Categories
GLOBAL NASIONAL

Pakistan gagalkan cubaan kapal selam India ke perairannya

ISLAMABAD, 6 MAC: Pakistan menggagalkan percubaan sebuah kapal selam milik Tentera Laut India untuk memasuki perairannya di selatan pesisir negara itu, semalam.

Aagensi berita China Xinhua yang memetik kenyataan media sayap tentera Pakistan, Inter-Services Public Relations melaporkan, kapal selam itu cuba memasuki perairan Pakistan dari Laut Arab, namun disedari kakitangan Tentera Laut Pakistan yang memaksa ia berundur kembali ke perairan India.

Sementaar itu, dalam kenyataan berasingan, jurucakap Tentera Laut Pakistan berkata, kejayaan terbabit adalah bukti kemahiran unggul yang dimiliki tentera laut negara berkenaan.

“Tentera Laut akan terus mempertahan sempadan perairan Pakistan. Pasukan itu memiliki keupayaan untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan,” katanya.

Beliau berkata, Pakistan berpegang teguh kepada dasarnya untuk mengekalkan keamanan dan India juga harus berusaha ke arah itu selepas insiden pencerobohan kapal selam terbabit.

Hubungan Pakistan dan India tegang selepas insiden serangan bunuh diri yang menyasarkan pasukan keselamatan India, di Kashmir dikuasai India, pada 14 Februari lalu.

Tentera kedua-dua pihak turut berbalas tembakan di sepanjang Garisan Kawalan selain terbabit dalam pertempuran udara. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

Kerajaan India pening kepala tangani ‘karenah’ monyet

NEW DELHI 11 DIS: Selain parti politik pembangkang, kerajaan turut berhadapan pencabar yang tidak kurang hebat iaitu monyet yang menjadi ancaman besar sekitar pejabatnya di ibu kota India itu.

Macaque rhesus bermuka merah mencetuskan kekecohan, mencuri makanan dan telefon bimbit, memecah masuk rumah dan menakutkan orang ramai di dan sekitar New Delhi.

Ia menguasai kawasan sekitar Parlimen, dan dari pejabat Perdana Menteri sehingga ke Kementerian Kewangan dan Pertahanan, menakutkan pekerja awam dan orang ramai.

“Ia selalu merampas makanan daripada orang ramai ketika mereka berjalan kaki, dan kadang-kadang mengoyak fail dan dokumen dengan memanjat melalui tingkat,” kata kakitangan Kementerian Dalam Negeri India, Ragini Sharma.

Menjelang permulaan sesi Parlimen musim sejuk hari ini, penasihat ahli Parlimen bulan lalu memperincikan cara mengelakkan serangan haiwan itu.

Jangan usik atau bertentang mata dengan monyet, kata penasihat, dan jangan sesekali berada di tengah-tengah antara ibu monyet dan anaknya.

Pertumbuhan pesat bandar raya menyebabkan monyet kehilangan habitat, paling banyak di dunia selepas manusia, mendorong ia menceroboh habitat manusia untuk mencari makanan.

Ramai penduduk di India yang majoritinya beragama Hindu memuja dan memberi makan haiwan yang dianggap ada kaitan dengan Hanuman.

“Tradisi sosio-agama memberi makan mewujudkan kitaran ganas.

“Ia sudah biasa diberi makan oleh manusia dan hilang rasa takut. Ia mula mencari makanan tambahan dan jika tidak diberi, ia menjadi agresif,” kata penyelidik ekologi, Asmita Sengupta.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Jurang antara kaya, miskin di India, Singapura meningkat

LONDON 10 OKT: Nigeria, Singapura dan India merupakan antara negara yang meningkat dari segi jurang antara golongan kaya dan miskin, menurut laporan agensi kebajikan Oxfam ketika melancarkan indeks menonjolkan negara-negara paling kurang merapatkan jurang berkenaan.

Korea Selatan, Georgia dan Indonesia pula antara negara yang dipuji kerana cuba mengurangkan ketidaksamaan, melalui dasar-dasar pembangunan sosial, cukai dan hak-hak buruh.

Menurut Oxfam, ketidaksamaan telah mencapai tahap krisis, dengan satu peratus orang terkaya daripada populasi glo­bal merangkumi empat perlima hasil kekayaan pada pertengahan 2016 dan 2017, sementara separuh daripada golongan miskin dunia tidak menunjukkan peningkatan dalam kekayaan.

