Categories
AGENDA NASIONAL

MAPIM anjur kempen #ShameOnIsrael esok

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengajak rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa menyertai kempen media sosial esok bagi mengutuk tindakan rejim zionis Israel memusnahkan kediaman penduduk Palestin awal minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Datuk Alim Araby berkata, kempen yang berlangsung sepanjang hari itu, menggunakan tanda pagar #ShameOnIsrael dengan latar belakang warna hitam atau merah.

“Kita mahu sampaikan mesej dari Malaysia bahawa tindakan Israel ini memalukan, ‘shame on you’. Israel ini penduduknya hanya sembilan juta sahaja.

“Kita hendak beritahu dengan jelas bahawa kita tidak akan memekakkan telinga dan menutup mata dengan tindakan mereka. Kita hendak viralkan,” katanya kepada Bernama di Kedutaan Palestin, semalam.

Tambahnya, kempen media sosial itu merupakan antara inisiatif paling ringkas yang boleh disertai dan dilaksanakan orang ramai bagi mengutuk tindakan Israel mengakibatkan kemusnahan kepada 10 bangunan mempunyai 100 unit apartmen di kawasan Wadi Al Hummus, bandar Sur Bahir.

Sementara itu, Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berkata bagi pihak kerajaan Palestin dan rakyatnya di sini, beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang disifatkan sebagai Jenayah Perang Israel.

Beliau menggesa Malaysia serta negara lain dan badan antarabangsa bersama menyertai Palestin mengutuk kekejaman Israel, yang dipercayai sebagai langkah mendapatkan sokongan untuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Parti Likudnya sebelum pilihan raya September nanti.

“Beliau gagal membentuk kerajaan pada pilihan raya lalu (pada April), jadi beliau perlu meneruskan sokongan terhadap peneroka dan meranapkan impian Palestin untuk mewujudkan Negara Palestin yang merdeka dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara.

“Ini adalah satu tindakan Perang Jenayah, menyebabkan perpindahan tidak adil puluhan keluarga Palestin, satu perbuatan tanpa justifikasi perundangan, kecuali memperlihatkan Israel mengunakan kuasanya secara agresif dan terang-terangan untuk mendorong ke arah pelaksanaan perjanjian abad ini, yang sebenarnya bertujuan menghapuskan semua perjuangan Palestin,” katanya.

Perjanjian abad ini merujuk kepada Rancangan Perdamaian Timur Tengah Presiden Donald Trump, yang kononnya bertujuan untuk menamatkan konflik Israel dan Palestin. Bahagian ekonomi mengenai perjanjian itu diumumkan di Bahrain.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Turki bimbang keputusan Moldova pindah kedutaannya di Israel

ANKARA, 14 JUN: Kementerian Luar Turki menyuarakan kebimbangannya berhubung keputusan Moldova untuk memindahkan kedutaannya di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, lapor agensi berita Anadolu.

Baitulmaqdis adalah kunci utama penyelesaian yang adil dan berpanjangan dalam isu Palestin, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Turki menyeru komuniti antarabangsa mematuhi keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Baitulmaqdis, selain menghormati status sejarah dan undang-undang bandar itu.

Perdana Menteri Moldova, Pavel Filip mengumumkan langkah itu pada Selasa dan menyifatkan keputusan berkenaan sebagai “komitmen untuk menyokong sekutunya”.

Kementerian Luar Palestin turut mengutuk keputusan itu.

Israel selama ini, berusaha meyakinkan beberapa negara supaya memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Setakat ini, Amerika Syarikat (AS) dan Guatemala yang telah berbuat demikian.

Presiden Donald Trump secara rasmi mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember 2017 dan memindahkan kedutaannya pada 14 Mei 2018.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Seorang maut, 30 cedera di Semenanjung Gaza

 

GAZA, 11 MEI: Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan Palestin terbunuh dan 30 yang lain cedera pada Jumaat semasa bertempur dengan tentera Israel yang ditempatkan di sempadan antara Semenanjung Gaza dan Israel, lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Ashraf al-Qedra, memberitahu pemberita mangsa Abdulla Abdel Aal, 24, dari bandar Rafah meninggal dunia akibat kecedraan parah di perut selepas ditembak tentera Israel.

