Categories
NASIONAL

Mahkamah Tolak Kes Pengundi Meragukan Di Klang

SPR pengundi hantu selangor 01

SHAH ALAM 14 MAC: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan untuk semakan daftar pengundi walaupun dibekalkan bukti bahawa daftar tersebut yang bakal digunakan dalam pilihanraya akan datang, sarat dengan keraguan.

Permohon tersebut dikemukakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mahu mahkamah mengeluarkan perintah bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi.

Permohon itu berkaitan kira-kira lima ribu nama pemilih yang meragukan di dalam kawasan parlimennya.

Hakim Vernon Ong menolak permohonan tersebut berdasarkan Seksyen 9A, Akta Pilihanraya yang menyatakan bahawa daftar pemilih hendaklah disifatkan sebagai muktamad selepas ia diwartakan.

Menurut Charles, beliau mendapati hampir tiga ribu nama pengundi di Klang telah digugurkan atau hilang daripada pangkalan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Manakala lebih dua ribu nama pemilih telah dipindahkan keluar daripada kawasan Klang.

“Lebih dua ribu nama telah dipindahkan keluar dari Klang, satu ribu di Selangor dan satu ribu lagi di luar Selangor,” katanya kepada TVSelangor.

Charles turut berkata beliau menjumpai bukti bahawa terdapat nama pemilih di dalam daftar SPR yang mana individu tersebut tidak pernah mendaftar sebagai pengundi kerana tinggal di luar negara.

Peguam Charles, John Fam mendakwa, beliau menerima surat daripada individu bernama Pamela Mannan, yang tinggal selama 16 tahun di Dublin, Ireland.

?Pamela diberitahu oleh pakciknya di Malaysia bahawa beliau mendapat sepucuk surat daripada Perdana Menteri yang mengucapkan tahniah dan diberitahu dia (Pamela) disenaraikan sebagai pengundi.?

Menurut John, Pamela memberitahu pakciknya bahawa beliau tidak pernah pulang ke Malaysia untuk mendaftar sebagai pengundi.

Terdapat juga satu lagi kes di mana seorang penghuni rumah di Pandamaran, Klang yang terkejut kerana mendapati ada 62 nama pemilih yang didaftaran di rumahnya.

Individu tersebut telah menulis surat kepada John bahawa beliau tidak pernah memberi kebenaran kepada sesiapa pun untuk menggunakan alamat tersebut sebagai alamat surat menyurat.

John berkata, hasil siasatannya mendapati lebih 60 nama Melayu, India dan Cina yang mendaftar sebagai pemilih di alamat itu.

Pertikai Kerakyatan Kaum Cina, India : Aziz Bari Saran Polis Siasat Mahathir

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

KUALA LUMPUR 23 JAN : Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari menyarankan polis menjalankan siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu memberi kerakyatan kepada warga asing di Sabah bagi tujuan pilihan raya.

Malah, tindakan Dr Mahathir mengaitkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra memberikan kerakyatan kepada orang Cina, India dan bangsa lain ketika sebelum merdeka adalah tidak relevan serta mengarut.

Tegasnya, isu itu juga pasti menimbulkan rasa kurang senang kepada rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India.

“Ia macam mempertikaikan orang Cina dan India ini mendapat hak kerakyatan, macam ia tidak mengikut undang-undang.

“Seharusnya ada pihak yang membuat laporan kepada polis dan polis menjalankan siasatan ke atas Dr Mahathir,” katanya dalam Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Perhimpunan Cina di sini malam tadi.

Dr Aziz berkata, apa dilakukan Tunku Abdul Rahman adalah secara telus dan terbuka berdasarkan syor dan rundingan serta tidak menipu.

Menurutnya, Suruhanjaya Diraja (RCI) yang menjalankan siasatan ketika ini perlu menyiasat penipuan dilakukan melibatkan Dr Mahathir.

“Sampai sekarang sesiapapun boleh memohon menjadi warganegara mengikut peraturan. Yang Dr Mahathir buat pada 1994 ialah dengan secara sembunyi-sembunyi – Projek M dengan ribuan diberikan kepada orang Filipina dan yang lain,” katanya.

Berhubung pendidikan percuma sepertimana dijanjikan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya diberikan mandat mentadbir negara, Dr Aziz menjawab, pelbagai program dijalankan Kerajaan Negeri Selangor menjadi bukti bankrap tidak berlaku.

 

Categories
SELANGOR

Selesai Segera Isu Kewarganegaraan

SHAH ALAM, 11 DIS : PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyelesaikan isu kewarganegaraan warga berbangsa India dan bukan menjadikan ia isu perkauman.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, Hishammuddin didakwa gagal menyelesaikan isu kewarganegaraan masyarakat India di mana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Jelas Izzah, beliau merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Hishammuddin pada 10 Disember lepas yang yang mendakwa isu itu di bawa oleh Pakatan Rakyat untuk mencetuskan rasa tidak puas hati antara kaum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Kenyataan Hishammuddin itu adalah tidak berasas dan bertanggungjawab dalam cubaan untuk memesongkan daripada isu sebenar,” kata Izzah dalam kenyataan medianya.

