Categories
GLOBAL NASIONAL

Beberapa kumpulan di Palestin kutuk serangan Israel

BANDAR GAZA, 13 MAC: Beberapa kumpulan di Palestin mengutuk keganasan Israel, di kompleks Masjid Al-Aqsa, di Baitulmaqdis dan menggesa orang ramai bersatu mempertahan tempat suci itu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Jurucakap pergerakan Fatah, Atef Abu Saif, dalam kenyataan berkata, ketegangan yang memuncak adalah kesinambungan dasar sembarangan Israel terhadap rakyat Palestin, tanah dan tempat suci mereka, dengan merujuk kepada serbuan di kompleks Masjid Al-Aqsa, di Baitulmaqdis Timur.

“Halangan terhadap jemaah yang ingin menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa, Pengyahudian, pendudukan, pemusnahan dan deportasi ibu kota (Baitulmaqdis), tidak akan menjejaskan tekad penduduk Palestin untuk terus setia kepada gerakan penentangan serta tanah tumpah darah kami,” katanya.

Katanya, insiden di Baitulmaqdis ekoran sikap komuniti antarabangsa yang sekadar berdiam diri menyaksikan pencabulan rejim itu ke atas semua perjanjian antarabangsa dan hak asasi manusia.

Kumpulan penentang Palestin, iaitu Hamas turut mengutuk insiden itu dan menggesa orang ramai bertegas ketika ingin memasuki dan keluar dari masjid itu apabila mereka ingin berbuat demikian.

Pemimpin pergerakan Inisiatif Nasional Palestin, Mustafa Barghouthi, juga mengutuk serangan Israel ke atas umat Islam.

Memberi amaran bahawa provokasi Israel bertujuan merosakkan tempat suci, beliau berkata, rakyat Palestin boleh menggagalkan agenda itu dengan bersatu padu dan bersikap tegas.

Sementara itu, Nickolay Mladenov yang merupakan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi keamanan di Timur Tengah, menulis dalam akaun Twitter “Saya sedang mengikuti perkembangan di tempat suci #Baitulmaqdis dengan penuh kebimbangan. Tempat ibadat adalah untuk beribadat, bukan untuk provokasi dan keganasan.”

Beliau meminta semua pihak bertenang dan menghormati status quo, di Baitulmaqdis.

Terdahulu, tentera Israel menutup beberapa pintu masuk ke kompleks Masjid Al-Aqsa susulan pertempuran yang berlaku dengan penganut Islam Palestin.

“Tentera Israel menyerbu pekarangan Al-Aqsa dan menyerang beberapa tokoh agama,” kata Firas al-Dibs, jurucakap bagi Pihak Berkuasa Wakaf Agama Baitulmaqdis, sebuah agensi kendalian Jordan yang ditugaskan memantau tempat suci penganut Islam dan Kristian, dalam satu kenyataan. -BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Israel lancar serangan udara di Semenanjung Gaza

GAZA, 28 FEB: Jet pejuang Israel melancarkan satu serangan udara, di selatan Semenanjung Gaza, pada awal Khamis, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan saksi.

Serangan udara itu dilaporkan terkena sasaran milik Briged Ezzedine al-Qassam, sayap tentera Hamas, di barat Khan Yunis.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, kata saksi.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan Palestin belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Ketegangan semakin memuncak berhampiran pagar Gaza-Israel susulan perhimpunan berterusan penunjuk perasaan yang menuntut hak untuk pulang ke tanah tumpah darah mereka, di bumi asal Palestin.

Perhimpunan itu bertujuan memecahkan kepungan Israel/Mesir ke atas Semenanjung Gaza sejak berdekad lamanya.

Lebih 230 penunjuk perasaan Palestin mati syahid ekoran ditembak tentera Israel sejak perhimpunan Gaza bermula, pada 30 Mac 2018.

*Sumber: BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Palestin kutuk Israel potong hasil cukai

RAMALLAH, 18 FEB: Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengutuk tindakan kabinet keselamatan Israel meluluskan pemotongan lebih US$138 juta daripada hasil cukai dibayar PA kepada rakyat Palestin yang meringkuk dalam penjara Israel.

Agensi berita China Xinhua yang memetik jurucakap presiden PA, Abu Rudeineh berkata, Palestin memohon supaya pemotongan dibuat melalui dana pembersihan negara itu, namun ia ditolak sepenuhnya Israel.

Justeru, katanya, tindakan itu dianggap zalim dan merompak wang rakyat Palestin.

“Presiden Mahmoud Abbas sentiasa menegaskan kami tidak akan menerima sebarang tindakan yang boleh mengancam hidup wira kami, banduan dan keluarga mereka yang mati syahid serta mangsa yang cedera.

