Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar kematian individu lengkap vaksin hanya 90 setiap sejuta penduduk

PUTRAJAYA, 9 SEPT: Kadar kematian dalam kalangan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 di Malaysia adalah 0.009 peratus, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kadar kematian bagi individu yang telah menerima vaksin di Malaysia adalah 90 orang bagi setiap sejuta penduduk yang diberi vaksin.

Data ini, kata Khairy, menunjukkan bahawa vaksin berfungsi dan dapat menyelamatkan nyawa, tanpa mengira jenis vaksin.

“Oleh itu, dapatkanlah vaksin dan jangan ragu-ragu bahawa vaksinasi tidak dapat membantu anda,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Mengenai kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID), Khairy berkata sebanyak 2,417 kes BID akibat COVID-19 telah dikesan di seluruh negara setakat Ogos tahun ini dengan 86 peratus daripadanya bukan di bawah pemantauan perubatan.

“Daripada 2,417 kes BID setakat Ogos, hanya 14 peratus berada di bawah jagaan Kementerian Kesihatan, pejabat kesihatan daerah atau klinik swasta,” katanya.

Khairy juga berharap strategi dan usaha mengatasi jumlah kes BID dari mereka yang tidak menjalani pemantauan perubatan dapat ditingkatkan.

“Kami (Kementerian Kesihatan) sedang meneliti… Kami telah mengarahkan Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK) supaya meneliti kes-kes yang tidak berada di bawah pemantauan perubatan untuk mengetahui mengapa hal itu terjadi supaya dapat memberi nasihat kepada orang ramai dengan lebih baik, ” katanya.

—  BERNAMA

 

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

98.4 peratus jangkitan Covid-19 libat kes tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 9 SEPT:  Hanya 1.6 peratus atau 302 kes daripada 19,307 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas adalah daripada kategori tiga iaitu dengan radang paru-paru, empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan bakinya iaitu 19,005 kes atau 98.4 peratus adalah daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua (bergejala ringan).

“Daripada jumlah kes baharu juga, enam adalah kes import melibatkan dua warganegara dan empat rakyat asing manakala 19,301 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 17,125 warganegara dan 2,176 rakyat asing.

“Setakat 12 tengah hari juga, sebanyak 24,855 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 1,657,486 kes iaitu 86.3 peratus,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata jumlah kes aktif di seluruh negara setakat ini ialah 242,802 kes dengan 1,310 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 737 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Khairy berkata 323 kematian turut direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif seramai 19,486 individu terkorban akibat pandemik itu.

“Sebanyak 27 kluster baharu pula dikesan dalam tempoh 24 jam, dengan keseluruhan jumlah kluster yang telah tamat ialah 3,572 dan jumlah kluster aktif sebanyak 1,4450 kluster,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Covid-19: Kematian di Selangor turun mendadak, catat tujuh kes

SHAH ALAM, 23 OGOS: Selangor mencatatkan penurunan mendadak kematian akibat Covid-19 hari ini iaitu tujuh kes berbanding 94 kes semalam.

Menurut kenyataan ketua pengarah kesihatan, negeri ini menduduki tangga kelapan angka kematian menyamai kes di Pahang.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan sebanyak 174 kes kematian dicatatkan di seluruh negara membabitkan 53 kes di Johor diikuti Pulau Pinang (28), Sabah (25) dan Negeri Sembilan (11).

Manakala, masing-masing sembilan kes di Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan diikuti Melaka (enam) dan tiga kes di Sarawak serta Perlis.

Jangkitan baharu wabak seluruh Malaysia hari ini juga terus menurun kepada 17,672 berbanding 19,807 semalam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya 0.03 peratus kematian babit individu lengkap divaksin

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Audit data terbaharu terhadap jumlah kematian akibat Covid-19 di negara ini menunjukkan hanya empat kematian atau 0.03 peratus membabitkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi ciapan Twitter hari ini, katanya, keseluruhan 12,993 kematian direkodkan sejak penularan pandemik dilaporkan dalam negara dengan 80 kematian atau 0.6 peratus hanya menerima satu dos suntikan vaksin.

Dalam tempoh lebih 24 jam sehingga tengah hari semalam, sebanyak lagi 293 kematian dicatatkan akibat Covid-19, menjadikan keseluruhan 13,077 kematian.

Bagaimanapun, tiada penjelasan lanjut mengenai tempoh masa mangsa dijangkiti, terutama dalam kalangan penerima yang lengkap dua dos.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

9,918 kematian akibat Covid-19 direkod tahun ini

SHAH ALAM, 7 OGOS: Sebanyak 9,918 kematian direkodkan di Malaysia sejak Januari hingga hari ini berbanding 471 kematian tahun lalu, menurut ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu 8,615 merupakan kematian di hospital manakala 1,303 lagi kematian sebelum tiba di hospital (BID).