Indeks 157 negara itu dikeluar­kan selepas menteri-menteri kewangan dan ketua-ketua bank pusat berhimpun di Bali sempena mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini.

Oxfam menambah, Nigeria dengan 10 peratus kanak-kanak menemukan ajal sebelum mencapai usia lima tahun, berada di kedudukan terbawah kerana perbelanjaan sosial yang ‘rendah’, pungutan cukai yang terburuk dan pelanggaran hak buruh semakin meningkat.

Oxfom menerangkan, bagi menangani krisis ketidaksamaan bukan bergantung pada kekayaan negara, tetapi berdasarkan kekuatan politik.

Sementara itu Singapura, salah satu daripada negara terkaya di dunia, berada di kedudukan bawah 10 kerana amalan mengelak cukai termasuk kegagalan mengangkat hak-hak buruh.

Korea Selatan yang berada pada kedudukan 56 dalam senarai itu, dipuji kerana membantah upah minimumnya seba­nyak 16.4 peratus tahun lepas, dan Georgia (kedudukan 49) kerana meningkatkan perbelanjaan pendidikan sebanyak hampir enam peratus, lebih banyak daripada negara lain.

Dalam pada itu, China di kedudukan 81 mendahului India (kedudukan 147), menumpukan lebih daripada dua kali ganda bajetnya kepada kesihatan dan hampir empat kali lebih banyak untuk perbelanjaan kebajikan, kata agensi itu.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
GLOBAL RENCANA

Kemelut cadangan India pembelian jet pejuang Perancis

OLEH Shakir Husain

NEW DELHI, 25 SEPT: India sudah mengorak langkah untuk menilai pelbagai pilihan untuk memoden serta memperluaskan jet pejuang negara itu yang sudah digunakan sejak era Perang Dingin sejak lebih sedekad lalu.

Syarikat Perancis, Dassault Aviation adalah salah sebuah syarikat yang bersaing untuk mendapat kontrak bernilai bilion dolar bagi membekalkan 126 buah pesawat tempur (MMRCA) untuk Tentera Udara India.

India mengeluarkan permintaan untuk cadangan pembekalan (RFP) kepada enam buah syarikat pada 2007 iaitu Dassault Aviation’s Rafale jet, firma Amerika Lockheed Martin’s F-16, Kumpulan Sweden Saab’s Gripen, the Eurofighter Typhoon iaitu konbinasi firma Britain, Jerman, Sepanyol dan Itali, firm berpangkalan di Amerika Syarikat, Boeing F/A-18E/F Super Hornet, dan Russia’s MiG-35 juga dipertimbangkan.

Pada 2012 India memilih Rafale berenjin kembar, yang digunakan oleh Tentera Udara Perancis sejak 2006 dinyatakan sebagai “pembida yang menjadi pilihan” , dan jumlah pembelian dianggar kira-kira AS$12 bilion.

India dijangka menerima 18 pesawat yang siap untuk terbang dari Perancis sementara 108 buah lagi dipasang di India.

Selepas bertahun-tahun berunding mengenai butiran teknikal, harga dan pelbagai isu lain, perjanjian hampir dicapai.

Ketua Eksekutif Dassault, Eric Trappier berkata pada Mac 2015 syarikat beliau dan syarikat milik kerajaan India, Hindustan Aeronautics Ltd mencapai “persetujuan” perkongsian kerja membuat pesawat berkenaan di India.

Kemudian keluar pula pengumuman Perdana Menteri Narendra Modi ketika melawat Perancis pada April 2015.

“Saya meminta Presiden (Francois Hollande) untuk membekalkan 36 jet Rafale yang sedia untuk terbang ke India, ” Modi memberitahu sidang media di Paris.

Menurut laporan pada ketika itu jet berkenaan amat diperlukan untuk memenuhi keperluan operasi Tentera Udara India bagi menggantikan pesawat yang sudah berusia.

India mengendalikan pasukan tentera udara keempat terbesar dunia dan mengikut kiraan ketenteraan memerlukan 42 buah pesawat pejuang “kekuatan minimum yang diperlukan” bagi mengimbangi kekuatan tentera udara Pakistan dan China,

Kekuatan operasi Tentera Udara India terdiri daripada 32 skuadron dengan setiap sukadron mengandungi 16 hingga 18 pesawat.

