Categories
NASIONAL

Skandal Trevino: Najib Didesak Beri Penjelasan Pulihkan Imej Malaysia

nik-nazmi batik 01

 

SHAH ALAM, 11 MAC : Skandal Trevino di mana Kerajaan Malaysia membayar wang kepada penulis menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mula mendapat liputan luas di media antarabangsa.

Terbaru, laporan ‘The Wall Sreet Journal (Malaysia’s U.S Propaganda March 7, 2013) menyertai beberapa media antarabangsa lain yang mendedahkan pembayaran sejumlah wang oleh Kerajaan Malaysia kepada Joshua Trevino, bekas penulis ucapan Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush.

Biarpun disebarkan luas di media antarabangsa, namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak sehingga kini tidak memberikan sebarang maklumbalas terhadap pendedahan tersebut.

Trevino juga dibayar untuk mempromosikan pentadbiran Najib.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa Trevino dibayar AS $389,724.70 (RM 1,209,511.82) oleh Kerajaan Malaysia menerusi syarikat pro-Israel APCO Worldwide.

Bayaran itu bagi tujuan memuji ciri-ciri ‘wasatiyyah’ atau kesederhanaan yang diamalkan dalam pentadbiran Najib serta memburukkan imej Anwar.

Malah, Trevino dipaksa meletakkan jawatan sebagai kolumnis di akhbar United Kingdom (UK), The Guardian berikutan beliau tidak mengumumkan peranannya sebagai konsultan kepada FBC Media yang menjadi medium penulisannya bagi memuji Najib.

Menurut Nik Nazmi, pada tahun 2011, Najib mengakui bahawa Kerajaan Malaysia membayar RM 94 juta kepada FBC Media diantara tahun 2007 sehingga 2010.

FBC turut membayar AS $70,000 (RM 217,770.03) kepada APCO Worldwide untuk melobi kerajaan Amerika Syarikat bagi pihak pentadbiran Najib.

Apabila skandal pembayaran dan pengaturan berita ini didedahkan, BBC dan CNBC menamatkan kontrak FBC kerana melanggar etika kewartawanan.

Dengan Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hampir, Najib didesak supaya segera memberikan penjelasan mengenai jutaan ringgit wang rakyat yang digunakan bagi tujuan propaganda dan fitnah.

DAP Kecam Serangan Israel Ke Atas Gaza

SHAH ALAM, 17 NOV : DAP hari ini menggesa Kementerian Luar Negeri dan Wisma Putra untuk membuat bantahan diplomatik dan menyampaikan pesanan tegas kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat supaya segera membendung keganasan serangan Israel ke atas Palestin yang sedang berlaku.

Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media turut mengecam penggunaan taktik keganasan oleh Israel yang melakukan serangan bertubi-tubi ke atas Gaza hingga mengorbankan banyak nyawa.

Menurutnya, Israel mempunyai pasukan ketenteraan yang jauh lebih moden dan canggih yang lazimnya akan mengakibatkan kematian dan kerosakan yang berlebihan.

“Sekurang-kurang 30 rakyat Palestin dan 3 rakyat Israel telah terkorban sejak Israel memulakan serangan bertubi-tubi terhadap militan Palestin di Gaza pada hari Rabu.

“Ekoran serangan udara Israel ke atas Gaza yang telah membunuh ketua tentera Hamas Ahmed Al-Jabari, militan Palestin telah mengambil tindakan menyerang balas dengan melancarkan beberapa buah peluru roket ke atas Tel Aviv dan beberapa kawasan yang lain.

“Ramai lagi insan yang tidak bersalah akan terkorban jika keganasan ini berterusan. Malah ada yang mengatakan bahawa tindakan Israel untuk menyerang Gaza dengan sewenang-wenangnya melalui serangan udara akan mencetuskan perang baru antara Palestin dan Israel,” katanya.

Categories
NASIONAL

Surat Dr M Dedah Tembelang Umno BN Mengenai Israel

SHAH ALAM, 1 MAC: Pendedahan surat-surat yang dihantar oleh mantan Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga PM Israel mendedahkan pendirian sebenar kerajaan pimpinan Umno BN yang sentiasa mahu mengadakan hubungan dengan negara Zionis tersebut.

Demikian menurut Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut keinginan mantan PM itu untuk mengadakan hubungan dengan negara Israel itu diluahkan dalam salah satu surat tulisan tangan kepada Yitzhak Rabin.

“Mahathir pula bertemu dan berhubungan dengan PM-PM Israel dan menegaskan berulang kali keinginannya mengadakan hubungan antara Malaysia dengan Israel.

“Malah hasrat ini dilahirkan menerusi tulisan tangan di dalam suratnya kepada Yitzhak Rabin,” menurut beliau.

Saifuddin turut menjelaskan pendirian Dr M itu turut diteruskan oleh PM Malaysia hari, Datuk Seri Najib Razak yang tunduk kepada tekanan Amerika dan Israel.

“Sikap ini diteruskan oleh Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang melantik APCO sebagai perunding mereka. Antara penasihat APCO merupakan Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel.