“Sebanyak 8,081 kes (93.8 peratus) kematian di hospital melibatkan warganegara. Bagi kes kematian BID pula, sebanyak 819 kes (62.9 peratus) melibatkan warganegara.

“Manakala 484 kes (37.1 peratus) lagi melibatkan bukan warganegara. Bagi 7 Ogos 2021, terdapat 34
kes BID yang mana 22 kes merupakan warganegara dan 12 kes bukan warganegara,” katanya menerusi kenyataan.

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara hari ini menurun kepada 19,257 kes selepas merekodkan angka 20,000 selama dua hari berturut-turut.

Berdasarkan perkongsian Dr Noor Hisham di Facebook jangkitan di Selangor turut mengalami penurunan kepada 7,084 kes berbanding 8,792 semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

257 lagi korban akibat Covid-19, rekod tertinggi setakat ini

SHAH ALAM, 2 OGOS: Sebanyak 257 lagi kematian akibat Covid-19 dicatat hari ini, paling banyak sejak wabak melanda negara, kata ketua pengarah kesihatan.

Angka kematian tertinggi sebelum ini dilaporkan pada 2 Ogos iaitu 219 kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan pertambahan itu menjadikan jumlah yang maut akibat Covid-19 adalah sebanyak 9,855 atau 0.83 peratus daripada keseluruhan kes.

Pesakit yang meninggal dunia hari ini katanya, membabitkan 226 warganegara dan 31 warga asing.

Selain itu, Dr Noor Hisham memberitahu jumlah pesakit sembuh ialah 12,704 dan kes aktif pula kini mencecah 210,522 kes.

Menurut beliau, jumlah individu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini ialah 1,069 orang dengan 553 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hari ini, Malaysia mencatatkan 19,819 kes baharu Covid-19 dengan 98.1 peratus terdiri daripada kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

Sementara 1.9 peratus pula daripada kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlukan bantuan oksigen) dan lima (kritikal dan perlu bantuan oksigen).

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: 199 kematian akibat Covid-19, tertinggi sejak pandemik

SHAH ALAM, 21 JULAI: Sebanyak 199 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini, angka tertinggi sejak pandemik melanda negara.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu, 173 membabitkan warga tempatan manakala 26 warga asing dengan 157 darinya mempunyai sejarah penyakit.

Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah 166 kematian direkodkan meninggal dunia di hospital manakala selebihnya sebelum tiba di hospital (BID).

Sebelum ini kematian tertinggi direkodkan pada Sabtu lalu dengan 153 kes.

Sementara itu beliau berkata Selangor mencatatkan kematian tertinggi dengan 84 kes melibatkan 45 lelaki serta 39 wanita.

Diikuti Kuala Lumpur (57), Melaka (16), Kedah (12), Negeri Sembilan (tujuh), Johor dan Pahang (enam), Terengganu (tiga), Pulau Pinang, Perak dan Kelantan (dua) manakala Sabah dan Sarawak (satu).

Categories
AGENDA NASIONAL

13 individu antara 107 kematian Covid-19 tiada penyakit kronik

SHAH ALAM, 29 JUN: Seramai 13 individu daripada 107 kes kematian pada hari ini akibat jangkitan Covid-19 tiada penyakit kronik.

Ketua pengarah kesihatan hanya merujuk mereka dengan tanda sengkang (-) pada bahagian latar belakang penyakit senarai kes kematian.

Dalam kenyataan hari ini, rekod Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan kes melibatkan tiga wanita dan 10 lelaki termasuk tiga warga asing.

Mengikut lampiran tersebut, tujuh kematian membabitkan warga emas berusia antara 64 hingga 87 tahun manakala selebihnya antara 42 hingga 58 tahun.

Sebanyak 107 kes kematian dicatatkan iaitu 43 di Selangor, Negeri Sembilan (16), Kuala Lumpur (11), Kedah dan Melaka masing-masing tujuh dan Johor (enam).

Sabah, Kelantan dan Labuan masing-masing merekod empat kematian, dua di Sarawak dan Pahang sementara satu di Terengganu.

Majoriti mangsa mempunyai latar belakang penyakit antaranya jantung, kencing manis, darah tinggi, obesiti, asma dan kanser.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Lebih 40 kematian hidap kencing manis, darah tinggi

SHAH ALAM, 17 JUN: Lebih 40 daripada 60 individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut kematian termuda akibat penyakit itu membabitkan wanita berusia 44 tahun di Hospital Tawau, Sabah.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata selain itu terdapat empat kematian akibat obesiti melibatkan dua lelaki dan dua wanita lingkungan umur 20-an dan 30-an.

Hanya dua negeri merekodkan kematian dua angka iaitu Selangor (20) dan Negeri Sembilan (10).

Johor mencatatkan sembilan kes, masing-masing empat kes di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Kuala Lumpur (tiga),masing-masing dua kes di Sarawak, Melaka, dan Kedah serta masing-masing satu kes di Kelantan, Perak, Terengganu, dan Pulau Pinang.

