Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 ragut 47 nyawa lagi, tertinggi sejak pandemik menular

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Angka korban akibat Covid-19 di negara ini terus meningkat dengan 47 lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam iaitu angka tertinggi pernah direkodkan setakat ini, sekali gus menjadikan kes kumulatif maut di Malaysia kini 1,994.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata majoriti kes dilaporkan di kawasan Lembah Klang dengan 22 kes melibatkan 18 di Selangor dan empat di Kuala Lumpur, diikuti masing-masing lima kes di Sarawak dan Pulau Pinang; Johor dan Kelantan masing-masing empat; Perak (tiga); Pahang (dua), serta masing-masing satu kes di Kedah dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata kes kematian itu melibatkan 46 warganegara dan seorang bukan warganegara dalam lingkungan umur antara 41 hingga 94 tahun dengan majoriti individu menghidap penyakit kronik.

Sementara itu, dalam tempoh sama kes baharu Covid-19 turut meningkat apabila 4,865 kes direkodkan hari ini berbanding 4,446 kes semalam, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 479,421 kes.

“Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,743 kes diikuti Sarawak (512) dan Kuala Lumpur (477),” katanya dalam satu kenyataan mengenai penularan Covid-19, hari ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA

Dr Noor Hisham berkata Johor pula merekodkan 407 kes diikuti Kelantan (406), Kedah (244), Pulau Pinang (220), Perak (160), Terengganu (156), Pahang (152), Negeri Sembilan (149), Melaka (127), Putrajaya (sembilan), Labuan (enam) dan Perlis (dua).

Beliau berkata kes baharu melibatkan 4,860 kes penularan tempatan dan hanya lima kes import menjadikan kes aktif kini sebanyak 44,827.

Dalam pada itu, jumlah individu yang dirawat dalam Unit Rawat Rapi (ICU) setakat ini ialah seramai 531 kes dengan 277 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata terdapat 19 kluster baharu dikesan hari ini melibatkan tujuh kluster di tempat kerja, lima kluster keagamaan dan empat kluster komuniti.

Bagi kluster pengajian tinggi, kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) serta kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah KPM, masing-masing dikesan dengan satu kluster baharu.

“Kluster di tempat kerja ialah Kluster Jalan Petaling Industri dan Kluster Jalan Besi Satu di Johor; Kluster Utarid Sembilan Belas dan Kluster Jalan Kampung Taib (Selangor); Kluster Dah Helang dan Kluster Dah Arked (Kedah) serta Kluster Bayan Lepas Innoplex di Pulau Pinang.

Kluster keagamaan melibatkan Kluster Jalan Bukit Mutiara di Johor; Kluster Jalan Helang Siput (Kuala Lumpur); Kluster Kampung Kemuning (Melaka); Kluster Jalan Batu Dua (Negeri Sembilan) dan Kluster Banggol (Terengganu),” katanya.

Kluster komuniti pula Kluster Hulu Spaoh dan Kluster Jelang di Sarawak; Kluster Seri Sutra (Perak) serta Kluster Jambu Bongkok (Terengganu) manakala Kluster Jalan Sri Putri Empat, Johor (kluster institusi pendidikan KPM); Kluster Gong Badak, Terengganu (kluster pendidikan tinggi) dan Kluster Jalan Lima Belas di Selangor serta Kuala lumpur adalah kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah KPM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 rekod 26 kematian, tertinggi sejak pandemik

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Jumlah kes baharu Covid-19 di Malaysia dalam tempoh 24 jam menunjukkan penurunan apabila mencatat 3,733 kes selepas dua hari merekodkan kes positif harian lebih 4,000, namun terdapat 26 kes kematian dilaporkan hari ini, iaitu jumlah tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini ialah 440,677, manakala angka keseluruhan kes kematian akibat wabak itu meningkat kepada 1,683 orang.

Beliau berkata pecahan kes baharu merangkumi 3,727 kes penularan tempatan dan hanya enam kes import, sementara jumlah kes aktif kini sebanyak 37,060.

“Kes kematian melibatkan 25 warganegara dan seorang warga asing berumur antara 49 hingga 85 tahun dengan majoritinya mempunyai latar belakang penyakit kronik,” katanya dalam kenyataan rasmi mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Semalam, Malaysia melaporkan jumlah kematian tertinggi dengan 25 kes.

Dr Noor Hisham berkata Selangor masih merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,278 kes diikuti Sarawak (454), Johor (365) dan Kuala Lumpur (338), Pulau Pinang (280 kes), Kelantan (254) dan Negeri Sembilan (205).