“Kerajaan Malaysia juga selama ini mengambil sikap berat sebelah di dalam isu Palestin dengan hanya mengiktiraf Fatah, tanpa mengambilkira Hamas yang telah dipilih rakyat Palestin.

“Ini membuktikan kerajaan UMNO-BN tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan Israel,” menurut kenyataan itu lagi.

Katanya lagi, pendedahan surat ini mengesahkan sikap pura-pura Barisan Nasional yang menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memfitnahnya sebagai pro-Yahudi.

“Pendedahan surat-surat yang ditulis Tun Dr Mahathir Mohammad kepada 3 Perdana Menteri Israel  Yitzhak Rabin (21/12/1993), Benjamin Netanyahu ( 14/3/1997) dan Ehud Barak ( 8/6/1999) mengesakan kebenaran dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membuktikan sikap kepura-puraan Dr Mahathir selama ini.

“Ketika beliau sering tampil dengan imej luaran yang mengambil sikap keras dengan Israel dan memfitnah Anwar sebagai ëpro-Yahudií, secara senyap-senyap beliau mengambil pendekatan berbeza dengan pemimpin Zionis,” beritahu Saifuddin dalam kenyataan medianya itu lagi.

Sebelum ini, Anwar dalam temubualnya dengan akhbar antarabangsa menegaskan kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela termasuk hak  hak untuk mendirikan negara sendiri, tidak dizalimi dan pengiktirafan palestin sebagai negara merdeka.

Bagaimanapun kenyataan beliau itu telah diputar belitkan oleh media-media arus perdana dengan menggambarkan bahawa Anwar adalah penyokong negara zionis itu.

Categories
NASIONAL

BN Perlu Hentikan Sikap Pura-Pura Berhubung Israel

SHAH ALAM, 24 FEB : Kerajaan Barisan Nasional diseru untuk menghentikan sikap hipokrasi dan double standard berhubung isu hubungan dagangan dengan negara haram Israel.

Demikian tegas Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad yang mendakwa penjelasan Kerajaan Pusat berhubung isu kapal Israel yang berlabuh di Pelabuhan Klang tidak boleh diterima sama sekali.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan kononnya negara Malaysia adalah juara memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan kononnya Malaysia tidak ada sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

“Jadi kita sangat terkejut dengan pendedahan kapal Israel yang biasa berlabuh di Pelabuhan Klang,” ujar Khalid sambil menambah alasan anak kapal Israel tidak dibenarkan menjejakkan kaki di pelabuhan sebagai penjelasan ‘main-main’ oleh Kerajaan Umno/BN.

Lebih mengejutkan, Malaysia berada di kedudukan bawah 20 bagi negara-negara yang mempunyai hubungan dagangan dengan Israel, beritahu Khalid dalam sidang medianya pagi tadi.

“Rekod ini adalah berdasarkan laporan yang telah didedahkan oleh beberapa pihak dan ia membuktikan bahawa Malaysia merupakan rakan dagangan yang ‘kuat’ dengan Israel.

“Dan antara produk terpenting ialah minyak kelapa sawit. Saya percaya peneroka-peneroka Felda akan merasa dikhianati kerana tanpa disedari hasil mereka menjadi bahan dihantar ke Israel,” jelas Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam.

Sehubungan itu, Khalid mendesak agar BN menghentikan sikap kepura-puraan mereka berhubung isu Israel-Palestin seterusnya melaksanakan tiga perkara sekiranya benar Kerajaan Pusat menghormati aspirasi rakyat Palestin seperti yang selalu dilaungkan mereka.

“Sekiranya kamu benar-benar tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, maka zahirkanlah dalam tindakan kamu.

“Yang pertama, hentikan kemasukan kapal-kapal Israel melalui perairan Malaysia, kedua hentikan perdagangan dengan Israel dan yang ketiga tamatkan perkhidmatan APCO sebagai penasihat kamu,” tegas beliau

Categories
NASIONAL

Jingga13 : Mukhriz Hipokrit Tentang Hubungan Malaysia-Israel

SHAH ALAM 23 FEB : Aktivis Politik, Jingga 13 menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai hipokrit apabila menafikan kewujudan hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia dengan Israel.

Koordinatornya, Fariz Musa turut mempersoalkan bagaimana urus niaga dan dagangan besar boleh dijalankan secara import dan eksport tanpa sebarang jalinan interaksi daripada dua buah negara.

“Isu rakyat Isreal yang memegang pasport Isreal tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke dalam negara adalah bukan isu utama. Isunya ialah wujud hubungan dagang antara Malaysia – Israel.

“Kenyataan beliau sebagai Timbalan Menteri cukup dangkal dan melucukan seolah-olah beliau dilantik kejawatan tersebut bagi meneruskan legasi hubungan yang telah dibuat antara bapa beliau, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Israel,” katanya dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor.

Semalam, secara rasminya Mukhriz mengeluarkan kenyataan bahawa tidak menjadi satu kesalahan keatas mana-mana syarikat negara ini untuk berurusan dan berdagang dengan syarikat Israel.