Rundingan antara Perancis dan India berterusan berbulan-bulan lamanya. Sewaktu Kunjungan Hollande ke New Delhi pada Jan 2016, kedua-dua negara menandatangani memorandum persefahaman untuk pembelian Rafale.

Akhirnya pada Sept 2016, menteri pertahanan India dan Perancis menandatangani perjanjian yang sekian lama ditunggu untuk 36 buah jet dihantar dalam tempoh enam tahun. Kos pembelian 7.8 bilion euro (AS$8.7 bilion).

Dalam tempoh 17 bulan selepas Modi membuat pengumuman di Paris dan perjanian 2016, tender asal untuk 126 pesawat dibatalkan dan pembuat jet tentera terkemuka dunia mula mensasarkan India untuk mendapatkan perjanjian pembelian.

Dengan India menjadi antara pembeli utama senjata, pembelian dari negara asing ini mendapat kecaman daripada pihak parti pembangkang di negara itu.

Sejak minggu-minggu kebelakangan, pihak pembangkang yang diketuai Parti Kongres meningkatkan kecaman yang mencetuskan kemarahan kerajaan India.

Pengkritik mendakwa India membayar harga yang lebih tinggi untuk setiap pesawat berbanding harga yang dirundingkan dalam perjanjian asal.

Mereka juga menentang kehadiran syarikat baru Anil Ambani, Reliance Defence sebagai sebahagian daripada perjanjian baru dengan Dassault atas dakwaan ia tidak mempunyai pengalaman yang banyak dalam bidang pengilangan barangan ketenteraan.

Perjanjian baru itu mengandungi peraturan pembelian barangan ketenteraan iaitu firma asing perlu melabur sebahagian dari nilai kontrak di India.

Bekas presiden Perancis Hollande Jumaat lepas bahawa Perancis tidak mempunyai pilihan dalam memilih rakan kongsi India bagi memenuhi keperluan berkenaan dan kenyataan itu “memarakkan” lagi pertelingkahan di India.

“Kami tidak mempunyai pilihan, kami terima siapa yang diberikan kepada kami, ” Hollande memberitahu laman sesawang penyiasat, Mediapart.

Presiden Parti Kongres Rahul Gandhi menggunakan komen itu untuk menyerang Kerajaan India.

“Perdana Menteri secara peribadi berunding dan menukar perjanjian Rafale secara tertutup. Terima kasih kepada Francois Hollande kerana membuat kenyataan itu. Sekarang kita tahu beliau sendiri menyerahkan kontrak berbilion dolar kepada Anil Ambani yang sudah muflis, ” kata Ghandi.

Sebelum pendedahan itu, kerajaan India sudah berdepan dengan soalan berat mengapa Hindustan Aeronautics tidak ada dalam perjanjian untuk membeli 36 pesawat yang diperlukan.

Beberapa perkara dibangkitkan tentang perlanggaran peraturan pembelian keperluan ketenteraan. Memandangkan India berdepan dengan pilihan raya umum pada 2019, sudah tentu ia akan menjadi isu hangat.

Kerajaan Modi sudah memulakan gerakan untuk menangkis dakwaan Kongres serta sekutunya.

Menteri Kewangan Arun Jaitley dalam blognya menepis kenyataan Hollande.

“Rakan kongsi perjanjian baru dipilih oleh Dassault Aviation, pengilang asal peralatan dan Kerajaan Perancis serta Kerajaan India tidak mempunyai sebarang kuasa dalam perkara ini, ” kata Jaitley.

Kementerian Pertahanan India pula mengeluarkan kenyataan kerajaan tidak mempunyai sebarang peranan dalam pemilihan rakan kongsi dalam perjanjian baru itu.

Kalau Modi menjadi fokus serangan Ghandi, kini giliran parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) meningkatkan serangan ke atas presiden Kongres itu.

Antara kata-kata serangan yang digunakan menuduh “seluruh keluarga” Ghandi sebagai pencuri. Kata-kata itu turut digunakan oleh menteri kanan kerajaan.

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff
SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

India lancar insurans kesihatan terbesar dunia lindungi 500 juta orang miskin

NEW DELHI 24 SEPT: India semalam melancarkan skim insurans kesihatan terbesar di dunia yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Narendra Modi akan melindungi kira-kira 500 juta penduduk miskin.