Sementara itu, katanya semua mangsa yang cedera termasuk anggota paramedik hanya mengalami luka ringan.

Pada Jumaat petang ratusan penunjuk perasaan Palestin menuju ke kawasan antara timur Gaza dan Israel sebagai protes terhadap pelan damai yang akan diumumkan Amerika Syarikat.

Terdahulu, kementerian itu berkata tentera Israel membunuh kira-kira 304 rakyat Palestin dan mencederakan 17,301 yang lain, termasuk 3,544 kanak-kanak dan 1,168 wanita, dalam perhimpunan mingguan Gerakan Pulang Besar-besaran atau Great March of Return.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Tindakan Israel biadap – Mufti Wilayah Persekutuan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 MEI: Tindakan tentera Israel menyerang penduduk Gaza dengan bedilan peluru ketika ambang Ramadan dianggap biadap, kata Mufti Wilayah Persekutuan.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia merupakan tindakan terkutuk, biadap dan tidak boleh diterima oleh umat Islam.

“Kami berdoa dan bermunajat kepada ALLAH SWT semoga diberikan kekuatan dan ketabahan kepada penduduk Gaza. Semoga kabus hitam ini berlalu pergi,” katanya menerusi catatan di instagramnya, hari ini.

Sementara itu, AFP melaporkan seramai 23 maut, iaitu masing-masing 19 rakyat Palestin dan empat penduduk Israel, dalam beberapa siri serangan roket yang dilancarkan tentera Israel dan pejuang di wilayah dikuasai Hamas.

“Secara keseluruhannya, 19 rakyat Palestin terkorban dalam serangan yang dilancarkan oleh tentera Israel ke wilayah berkenaan,” kata Kementerian Kesihatan wilayah itu.

Katanya, seorang wanita yang sarat mengandung dan bayi berusia empat bulan adalah antara mangsa yang maut dalam serangan itu.

Namun, tentera Israel enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan berkenaan.

Categories
GLOBAL

Trump suara sokongan 100 peratus terhadap Israel

WASHINGTON, 6 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyuarakan sokongannya terhadap Israel di tengah-tengah serangan udara yang berterusan di Semenanjung Gaza, lapor agensi berita Anadolu.

“Sekali lagi, Israel diserang kumpulan pemberontak Hamas. Kami menyokong Israel 100 peratus dalam mempertahankan rakyatnya,” tulis Trump di twitternya.

“Kepada penduduk Gaza – keganasan terhadap Israel hanya akan membawa lebih banyak kesengsaraan, TAMATKAN keganasan dan bekerja untuk ke arah keamanan – ia boleh jadi kenyataan!” katanya.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Israel larang bahan api, gas masuk Gaza

BAITULMAQDIS, 6 MEI: Pihak berkuasa Israel melarang bahan api dan gas dibawa masuk ke Semenanjung Gaza yang diduduki rejim zionis itu, berikutan peningkatan keganasan baru-baru ini, lapor agensi berita Anadolu.

“Semua import bahan api ke Semenanjung Gaza melalui Persatuan Kemanusiaan Kerem Shalom akan dihentikan,” kata Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah (Palestin) Mejar Jeneral Kamil Abu Rukun dalam satu kenyataan, semalam.

“Israel tidak akan membenarkan diesel dan petrol dibawa masuk ke Semenanjung Gaza melalui persimpangan Kerem Shalom esok,” kata pegawai Israel itu.

Katanya, langkah itu diambil sebagai tindak balas terhadap bedilan roket dan peluru mortar yang disasarkan kepada pihak Israel.

Sejak Sabtu, 25 Palestin termasuk dua wanita hamil dan dua bayi terkorban, manakala lebih 100 yang lain cedera akibat serangan udara Israel.

Keganasan memuncak di semenanjung itu apabila empat Palestin termasuk seorang remaja terbunuh dan 51 orang cedera selepas tentera Israel menyerang kubu Hamas pada Jumaat.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Gaza tenteram jika Israel henti serangan – Hamas

GAZA, 6 MEI: Ketenteraman di Semenanjung Gaza hanya boleh diwujudkan andai tindakan Israel menyerang penunjuk perasaan Palestin dapat dihentikan, lapor agensi berita Anadolu memetik pemimpin Hamas, semalam.

