Categories
AGENDA NASIONAL

Mobily edar 16,500 kad sim kepada jemaah Malaysia

SEPANG, 22 JUL: Gergasi telekom Arab Saudi, Mobily, mengedarkan lebih 16,500 kad sim kepada jemaah Malaysia.

Pengurus Saluran Akaun Luaran Mobily, Muhammed Bilal Randhawa berkata, inisiatif untuk memberi kad sim percuma kepada jemaah adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial syarikat berkenaan.

“Kami percaya dalam penjagaan jemaah. Ia bukan hanya tentang perniagaan, ia khidmat istimewa bagi jemaah kerana mereka adalah tetamu Allah.

“Kami pastikan sejak daripada penerbangan pertama, apabila mereka (jemaah) tiba, mereka boleh segera menghubungi keluarga mereka,” katanya kepada media pada ‘Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Jemaah Haji ke Tanah Suci oleh Syarikat Mobily’ di sini hari ini.

Sejumlah 483 jemaah berangkat ke Tanah Suci hari ini.

Muhammed Bilal berkata, kad sim itu mempunyai data percuma 2GB dan liputan datanya mempunyai akses 4G di Makkah, Madinah, Muzdalifah dan Arafah. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

TH nasihat jemaah haji dapatkan bimbingan jika hadapi masalah

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Jemaah haji yang berdepan masalah atau kemusykilan dalam menjalani ibdah umrah dan haji dinasihat mendapatkan bimbingan guru pembimbing disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) di Tanah Suci.

Pengurus Ibadat Madinah TH, Mohd Zamri Ramli berkata, pihaknya menyediakan 12 guru pembimbing di Madinah bagi membantu menjawab serta membimbing jemaah dan mereka boleh terus berhubung atau berjumpa dengan guru pembimbing ditugaskan di zon hotel penginapan masing-masing.

Beliau berkata, ceramah dan sesi ulangkaji mengenai ibadat umrah dan haji juga turut diadakan bagi mengingatkan semula jemaah mengenai ibadah yang akan dijalankan.

“Mereka juga boleh menghubungi talian hotline yang tertera pada tali tanda nama mereka pada bila-bila masa.

“Petugas yang menjaga talian hotline itu akan menjawab setiap kemusykilan terutama ketika jemaah berada di luar serta sedang melakukan ibadah,“ katanya pada sidang media di Madinah yang dikongsikan TH kepada Bernama di sini, hari ini.

Sejumlah 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu tahun ini dibantu oleh 640 petugas daripada TH.

Mohd Zamri, 38, berkata masalah dan kemusykilan ibadah yang paling tinggi diterima pihaknya adalah berkenaan kesihatan wanita seperti permasalahan haid, manakala lelaki turut mengemukakan masalah kesihatan seperti kencing tidak lawas.

“Biasa setiap persoalan itu akan dijawab dengan teliti bagi memberi kefahaman kepada jemaah yang bertanya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kumpulan pertama jemaah haji berlepas ke tanah suci

SEPANG, 4 JULAI: Kumpulan pertama 483 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci pagi ini dengan penerbangan Malaysia Airlines.

Turut serta dalam penerbangan MH8100 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah yang berlepas pada 5.30 pagi itu ialah 13 petugas media yang akan membuat liputan sepanjang musim haji kali ini.

Majlis pelepasan di Kompleks Tabung Haji KLIA itu disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan Haji merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Operasi haji yang membabitkan 30,200 jemaah akan melibatkan 62 penerbangan dengan yang terakhir dijadual berlepas pada 4 Ogos.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Syed Saleh berkata antara cabaran yang perlu ditempuh bakal haji ialah cuaca panas yang boleh mencecah 50 darjah Celcius, terutama ketika berwukuf.

Selain itu, katanya pihaknya turut melakukan beberapa perubahan, antaranya menyediakan pek makanan sedia dimakan atau ‘ready to eat’ bagi kemudahan para jemaah.

