Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa kerajaan segera umum langkah cegah Covid-19

SHAH ALAM, 11 JAN: Kerajaan perlu segera mendedahkan strategi bagi membendung penularan Covid-19 berikutan sistem kesihatan negara semakin tenat.

Ketua pembangkang berkata perancangan tersebut antara lain perlu memastikan ekonomi terus bergerak seiring usaha mencegah penularan wabak.

“Jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia kemungkinan negara merekodkan sebanyak 8,000 kes harian sangat membimbangkan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Town Hall Anak Muda Keadilan (AMK) di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru pada 20 April 2019. Foto BERNAMA

“Saya menggesa setiap kita untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) setiap masa bagi melindungi diri, keluarga, rakan sejawat dan teman dari wabak ini.”

Beliau mengingatkan pemimpin politik untuk meningkatkan disiplin dan keprihatinan kepada rakyat yang tidak menerima layanan istimewa.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada petugas hadapan yang komited menjalankan tugas meskipun terdedah kepada wabak.

“Pengorbanan mereka pada negara dan rakyat tidak kecil nilainya dan wajar disanjungi,” katanya.

Pada masa sama, presiden Pakatan Harapan turut mendoakan kesembuhan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Rina Mohd Harun dan semua yang dijangkiti Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kerajaan tiada upaya bangkit atasi masalah ekonomi

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan tidak berupaya untuk menjalankan tanggungjawab berkesan ketika negara memerlukan anjakan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

Ketua pembangkang berkata walaupun Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini namun perkara itu tidak menambah keyakinan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kelemahan dalam butir belanjawan menyebabkan ahli parlimen pembangkang sebulat suara membantah Rang Undang-Undang (RUU) perbekalan itu.

“Kerajaan PN akan terus berdepan dengan masalah keyakinan dan ini dibuktikan hari ini apabila ia hanya berjaya mempunyai tidak lebih dari 112 sokongan.

“Kerajaan lemah seperti ini akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang berkepentingan dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan,” katanya menerusi kenyataan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata Belanjawan 2021 mencerminkan kerajaan PN hanya mengutamakan hayat politik mereka lebih daripada kebajikan hidup rakyat.

Beliau juga kesal berikutan beberapa ahli parlimen mengundi menyokong belanjawan tersebut meskipun sebelum ini mereka menyuarakan kebimbangan terhadap isu simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), peruntukan besar kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan dana untuk peniaga.

“Oleh kerana kerajaan PN mengaitkan kononnya gaji dan prestasi penjawat awam akan terkesan sekiranya belanjawan tidak diluluskan maka terdapat sejumlah ahli parlimen memilih untuk mendukung belanjawan tersebut.

“…dan sebagai solidariti ke atas jutaan penjawat awam yang turut terkesan di era ekonomi pandemik ini meski belum tentu mereka bersetuju dengan kerajaan PN,” katanya.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Port Dickson berkata kelemahan tatakelola dan prestasi pengurusan kewangan memberi kesan terhadap usaha menarik pelabur.

Katanya penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings baru-baru ini juga menunjukkan lemahnya prestasi pengurusan ekonomi dan tahap tatakelola negara.

“Kita sedang kembali ke era gelap di mana kerajaan akan terus menginjak prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pengurusan dana yang cekap.

“Keyakinan daripada pelabur akan turut terkesan, dan berkemungkinan negara-negara serantau akan meninggalkan kita dalam pelbagai lapangan terutama sektor ekonomi dan pembangunan,” katanya.

Terdahulu, bacaan ketiga Belanjawan 2021 lulus dengan undian belah bahagi menyaksikan 111 setuju, 108 tidak setuju manakala seorang tidak hadir.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar persoal unjuran KDNK 2021 tidak munasabah

SHAH ALAM, 10 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoal unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertambahan hasil yang tinggi tahun depan.

Ketua pembangkang berkata anggaran itu tidak selari dengan pertumbuhan rendah yang dibuat Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Negara Malaysia.

“Justeru, dari mana angka ini (8.6 hingga 9.6 peratus) diperolehi Kementerian Kewangan? Atas pertimbangan apa?” soalanya dalam kenyataan semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan turut mempersoal unjuran cukai korporat dan individu yang disifatkan tidak munasabah.