“Lebih banyak Israel menyerang bertambah kuat tindak balas penduduk Palestin,” kata Ismail Haniyeh dalam satu kenyataan bertulis.

“Ketenangan dapat dipulihkan hanya selepas menghentikan pencerobohan Israel terhadap Semenanjung Gaza dan melaksanakan gencatan senjata,” tambahnya.

Ujarnya, rakyat Palestin yang dikepung di Semenanjung Gaza selama lebih 12 tahun hanya mahu menuntut hak mereka, sebagaimana termaktub dalam undang-undang dan konvensyen antarabangsa.

Sejak Sabtu, 25 orang Palestin termasuk dua wanita hamil dan dua bayi terkorban, manakala lebih 100 yang lain cedera akibat serangan udara Israel.

Keganasan memuncak di semenanjung itu apabila empat Palestin termasuk seorang remaja terbunuh dan 51 orang cedera selepas tentera Israel menyerang kubu Hamas pada Jumaat.

— BERNAMA

 

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Israel punca utama ketidakstabilan dunia – Tun M

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi mengecam Israel sebagai negara pengganas dan menjadi punca utama terhadap ketidakstabilan dunia.

Dalam amanatnya kepada golongan muda pada Persidangan tahunan Al-Sharq 2019 di sini dengan majoriti peserta adalah dari negara-negara timur tengah, pemimpin berusia 93 tahun itu menegaskan bahawa masanya telah tiba bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu dan mengakhiri penjajahan Israel terhadap Palestin.

“Apartheid, pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah pencerobohan dan semua kejahatan terhadap orang lain kini terpalit pada Palestin – hasil perbuatan negara yang ganas, sombong, dan teroris yang digelar Israel.

“ Sehingga dan sekiranya masyarakat antarabangsa komited untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan penjajahan Israel terhadap bumi Palestin, rantau itu dan dunia keseluruhannya tidak berpeluang menikmati keamanan dan kestabilan,” katanya dalam ucaptama sebelum merasmikan persidangan itu yang pertama kali diadakan di negara ini.

Ucapan berani beliau menerima tepukan gemuruh daripada lebih 1,000 peserta persidangan.

Menggambarkan Palestin sebagai inti daripada semua tragedi, beliau berkata dunia kini tidak stabil dan kelihatan seperti itu dalam masa terdekat ini.

Dr Mahathir berkata, pembunuhan yang tidak masuk akal orang tidak bersalah terus berlaku dalam pencerobohan Afghanistan dan Iraq oleh gabungan tentera yang dipimpin Amerika Syarikat pada tahun 2001/2003 di mana kita telah melihat lebih banyak kegelisahan daripada kestabilan di rantau ini sebelum diteruskan dengan Arab Springs.

“Negara-negara seperti Syria, Libya dan Yaman hari ini memaparkan imej tragedi manusia sementara seluruh dunia menonton tanpa upaya untuk membantu.

“Kesengsaraan mereka bukannya berpunca daripada perselisihan dalaman tetapi campur tangan dan campur tangan dari kuasa luaran yang jelasnya melakukannya untuk kepentingan diri sendiri, menyamar di bawah kerudung demokrasi dan hak asasi manusia,” katanya.

Perdana Menteri berkata, tamadun kuno atau bayangan tamadun itu telah dimusnahkan oleh kuasa-kuasa zaman kini yang telah menjadikan mereka sebagai pemimpin tamadun zaman moden.

“Tidak ada yang bertamadun dalam tindakan atau tingkah laku mereka. Satu-satunya perkara yang mereka boleh pamerkan adalah teknologi yang mampu menghasilkan persenjataan yang sangat efisien dalam mncederakan dan membunuh beribu-ribu orang,” katanya.

Dalam soal Malaysia, beliau berkongsi bahawa sebagai negara berbilang kaum dan agama, negara ini berasa bangga bahawa ia dapat bergerak ke hadapan dalam kepelbagaian itu, walaupun beliau mengakui Malaysia pernah menghadapi perselisihan kaum kerana perbezaan itu namun ia juga menjadi kekuatan mereka dan alasan untuk perpaduan.

“Malahan, kami percaya bahawa kami agak berjaya sebagai sebuah negara kerana kepelbagaian. Memang, menguruskan kepelbagaian itu tidak menyenangkan pada masa tertentu. Banyak kali perbezaan itu lebih kuat dan persamaannya lemah.