“Ini adalah keputusan sebelah pihak dan dibuat sewenang-wenangnya yang menjejaskan persetujuan dicapai,” katanya.

Di bawah perjanjian interim yang ditandatangani di Paris pada 1996, Israel mengutip cukai bagi pihak PA, yang menyaksikan jumlah kutipan bulanan semasa ialah US$222 juta.

Sejak rundingan kedua-dua pihak menemui jalan buntu pada 2014, Israel menahan wang itu sebagai langkah membantah atau bagi mengenakan tekanan.

Sementara itu, pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Banduan dan Bekas Tahanan dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin, Qadri Abu Bakker berkata, keputusan Israel diluluskan “dengan sokongan komprehensif kerajaan Amerika Syarikat.”

“Israel kini berusaha melemahkan isu tahanan rakyat Palestin dan legitimasi perjuangan kebangsaan mereka serta membuktikan bahawa mereka adalah pengganas.

“PA akan terus membuat bayaran kepada banduan terbabit,” katanya.

Categories
GLOBAL

Lubnan adu PBB, Israel cabul wilayahnya

BEIRUT, 11 JAN: Lubnan akan mengemukakan aduan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pencabulan Israel ke atas wilayahnya, lapor agensi berita China Xinhua.

Majlis Pertahanan Tinggi Lubnan dalam kenyataannya berkata, Tentera Lubnan akan diberi arahan yang perlu bagi menangani kesemua pencabulan itu.

Katanya, Lubnan juga dijangka mempertingkat hubungan diplomatiknya untuk menjelaskan pendirian negara tersebut berhubung pencerobohan Israel.

Keputusan ini dibuat dalam satu mesyuarat majlis itu di Istana Baabda, yang menghimpunkan para pegawai tinggi keselamatan dan ahli politik terkemuka negara tersebut bagi membincangkan perkembangan di selatan sempadan Lubnan.

Mesyuarat itu diadakan selepas Israel meletakkan sejumlah 25 blok simen di sepanjang sempadan berhampiran Kampung Adaisseh, dengan enam daripadanya di lokasi yang dipertikai.

Majlis Pertahanan Tinggi memberi jaminan bahawa Lubnan komited mempertahan setiap inci tanah dan sumber airnya sambil bersedia menyempurnakan rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Jordan kutuk pencabulan berulang kali Israel ke atas Masjid Al-Aqsa

AMMAN, 8 JAN: Jordan mengutuk pencabulan berulang kali rejim Israel ke atas Masjid Al-Aqsa, lapor agensi berita China Xinhua.

Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Majed Qatarneh, pada semalam menyelar tindakan menteri pertanian dan puak radikal Israel yang menyerbu perkarangan masjid itu dengan perlindungan polis rejim.

“Tindakan sedemikian adalah provokatif terhadap perasaan umat Islam di seluruh dunia dan merupakan satu pencabulan terhadap komitmen Israel sebagai satu kuasa yang menduduki di Baitulmaqdis Timur seiring dengan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Para pegawai Jordan, yang menganggap kerajaan Israel bertanggungjawab bagi tindakan sedemikian, menggesa agar provokasi itu segera dihentikan.

Jordan, yang menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1994, mengawasi tempat-tempat suci umat Islam dan penganut Kristian di Baitulmaqdis Timur, yang dianggap sebagai ibu kota Palestin.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Tentera zionis bunuh 7 rakyat Palestin dalam serbuan terbaharu di Gaza

GAZA 12 NOV: Tentera Israel membunuh tujuh rakyat Palestin dalam serbuan yang mensasarkan pemimpin Hamas di Gaza semalam.

Tentera Israel menceroboh kawasan di bawah penguasaan Hamas dengan melancarkan serangan udara.

Serentak itu juga dipercayai Hamas membalas dengan melancarkan roket dan telah dipintas oleh roket penangkis dan setakat ini tiada laporan sebarang kecederaan di pihak Israel.

Keganasan terbaharu itu memaksa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memendekkan lawatan beliau ke Paris, menghadiri perhimpunan para pemimpin dunia memperingati Perang Dunia Pertama.

Hamas berkata, keganasan itu tercetus apabila anggota bersenjata menaiki kereta melepaskan tembakan ke arah kumpulan anggota tenteranya dan menyebabkan seorang pegawai pemerintah terbunuh dan pasukan Hamas mengejar kereta berkenaan yang akhirnya melarikan diri ke sempadan Israel.

Tentera Israel dilaporkan oleh saksi telah melancarkan lebih 40 roket ke kawasan berkenaan.

Pegawai perubatan dan Hamas berkata, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan empat daripada mereka adalah anggota tentera, termasuk pegawai memerintah Nour Baraka.