Beliau berkata penyediaan pek makanan itu akan memastikan hanya makanan yang baharu dihidangkan kepada bakal haji selain dapat menjimatkan masa dan mengelak pembaziran.

“Makanan jenis ini hanya perlu dipanaskan dengan air panas sebelum dihidang dan ini tentunya boleh mengurangkan pembaziran kerana ia dimasak berdasarkan permintaan atau bilangan jemaah yang ada pada waktu makan tersebut.

“Untuk projek rintis ini, kita sediakan tidak lebih tiga jenis makanan sahaja seperti nasi beriani dan nasi lemak, dan akan ditambah jika mendapat maklum balas memuaskan daripada para jemaah,” katanya.

Sementara itu, dua petugas media yang ditemui menzahirkan rasa syukur kerana niat dan hajat untuk ke Tanah Suci dimakbulkan.

Penulis Khas New Straits Times (NST) Azura Abas berkata beliau baru sahaja mengirimkan doa kepada rakan setugas yang menunaikan umrah pada Januari lepas bagi mendoakan agar dibukakan jalan untuknya ke Tanah Suci.

“Sebulan kemudian, saya dihubungi Pengarang yang memaklumkan saya tersenarai sebagai petugas haji dan selepas membuat pemeriksaan perubatan, saya layak untuk bertugas sepanjang musim haji kali ini.

“Sekian lama saya merindui dan teringin untuk kembali menjadi tetamu Allah dan amat bersyukur diberikan peluang yang tidak diduga ini,” katanya yang pernah mengerjakan ibadah umrah pada 2005.

Bagi Pengarang Berita Kanan (Hal Ehwal Semasa dan Digital) Harian Metro Yusri Abdul Malek pula, pemilihannya merupakan kesinambungan kepercayaan Tabung Haji terhadap syarikat penerbitan itu sebagai rakan media musim haji.

“Sejak 2012, Tabung Haji telah memilih kami sebagai rakan media dan saya bersyukur kerana menjadi wakil ketujuh yang diberi peluang meneruskan kerjasama membuat liputan di Tanah Suci tahun ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor titah jemaah haji kekal imej baik Malaysia 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan jemaah haji supaya mengekalkan imej baik Malaysia dan sentiasa menjaga disiplin seperti tahun sebelum ini.

Baginda bertitah, jemaah haji Malaysia antara jemaah yang berdisiplin dan patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Beta berharap tuan-tuan dan puan-puan terus mengekalkan disiplin diri semasa berada di tanah suci nanti dan menjaga nama baik Selangor dan Malaysia.

“Bersabarlah atas segala kepayahan dan dugaan yang mungkin akan dilalui terutama ketika berada di padang Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Sentiasalah berhubung dengan pekerja-pekerja haji dan mengikuti segala arahan yang dibuat oleh pihak Lembaga Tabung Haji,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Majlis Penyempurnaan Kursus Haji Perdana 1440H/2019M Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Dato’ Sri Zukri Samat.

Menurut baginda, ibadah haji adalah satu perjalanan yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan tentang ibadat haji yang jelas.

Justeru, baginda bertitah supaya para jemaah untuk mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya.

“Sepanjang berada di tanah suci, bersihkan niat dan gunakanlah sepenuh masa serta tenaga tuan-tuan dan puan-puan untuk melaksanakan amal ibadah agar beroleh haji yang mabrur.

“Jangan terlalu leka membuang masa dengan melakukan perkara tidak bermanfaat seperti berbual kosong, membeli-belah dan leka menggunakan telefon bimbit.

“Gunakan setiap waktu yang ada untuk memperbanyakkan ibadat dengan pergi ke masjid untuk berjemaah, perbanyakkan solat sunat, membaca Al-Quran dan berzikir,” titah baginda lagi.