“Kami setidak-tidaknya mempunyai prasangka dan ketaksuban di tengah-tengah masyarakat tetapi secara keseluruhan, kami telah menerima hakikat bahawa apa-apa cubaan untuk memenangi satu kaum atau kumpulan agama dengan mengorbankan yang lain akan mengakibatkan kemusnahan terhadap apa yang telah dibina.

“Sebaliknya, kami terus berusaha untuk kepentingan bersama dan alasan yang sama. Ini tidak mudah tetapi kami terus berusaha ke arah itu dan Alhamdullillah, kami telah berjaya setakat ini,” katanya.

Beliau berkata perbezaan dalam agama, bangsa, budaya dan adat memerlukan Malaysia untuk berkompromi dan saling menampung serta belajar untuk bertolak ansur dalam banyak perkara.

Seterusnya, Dr Mahathir dalam ucapannya yang bertajuk “Dalam Mencari Order Dunia yang Lebih Baik dan Stabil” berkata, para belia, sebagai pemimpin masa depan, mempunyai peranan yang penting dalam menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik dan setiap pemimpin harus rapat dengan mereka.

“Selama bertahun-tahun sebagai seorang ahli politik dan dipercayakan untuk memimpin kadang-kadang, saya selalu berusaha untuk mencuba tahap terbaik saya untuk memenuhi permintaan dari organisasi belia dan pergerakan.

“Alasan saya agak asas – jika saya mahu melihat perubahan yang dibuat dan cita-cita tercapai, golongan belia adalah pertaruhan terbaik kami,” katanya.

— BERNAMA

Categories
GLOBAL

Palestin gesa sokongan antarabangsa bantu tahanan di Israel

RAMALLAH, 17 APRIL: Penduduk Palestin menyambut hari tahanan kebangsaan hari ini dengan menzahirkan sokongan kepada rakyat negara itu yang ditahan di penjara Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

Mereka menggesa sokongan antarabangsa diberikan kepada tahanan yang berdepan layanan buruk dan situasi pemenjaraan yang tidak berperikemanusiaan.

Kementerian Luar Palestin menggesa Pihak-Pihak Berkontrak Tinggi kepada empat konvensyen Geneva supaya memikul tanggungjawab perundangan dan memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa dengan menyediakan perlindungan kepada rakyat Palestin, terutama kanak-kanak.

Kementerian itu juga menyeru alangkah sewajarnya diambil terhadap Israel, sebagai kuasa yang menduduki, untuk memaksanya bertanggungjawab ke atas jenayah dan pencabulannya yang berterusan terhadap rakyat Palestin.

Menurut statistik terkini dikeluarkan Kelab Tahanan Palestin (PPC), terdapat 5,700 rakyat Palestin di penjara Israel, termasuk 250 kanak-kanak, 47 wanita dan 500 orang di bawah tahanan pentadbiran.

PPC menyatakan dalam laporan itu bahawa layanan buruk Israel terhadap tahanan rakyat Palestin adalah “serius dan pencabulan yang sistematik ke atas undang-undang antarabangsa,” sambil menambah Israel mengabaikan perbicaraan adil yang selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.

Ia menggesa komuniti antarabangsa agar “segera campur tangan bagi memenuhi kewajipan perundangan dan obligasi etikanya kepada Palestin serta memaksa Israel bertanggungjawab terhadap jenayah hariannya.”

Ia berkata jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang ditahan sejak 1967 mencecah sejuta orang sambil menambah bahawa “kecuaian perubatan sistematik” Israel terhadap banduan menyebabkan kematian 218 warga Palestin dalam tahanan sejak 1967.

Majlis Kebangsaan Palestin, yang dianggap sebagai parlimen Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), telah mengisytiharkan 17 April sebagai hari tahanan kebangsaan sejak 1974, hari yang menyatukan usaha bagi membantu perjuangan tahanan untuk mendapatkan kebebasan. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

Britain kutuk Israel mahu wujud penempatan baharu di Tebing Barat

LONDON, 8 APRIL: Britain mengutuk Israel berhubung pelan negara itu untuk mewujudkan petempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Pemangku menteri bagi Timur Tengah, Mark Field dalam kenyataan berkata, petempatan itu tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan menjejaskan daya maju fizikal penyelesaian dua negara.