Program insurans digelar ‘Modicare’ itu memberikan perlindungan kesihatan bernilai 500,000 rupee (RM28,541) kepada setiap keluarga miskin untuk rawatan penyakit serius.

Skim itu dijangka menyebabkan kerajaan pusat dan 29 kerajaan negeri menanggung kos AS$1.6 bilion (RM6.6 bilion) setahun, manakala pembiayaannya akan ditingkatkan secara beransur-ansur bergantung kepada permintaan.

Modi mengagihkan sejumlah kad perubatan pada majlis pelancaran skim itu di ibu negeri Jharkand, Ranchi dan berkata, ia merupakan hari bersejarah untuk India.

Beliau menganggap skim itu sebagai “langkah besar ke arah menyediakan penjagaan kesihatan mampu milik dan berkualiti kepada golongan miskin yang akan memanfaatkan lebih 100 juta keluarga.”

Sistem kesihatan awam India terbeban oleh kekurangan hospital dan doktor dengan kebanyakan rakyat memilih hospital dan klinik swasta sekiranya mampu.

Bagaimanapun, kos konsultasi klinik swasta boleh mencecah AS$15 (RM62), satu jumlah yang besar di India di mana berjuta-juta orang menerima pendapatan harian kurang AS$2 (RM8.30).

Kerajaan India menganggarkan lebih 60 peratus perbelanjaan keluarga dibelanjakan untuk ubat dan penjagaan kesihatan.

Sementara itu, pakar-pakar memuji program itu tetapi berkata, ia sepatutnya merangkumi penjagaan kesihatan utama atau harian dan tidak tertumpu kepada penjagaan kesihatan sekunder untuk rawatan jangka panjang sahaja.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

India, China setuju perluas hubungan ketenteraan

NEW DELHI 25 OGOS: India dan China bersetuju melanjutkan hubungan ketenteraan mereka dan memperluaskan interaksi bagi memastikan perdamaian di sempadan, kata India selepas pertemuan antara Menteri Pertahanan seteru lama itu.

Hubungan antara negara gergasi Asia itu tegang tahun lalu berhubung pertikaian tentera selama 73 hari di sempadan terpencil altitud tinggi di pergunungan Himalaya.

Namun sejak beberapa bulan lalu, kedua jiran itu berusaha memulihkan hubungan dan Menteri Pertahanan China Wei Fenghe yang dalam siri lawatan memaklumkan Perdana Menteri India, Narendra Modi minggu ini, persahabatan antara mereka berlangsung sejak sekian lama.

Kelmarin, Fenghe mengadakan perbincangan lanjut dengan rakan sejawatannya, Nirmala Sitharaman, kata kerajaan India.

“Kedua-dua pihak memutuskan untuk melanjutkan hubungan antara pasukan tentera berkaitan latihan, latihan bersama dan interaksi profesional lain,” kata kerajaan India dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat kelmarin.

India berkata, menteri berkenaan juga membincangkan isu sempadan dan bersetuju melaksanakan ‘langkah pembangunan keyakinan’ untuk memastikan pengekalan perdamaian termasuk pengendalian awal talian bantuan antara pasukan bersenjata.

India dan China terbabit peperangan pada 1962 dan pertelingkahan gagal diselesaikan berhubung sempadan sepanjang 3,500 kilometer menjejaskan hubungan keduanya sejak itu.

Namun dua ekonomi besar Asia itu berkongsi kedudukan sama dalam pelbagai isu termasuk kebimbangan mengenai tarif dilaksanakan Amerika Syarikat dengan Presiden China Xi Jinping dan Modi pada April lalu bersetuju memperbaiki hubungan.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Rakyat Malaysia di New Delhi beri sumbangan keperluan makanan sempena Aidilfitri

NEW DELHI, 15 JUN: Rakyat Malaysia di New Delhi menyumbangkan sejumlah setengah tan barangan keperluan makanan untuk membantu masyarakat setempat meraikan Aidilfitri.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Datuk Hidayat Abdul Hamid berkata sumbangan ikhlas itu juga bersempena dengan keberkatan bulan Ramadan.

“Ia hanya sumbangan kecil daripada pihak kami untuk mereka yang memerlukan,” katanya.

Sumbangan itu disampaikan kepada imam Masjid Komuniti, Qari Abdullah dan rakan-rakannya di pejabat menerima sumbangan di Pesuruhjaya Tinggi.