Menurut Anwar, tindakan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Pencen sebanyak RM10 bilion pada tahun ini dan 2021 tidak wajar untuk menipu angka sebenar hasil negara.

“Kerajaan juga dilaporkan akan menerima hasil bukan cukai sebanyak RM14.046 bilion. Apakah ini melibatkan aset negara atau dijual kepada kroni?

“Apakah ia akan dijalankan secara tender terbuka atau kembali pada amalan lama?” soalnya lagi.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021 tidak tumpu usaha menyeluruh tangani Covid-19

SHAH ALAM, 9 NOV: Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu tidak menumpukan usaha menangani penularan Covid-19 secara menyeluruh, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hanya 5.3 peratus daripada RM322.5 bilion peruntukan diagihkan kepada Kumpulan Wang Covid-19 bagi mengatasi isu tersebut.

Beliau menegaskan kerajaan boleh mengemukakan perbelanjaan defisit susulan situasi pandemik yang semakin membimbangkan di seluruh negara.

“Belanjawan ini tiada yang luar biasa meskipun banyak kali ditekankan untuk membendung Covid-19. Peruntukan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga disorok bawah peruntukan pembangunan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas selepas mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Perkara ini harus diberi penjelasan, mana boleh peruntukan KKM dibuat begitu. Sebab utama (belanjawan) untuk tunjuk tiada defisit bertambah tetapi angkanya mengelirukan,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson turut mempertikai dana pembelian vaksin Covid-19 berjumlah RM3 bilion yang tidak dimasukkan dalam belanjawan.

“Saya usulkan menteri kewangan teliti dan dengar hujah ini supaya hal Covid-19 diberi keutamaan. Kita (Pakatan Harapan) hanya akan sokong jika ia belanjawan untuk Covid-19,” kata beliau lagi.

Belanjawan 2021 memperuntuk RM1 bilion untuk membendung gelombang ketiga Covid-19 melibatkan pembelian kit saringan, sut perlindungan diri dan perolehan peralatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar persoal zon hijau dikenakan PKPB, jejas ekonomi rakyat

SHAH ALAM, 9 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempertikai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri termasuk Selangor.

Ketua pembangkang juga kesal arahan sedemikian dilaksana tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri, malah membabitkan zon hijau.

“(Kerajaan) buat PKPB tetapi Kerajaan Selangor tidak tahu. Hulu Selangor dan Sabak Bernam tidak ada kena mengena (zon hijau) dikenakan PKPB. Langkah ini boleh menjejaskan ekonomi.

“Walaupun kita terima baik sebarang usaha untuk mencegah Covid-19 tetapi isu perintah kawalan perlu dibincangkan kerana ramai yang hilang kerja disebabkan ada sekatan (perjalanan),” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Anwar turut mengingatkan kerajaan supaya lebih telus mengemukakan data berkaitan kes Covid-19 bagi memastikan perintah kawalan tidak berlarutan dalam tempoh panjang.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa berlaku adil dengan mengambil tindakan kepada golongan atasan yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

“Saya tidak pertikai penguatkuasaan tegas tetapi kena jaga supaya golongan atasan tidak terlepas, hanya rakyat yang kena (tindakan).

“Mesti ada ketelusan dan sediakan maklumat telus supaya rakyat yakin. Jangan asyik kenakan PKPB disebabkan tidak boleh (isytihar) darurat,” kata ahli parlimen Port Dickson.

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijadual tamat hari ini disambung sehingga 6 Disember. Ia turut dilaksana di negeri lain kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa sedia dana munasabah atasi gejala kesihatan mental

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan perlu memperuntuk dana munasabah bagi membendung gejala kesihatan mental, terutama dalam situasi ekonomi yang meruncing akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dana mencukupi boleh mendukung kumpulan yang terkesan dengan masalah tersebut meliputi petugas barisan hadapan.

“Jangan kita pinggirkan mereka yang terdedah pada gejala ini dan stigma mesti ditangani sebaiknya. Mereka tidak harus berasa sunyi.

“Malah kita mesti tingkatkan semangat kebersamaan dalam mendukung antara satu dengan yang lain dalam suasana krisis hari ini,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat menjelaskan sebanyak 44 peratus rakyat Malaysia terkesan dengan masalah kesihatan mental sejak Covid-19 melanda negara.

Menurut Anwar, keadaan lebih membimbangkan apabila segelintir pihak berhadapan gejala penderaan di rumah dan tekanan akibat terkurung, selain kehilangan kerja serta sumber pendapatan harian.