Tentera Israel pula dalam kenyataannya memaklumkan operasi itu adalah mensasarkan pemimpin Hamas dan melibatkan kejadian berbalas tembakan.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Rusia cetus kebimbangan Israel, bekal peluru berpandu S-300 kepada Syria

GLOBAL 26 SEPT: Kabinet keselamatan Israel bersidang semalam ketika ketegangan baharu antara Rejim Zionis dan Rusia tercetus berikutan pengumuman Moscow mahu membekalkan sistem pertahanan udara canggih, S-300 kepada Syria.

Semua menteri berkenaan bertemu di Pejabat Perdana Menteri di Baitulmuqaddis untuk menerima maklumat terkini berhubung perkembangan terbaharu itu, kata seorang jurucakap kerajaan tanpa mengulas lanjut.

Menurut agensi berita Xinhua, sejurus selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan berlepas ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada Isnin lalu, Kremlin menyatakan bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin telah memaklumkan Netanyahu menerusi panggilan telefon bahawa Rusia akan membekalkan peluru berpandu darat ke udara, S-300 kepada Presiden Syria, Bashar Al-Assad bagi melindungi tenteranya.

Netanyahu memberi amaran bahawa pemindahan sistem senjata canggih ke tangan ‘pihak yang tidak bertanggungjawab’ itu akan meningkatkan bahaya di Asia Barat.

Pemimpin Rejim Zionis itu juga berkata, Israel akan terus mempertahankan keselamatan dan ke­pentingannya, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Netanyahu.

Langkah Kremlin itu diumumkan sehari selepas Rusia secara rasmi menuduh Tentera Udara Israel bertanggungjawab berhu­bung insiden menembak jatuh pesawat peninjau Il-20 milik Rusia pada Isnin minggu lalu.

Pesawat bersama 15 kru Rusia itu ditembak oleh peluru berpandu Syria tanpa disengajakan ketika Israel melancarkan serangan udara di wilayah Latakia, Syria.

Israel bimbang sistem misil S-300 itu akan mematahkan serangan udaranya ke atas Syria.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) turut menggesa Rusia supaya menimbang semula langkah tersebut.

Rusia mahu memindahkan sistem peluru berpandu S-300 ke Syria pada masa lalu tetapi menangguhkan rancangan itu berikutan tekanan daripada Israel dan AS.

Rejim Zionis melancarkan sekitar 200 serangan udara ke atas Syria dalam tempoh 18 bulan lalu dengan alasan untuk menghalang konvoi senjata Iran daripada bertapak di negara itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Israel sasar peluru berpandu ke Damsyik

DAMSYIK 16 SEPT: Serangan peluru berpandu Israel yang mensasarkan lapangan terbang di ibu kota Syria lewat semalam mengaktifkan pertahanan udara yang menembak jatuh beberapa roket berkenaan, lapor agensi berita SANA.

“Pasukan pertahanan udara kami bertindak balas kepada serangan peluru berpandu Israel di lapangan terbang antarabangsa Damsyik dan menembak jatuh beberapa daripadanya,” kata sumber tentera yang dipetik SANA.

Agensi itu, tanpa memberitahu sebarang maklumat mengenai kematian atau kerosakan, menyiarkan rakaman dan imej pertahanan udara diaktifkan.

Dalam video yang bergoyang, letupan kecil dan terang dilihat pada langit pada waktu malam.

Wartawan AFP di Damsyik mendengar letupan kuat lewat semalam, disusuli dengan beberapa letupan kecil.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang beribu pejabat di Britain, berkata serangan semalam terkena depo senjata di luar lapangan terbang itu.

“Peluru berpandu itu, disyaki dibedil Israel, memusnahkan depo senjata berhampiran lapangan terbang antarabangsa Damsyik,” kata ketua SOHR, Rami Abdel Rahman.

Israel berikrar menghalang musuh ketatnya, Iran, yang menjadi penyokong utama kerajaan Syria, daripada bertapak di negara jirannya itu.

Awal bulan ini, Israel mengaku melancarkan lebih 200 serangan di Syria sejak 18 bulan lalu, terutama terhadap sasaran Iran.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Argentina batal aksi persahabatan menentang Israel

BUENOS AIRES 6 JUN: Tekanan politik yang memuncak membuatkan Argentina memilih untuk membatalkan perlawanan pemanas badan terakhir mereka menentang Israel yang sepatutnya dijadual pada Sabtu ini di Baitulmaqdis sebelum sepak mula Piala Dunia 2018, demikian kata penyerang Gonzalo Higuain awal pagi tadi.