 

Categories
AGAMA NASIONAL

Ribut Arafah: Semua jemaah haji Malaysia selamat

ARAFAH 20 OGOS: Tabung Haji memaklumkan semua jemaah haji Malaysia berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan susulan hujan lebat dan ribut di sini malam tadi.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan di setiap maktab dan terdapat beberapa khemah jemaah haji Malaysia mengalami kerosakan.

Namun katanya, khemah-khemah berkenaan kini dalam proses baik pulih oleh pihak Muassasah Asia Tenggara,.

“Bekalan eletrik disambung semula secara berperingkat mulai pukul 10:45 malam,” kata beliau.

Ribut di Arafah bermula pukul 6:30 petang sehingga 8 malam (waktu Arab Saudi).

Menurut Syed Saleh, semasa kejadian ribut dan hujan tersebut, pihak bomba telah mengarahkan bekalan elektrik ditutup bagi menjaga keselamatan para jemaah haji yang berada di Arafah.

Justeru katanya, waris dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan keadaan jemaah haji Malaysia yang kini berada di Arafah.

Categories
AGAMA GLOBAL

Arab Saudi sasar keselesaan 4.5 juta jemaah, guna sistem elektronik 2030

MEKAH 1 OGOS: Kerajaan Arab Saudi menyasarkan perjalanan haji dan umrah lebih selesa tanpa sebarang kegusaran apabila pengendalian jemaah umrah dan haji yang dijangka mencecah 4.5 juta orang pada 2030 dilakukan secara elektronik sepenuhnya, kata Menteri Haji dan Umrah Dr Mohammad Saleh bin Taher Benten.

Sambil menegaskan keazaman kerajaan negara itu untuk memudahkan jemaah mendapat perkhidmatan sebaik mungkin dalam bidang kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan tempat tinggal, beliau berkata ini selari dengan Visi 2030 Arab Saudi yang diperkenalkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

“Apa yang anda ingin capai adalah dengan mudah alih kerana ia mempunyai semua aplikasi teknikal. Menjelang 2030, semua perkhidmatan Haji akan dikendalian secara elektronik sepenuhnya.

“Penggunaan teknologi akan diperhatikan semasa musim haji tahun ini menggunakan teknologi komunikasi dan menghubungkannya dengan teknologi pintar untuk menyelaras jemaah haji, ” katanya.

Dr Mohammed Saleh berkata demikian kepada 11 editor dari Malaysia, Pakistan, Senegal, Indonesia, Turki and Sudan yang membuat liputan persiapan musim haji di Tanah Suci.

“Kami telah membuat perkembangan yang berkesan dalam memperkukuhkan kemudahan dan perkhidmatan yang menelan belanja AS$30 bilion bagi menampung peningkatan jumlah jemaah setiap tahun. Setiap tahun kami menerima 30 juta jemaah haji dan umrah,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kumpulan pertama jemaah haji tiba di Mekah

MEKAH 23 JUL: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia sudah tiba di Mekah dari Madinah kira-kira pukul 1 pagi waktu tempatan (6 pagi waktu Malaysia) dan menerima sambutan meriah daripada petugas Tabung Haji (TH) di sini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, kumpulan jemaah yang tiba berpakaian ihram itu kemudiannya dibawa menunaikan umrah pada pukul 6 pagi, selepas berehat seketika di bilik masing-masing.

“Alhamdulillah, seramai 478 jemaah haji daripada kumpulan pertama ini selamat tiba di Makkah menaiki 11 bas yang bertolak dari Madinah kira-kira 6 petang waktu tempatan.

“Kebiasaannya, waktu perjalanan dari Madinah ke Makkah mengambil masa empat hingga lima jam, namun setelah mengambil kira waktu berhenti rehat di kawasan R&R (rehat dan rawat) untuk makan dan bersolat, masa perjalanan boleh menjangkau hingga tujuh jam,” katanya yang ditemui semasa majlis sambutan jemaah haji KT01 di Maktab 74 di sini hari ini.