Masjid yang dikendalikan imam Qari terletak di pusat bandaraya di barat daya New Delhi, menyediakan kelas pengajaran Al-Quran untuk kira-kira 60 kanak-kanak miskin dan menawarkan pendidikan rendah percuma.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI SELANGOR

Central Spectrum meterai MoU dengan perbadanan infrastruktur India

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 FEB: Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) yang juga pemaju hartanah berpangkalan di Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Infrastruktur Perindustrian Negeri Telangana (TSIIC).

Kedua-dua pihak bersetuju menjalinkan kerjasama bagi mempromosi hab teknologi dalam bidang sains hayat, bioteknologi, penjagaan kesihatan dan peralatan perubatan melalui memorandum yang dimeterai.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum, Dato’ Mahmud Abbas berkata, memorandum itu akan merangkumkan elemen strategik dan melaksanakan promosi yang giat bagi Selangor serta Telangana.

“Kami juga turut menawarkan peluang kepada Telengana untuk menjadi sebahagian daripada Ahli Majlis,” katanya, di Hyderabad, India, baru-baru ini.

Pada masa sama, kedua-dua pihak turut mempromosi hab dalam bidang penyelidikan, pra-klinikal, farmaseutikal dan pembangunan peranti.

Categories
GLOBAL

India bangun peluru berpandu sasar jarak 800km

NEW DELHI 21 JAN: India bersama-sama Rusia membangunkan peluru berpandu supersonik BrahMos dengan jarak sasaran sejauh 800 kilometer, menurut agensi berita China memetik sumber pertahanan sebagai berkata hari ini.

“Jarak peluru berpandu itu meningkat daripada 290 kepada 450 kilometer pada tahun lalu dan kini sedang dinaikkan hingga 800 kilometer . Ujiannya mungkin akan dilakukan pada tahun ini,” kata sumber berkenaan.

Gambar: Jet Pejuang India Sukhoi-30 MKI-  Oleh The Financial Express

Peluru berpandu varian darat dan laut BrahMos telah sedia beroperasi dengan Tentera India serta Tentera Laut India.

November lalu, India berjaya menguji peluru berpandu varian udara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selangor negeri bermaruah, berintegriti dan tarikan pelabur

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 7 OKT: Pentadbiran Kerajaan Negeri tetap mempertahankan maruah negeri dan rakyatnya dengan tidak akan sesekali melutut kepada negara kuasa besar ekonomi dunia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebaliknya Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip kebertanggungjawaban, berintergriti dan bebas rasuah sebagai daya tarikan untuk mendorong pelabur asing melabur di negeri termaju itu.

“Minggu lepas saya berada di India dan sebelum itu di Negara China bukan saya bawa duit orang Sabak Bernam dan Tanjong Karang melabur di India dan China kerana saya bukan macam sebuah kerajaan yang dekat dengan Selangor itu, bawa duit rakyat pergi membantu membangunkan infrastruktur di Amerika Syarikat (AS).

“Ini apa cerita? Rakyat masih susah. Pembangunan negara masih jauh ketinggalan tetapi ada pemimpin sanggup melutut kepada negara asing, bawa wang rakyat Malaysia melabur di AS.

“Berbeza dengan Kerajaan Selangor yang ada maruah, integriti, kita tidak melutut kepada mereka tetapi mereka yang datang ke Negeri Selangor meletakkan pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat di Selangor ini,” katanya.

IKEABeliau berkata demikian pada Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan di sini, semalam.

Jelasnya, Selangor hari ini semakin mendapat perhatian dan keyakinan pelabur antarabangsa dengan meletakkan pelaburan berbilion ringgit dan sekaligus membolehkan rakyat Selangor memperolehi kemahiran dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Katanya, antaranya syarikat terkemuka daripada Sweden, Ikea yang bersetuju melabur RM1 bilion di Selangor walaupun Kerajaan Negeri Johor turut melobi untuk mendapatkan pelaburan terbabit.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut membidas golongan yang mengaku sebagai pejuang Melayu bagi kepentingan politik sendiri.

“Saya tidak mahu menjadi seperti setengah orang, mengaku pejuang Melayu tetapi bawa lari duit berbeg-beg ke negara asing. Melayu mana yang dia tolong? Melayu dirinya dan keluarganya tetapi Melayu di bawah masih susah, Melayu di kampung masih susah.

