Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kaji semula sasar pendapatan isi rumah RM10,000, pengangguran tinggi

SHAH ALAM, 28 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kerajaan persekutuan mengkaji semula sasaran purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan pada 2025.

Ketua pembangkang berkata sasaran itu tidak realistik jika dilihat kepada situasi terkini kadar kemiskinan, pengangguran dan pertumbuhan lembap ekonomi negara akibat pandemik Covid-19.

“Sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bunyinya lunak tetapi kita bimbang sasaran tidak realisitik dan tidak mampu dicapai.

“Saya lebih setuju Unit Perancang Ekonomi tekankan keadaan kemiskinan yang sebenar daripada membuat rumusan secara menyeluruh,” katanya ketika membahaskan RMK-12 di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata perdana menteri perlu memberi perhatian berhubung isu 46 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

“Saya ingin bertanya adakah simpanan kurang RM10,000 dalam KWSP akan naik secara mengejut empat tahun akan datang? Saya harap kenyataan ini diberi perhatian lebih,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri semalam, bahawa seramai 10,317 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis pada Mac 2020 hingga Julai 2021.

Malah katanya, dalam tempoh sama kira-kira 1,246 perniagaan ditutup sepenuhnya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Categories
ADN SELANGOR

Ketua pembangkang negeri cadang fasiliti kerajaan jadi pusat kuarantin

SHAH ALAM, 25 OGOS: Ketua pembangkang Selangor menyarankan bangunan milik Kerajaan Negeri di Sabak Bernam dijadikan pusat kuarantin dan isolasi pesakit Covid-19.

Datuk Rizam Ismail turut mencadangkan bangunan lain yang bersesuaian termasuk balai raya, Institut Latihan Jati Diri Selangor dan Hay Resort Sabak Bernam.

“Dari kita belanja untuk bangunan yang tidak tahu akan jadi apa (kemudian), lebih baik kita elokkan fasiliti bangunan yang dah ada dan wartakan.

“Jika jadikan dewan badminton, takraw sebagai pusat kuarantin Kerajaan Negeri kena keluar duit sewa tandas bergerak, katil, dan peralatan lain untuk pesakit,” katanya pada ucapan perbahasan dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Rizam yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar berkata Hay Resort juga boleh digunakan untuk tujuan lain yang bermanfaat jika dibaik pulih.

“Daripada jadi projek gajah putih, lebih baik baik pulih. Bila dah menang lawan virus ini, (resort) boleh beri kepada pemaju untuk lebih bermanfaat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Tawaran taraf menteri kanan cubaan hina rakyat susah

SHAH ALAM, 15 OGOS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap tawaran menjadikan ketua pembangkang setara menteri kanan satu penghinaan ketika rakyat bergelut mendepani pandemik.

Mengakui terkejut dengan tawaran itu, beliau berkata tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sensitif apatah lagi dalam keadaan ekonomi negara yang semakin meleset.

“Saya tidak langsung terfikir ini sebagai munasabah, takkanlah ini boleh dibuat…satu penghinaan orang nak dapat tambahan RM50 ke RM100 sebulan nak cari nafkah untuk anak isteri.

“Sekarang kamu pelawa pula ketua pembangkang tambahan RM40,000 ke RM50,000 dengan segala status. Itu salah, sebab itu saya tegas menolak. Saya kaget dan terkejut sedikit,” katanya dalam siaran langsung di Facebook malam ini.

Anwar berkata pelawaan besar itu timbul setelah perdana menteri menyedari pentadbirannya hampir ‘tenggelam’ akibat hilang sokongan majoriti ahli parlimen.

“Ahli parlimen penting kita dapat peruntukan tetapi nyawa rakyat lagi penting. Rakyat tiada pekerjaan, terpaksa mengemis minta pertolongan itu lebih penting dan wajar dipertimbangkan,” katanya.

Dalam perutusan khas yang disiar secara langsung semalam, Muhyiddin mengakui sebahagian sekutu kerajaan Perikatan Nasional menarik balik sokongan setelah 15 wakil rakyat Umno menolak kepemimpinannya.