“UK mengutuk sekeras-kerasnya pemajuan pelan dan tender pihak berkuasa Israel pada 5 April untuk petempatan unit kediaman di seluruh Tebing Barat,” katanya.

Katanya, pelan bagi petempatan baharu yang didedahkan baru-baru ini “adalah susulan pengumuman pada Disember bagi lebih 2,000 unit kediaman.”

Sambil menggesa Israel supaya “menghentikan tindakan tidak produktif sedemikian,” menteri Britain itu menyeru “semua pihak berusaha lebih lanjut untuk meredakan ketegangan semasa dan mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk keamanan yang adil dan berkekalan.”

Terdahulu, Netanyahu berikrar untuk mewujudkan petempatan baharu di Tebing Barat jika memenangi pilihan raya umum, yang dijadualkan pada 9 April.

Kira-kira 650,000 orang Yahudi kini tinggal di lebih 100 petempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki Israel.

Undang-undang antarabangsa menganggap Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai “wilayah yang diduduki” serta semua aktiviti pembinaan petempatan orang Yahudi di kawasan itu adalah haram.

Penduduk Palestin pula mahukan kedua-dua wilayah itu serta Semenanjung Gaza untuk penubuhan sebuah negara Palestin pada masa depan. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

Tun M kutuk kekerasan berlebihan Israel ke atas Palestin

PUTRAJAYA, 2 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengutuk kekerasan berlebihan Israel sebagai tindak balas ke atas rakyat Palestin, dengan menggunakan beratus-ratus peluru berpandu dari pesawat perang Israel dan penempatan aset ketenteraan di sempadan.

Dr Mahathir, yang menyuarakan kebimbangan mendalam berikutan keganasan yang semakin memuncak di Gaza, berkata tindakan terancang Israel berhubung serangan ganas, menghasut, provokasi dan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin yang tidak berdaya mempertahankan diri, secara terang-terangan melanggari undang-undang antarabangsa.

Ketika menggesa semua pihak supaya meredakan ketegangan yang semakin memuncak dan mengembalikan semula keamanan, beliau turut menggesa Israel supaya menghormati undang-udang kemanusiaan antarabangsa, termasuk perlindungan orang awam selain menghormati sepenuhnya gencatan senjata.

“Perlakuan keganasan dan kezaliman berlebihan tanpa kesudahan yang dilancarkan Israel ke atas rakyat Palestin menggambarkan keadaan yang amat membimbangkan.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini telah meningkat sebelum ini dan mengakibatkan kehilangan terlalu banyak nyawa yang tidak bersalah.

“Dengan berdiam diri, komuniti antarabangsa sekali lagi nampaknya mempersetujui penggunaan kekerasan oleh Israel, sekali gus memburukkan lagi bencana kemanusiaan ke atas rakyat Palestin yang tidak bersalah,”,” katanya dalam kenyataan hari ini.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Bukit Golan: Malaysia kutuk pengiktirafan AS

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Malaysia mengutuk keras keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mengisytihar Bukit Golan di Syria sebagai milik Israel.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan malam tadi berkata, Malaysia tidak dapat menerima keputusan AS yang mengiktiraf pendudukan secara haram dan tidak sah terhadap tanah yang dimiliki negara berdaulat.

“Tindakan tidak bertimbang rasa dan provokatif itu hanya hipokrasi,” katanya.

Justeru, Malaysia menyeru AS supaya menghormati dan menegakkan tanggungjawabnya di bawah Resolusi 497 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Israel mesti menarik balik sepenuhnya daripada menduduki Bukit Golan milik Syria. Malaysia mengulangi pendirian tidak berbelah bagi terhadap Bukit Golan yang perlu dikembalikan kepada Syria,” katanya.

Pada Isnin lalu, Trump menandatangani perisytiharan presiden yang mengiktiraf Golan sebagai wilayah Israel.

Menurut PBB, status undang-undang Golan akan kekal – walaupun pengumuman Trump – dan masih dianggap “wilayah yang diduduki” di bawah undang-undang antarabangsa.

Israel menduduki Bukit Golan dari Syria semasa Perang Arab-Israel 1967 dan terus menduduki kira-kira dua pertiga daripada wilayah itu. -BERNAMA