Kedah pula mencatatkan 176 kes diikuti Pahang (100), Perak (80), Sabah (61), Melaka (66), Putrajaya (20) dan Labuan dengan enam kes, manakala Perlis hanya satu kes.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 3,211 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh sama menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih kini 401,934, sementara 416 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 216 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan itu turut memaklumkan 13 kluster baharu dikesan hari ini melibatkan lima kluster di tempat kerja, lima kluster komuniti, dua kluster keagamaan dan satu kluster institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kluster di tempat kerja membabitkan kluster Jalan Satu dan kluster Lorong Tiung di Selangor; kluster Tapak Bina Jalan Tun Hussein Onn dan Kopitiam Kampung Selamat di Pulau Pinang serta kluster Kawasan Industri Dua di Johor.

“Kluster Komuniti melibatkan dua di Sarawak iaitu kluster Jalan Stadium Negeri dan kluster Tebedu Mawang; kluster Sri Tualang (Kelantan); kluster Jalan L Sungai Behrang (Perak) serta kluster Lak Lok (Terengganu dan Kelantan).

“Kluster keagamaan ialah kluster Jalan Haji Mahmud (Johor) dan kluster Tanah Merah Keagamaan (Negeri Sembilan) manakala kluster Desa Murni di Pulau Pinang adalah kluster institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rentas negeri tujuan kerja, perubatan dan pendidikan dibenar Isnin hingga Khamis

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata pergerakan rentas negeri melibatkan ketiga-tiga kategori tidak dibenarkan pada hari Jumaat hingga Ahad.

“Polis mengambil serius peningkatan kes baharu Covid-19 sejak empat hari lepas. Usaha untuk mengekang penularan wabak itu telah diperketatkan polis.

“Ini tidak termasuk bagi urusan melibatkan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Acryl Sani berkata untuk rentas negeri bagi tujuan kecemasan dan kematian yang dibenarkan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak serta adik-beradik.

Beliau berkata pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis dan jamuan lain adalah dilarang.

“Aturan ini akan berterusan sehingga selepas Aidilfitri dan mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas,” katanya.

Mengulas ketidakpatuhan tatacara operasi piawai (SOP) oleh pengunjung bazar Ramadan dan pasar malam, Acryl Sani berkata semua Ketua Polis Daerah dan pasukan pemantau SOP akan digerakkan ke semua lokasi untuk membuat pemantauan.

“Sekiranya SOP tidak dipatuhi, polis akan mengemukakan saranan kepada Pihak Berkuasa Tempatan agar aktiviti perniagaan di kawasan terlibat dihentikan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia kembali catat korban Covid-19 harian lebih 400

JAKARTA, 4 APRIL: Indonesia kembali mencatatkan jumlah kematian harian akibat Covid-19 melepasi angka 400, selepas merekodkan 437 lagi kematian dalam tempoh 24 jam.

Menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, jumlah kematian keseluruhan akibat pandemik itu kini meningkat kepada 41,669 orang.

Provinsi Banten mencatatkan jumlah kematian tertinggi bagi tempoh 24 jam iaitu 338 kematian, diikuti 28 kematian di Jawa Tengah, dan selebihnya di provinsi lain.

Jumlah kematian tertinggi setakat ini adalah pada 28 Jan lepas iaitu, sebanyak 476 orang.

Jumlah kes positif di Indonesia kini meningkat kepada 1,534,255 orang, dengan 1,375,877 daripadanya telah sembuh.

Indonesia memulakan program pemvaksinan sejak 13 Januari dan sehingga kini 8.6 juta orang menerima vaksin pertama, manakala lebih 4 juta menerima vaksin kedua.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Noor Hisham bimbang kes kematian Covid-19 meningkat

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan jumlah kes kematian akibat Covid-19 dalam negara sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata setakat sembilan hari dalam tahun baharu ini sebanyak 71 kes kematian akibat pandemik itu direkodkan, berbanding kurang daripada 100 kematian dicatatkan dalam sembilan bulan pertama tahun lepas.

“Kita amat bimbang dengan perkembangan ini dan semoga Allah lindungi kita semua. #Kitajagakita,” katanya menerusi akaun Twitter.

Sembilan jam selepas dimuat naik, hantaran itu menerima 9,334 respon suka dari pengguna Twitter, sebanyak 7,856 kali diulang dan menerima 232 komen.

Seorang pengguna Twitter Ariff Zuber dalam komen maklum balasnya berharap kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh supaya tidak lagi berlaku kes kematian Covid-19.

“Kesian dekat jenazah sebab keluarga tidak boleh hendak bagi mandi untuk kali terakhir dan juga solat jenazah untuk si mati buat kali terakhir,” menurut tulisannya.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 542 kematian atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sebanyak 133,559 kes.

Malaysia merekodkan kes kematian harian tertinggi akibat Covid-19 iaitu sebanyak 16 kematian pada Jumaat lepas.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jumlah kematian kes denggi Selangor menurun berbanding tahun lalu

SHAH ALAM, 3 NOV: Kes demam denggi di Selangor turun kepada 41,179 kes setakat minggu epid ke-44 berakhir 31 Oktober lalu berbanding 60,993 dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman berkata jumlah itu menunjukkan penurunan 32.5 peratus dengan 184 kawasan wabak dikesan.