Tambah Izzah, beliau kecewa terhadap sikap pimpinan BN yang sepatutnya mencari jalan penyelesaian isu itu dan bukan menjadikannnya isu perkauman.

“Walaupun majoritinya yang tanpa pendaftaran itu adalah berbangsa India namun isu ini juga dihadapi oleh masyarakat Melayu, Cina dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ujar Izzah, PKR yang merupakan parti berbilang bangsa akan terus berjuang demi hak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

Ia berbeza dengan BN yang hanya bercakap bagi pihak kaum terbabit dan merupakan bahaya besar kepada perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

“Warga tanpa kenegaraan ini yang lahir dan tinggal di negara ini dinafikan hak untuk bekerja, sekolah, kesihatan dan beberapa kemudahan lain termasuk dinafikan hak untuk mengundi,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kajian UM : Disebalik Selaran MCA, Kaum Cina Makin Faham Hudud

SHAH ALAM, 5 NOV: Meskipun isu hudud semakin kerap dijadikan bahan mainan politik MCA dan Umno, sokongan masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina didapati makin meningkat.

Keadaan ini berlaku apabila masyarakat bukan Islam di negara ini mulai memahami isu sebenar mengenai undang-undang jenayah Islam ini.

Selain itu, kejadian jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini juga menjadi pendorong utama kepada golongan bukan Islam itu menerima hudud sekiranya dilaksanakan.

Demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kepada TV Selangor ketika mengulas kajian yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

“Alhamdullilah, ini juga disebabkan usaha kita memberikan penerangan kepada orang ramai termasuk yang bukan Islam bahawa hudud itu adil untuk semua.

“Mereka juga semakin tertekan dengan peningkatan kadar jenayah di negara ini lalu mereka perlu memilih samada peningkatan jenayah atau hudud,” kata beliau.

Beliau juga percaya masyarakat bukan Islam semakin percaya bahawa hukum hudud mampu membendung peningkatan kadar jenayah di negara ini.

Dalam kaji selidik terbaru UMCEDEL, menunjukkan masyarakat Cina di seluruh negara semakin ramai yang memberikan sokongan perlaksanaan hukum hudud.

Menurut kajian yang dijalankan pada 1 hingga 16 September tersebut, sokongan pengundi Cina meningkat sebanyak 12 peratus kepada 24 peratus berbanding kajian sama yang dijalankan kira-kira sembilan bulan lalu.

Kesimpulan kajian yang melibatkan seramai 385 responden dari kaum Cina itu turut menyebut peningkatan hanya satu peratus penentangan dan penurunan 13 peratus bagi golongan tidak pasti terhadap perlaksanaan hukum hudud menjelaskan bahawa pengundi Cina semakin memahami isu tersebut.

Kajian tersebut turut menjelaskan bahawa generasi muda Cina menunjukkan kecederungan untuk memahami perlaksanaan hukum hudud berbanding dengan mereka yang lebih berumur.

 

Categories
NASIONAL

PR Sasar Himpun Sejuta Orang Di Konvensyen Mega Pra Pilihan Raya 3 November Depan

SHAH ALAM 29 SEPT : Konvensyen Mega Pra Pilihan Raya anjuran Pakatan Rakyat (PR) di Bukit Jalil pada 3 November depan dengan sasaran kehadiran satu juta orang, sebagai mesej kepada Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai intergriti agensi kerajaan itu yang dipersoalkan ketelusannya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perhimpunan tersebut akan dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu serta majlis kepimpinan PR bersetuju supaya seluruh tenaga PAS, DAP dan PKR dikerahkan ke Stadium Bukit Jalil untuk menjayakan perhimpuan besar itu.

“Ia menuntut pilihan raya diadakan dengan bersih. Itu tuntutan kita mengulangi tuntutan Bersih, sebab itu kita mestilah berkali ganda lebih ramai daripada perhimpuan Bersih yang diadakan dulu.

“Kita mengharapkan memenuhi stadium 200 ke 300 ribu orang dan melimpah keluar stadium beberapa ratus ribu orang supaya mesej itu benar-benar sampai dengan jelas kepada Perdana Menteri, SPR dan seluruh rakyat negara ini.

“Sasaran jawatankuasa ini adalah menghimpunkan sejuta orang di dalam perhimpunan rakyat,” katanya ketika berucap dalam majlis Makan Malam Perdana Bersama Pimpinan PR di Stadium Malawati di sini malam tadi.

Turut hadir, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail; Pengerusi DAP, Karpal Singh; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta barisan kepimpinan PR yang lain.

Anwar berkata, perhimpunan itu bakal menghimpunkan semua kaum di negara ini iaitu Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan semua suku kaum.

“Soal Suruhanjaya Pilihan Raya ini dia belum laksanakan tugas dengan telus. Kita tahu tetapi sekurang-kurangnya kita bagi ingatan dengan keras yang dia kena betulkan,” katanya.