Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksin kanak-kanak secara sukarela, tiada sekatan jika tidak suntik

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Pemberian vaksin bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) akan dilakukan secara sukarela dan tiada sekatan akan dikenakan untuk kanak-kanak tidak divaksinasi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu bagi membina keyakinan ibu bapa kerana pihaknya sedar masih terdapat ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum berdaftar untuk PICKids.

“Setakat tempahan janji temu dibuka semalam, 15 peratus telah berdaftar. PICKids adalah secara sukarela, untuk memberi masa kepada ibu bapa untuk membuat keputusan yang tepat.

“Saya tahu ramai ibu bapa masih bimbang. Tapi tidak mengapa, kita akan terus berikan maklumat terkini kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan PICKids di Hospital Tunku Azizah di sini hari ini.

Khairy berkata program PICKids untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun itu adalah penting bagi mengelakkan kumpulan itu daripada komplikasi Multisystem Inflammation Syndrome in Children (MIS-C) yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU), kesan Long Covid dan kematian.

Beliau berkata sejak 1 Jan tahun ini, sebanyak 9,413 kes Covid-19 direkodkan melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun yang tidak dilindungi vaksin.

Khairy juga memberi jaminan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk memberikan vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) untuk PICKids dan keputusan dibuat setelah meneliti data klinikal dan real world data dari negara lain seperti Singapura.

“Sebenarnya pihak Food and Drug Aministration (FDA) (Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan) di Amerika Syarikat telah pun luluskan vaksin untuk kanak-kanak Oktober lepas, namun pakar kita ambil masa untuk buat kajian terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan data, didapati pemberian vaksin iaitu satu pertiga daripada dos dewasa, kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun tidak menyebabkan kesan serius sebaliknya kesan biasa seperti demam.

Menyifatkan PICKids sebagai pelengkap akhir kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, beliau berkata KKM menyasarkan pemberian satu dos kepada 70 peratus kanak-kanak di sekolah (usia tujuh hingga 11 tahun) dan 50 peratus untuk keseluruhan 3.6 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

PICKids dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini untuk kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi dan daya tahan imuniti yang rendah di hospital yang merawat mereka.

Selain itu, 1,200 kanak-kanak juga akan menerima vakinasi melalui tempahan temu janji di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Mega di Lembah Klang iaitu World Trade Centre (WTC) dan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur serta Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Khairy berkata PICKids akan diteruskan ke seluruh negara menerusi klinik kesihatan dan sekolah tidak lama lagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dapatkan dos penggalak tanpa janji temu di semua PPV mulai esok

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak Covid-19 secara jumpa terus kepada golongan berusia 18 tahun ke atas, di semua pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara mulai esok.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bagi PPV pengamal perubatan swasta (GP) pula, individu dimohon menghubungi klinik swasta terlibat bagi menentukan masa yang sesuai, untuk mendapatkan janji temu vaksinasi dos penggalak itu.

“Ini bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dapat dipatuhi pada setiap masa, kerana mengambil kira ruang yang terhad di klinik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata individu yang ingin hadir secara jumpa terus, perlu mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap dalam aplikasi MySejahtera, bagi melancarkan proses vaksinasi.

“Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai sijil vaksinasi digital kerana tiada telefon pintar, maka dikehendaki membawa kad vaksinasi fizikal ke PPV,” katanya sambil menambah jenis vaksin diberikan adalah terhad kepada bekalan yang ada di setiap PPV.

Beliau berkata senarai PPV GP serta ‘Offsite’ boleh disemak melalui laman sesawang ‘ProtectHealth’ iaitu www.protecthealth.com.my dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“KKM menjangkakan mobiliti penduduk di dalam negara akan meningkat dan lebih banyak aktiviti sosial atau perkumpulan keluarga akan berlaku, memandangkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Sehubungan itu, KKM amat mengalakkan semua penduduk di Malaysia yang layak, untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti,” tambahnya.

Sehingga semalam, seramai 11,531,403 atau 49.3 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gelombang Omicron bermula, vaksin mampu kawal jangkitan

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Gelombang varian Omicron telah bermula di Malaysia dan dijangka meningkatkan kes jangkitan Covid-19 di negara ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata keadaan itu bagaimanapun mampu dikawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi.

“Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-Sama kita mengatasi gelombang ini,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter malam tadi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan turut meliputi pelaksanaan langkah-langkah kesihatan awam dan liputan ujian kendiri berkala.