Bagi perjalanan kumpulan pertama itu, beliau berkata, jemaah mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk berhenti makan dan solat maghrib serta isyak di R&R yang ditetapkan pihak TH.

SUMBER: BERNAMA

Categories
AGAMA NASIONAL

Jemaah haji jangan leka dengan gajet semasa di Tanah Suci

MADINAH 14 JUL: Jemaah haji diingatkan supaya tidak terlalu leka dengan telefon bimbit mereka atau gajet-gajet seumpamanya semasa berada di Tanah Suci kerana dikhuatiri akan ‘mencacatkan’ kualiti ibadah haji mereka.

Pembimbing Ibadat Haji bagi 1439H, Ramli Ibrahim menegaskan ibadat haji adalah ibadat yang penghujung dan penggenap kepada Rukun Islam itu dan ia sepatutnya dilakukan dengan sebaik mungkin dan penuh khusyuk.

“Sifat yang digambarkan oleh Allah bagi mereka yang berjaya seperti mana yang dinukilkan di dalam al-Quran, Allah berfirman sesungguhnya orang beriman yang beroleh kejayaan itu adalah orang yang khusyuk pada solatnya, boleh kita kaitkan dengan ibadat (yang akan dilakukan nanti).

“Dalam masa yang sama, Allah mengingatkan supaya tidak terjebak di dalam perkara-perkara yang melalaikan,” katanya kepada media selepas majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat oleh kakitangan Tabung Haji Madinah sebagai persiapan untuk menjalankan tugas di sini hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan para jemaah untuk tidak mencampur-adukkan ibadat haji dengan perkara-perkara yang boleh mengurangkan tumpuan mereka kepada ibadat itu sendiri.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selangor puji usaha Kedah beri insentif haji

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 OGOS: Selangor menyambut baik usaha Kerajaan Kedah menjadikan negeri itu sebagai contoh dalam memberikan sumbangan RM500 kepada jemaah haji, pada tahun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sebagai sebuah negeri maju, Selangor sentiasa ke hadapan dalam pelbagai program membantu rakyat.

“Tindakan Kerajaan Negeri Kedah itu sangat bagus dan memang perlu dilaksanakan selepas melihat usaha Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Yunus berkata demikian mengulas 4,564 jemaah haji Kedah yang berdaftar dengan Tabung Haji (TH) menerima sumbangan ‘one-off’ bernilai RM500 seorang daripada Kerajaan Negeri itu.

Sumbangan kali pertama itu diharapkan dapat meringankan beban dan perbelanjaan jemaah haji di Tanah Suci nanti.

Terdahulu, Kerajaan Selangor memberi insentif kepada 6,127 bakal jemaah haji tahun ini

Insentif berkenaan diwujudkan selepas mendapat persetujuan bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Lembaga Pengarah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Categories
SELANGOR

Jemaah haji disaran manfaat insentif Kerajaan Negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JULAI: Jemaah jaji muassasah di Selangor disaran memanfaatkan peluang insentif ditawarkan Kerajaan Negeri yang diselaraskan di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pemberian insentif khas itu sebagai tanda kepedulian dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat Selangor yang bakal menunaikan haji serta menjadi ‘Tetamu Allah’, pada tahun ini.

Katanya, ia juga bagi meraikan jemaah haji muassasah Selangor bagi tahun ini dengan pemberian insentif khas RM500 seorang.

“Saya mengharapkan supaya para jemaah haji akan dapat mendoakan kesejahteraan dan keamanan kepada pimpinan negeri untuk terus memberi perkhidmatan terbaik.

“Pimpinan yang baik dapat membangun dan memakmurkan Selangor supaya setiap hasil negeri dapat dinikmati bersama rakyat,” katanya dalam kenyataan.

YunusPada masa sama, Ahamad Yunus turut mendoakan keselamatan dan kemudahan di dalam setiap urusan kepada semua jemaah haji, pada tahun ini dan mendapat haji mabrur.