“Kanak-kanak juga terdedah dengan gangguan mental sebagai akibat penutupan sekolah yang mengakibatkan aktiviti kokurikulum terhad serta kekangan masa bersama rakan-rakan.

“Apa yang kita hadapi hari ini ternyata suatu yang tidak pernah kita alami sebelumnya dan dampaknya sangat besar tatkala ia meningkatkan kegelisahan, tekanan dan kesunyian dalam kalangan warga yang terpaksa melalui fasa pengurungan dan sebagainya,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendekatan norma baharu atasi kemiskinan, pengangguran – Anwar

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pendekatan ekonomi perlu bersesuaian dengan norma baharu bagi mengatasi masalah kemiskinan penduduk, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penularan Covid-19 juga menyebabkan jumlah pengangguran meningkat dan seharusnya penyelesaian masalah itu dicari.

“Jumlah peruntukan besar..RM28 bilion setahun (ekonomi). Ketirisan juga sangat besar. Setiap tahun Audit Negara (Jabatan Audit Negara) ulang perkara ini.

“Bila buat rumah ada kecurangan..belum lagi bantuan makanan. Jadi hal ini perlu diubah dengan pendekatan baharu kerana ini tanggungjawab kita membantu hidup rakyat susah,” kata Ahli Port Dickson itu ketika Ucapan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar sebelum ini menegaskan masalah kemiskinan gagal dibasmi jika fakta sebenar situasi disembunyikan susulan kadar kemiskinan 0.4 peratus tidak munasabah berbanding dihadapi ketika ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar dipilih semula sebagai ketua pembangkang

SHAH ALAM, 7 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung 18 Mei ini.

Perkara tersebut dimaklumkan presiden KEADILAN itu sendiri ketika siaran langsung di Facebook hari ini.

“Setiausaha Agung PAKATAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah maklumkan perkara tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Keputusan Majlis Presiden PAKATAN juga sudah dimaklumkan kepada semua parti yang bersama pembangkang termasuk sebahagian Bersatu dan Warisan,” katanya.

Istiadat perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 2020 selama sehari akan berlangsung serentak dengan mesyuarat Dewan Rakyat.

Mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, persidangan hanya membincangkan Rang Undang-undang dan Usul Kerajaan tanpa sesi pertanyaan jawab lisan serta usul.

Categories
SELANGOR

Panik tetapi tak hadir, Ketua Pembangkang ditempelak

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 MAC: Ketua Pembangkang, Rizam Ismail ditempelak berikutan tiada di dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Hal ini berikutan Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar itu pada sesi perbahasan sebelum ini mempertikaikan langkah penjajaran program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dilaksanakan Kerajaan Negeri.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Rizam yang seolah-olah panik dengan langkah itu sepatutnya hadir supaya dapat mendengar penggulungan pihak Kerajaan Negeri.

“Nampak panik seolah-olah Kerajaan Negeri tarik macam-macam inisiatif yang ditawarkan, khususnya tentang Insentif Perkahwinan Belia yang ditawarkan.

“Jadi saya nak jawab tetapi Yang Berhormat Ketua Pembangkang tidak ada walaupun nampak panik macam Kerajaan Negeri tidak buat apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memulakan penggulungan perbahasan yang menerangkan dengan panjang lebar kepada DNS terhadap langkah penjajaran program IPR dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Katanya, penjajaran IPR lebih memberdaya dan mampu memberi lebih banyak manfaat kepada golongan sasaran.

Mohd Khairuddin berkata, selepas penjajaran program IPR golongan sasaran menerima sumbangan sebanyak RM6,200 berbanding hanya RM500 sahaja bagi Insentif Perkahwinan Belia sebelum ini.

Katanya, penjajaran dilakukan ini turut fokus dalam usaha memperkasakan institusi kekeluargaan di Selangor.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Sungai Air Tawar dilantik Ketua Pembangkang Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail dilantik sebagai Ketua Pembangkang Selangor.

Pelantikan itu diumumkan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim pada Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan DNS Ke-14 Tahun 2018, di Dewan Annex, di sini.

Suee Lim berkata, pihaknya menerima surat pencalonan jawatan itu daripada Barisan Nasional Selangor, pada 27 Jun lalu.