Jumlah berkenaan menjadikan keseluruhan 4,202 individu maut di seluruh negara akibat wabak sejak lebih setahun lalu.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 25 kluster baharu dengan 20 daripadanya membabitkan kluster tempat kerja. Secara keseluruhan terdapat 2,557 kluster dalam negara sejak pandemik dengan 1,762 kluster telah tamat dan 795 lagi masih aktif.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian: 26,000 kematian akibat Covid-19 menjelang September

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Satu kajian mendapati jumlah kematian berkaitan Covid-19 di negara ini berkemungkinan mencapai 26,000 kes menjelang September berdasarkan trajektori semasa, kata Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Anggaran angka itu sekurang-kurangnya sembilan kali ganda daripada jumlah kumulatif kes kematian terkini iaitu 2,993 setakat hari ini.

Beliau berkata kajian oleh Institute for Health Metric and Evaluation (IHME) University of Washington itu juga menganggarkan kadar kematian harian akan mencecah 200 kes menjelang akhir Ogos.

“Covid-19 bakal jadi punca kedua kematian di Malaysia selepas sakit jantung,” kata pakar penyakit berjangkit itu pada program Sinar Harian yang dihoskan oleh Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaafar yang disiarkan secara langsung hari ini.

IHME dalam laman webnya menyatakan anggaran itu mengambil kira enam pendorong perubahan kematian yang berlaku sejak bermulanya wabak tersebut.

Ini termasuk jumlah keseluruhan kematian yang berkait secara langsung dengan jangkitan Covid-19, peningkatan kes kematian akibat penangguhan penjagaan kesihatan, pertambahan kematian disebabkan peningkatan gangguan kesihatan mental dan jumlah kematian yang menurun kerana kes kecederaan turut menurun disebabkan sekatan pergerakan.

Selain itu, penurunan kematian juga disebabkan pengurangan penyebaran virus lain dan beberapa keadaan kronik seperti penyakit kardiovaskular yang berlaku kepada individu lemah yang boleh membawa maut dengan kondisi itu, meninggal dunia lebih awal disebabkan Covid-19.

Dr Adeeba yang juga Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia menegaskan bahawa memerangi Covid-19 adalah tindakan yang perlu dilibatkan semua rakyat Malaysia dengan sekatan pergerakan yang dilaksanakan pada masa ini menjadi medan peperangan yang sangat penting.

“Kita sepatutnya melihat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk berfikir, buat rancangan strategik dan atur semula. Buat rancangan yang benar-benar boleh dibawa ke hadapan sementara menunggu pelaksanaan vaksin sepenuhnya. Saya tidak fikir kita mampu menghadapi PKP 5.0 pula.

“Pucuk pimpinan juga perlu mengambil tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan rakyat sebab dalam erti kata kesihatan awam, kepercayaan adalah mata wang kepada kesihatan awam…mahu atau tidak, kerajaan perlu mendapat semula kepercayaan itu yang diperoleh semasa PKP sebelum ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Korban sehari Covid-19 cecah 126 kes, tertinggi sejak pandemik

SHAH ALAM, 2 JUN: Jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 meningkat kepada 126 kes, rekod tertinggi sejak penularan pandemik.

Rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Facebook menunjukkan angka korban akibat wabak tersebut kini berjumlah 2,993 kes.

Kematian itu melibatkan 29 orang di Selangor, Kuala Lumpur (18), Negeri Sembilan (14), Kelantan (12),  Johor (11) ,  Kedah  pula 10 orang.

Labuan mencatatkan lapan kematian, masing-masing lima di Melaka dan  Terengganu,  Sarawak (empat), Pahang (tiga), masing-masing dua di Sabah, Putrajaya dan Perak serta  seorang di Pulau Pinang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki usia 20 tahun di Selangor antara 63 kematian akibat Covid-19

SHAH ALAM, 26 MEI: Lelaki berusia 20 tahun antara 63 kematian yang direkod di seluruh negara hari ini akibat jangkitan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Namun, kenyataan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak menyebut sama ada individu yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor itu ada sebarang penyakit.

Kenyataan sama juga menyebut seorang wanita bukan warganegara berusia 25 tahun yang ada masalah obesiti meninggal dunia di Hospital Serdang.

Seorang wanita berusia 30 tahun yang turut mengalami masalah kesihatan sama mati di Hospital Kajang.

Namun, majoriti kes kematian melibatkan individu lanjut usia yang ada penyakit tertentu, antaranya darah tinggi, kencing manis, masalah buah pinggang dan jantung.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 24 kes kematian dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur (sembilan) dan masing-masing lapan di Johor serta Kedah.

Perak pula merekodkan lima kematian, Melaka (tiga), masing-masing dua kes di Sarawak dan Negeri Sembilan serta satu di Sabah dan Pahang.

Sebanyak 2,432 individu maut di seluruh negara akibat jangkitan Covid-19 sejak lebih setahun pandemik melanda negara.