Terdahulu,MBI mengumumkan insentif RM3 juta kepada jemaah haji muassasah Selangor yang bakal menunaikan haji ke Mekah, pada tahun ini.

Jumlah keseluruhan insentif itu ditetapkan berdasarkan makluman Lembaga Tabung Haji berkenaan jumlah jemaah haji muassasah dari Selangor iaitu 6,000 orang.

Categories
SELANGOR

Kisah Malcolm X tunai haji untuk renungan bakal jemaah haji

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 31 JULAI: Seramai 268 bakal jemaah haji di kawasan Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa menerima sumbangan Kerajaan Negeri.

Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakal Jemaah Haji 1437H Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati di sini hari ini.

Sebelum itu, Mohamed Azmin dalam ucapannya sempat berkongsikan kisah seorang pejuang berbangsa Afro-Amerika di Amerika Syarikat, Malcolm X ketika menunaikan ibadah haji suatu masa dahulu.

“Kata beliau (dalam surat yang ditulis di Mekah) di sini terdapat puluhan ribu manusia menunaikan haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia, kulit mereka dari semua warna, dari yang bermata biru berambut perang kepada orang Afrika yang berkulit hitam.

Haji“Mereka semua melakukan ibadah yang sama, menzahirkan semangat perpaduan dan persaudaraan di mana pengalaman saya di Amerika menyebabkan saya berpendirian tidak boleh berlaku antara kulit putih dan kulit hitam.

“Belum pernah saya lihat persaudaraan yang jujur dan sebenar yang diamalkan oleh semua manusia dari semua warna kulit,” katanya.

Jelas Mohamed Azmin, keadaan di Mekah itu amat mengejutkan Malcolm X.

Katanya, selain semangat persaudaraan sesama Islam, jemaah haji turut mengenakan pakaian yang sama iaitu ihram berwarna putih dan tidak berjahit tanpa mengira darjat seseorang.

“Pakaian ihram berwarna putih dan tidak berjahit merupakan lambang kesucian dan kesatuan umat Islam yang bersedia menegakkan syiar Islam,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

4,038 jemaah Selangor terpilih tunai haji

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seramai 4,038 jemaah haji di Selangor terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini.

Pengarah Tabung Haji Selangor, Syawal Abong, berkata bakal haji mula berangkat ke tanah suci dengan penerbangan bermula 4 Ogos dan berakhir 5 September depan.

Katanya, bakal haji Selangor tahun ini kebanyakkannya terdiri daripada bakal haji yang pertama kali menunaikan ibadah haji.

“Daripada 22,320 bakal haji, seramai 4,038 daripada Selangor dan majoritinya adalah jemaah yang pertama kali menunaikan haji.

Makkah in Saudi Arabia“Ia juga membabitkan 47 penerbangan keseluruhan daripada Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Kursus Perdana Haji musim 1437/2016M.

Kursus dianjurkan Tabung Haji bermula 15 Julai hingga 31 Julai diadakan secara berperingkat di seluruh negara.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan penutup kursus.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah.

Sementara itu, bagi Noraida Mohd Noor, 48, menyuarakan rasa gembira kerana terpilih ke tanah suci ketika umur yang masih muda.

Katanya, beliau tidak menyangka terpilih selepas menunggu sejak 2007.

“Tak sangka terpilih jika ikut tawaran tahun depan baru dapat..Alhamdulillah terpilih awal.

“Untuk persiapan tinggal sedikit sahaja lagi. Saya dan suami akan berlepas ke tanah suci pada 7 Ogos depan,” katanya yang berasal dari Semenyih.

Beliau berharap diberikan kesihatan cukup untuk mengerjakan rukun Islam yang kelima itu.

“Ini kali pertama saya untuk ke tanah suci. Umrah pun saya tidak pernah sampai. Saya sangat berdoa untuk diberikan kesihatan yang cukup dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

EZY