“Orang ini nak mendabik dada sebagai pejuang Melayu semata-mata kepentingan politik. Saya tidak mahu jadi pengkhianat kepada rakyat Selangor sama ada Melayu, Cina atau India semuanya menjadi tanggungjawab saya untuk mengangkat martabat mereka sebagai rakyat yang ada maruah dalam negeri Selangor ini,” katanya.

=EZY=

Categories
GLOBAL

McDonald’s tutup 169 restoran di India

NEW DELHI 23 OGOS: McDonald’s menutup 169 restorannya di wilayah utara dan timur India berikutan pertikaian francais.

Rangkaian makanan segera Amerika Syarikat (AS), mendakwa berlaku kegagalan pembayaran royalti, berkata pada Isnin, ia telah menamatkan perjanjian antara McDonald’s India Pvt Ltd dan Connaught Plaza Restaurant Ltd (CPRL).

Usaha sama 50-50 antara ahli perniagaan tempatan, Vikram Bakshi dan syarikat AS, CPRL telah mengusahakan restoran McDonald’s di wilayah utara dan timur India.

McDonald’s berkata, CPRL perlu ‘menghentikan penggunaan keseluruhan sistem McDonald’s (yang termasuk hak milikan nama, cap dagangan, reka bentuk, penjenamaan, amalan serta dasar operasi dan pemasaran, resepi makanan serta spesifikasi McDonald’s) dan harta inteleknya berkaitan semua restoran berkenaan dalam tempoh 15 hari dari tarikh notis penamatan tersebut
McDonald’s mengalami pertikaian berpanjangan dengan Bakshi, yang dipecat daripada jawatan pengarah urusan CPRL pada 2013.

Tribunal Undang-undang Syarikat Negara India pada bulan lepas memutuskan mengembalikan semula jawatan itu kepada Bakshi.

Bakshi berkata, beliau akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap penamatan perjanjian francaisinya.

McDonald’s telah menutup 43 daripada 55 restorannya di ibu negara India setakat Jun 2017.

Penutupan perniagaan keseluruhan McDonald’s di utara dan timur India akan menjejaskan ribuan pekerja.

Syarikat AS itu memasuki India ketika pembaharuan pasaran pada 1990-an dan hari ini ia mengendalikan lebih 300 restoran di 65 bandar.

Rakan francaisnya di wilayah selatan dan barat India ialah Hardcastle Restaurants Private Ltd.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Lebih 750 terkorban banjir landa Asia Selatan

NEW DELHI 22 OGOS: Banjir besar melanda rantau Asia Selatan menyebabkan lebih 750 orang terkorban serta mengakibatkan beratus-ratus ekor haiwan liar termasuk badak sumbu dan harimau.

Angka korban melibatkan manusia meningkat di India, Nepal dan Bangladesh selepas hujan lebat turun sejak 10 Ogos lalu semasa musim tengkujuh melanda utara dan timur rantau itu, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Seorang pegawai pengurusan bencana tempatan berkata, hampir 50 mayat ditemui dalam tempoh 24 jam di Bihar, timur India, menjadikan jumlah kematian di negeri itu meningkat kepada 253 orang.

Di Nepal, seramai 143 orang terkorban dan 30 lagi masih hilang selepas banjir memusnahkan hampir 80,000 kediaman di negara itu.

Hujan lebat turut mengakibatkan hidupan liar di India mati termasuk di Taman Negara Kaziranga.

Tempat perlindungan haiwan liar di negeri Assam, timur laut India itu yang menempatkan populasi badak sumbu tunggal terbesar di dunia di samping spesies terancam lain, terjejas te­ruk akibat banjir kali ini.

“Pasukan kami menemui 225 bangkai haiwan sejak 12 Ogos lalu, 15 daripada­nya badak sumbu.

“Seekor harimau Benggala turut mati akibat banjir. Kami juga menemui hampir 200 bangkai rusa, empat anak gajah, dua kerbau air dan seekor landak di Kaziranga,” kata pengarah taman negara berkenaan, Satyendra Singh.

Di negeri Assam dan Bengal Barat pula, 122 orang telah terkorban, manakala 69 mangsa maut di negeri Uttar Pradesh.

Sementara itu di negara jiran India, Bangladesh, seramai 115 orang terkorban dan 5.7 juta penduduk terjejas akibat banjir.

=EZY=