“Sidang DUN membuat penelitian dan bersetuju memasyhurkan Rizam sebagai Ketua Pembangkang Selangor.

“Saya berharap semua ADN dapat menerima pelantikan ditetapkan dan berharap ketua pembangkang baharu ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik serta tidak meletak jawatan,” katanya.

Sementara itu, Rizam dalam usulnya berkata, beliau mengakui jumlah pembangkang semakin berkurangan sejak 2008, iaitu daripada 12 ADN kepada lima orang sahaja.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah alasan untuk pihaknya tidak membabitkan diri dalam proses semak dan imbang Kerajaan Selangor.

“Kami akan terus menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan Negeri, jika sebelum ini ada perbezaan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan ekoran perbezaan parti, maka selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kita berharap apa yang tidak diselesaikan, akan selesai segera,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bajet Najib gagal faham derita rakyat – Wan Azizah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Bajet 2018 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menggambarkan keperitan dilalui rakyat, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, bajet itu sekadar cubaan bagi meraih populariti undi menjelang Pilihan Raya Umum 14, akan datang.

Lebih mengecewakan kata Azizah lagi, tiada sebarang penumpuan inisiatif baru yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

“Perdana Menteri tidak memahami realiti sebenar kehidupan rakyat kini. Jurang pendapatan rakyat miskin akan semakin melebar dengan lebih banyak lagi masalah akan timbul.

“Contohnya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan menekan kebajikan rakyat dan apa yang diumumkan Najib hanya bersifat pilihan raya semata-mata,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, petang ini.

Wan Azizah berkata, pembentangan Belanjawan 2018 itu juga menyaksikan kegagalan Najib dalam usaha memerangi budaya rasuah dan penyelewengan kewangan melibatkan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Pengumuman Najib hanya bersifat sementara. Sebagai sebuah Kerajaan, Najib seharusnya turut fokus kepada agenda untuk menghapuskan budaya korupsi, ketirisan dan penyelewengan.

“Ia sewajarnya menjadi tumpuan utama dan bukan sekadar memberi gula-gula kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 mendakwa kononnya, bajet berkenaan adalah bersifat inklusif yang mengambil kira kepentingan rakyat dan lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, Bajet 2018 menyaksikan sekitar peruntukan RM280.25 bilion bagi pengurusan perbelanjaan mengurus dan pembelanjaan pembangunan.

Categories
NASIONAL

Pakatan kesal Speaker tolak 10 soalan berkait 1MDB

SHAH ALAM, 23 OKT: Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak lebih daripada 10 soalan anggota parlimen pembangkang hari ini amat dikesali pemimpin Pakatan Harapan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, tindakan itu jelas memperlihatkan cubaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperalatkan institusi parlimen khususnya berkaitan isu skandal 1MDB.

“Ini percubaan terkini kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib menyembunyikan dan menggelapkan situasi sebenar 1MDB daripada umum.

“Ia mengulangi tindakan sama pada sesi sidang yang lalu dengan hampir 30 soalan ahli parlimen berkait skandal 1MDB ditolak dengan alasan tidak munasabah,” katanya dalam sidang media, lapor MalaysiaKini.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin,Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan.

Sementara itu, Johari menyifatkan tindakan Speaker mengkategorikan soalanya yang ingin tahu wang 1MDB berjumlah AS$1.83 bilion sudah dibawa pulang ke negara sebagai ‘rahsia’ amat melucukan.

“Ini lagi lucu. Saya bertanya kepada menteri kewangan sejauh manakah arahan Bank Negara Malaysia (BNM) yang telah batalkan tiga kebenaran diberi kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan untuk pelaburan di luar negara bernilai AS$1.83 bilion dan membawanya balik ke Malaysia telah dilaksanakan.

“Saya tanya itu saja, wang itu dibawa balik atau tidak. Jawapannya, sesuatu pertanyaan itu tidak boleh meminta keterangan berkenaan apa-apa perkara rahsia. Rahsia juga,” kata Johari dengan senyuman.

Susulan penolakan itu juga, ahli parlimen pembangkang mengemukakan usul di bawah Peraturan 99 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menyemak dan menentang keputusan Speaker.

Usul tersebut turut ditandatangani lebih 60 ahli parlimen PKR, DAP, AMANAH, BERSATU dan WARISAN.

Namun, usul itu juga ditolak tanpa alasan.