Dalam nada terdesak, beliau turut mencadangkan tujuh langkah bagi mencapai “rangka persefahaman rentas parti” yang akan dilaksanakan oleh kerajaan PN jika usul undi percaya terhadapnya diluluskan dalam masa terdekat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin bukan PM sebaik akui tiada majoriti, patut letak jawatan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang kuasa sebagai perdana menteri sebaik sahaja mengakui tidak lagi memiliki sokongan majoriti ahli parlimen.

Berikutan itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata segala usul yang dikemukakan Muhyiddin  tidak lagi munasabah untuk dibincangkan.

“Perdana menteri mengaku hilang majoriti, beliau harus letak jawatan. Dalam keadaan ini tidak munasabah kita beri pertimbangan apa-apa usul yang dikemukakan.

“Usul perlu dikemukakan oleh perdana menteri baharu,” katanya mengulas isu sokongan perdana menteri dalam siaran langsung di Facebooknya malam ini.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata kemelut yang dihadapi kini berpunca daripada kelemahan kerajaan menguruskan pandemik hingga ramai yang terkorban.

“Saya menegaskan berulang kali kelemahan kita untuk memperoleh vaksin cukup dan saya masih yakin jika ada kecekapan dan kewibawaan mempunyai vaksin cukup, kita bleh kurangkan mangsa korban,” katanya.

Dalam perutusan khas yang disiar secara langsung semalam, Muhyiddin mengakui sebahagian sekutu kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik balik sokongan setelah 15 wakil rakyat Umno menolak kepemimpinannya.

Susulan itu, kata Muhyiddin, sebagai perdana menteri beliau mempunyai pilihan sama ada mengundur diri bersama Kabinet atau memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tiada seorang pun ahli parlimen lain yang mampu meraih majoriti sokongan Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri baharu seterusnya membentuk kerajaan.

Dalam nada terdesak, beliau turut mencadangkan tujuh langkah bagi mencapai “rangka persefahaman rentas parti” yang akan dilaksanakan oleh kerajaan PN jika usul undi percaya terhadapnya diluluskan dalam masa terdekat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua pembangkang Selangor desak PM letak jawatan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Ketua pembangkang Selangor menyeru perdana menteri meletak jawatan berikutan Yang di-Pertuan Agong menzahir rasa “amat dukacita” atas pembatalan Ordinan Darurat tanpa sebarang perbahasan di Parlimen.

Rizam Ismail menegaskan kenyataan Istana Negara jelas menyebut kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin “dengan sengaja telah ingkar dan melanggar titah”.

“Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong…jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar dengan maksud Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Rizam juga menyifatkan Muhyiddin melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga ketua Pemuda Umno Selangor menegaskan pandangan mereka selari dengan Pemuda Umno Malaysia.

“…desakan pemecatan perdana menteri ini harus dilakukan demi mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Malaysia dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Pada 29 Julai, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa “amat dukacita” dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar soal kerajaan dolak-dalik isu bidang kuasa Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 26 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibarahim mempersoalkan tindakan berdolak-dalik kerajaan berhubung isu bidang kuasa Kerajaan Selangor dalam tempoh darurat.

Sedangkan sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jelas memaklumkan kuasa terletak pada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sekarang berdalih. Kalau begitu, apakah cadangan kerajaan supaya Selanggor melanggar darurat? Saya nak penjelasan daripada TPM (timbalan perdana menteri).

“Mahukah dia minta Selangor ambil tindakan langgar perintah yang dia umumkan,” kata ketua pembangkang pada sidang khas Parlimen hari ini.

Sebelum ini timbul isu bidang kuasa pihak berkuasa tempatan di Selangor dalam hal menutup kilang bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Peguam Syahredzan Johan berkata, Kerajaan Selangor pernah mendesak operasi kilang yang tidak perlu (essential) ditutup sementara waktu ketika wabak menular tetapi tiada tindakan kerajaan pusat.

Susulan itu pada 14 Julai, EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han memberitahu semua usaha kawalan wabak termasuk tatacara operasi piawai (SOP) tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (atau Akta 342).

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar dakwa ada usaha lengahkan sidang Parlimen

SHAH ALAM, 26 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ada usaha bagi melengahkan pembukaan sidang Parlimen berikutan kegagalan kerajaan menguruskan Covid-19.

Ketua pembangkang kesal kilang dan restoran boleh beroperasi, namun sidang Parlimen untuk membincangkan isu pandemik dalam negara tidak dibenarkan.