“Mereka akhirnya membuat keputusan tepat,” kata Higuain dalam satu temu bual dengan ESPN, mengesahkan laporan perlawanan itu dibatalkan.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Teddy Kollek, Baitulmaqdis itu adalah aksi terakhir Argentina sebelum memulakan kempen Piala Dunia di Rusia pada 16 Jun ini menentang Iceland dalam aksi Kumpulan D.

Laporan tempatan menyatakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menelefon Presiden Argentina, Mauricio Macri meminta agar memujuk pasukan tidak membatalkan kunjungan mereka di Baitulmaqdis.

Bagaimanapun, Radio Israel memetik seorang pegawai diplomatik yang enggan namanya didedahkan berkata, peluang untuk perlawanan itu berlangsung amat tipis.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Erdogan tuduh Israel lakukan genosid

ANKARA 15 MEI: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menuduh Israel ‘negara pengganas’ dan ‘pembunuh’ selepas tentera negara itu membunuh sekurang-kurangnya 58 penduduk Palestin di sempadan Gaza.

Dalam satu daripada kecaman paling kerasnya setakat ini terhadap negara Yahudi itu, Erdogan juga mengisytiharkan tempoh berkabung tiga hari susulan kematian itu, diikuti bantahan besar-besaran di Istanbul Jumaat ini.

Ribuan penunjuk perasaan berarak ke tengah ibu kota ini mengutuk kekejaman menjurus pertumpahan darah itu ketika Amerika Syarikat (AS) memindahkan misinya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis tidak mengendahkan kemarahan meluas dunia Islam.

“Israel mencetuskan keganasan dalam negara. Israel adalah negara pengganas.

“Apa yang dilakukan Israel adalah satu genosid. Saya mengutuk drama kemanusiaan ini, genosid, tidak kira pihak mana, sama ada Israel atau AS,” kata Erdogan ketika berucap di hadapan pelajar Turki di London disiarkan televisyen.

Erdogan dan beberapa pegawai Turki berulang kali mengutuk keputusan AS memindahkan kedutaan dan memberi amaran ia bakal mencetuskan ketegangan.

Timbalan Perdana Menteri Turki, Bekir Bozdag memberitahu media di sini, Turki memanggil semula dutanya ke AS dan Israel ‘untuk rundingan.’

Bozdag juga berkata, Turki memanggil satu mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) Jumaat ini, namun tidak memberi butiran berhubung formatnya.

Presiden Turki juga mengumumkan, beliau memanggil satu mesyuarat besar-besaran Jumaat ini untuk membantah Istanbul, memiliki kapasiti lebih sejuta penduduk.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Aman Palestin kutuk tindakan Yahudi ceroboh Masjid Al-Aqsa

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 14 MEI: Aman Palestin mengutuk keras tindakan pencerobohan Yahudi dengan menaikkan bendera Israel dan menunaikan solat Talmud di dalam Masjid Al-Aqsa, semalam.

Aman Palestin dalam kenyataan berkata, tindakan provokasi secara terang-terangan itu jelas menghina perasaan seluruh umat Islam selain menggambarkan perancangan mereka menukar identiti masjid itu secara berterusan dan cepat.

Aman Palestin menggesa tindakan segera dan proaktif juga perlu diambil menghalang keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mencabul dan melanggar undang-undang antarabangsa yang mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Seluruh umat Islam wajib bangkit memainkan peranan selaras dengan aspirasi Islam dan bukan sekadar memberikan kecaman serta kutukan semata-mata.

“Aman Palestin dan umat Islam seluruh dunia teguh dalam pendirian bahawa Baitulmuqaddis milik kekal Umat Islam dan Palestin merupakan tanah suci bagi umat Islam,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, ratusan pendatang Yahudi berarak di Baitulmuqaddis untuk meraikan peristiwa ‘penyatuan semula’ bandar itu selepas perang enam hari, pada 1967 yang kemudiannya disambut, pada 13 Mei, setiap tahun.

Categories
GLOBAL

Polis nafi laporan tular tangkapan suspek kes pembunuhan Dr Fadi

KUALA LUMPUR 22 APR: Polis menafikan dakwaan yang tular di aplikasi Whatsapp kononnya suspek pembunuhan Dr Fadi Albatsh telah diberkas.

Astro Awani melaporkan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata kenyataan berkenaan seorang suspek yang tular itu tiada kaitan dengan kes pembunuhan ini.

“Lelaki yang dikatakan suspek pembunuhan itu tiada kaitan dengan kes ini.

“Kami tidak boleh membuat konklusi sebegini. Kami siasat dari semua sudut,” kata beliau, ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Beliau berkata pihak polis masih menjalankan siasatan dan memohon kerjasama daripada orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu ini.

Dr Fadi, seorang imam dari Palestin dan pensyarah universiti swasta ditembak mati di Gombak ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh pada pagi Sabtu.

SUMBER: ASTRO AWANI