“Lokaliti wabak denggi aktif membabitkan 16 kawasan titik panas (hotspot), wabak tidak terkawal (lapan), wabak terkawal (151) dan wabak baharu (sembilan).

“Sebanyak 36 kematian dilaporkan dalam tempoh ini iaitu penurunan 28 peratus (14 kes) berbanding minggu sama tahun lalu (50 kes),” katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata masyarakat disaran mengamalkan langkah pencegahan dengan membersihkan sekitar premis dan kediaman masing-masing bagi mengelak pembiakan nyamuk aedes.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan selain menutup takungan air kekal atau meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu turun 354, enam kematian di Sabah

SHAH ALAM, 9 OKT: Enam kes kematian baharu akibat Covid-19 dicatatkan di Sabah setakat 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah terkumpul 152 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kes membabitkan warganegara berusia 54 hingga 68 tahun.

“Empat darinya mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi, asma, batuk kering dan bengkak kelenjat prostat.

“Dua kematian di Hospital Semporna, dua Hospital Tawau dan dua lagi Hospital Queen Elizabeth,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan pertambahan 354 kes baharu wabak hari ini menjadikan keseluruhan kes positif 14,722 dengan 3,863 merupakan kes aktif.

“Hari ini 188 kes disahkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan pulih 10,707 kes.

“Seramai 68 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 25 darinya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 375 kes baharu, lima kematian

SHAH ALAM, 8 OKT: Malaysia merekodkan 375 kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 14,368 kes positif setakat ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah keseluruhan kes positif, sebanyak 3,703 ialah kes aktif dan sedang menerima rawatan.

“Selain itu seramai 60 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi manakala terdapat lima kematian direkodkan hari ini.

“Pesakit yang meninggal berumur 82 tahun, 75 tahun, 57 tahun, 55 tahun dan 53 tahun. Semua mereka mempunyai sejarah penyakit,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Dua kematian, kes baharu turun dua angka

SHAH ALAM, 30 SEPT: Dua kematian akibat Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan maut sebanyak 136, namun kes baharu turun kepada dua angka iaitu 89 berbanding 101 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu, 86 membabitkan penularan tempatan dan tiga jangkitan luar negara.

“Kematian masing-masing satu di Kedah dan Sabah menjadikan jumlah keseluruhan 136 orang.

“Sehingga hari ini, jumlah terkumpul akibat wabak itu ialah 11,224 sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 1,121,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau menambah jumlah kes pulih seramai 28 menjadikan terkumpul 9,967, manakala 16 individu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Indonesia catat 278,722 kes, 10,473 kematian

JAKARTA, 28 SEPT: Indonesia mencatatkan 3,509 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kes keseluruhan di republik itu kini 278,722 kes.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, seramai 131,361 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini itu juga, sebanyak 87 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 10,473 orang.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 71,339 kes, dengan tambahan 898 kes baharu.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 3,138 orang, diikuti Jakarta (1,695), Jawa Tengah (1,397) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes baharu Covid-19 kembali tiga angka, satu kematian

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kes baharu Covid-19 di Malaysia melonjak kepada tiga angka apabila 150 kes direkodkan hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 146 kes jangkitan tempatan melibatkan 124 warganegara dan 22 bukan warganegara serta empat kes import melibatkan tiga warganegara dan satu bukan warganegara.

“Pertambahan kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes 10,919 dengan 950 daripadanya merupakan kes aktif.

“Selain itu sebanyak 50 kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih ialah 9,835 kes atau 90.07 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata negara merekodkan satu kematian menjadikan jumlah keseluruhan kematian 134 kes manakala enam dirawat di unit rawatan rapi.

Categories
AGENDA GLOBAL

Korban Covid-19 global lepasi 900,000, jumlah kes 27.6 juta

NEW YORK, 10 SEPT: Korban Covid-19 global pada Rabu sudah melepasi 900,000 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Jumlah korban kini mencecah 900,079 manakala terdapat lebih 27.6 juta kes di seluruh dunia, menurut data Johns Hopkins University.

Amerika Syarikat kekal negara paling teruk diancam dengan 6,356,310 kes dan 190,649 kematian, menyumbang kepada lebih 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian global.

Brazil mencatatkan jumlah kematian kedua tertinggi di dunia, sebanyak 127,464 diikuti India dengan 73,890 korban.

India baru-baru ini mengatasi Brazil sebagai negara yang merekodkan jumlah kes kedua tertinggi di dunia, melebihi 4.3 juta.

Negara yang mencatatkan lebih 30,000 kematian termasuk Mexico, Britain, Itali, Perancis dan Peru.

-BERNAMA