Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi Benteng: 108 pendatang tanpa izin ditangkap

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Seramai 108 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup ditangkap dalam Operasi Benteng yang dijalankan semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata selain itu, dua kenderaan berat dan sebuah bot turut dirampas dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh agensi penguat kuasa bagi mengawal ketat sempadan negara itu.

“Sebanyak 78 sekatan jalan raya Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PDRM telah menahan 84 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk 28 orang yang gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk.

Selain itu, 22 individu didapati tidak memakai pelitup muka, 14 dikesan melakukan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal dan 20 lagi didapati melakukan aktiviti di dalam pub atau kelab malam.

Bagi kuarantin wajib, beliau berkata seramai 27,101 individu telah pulang ke tanah air setakat ini yang ditempatkan di 69 hotel dan lapan premis lain termasuk institut latihan wam (ILA) serta institusi pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,097 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 69 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 16,935 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan ke atas enam tapak pembinaan di seluruh Malaysia semalam dan mendapati lima mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan manakala satu tapak pembinaan tidak beroperasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Masih ramai tidak amal penjarakan fizikal, langgar SOP – menteri

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Tidak mengamalkan penjarakan fizikal antara kesalahan yang masih banyak dilakukan orang ramai walaupun ia antara tatacara operasi piawai diwajibkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata berdasarkan laporan polis yang mengetuai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PKPP, seramai 26 individu ditahan atas kesalahan itu semalam.

“Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (24), tidak memakai pelitup muka (20), lari dari pusat kuarantin (satu) serta premis beroperasi lebih masa (satu).

“Daripada jumlah itu 70 individu dikompaun, seorang direman dan seorang dijamin,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng melakukan 14 tangkapan melibatkan 25 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup.

Bagi kuarantin wajib sejak 24 Julai sehingga semalam, beliau berkata 24,961 individu dari 32 negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 67 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata daripada jumlah itu, seramai 9,887 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 15,008 lagi individu discaj dan dibenarkan pulang.

Sejak 30 Mac, sebanyak 9,874 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon dilaksanakan melibatkan 12,970 premis terdiri daripada 2,708 pusat perniagaan, 5,706 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,606 tempat awam dan 354 pasar raya, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

‘Pesta persendirian’ kesalahan tertinggi ingkar PKPP

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Kesalahan membabitkan penganjuran ‘private party’ atau pesta persendirian merupakan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertinggi semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada 46 individu yang ditahan oleh polis , 15 adalah atas kesalahan itu.

Lain-lain kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka (11), premis beroperasi lebih masa (10), gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (8) serta masing-masing satu kes kerana beroperasi tanpa lesen perniagaan dan penganjuran aktiviti melibatkan kehadiran ramai orang yang menyukarkan penjarakan fizikal, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata sebanyak 26 tangkapan dilakukan oleh polis selain rampasan melibatkan lima kenderaan darat.

“Sebanyak 79 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan polis (65), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10 ) dan Angkatan Tentera Malaysia (4),” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata bagi tempoh 24 Julai lepas hingga semalam, seramai 22,906 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, seramai 9,028 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 70 hotel dan empat Institut Latihan Awam manakala 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 13,812 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang, katanya.

Mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

14 warga asing ditahan dalam Operasi Benteng

SHAH ALAM, 20 JULAI: Polis menahan 14 warga asing menerusi sekatan jalan raya kerana melakukan kesalahan membabitkan peraturan imigresen semalam.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata tangkapan itu hasil sekatan jalan raya Operasi Benteng yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Semalam polis membuat 65 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 36,001 kenderaan bagi mengekang kemasukan warga asing.

“Operasi Benteng melibatkan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia mengawal ketat sempadan negara bagi menyekat penularan Covid-19,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa menggempur habis-habisan semua lorong tikus yang menjadi laluan keluar masuk warga asing di seluruh negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 2,000 pendatang, tekong ceroboh perairan ditahan

SHAH ALAM, 15 JULAI: Seramai 1,598 pendatang asing tanpa izin dan 526 tekong yang cuba menceroboh perairan negara ditahan dalam Operasi Benteng.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata operasi dari 1 Mei hingga semalam turut menahan 110 penyeludup selain merampas 54 bot serta 156 kenderaan pelbagai jenis.

“Melalui 68 sekatan jalan raya dilakukan seluruh negara sepanjang tempoh sama, 37,001 kenderaan diperiksa dan hasilnya lima warga asing atas kesalahan imigresen ditemui,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram akan dikenakan tindakan tegas.

Katanya, operasi melibatkan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia terus mengetatkan kawalan sempadan terutama di lorong tikus.