencapai pembangunan serta kemakmuran bersama di samping mengembalikan semula dua tamadun yang hebat.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

India tangguh misi kedua ke bulan susulan masalah teknikal

NEW DELHI, 15 JUL:  India telah menangguhkan misi keduanya ke bulan dikenali sebagai “Chandrayaan-2” susulan masalah teknikal dalam sistem pelancar kenderaan, yang dijadual dilancarkan pada Isnin, lapor agensi berita China Xinhua.

Organisasi Penyelidikan Angkasa India (ISRO) berkata tarikh baharu pelancaran akan diumumkan kemudian.

“Satu masalah teknikal telah dikesan dalam sistem pelancar kenderaan pada minit ke-56 sebelum pelepasan.

“Sebagai satu langkah berjaga-jaga, pelancaran Chandrayaan-2 telah dibatalkan pada Isnin. Satu tarikh pelancaran yang telah disemak semula akan diumum tidak lama lagi,” kata ISRO melalui Twitter.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Karnataka dilanda krisis politik, 14 MP letak jawatan

NEW DELHI, 10 JUL: Negeri Karnataka yang terletak di selatan India dilanda krisis politik dengan peletakan jawatan oleh beberapa penggubal undang-undang, sekali gus mengancam survival kerajaan.

Empat belas anggota dewan undangan negeri dari Parti Kongres dan Janata Dal (Sekular) yang membentuk pentadbiran gabungan telah meletak jawatan, menurut laporan media tempatan.

Kebanyakan mereka telah melarikan diri dari Bangalore, ibu negeri Karnataka serta merupakan hab perniagaan dan teknologi terkemuka India, dan kini tinggal di sebuah hotel di Mumbai ketika Parti Bharatiya Janata (BJP) mendesak Ketua Menteri Karnataka H.D. Kumaraswamy berundur.

Kumaraswamy dan Kongres menuduh BJP mempengaruhi peletakan jawatan penggubal undang-undang terbabit, yang mengurangkan kekuatan kerajaan kepada 102 dalam badan perundangan yang mempunyai 224 anggota itu.

Kesemua penggubal undang-undang yang tinggal di Mumbai itu menulis sepucuk surat kepada polis untuk memberikan perlindungan kepada mereka kerana mendakwa mereka bimbang Kumaraswamy dan Menteri Sumber Air Karnataka D.K. Shivakumar, yang kini menangani krisis tersebut bagi pihak Kongres, akan “menyerbu” hotel berkenaan.

Polis pada Rabu menghalang Shivakumar memasuki hotel itu untuk bertemu penggubal undang-undang terbabit yang memberontak.

Penggubal undang-undang terbabit turut memfailkan satu kes di Mahkamah Agung terhadap speaker dewan Karnataka yang didakwa enggan menerima peletakan jawatan mereka.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

India lelong frekuensi 5G

NEW DELHI, 4 JUN: Menteri Telekom India, Ravi Shankar Prasad berkata, Jabatan Telekomunikasi (DoT) akan melelong hak gelombang mudah alih generasi kelima atau 5G dan gelombang lain serta memulakan tempoh ujian dalam masa 100 hari lagi.

Agensi berita Xinhua melaporkan keputusan untuk melelong hak gelombang radio itu dianggap agak penting kerana keuntungan daripada jualan menjadi sumber utama pendapatan untuk perbendaharaan.

Tiada lelongan pada tahun kewangan 2017-18 dan 2018-19. Pada 2016-17 kerajaan mengaut kira-kira US$9.4 bilion, iaitu pecahan daripada 5.63 trilion Rupee (kira-kira US$80 bilion) daripada jumlah hasil jualan.

Pihak Berkuasa Telekom India (TRAI) pada Ogos lalu mencadangkan kepada DoT supaya melelong blok frakuensi radio 20MHz dalam spektrum gelombang radio 3300-3600MHz – gelombang yang diperuntukkan untuk 5G, dengan harga 492 crore rupee bagi setiap MHz.