“… diharapkan (langkah ini) dapat mengurangkan keparahan kes dan kemasukan ke hospital. Kes akan meningkat dan kita bersama dapat mengurangkan kesan peningkatan serta keparahan jangkitan terutama kepada golongan rentan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada sekatan terhadap kanak-kanak tidak divaksin – menteri

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kerajaan tidak akan mengenakan sekatan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang tidak mendapat vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata golongan itu tidak akan disekat seperti golongan dewasa yang tidak divaksin, kerana Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids), adalah tidak wajib.

Namun menurutnya ibu bapa digalakkan untuk mendaftarkan anak masing-masing di aplikasi MySejahtera (MySJ), demi melindungi mereka daripada Covid-19.

“Daftar anak anda (5-11 tahun) untuk #PICKids di MySJ. Lindungi mereka dari Covid-19,” katanya dalam ciapan terkini di Twitter.

Minggu lalu, Khairy memaklumkan sistem tempahan janji temu pemberian vaksinasi kanak-kanak melalui MySJ akan dibuka pada akhir bulan ini, bermula di Lembah Klang dahulu.

Melalui inisiatif itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan, dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan pada awal Febuari 2022, dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan.

KKM ketika ini mengambil pendekatan tidak membenarkan kebebasan tertentu dinikmati individu yang lengkap divaksin kepada kumpulan antivaksin, yang antara lain ialah kebenaran makan di restoran.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sukat suhu bukan lagi SOP wajib, memadai imbas kod MySejahtera

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju untuk mengeluarkan penggunaan wajib pengimbas suhu daripada tatacara operasi piawai (SOP) kawalan Covid-19 di seluruh negara tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata hanya imbasan kod MySejahtera diperlukan setiap kali memasuki mana-mana premis.

“Kita akan bawa usaha penambahbaikan SOP ini ke mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara), selepas dipinda pada sesi (mesyuarat) kuartet (menteri Covid-19) akan datang, ia (pengimbas suhu) tidak lagi diwajibkan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan tempoh kuarantin bagi pengembara yang telah menerima dos penggalak adalah selama lima hari berbanding tujuh hari sebelum ini, berkuat kuasa 24 Januari.

Beliau berkata pengembara perlu menjalani ujian RT-PCR dijalankan dua hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif Covid-19.

“Ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR dibuat pada hari ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa. Pelepasan kuarantin pada hari kelima jika ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR pada hari keempat atau RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari kelima adalah negatif,” katanya.

Khairy berkata bagi pengembara yang belum menerima dos penggalak tetapi telah lengkap divaksin, tempoh kuarantin adalah selama tujuh hari manakala bagi pengembara yang tiada atau belum lengkap vaksin, tempoh kuarantin adalah 10 hari.

Beliau berkata pengembara akan diberikan digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan tidak lagi dipasang gelang pengawasan biasa.

Namun bagi pengembara dari negara berisiko tinggi yang menjalani kuarantin di rumah, beliau berkata mereka masih dipakaikan gelang pengawasan digital manakala tempoh kuarantin bagi kanak-kanak adalah sama mengikut tempoh ibu bapa atau penjaga yang ada bersama.

Mengulas perkembangan kes klinik mengeluarkan sijil vaksinasi palsu, Khairy berkata kesemua kes yang dikesan membabitkan premis vaksinasi berbayar atau swasta, bukan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Mereka ini didapati membeli vaksin tetapi tidak suntik, sebaliknya mereka buang vaksin tersebut. Polis masih menjalankan siasatan dan KKM akan memberi kerjasama sepenuhnya.

“Kita akan perketatkan SOP supaya kes ini tidak berlaku lagi di luar program kerajaan,” katanya.

Ditanya mengenai dos penggalak, Khairy berkata buat masa ini KKM masih mengekalkan penerima vaksin berusia 60 tahun ke atas dan penerima vaksin Sinavoc berusia 18 tahun ke atas perlu mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya Februari ini bagi mengekalkan status lengkap vaksinasi mereka.

Sementara bagi golongan selain di atas, KKM belum bercadang untuk menjadikan dos penggalak sebagai syarat wajib lengkap vaksinasi, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada bukti kesihatan awam Omicron mampu bina imuniti kelompok terhadap Covid-19

KLANG, 16 JAN: Tidak ada mana-mana pendekatan kesihatan awam dalam dunia yang menyatakan seseorang itu perlu dijangkiti varian Omicron Covid-19 untuk membina imuniti kelompok kepada wabak tersebut.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pendekatan itu juga masih belum dibuktikan kesahihannya.