“Mengapa untuk mengadakan sidang Parlimen seolah-olah begitu payah dan sukar sedangkan kilang, restoran dan kini ada beberapa Dewan Undangan Negeri juga sudah mula beroperasi?

“Kita juga maklum bahawa ada usaha yang sistematik sedang digerakkan untuk menggunakan pejabat peguam negara dan pejabat speaker Parlimen bagi melengahkan sesi Parlimen di saat kerajaan ini terus gagal mengemudi negara saat wabak,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson menggesa perdana menteri dan peguam negara bersikap konsisten apabila memetik sebarang peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan.

Menurutnya, kenyataan peguam negara berlatarbelakangkan Agong dan Raja-Raja Melayu disifatkan sebagai melampau serta menghina Istana Negara sekali gus mengheret negara ke krisis perlembagaan.

“Perlembagaan menyatakan pengisytiharan darurat dan ordinan darurat mesti didebat serta diundi di Parlimen. Kegagalan PN (Perikatan Nasional) untuk menghormati Parlimen meletakkan Malaysia dalam zon bahaya krisis perlembagaan.

“Saya mengakui negara sedang berdepan kemelut dan ini bukan masa untuk bermain politik. Sekarang adalah masa untuk bersatu-padu dan merungkai serta merencana tindakan yang tuntas. Perlembagaan mesti dihormati, apatah lagi di saat krisis hari ini,” kata Anwar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa percepat beri vaksin, luaskan kelonggaran untuk beli

SHAH ALAM, 6 JUN: Kerajaan digesa mempercepat pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyat berikutan jangkitan wabak semakin merebak ketika ini.

Ketua pembangkang berkata, Putrajaya harus memfokus kepada golongan yang mahu dan sudah mendaftar menerima suntikan vaksin.

“Kamu lambat pesan vaksin, rakyat derita lama, lebih banyak kematian. Sibuk riuh orang antivaksin, golongan ini kecil, bagi dulu yang sudah daftar.

“Tanggungjawab kita menyelamatkan mereka,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi amanat khas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang disiar secara maya hari ini.

Selain itu, Anwar juga meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada mana-mana syarikat yang ada keupayaan membeli sendiri vaksin Covid-19.

“Oleh kerana keadaan darurat, mendesak dan orang maut, maka cepatkanlah berilah kelonggaran. Biarlah dia beli. Buat apa kita nak tangguh sedangkan dia ada  keupayaan,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Hutang berpanjangan lambatkan fasa pulih ekonomi

SHAH ALAM, 5 APRIL: Ekonomi negara akan lebih parah sekiranya masalah hutang yang dihadapi tidak ditangani sebaiknya, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perdana menteri perlu segera mengarahkan pasukan ekonominya fikir strategi baharu bagi meringankan beban rakyat ketika ini.

“Sebilangan besar hutang itu adalah pinjaman perumahan dan kenderaan yang berpunca dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Hutang kad kredit juga mencanak naik dan berada pada tahap merungsingkan.

“Rakyat tidak ada banyak pilihan dalam mendepani masalah ini, dan situasi itu mengheret mereka membuat pinjaman baharu sekali gus terbeban dengan hutang berpanjangan,” kata Anwar dalam kenyataan di Facebook.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) juga melahirkan kebimbangan apabila unjuran positif dibuat Bank Negara berada pada tahap sangat tinggi.

“Angka terkini sebanyak 93.3 peratus. Angka lama iaitu 87.5 peratus yang ditetapkan pada Jun tahun lalu juga sudah keterlaluan tinggi.

“Justeru, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyarankan kita rencanakan dasar baharu bagi tangani masalah kesenjangan, kerana kita tahu beban kewangan saat ini memberi dampak yang cukup parah pada warga miskin dan tersisih,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan lemah, negara luar mungkin peralat untuk keuntungan

SHAH ALAM, 4 APRIL: Kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendorong negara seteru mengambil kesempatan meraih keuntungan dalam keterlibatan dengan Malaysia.

Ketua pembangkang menegaskan hal itu mampu memberi kesan mendalam pada kedudukan Malaysia, ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komen “abang besar” oleh menteri luar juga meninggalkan dampak pada negara antara hubungan Malaysia dan China.