Berhubung isu keselamatan data, kerajaan negara itu sudah membentuk sebuah jawatankuasa dianggotai pegawai kanan Biro Risikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Sayap Keselamatan Siber selain pegawai Kementerian Teknologi Penerangan dan Telekom.

Sementara itu, gergasi telekomunikasi China, Huawei memberi jaminan penuh untuk mematuhi peraturan keselamatan data India.

Ahbar India, The Times of India memetik Ketua Pegawai Operasi Huawei India, Jay Chen sebagai berkata: “Semua data yang diuruskan Huawei India disimpan pusat penstoran di negara itu. Syarikat itu sentiasa akur dan patuh terhadap semua peraturan dan undang-undang.”

— BERNAMA

Categories
GLOBAL

Import minyak sawit India susut 11.8% pada April

NEW DELHI, 16 MEI: Pembelian minyak sawit India pada April susut 11.8 peratus daripada bulan sebelumnya sejajar dengan penurunan keseluruhan dalam import minyak sayuran negara ini.

Berdasarkan data industri, India mengimport 707,450 tan minyak sawit bulan lepas berbanding 802,443 tan pada Mac.

Bahagian minyak sawit dalam jumlah import minyak sayuran India adalah 59 peratus, menurut Persatuan Pengekstrak Pelarut India.

Import minyak kacang soya turun 15 peratus kepada 248,851 tan pada April daripada angka yang dicatatkan pada Mac, manakala jumlah minyak bunga matahari berkurangan 19 peratus kepada 242,462 tan.

Jumlah import minyak sayuran India pada April adalah 1.23 juta tan, 14.8 peratus lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.

– BERNAMA​​​​​​

Categories
SUKANKINI

India musnah hasrat Malaysia kekal kemenangan 100 peratus

IPOH, 26 MAC: Impian Malaysia untuk mengekalkan kemenangan 100 peratus dan terus menghuni tangga teratas carta Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 lebur apabila tewas 2-4 kepada India, malam ini.

Beraksi di hadapan lebih 3,000 penyokong sendiri di Stadium Azlan Shah di sini, Malaysia terlebih dahulu menguji gawang gol lawan pada minit kesembilan namun percubaan Razie Rahim melalui pukulan sudut penalti digagalkan penjaga gol India, Krishnan Pathak

Walaupun melancarkan serangan bertali arus ke kubu gol India, skuad Speedy Tigers terlebih dahulu dikejutkan pada minit ke-17, melalui gol padang yang dijaringkan oleh Sumit.

Jaringan berkenaan bagaimanapun tidak kekal lama apabila Razie menyamakan kedudukan buat Malaysia melalui rembatan kencang hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-21.

India yang menduduki ranking kelima dunia sekali lagi mendahului skuad negara pada minit ke-27, kali ini giliran Sumit Kumar pula mencatat nama selaku penjaring kedua menerusi gol padang.

Jaringan itu nyata membangkitkan semangat pasukan India dan hasilnya pada minit ke-36, Varun Kumar menjaringkan gol ketiga untuk pasukannya melalui pukulan sudut penalti.

Usaha Malaysia untuk merapatkan kedudukan berhasil pada minit ke-57, apabila Tengku Ahmad Tajuddin berjaya menguis masuk hasil situasi kelam-kabut di depan gawang gol India.

Gol berkenaan tidak menggugat semangat juang India apabila Mandeep Singh menyumbang gol keempat pasukan dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Pada sidang media selepas perlawanan, jurulatih Malaysia, Roelant Oltmans berkata kekalahan malam ini berpunca daripada kegagalan pemain menyempurnakan beberapa peluang termasuk pukulan sudut penalti.

“Kita dapat sembilan pukulan sudut penalti tetapi hanya satu yang berjaya disempurnakan. Mungkin kalau 50 peratus berjaya disudahkan (pukulan sudut penalti), keputusan akan berubah,” katanya.

Bagaimanapun beliau memuji semangat kental yang dipamerkan anak buahnya dalam menyaingi kepantasan permainan pasukan India.

SUMBER: BERNAMA