“Tidak kira varian apa. Omicron ke, Delta, Alpha dan Beta, jangan sengaja nak dapat Covid-19 sebab yang pertama kita tidak tahu kesan wabak itu.

“Yang kedua kita tidak tahu kesan ‘long’ Covid-19. Hari ini mungkin kita kata Omicron ini lebih ‘mild’ daripada Delta jadi kenapa tidak semua dijangkiti dengan Omicron supaya kita dapat imuniti kelompok dan sebagainya. Itu tidak terbukti lagi. Kita tahu Omicron ‘milder’ tetapi ia tidak bermakna yang anda perlu dijangkitinya,” katanya.

Beliau sebaliknya menasihati masyarakat untuk tidak ‘sengaja’ menjangkitkan diri dengan Covid-19 dan terus mendapatkan dos penggalak.

Khairy mengulas berhubung laporan berita pada Khamis yang menyatakan varian Omicron itu mampu membina imuniti kelompok dalam masyarakat disebabkan keadaan transmisinya yang tinggi.

Khairy berkata demikian selepas melancarkan program Inisiatif Mengakhiri AIDS Melalui Kerjasama Pintar Kerajaan-badan bukan kerajaan atau secara ringkasnya GO-NGO Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Beliau berkata 99 peratus daripada mereka yang dijangkiti Omicron di negara ini adalah pada kategori satu dan dua.

Mengulas berhubung statistik jumlah jangkitan Covid-19 harian yang semakin meningkat, Khairy berkata masyarakat diminta supaya tidak menilai keadaan wabak berkenaan berdasarkan statistik itu sahaja.

Jelasnya ia juga perlu dilihat dengan jumlah pesakit positif Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU), yang disifatkannya masih terkawal.

Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut menjangkakan akan berlaku peningkatan kes harian pada bulan ini dan Februari depan, susulan pergerakan masyarakat sejak perayaan Krismas, cuti sekolah, sambutan Tahun Baharu, perayaan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina.

“Jadi jangkaan KKM dalam tempoh masa sebulan dua ini, kita akan melihat sedikit peningkatan tetapi selagi kemasukan ke hospital, ICU berada dalam paras terkawal dan kadar kematian masih lagi menurun, jadi kita masih lagi dalam keadaan terkawal,” katanya.

Beliau berkata keadaan di Selangor juga masih terkawal walaupun negeri itu setiap hari merekodkan jumlah kes tertinggi.

“Antara sebab (kes tinggi di Selangor) adalah kemasukan pintu antarabangsa terletak di negeri itu di mana (pengembara) berdaftar di negeri ini, walaupun bukan orang Selangor,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu positif Covid-19 lengkap vaksin perlu jalani perintah pengasingan tujuh hari

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini berkata perintah pengasingan ke atas kes positif Covid-19 bagi semua jenis varian adalah selama tujuh hari bagi mereka yang telah lengkap vaksinasi dan tidak bergejala.

Sementara bagi kes positif Covid-19 bagi semua jenis varian yang tidak lengkap atau tiada vaksinasi atau bergejala dikenakan perintah pengasingan selama 10 hari.

Beliau juga berkata perintah kuarantin bagi kontak rapat kepada kes positif Covid-19 termasuk jangkitan varian Omicron adalah selama lima hari ke atas individu yang telah mendapat dos penggalak dan tujuh hari bagi individu yang telah lengkap vaksinasi dan yang belum lengkap atau tiada vaksinasi.

“Sekiranya bergejala, lakukan ujian pengesanan jangkitan Covid-19 menggunakan RTK-Ag, sama ada kendiri atau ke fasilti kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut hari ini. Keputusan ujian kendiri hendaklah di masukkan ke dalam MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kontak rapat juga perlu menjalani ujian RTK-Ag sama ada di fasiliti kerajaan atau swasta pada hari kelima (untuk kuarantin lima hari) dan hari ketujuh (untuk kuarantin tujuh hari) dan diberi pelepasan kuarantin pada hari yang sama ujian pengesanan RTK-Ag dijalankan sekiranya keputusan adalah negatif dan tidak bergejala.

Khairy berkata kesemua prosedur baharu pengasingan dan kuarantin itu berkuat kuasa esok dan turut terpakai kepada mereka yang sedang menjalani pengasingan dan kuarantin.