Justeru, katanya, kapal-kapal yang dimiliki oleh Israel juga dibenarkan berlabuh di pelabuhan Malaysia untuk tujuan perdagangan tetapi dengan syarat bahawa anak kapal yang memegang pasport Israel dilarang daripada turun ke darat.

Jingga13 dan beberapa kumpulan lain telah mengadakan sebuah demonstrasi di Pelabuhan Klang bagi membantah kehadiran kapal Israel daripada Zim Integrated Shipping Service Ltd (Zim Integrated).

Fariz berkata kenyataan Mukhriz itu bukan sahaja tidak berasas malah bertentangan dengan kenyataan pengurusan Westports, Pelabuhan Klang yang mengakui kehadiran kapal-kapal daripada Israel hanya untuk singgah sahaja.

Mengulas lanjut, Fariz berkata kenyataan tersebut jelas membuktikan pengiktirafan terhadap negara haram Isreal sekaligus menguatkan lagi dakwaan kerajaan Malaysia mempunyai hubungan ‘diplomatik’ yang sudah sekian lama terjalin tanpa sebarang halangan.

“Mukhriz adalah Penyelaras Aman Malaysia yang pernah mengetuai Pasukan Misi Kemanusiaan Gaza Aman Malaysia adakah turut bersifat hipokrit untuk kepentingan politik , sedangkan dalam masa yang sama membantu Israel meningkatkan ekonomi dengan mengizinkan kapal-kapal Israel berdagang dan berniaga di Malaysia.

“Sikap hipokrit kerajaan Malaysia ternyata bertujuan untuk membohongi rakyat negara ini yang mengutuk keras keganasan dan kezaliman Isreal membunuh tanpa perikemanusiaan terhadap umat Palestin.

?Pengikhtirafan Kerajaan terhadap negara Isreal terlalu melampau dan keterlaluan.”

Jingga 13 turut mencabar Mukhiz untuk membuktikan dasar kerajaan yang membenarkan kapal milik Israel yang berpangkalan di Haifa berdagang dan berurusniaga sama ada dengan firma swasta di Malaysia, sedangkan tidak wujud hubungan diplomatik dengan Israel.

Categories
NASIONAL

Dasar Luar Negara Malaysia Berkiblat Amerika-Israel

SHAH ALAM 15 FEB : Kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak konsisten dalam dasar luarnya terhadap Palestin kerana masih ‘tunduk’ kepada dasar Amerika Syarikat dan Israel.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR),Saifuddin Nasution, berkata Malaysia pada Mei 2006 yang menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM) telah membelakangkan kehadiran Dr Mahmoud AlZahar sebagai Menteri Luar sah kerajaan Palestin dan sebaliknya mengiktiraf Farouk Qadummi iaitu Bekas Menteri Luar Palestin (sewaktu kerajaan Fatah sebelum Pilihanraya 25 Januari 2006).

Pada persidangan tersebut Farouk Qadummi dijemput berucap sebagai wakil rasmi kerajaan Palestin.

“Hal ini tidak sukar difahami kerana Perdana Menteri, Ismail Haniyeh dan Dr Mahmoud ALZahar adalah pemimpin Palestin yang mewakili HAMAS yang pada kacamata Amerika Syarikat dan Israel adalah satu kumpulan pengganas.

“Hakikat bahawa HAMAS menang pilihanraya secara bebas dan demokratik tidak sama sekali mengubah pendirian Amerika Syarikat dan Israel terhadap HAMAS yang telah berjaya membentuk kerajaan Palestin yang sah.

“Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS. Adalah menjadi pengetahuan umum Amerika Syarikat dan Israel lebih bersikap lunak terhadap kumpulan FATAH yang tewas pilihanraya,” kata Saifuddin dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang membidas Datuk Seri Anwar sebagai bersikap dua wajah (two-faced) dan menegaskan kononnya Malaysia sentiasa memberi sokongan secara konsisten terhadap perjuangan Palestin.
Menurut Saifuddin, Dr Mahmoud AlZahar yang kecewa dengan layanan Malaysia kemudiannya memulau persidangan NAM tersebut. Beliau menemui pimpinan PAS termasuk Timbalan Presiden ketika itu Ustaz Nasaruddin Mat Isa.

Dr Zahar turut mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menjemput Qaddoumi dan menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kerajaan beliau. Malahan Ustaz Nasaruddin kemudian mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan Malaysia sebagai ‘biadap’

“Insiden tersebut memberikan bukti jelas bagaimana tidak konsistennya dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin. Insiden ini menjadi bukti bahawa dasar luar Malaysia terhadap Palestin sebenarnya berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel terhadap Palestin,” ujarnya.

Tambah Saifuddin,insiden ini mengesahkan Kerajaan Malaysia tidak dapat membezakan antara kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin dengan pemimpin Palestin yang ditolak dan tewas dalam pilihanraya.

“Hanya kerana Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS pada ketika itu maka Malaysia juga akur. Bukankah fakta ini dengan sendirinya menolak kenyataan PM Najib sebaliknya mengesahkan bahawa dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin sebenarnya tidak konsisten,” katanya.