“Kerajaan PN tampaknya telah tersalah langkah dalam banyak hal penting negara dan kadarnya terus memuncak naik.

“Tanpa pengimbangan dari institusi Parlimen dan sikap kebertanggungjawaban pada badan eksekutif, keadaan nampaknya akan terus parah dan terbaru membawa marabahaya pada kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata pemerintah hari ini secara tidak langsung memberi mesej jelas pada dunia luar bahawa Malaysia bukan lagi negara yang berkecuali.

“Percubaan menteri luar untuk menutup kekeliruan yang timbul menampakkan kabinet PN ini mempunyai pemahaman yang lemah terkait diplomasi, strategi, politik Asean dan China,” kata Anwar.

Beliau turut menggesa perdana menteri yang hilang majoriti segera berundur dan kembali pada proses perlembagaan serta tidak menyalahguna pengisytiharan darurat untuk terus berkuasa.

“Melihatkan keadaan PN yang terumbang ambing hari ini, kita bimbang segala keputusan yang dibuat hanya untuk terus menjamin kelangsungan kuasa dan ia berpotensi mengorbankan kepentingan, keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan perlu telus uruskan vaksin termasuk kos

SHAH ALAM, 26 FEB: Kerajaan diminta telus dalam menguruskan isu vaksin termasuk kos pembelian berjumlah RM2.05 bilion, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat perlu mengetahui keseluruhan proses bagi memastikan tiada kebocoran wang serta adanya pihak yang beroleh keuntungan.

“Harus jelaskan secara menyeluruh rancangan mereka. Siapa yang akan terima (vaksin), bila terima, apa kandungan serta kesan penggunaannya.

“Setakat ini kita tidak diberi sebarang jaminan. Menteri yang bertanggungjawab hanya minta ‘percayakan kami’ sahaja,” katanya ketika bersiaran langsung di Facebook malam ini.

Jelas presiden KEADILAN itu, kerajaan dilihat lambat bertindak dalam usaha mendapatkan vaksin berbanding negara lain selain tidak memiliki perancangan yang jelas.

Menjadikan Indonesia sebagai contoh, Anwar berkata republik itu sudah memulakan suntikan seawal Januari lalu malah menetapkan semua 18 juta petugas hadapan disuntik sehingga April.

“Pasukan petugas hadapan kita masih belum dipastikan malah hospital menunggu vaksinasi terhadap kakitangan. Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengambil masa yang lama tanpa membina kepimpinan serta mendidik rakyat.

“Jadi harus ada rencana yang jelas bukan sahaja terhadap suntikan malah kesannya. Kita harus bersedia dari sekarang, buat pengubahsuaian. Kena sedia wabak lain yang akan datang,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar tidak setuju naikkan kompaun ingkar SOP

SHAH ALAM, 3 FEB: Ketua pembangkang tidak bersetuju cadangan menaikkan kadar denda terhadap individu yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penguatkuasaan lebih jelas diperlukan bagi mengatasi isu berkenaan supaya tidak menjejaskan golongan bawahan.

“Tiada masalah jika pihak berkuasa ambil tindakan tegas siapa tidak pakai pelitup muka tetapi bukan sekadar menaikkan kadar denda yang akan menimbulkan situasi dua darjat.

“Naikkan (kompaun) bukan keutamaan tetapi penguatkuasaan harus jelas, jika menteri sendiri tidak ikut SOP dan tidak kena tindakan, rakyat akan kata ada darjat,” katanya melalui siaran langsung Facebook.

Polis sebelum ini berpendapat sudah tiba masanya nilai denda kerana ingkar dan melanggar SOP perintah kawalan dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, Anwar berkata kelewatan bayaran elaun kepada petugas hadapan tidak boleh dimaafkan setelah mereka bertarung nyawa merawat pesakit Covid-19.

Presiden Parti Keadilan Rakyat juga mendakwa kerajaan sehingga kini tidak mempunyai keputusan jelas bagi mengatasi penularan wabak dalam negara.

“Kelemahan kerajaan ialah tiada pendirian sekali gus menimbulkan keraguan banyak pihak. Bukan makna kita perkecilkan usaha mereka tetapi bimbang jika lewat diatasi, isu ini kian gawat,” katanya lagi.