Katanya, ketetapan baharu itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan membuat penilaian semula bagi tempoh pengawasan dan pemerhatian berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kes positif Covid-19 dan kontak rapat kepada kes positif.

Prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai, katanya lagi.

Beliau berkata KKM juga telah meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kes susulan pelaporan kes jangkitan varian Omicron dalam negara.

“Oleh itu, KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum serta mengelakkan gejala jangkitan Covid-19 yang teruk serta komplikasinya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir sembilan juta dos penggalak diberi setakat semalam

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Hampir sembilan juta dos penggalak telah diberikan setakat malam tadi (11.59 malam), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau menjangkakan jumlah itu akan melepasi 10 juta minggu depan kerana kerajaan sedang meningkatkan usaha menggalakkan lebih ramai individu mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Hasil daripada program dos penggalak dipercepatkan, ditambah dengan tatacara operasi piawai (SOP), kapasiti hospital kekal terkawal walaupun terdapat lonjakan kes import Omicron,” katanya dalam ciapan terkini di akaun Twitter beliau.

Mengambil contoh Sarawak, Khairy berkata negeri itu merekodkan kes harian melebihi 3,000 sebelum memulakan program suntikan dos penggalak pada Oktober lepas.

“Kes harian kini sudah menurun kepada dua angka, dengan setiap penunjuk turun melebihi 90 peratus sejak September. Dapatkan dos penggalak,” katanya.

Minggu lepas, Khairy berkata empat pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 mega di Lembah Klang akan mula beroperasi esok untuk menawarkan suntikan dos penggalak dalam usaha meningkatkan kadar pengambilan bagi dos ketiga itu.

Empat PPV mega itu adalah PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), PPV Axiata Arena Bukit Jalil, PPV Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam dan PPV Soka Gakkal, Klang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM siasat 17 individu dijangkiti Omicron tiada rekod vaksin

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sejumlah 17 daripada 122 individu yang dijangkiti varian Omicron setakat 4 Jan lepas didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi COVID-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya sedang menyiasat rekod pengembara dari luar negara yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi sama ada mereka memiliki masalah kesihatan atau sebab lain.

Beliau berkata 10 daripadanya membabitkan warganegara manakala tujuh lagi bukan warganegara.

“Negara import kes Omicron tanpa rekod vaksinasi ini ialah dari United Kingdom dengan empat kes, Nigeria (empat), Emiriah Arab Bersatu (empat) dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat, Australia, Ghana, Ireland serta Arab Saudi,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Khairy, siasatan awal KKM mendapati 122 kes positif Omicron selepas masuk ke Malaysia dengan 14 peratus atau 17 kes tiada vaksinasi.

“Di sini, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana hanya mereka yang divaksin sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan,” katanya.

Khairy juga berkata jumlah kumulatif varian Omicron dalam kes positif COVID-19 yang dikesan di Malaysia adalah sebanyak 245 kes dengan 157 kes atau 64.08 peratus merupakan jemaah umrah.

Beliau berkata susulan itu, Jemaah Menteri semalam telah mengarahkan penangguhan sementara bagi aktiviti umrah selama sebulan bermula 8 Jan ini untuk membolehkan penilaian risiko dijalankan sebelum kebenaran mengerjakan ibadah tersebut dilaksanakan semula.

Katanya KKM bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan akan mengemas kini SOP umrah antaranya pengambilan dos penggalak sebagai antara syarat umrah serta pemantauan status kesihatan jemaah di Arab Saudi.

Pada masa sama, Khairy berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan berbincang dengan ejen pelancongan untuk penjadualan semula umrah manakala Kementerian Pengangkutan menguruskan jadual penerbangan.

“KKM ingin mengingatkan individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman atau rumah agar terus mematuhi arahan tersebut, kekal dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain,” katanya.

Beliau berkata kegagalan mematuhi arahan itu akan menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan komuniti.

KKM juga menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan optimum serta mengelakkan jangkitan virus itu yang teruk serta komplikasinya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan naik 15,000 kes sehari jika tidak tangguh umrah

SHAH ALAM, 6 JAN: Jangkitan Covid-19 dalam negara boleh melonjak kepada lebih 15,000 kes sehari pada Januari dan Februari jika kerajaan tidak menangguhkan sementara ibadah umrah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata penangguhan tersebut meredakan penularan varian Omicron yang kebanyakannya melibatkan jemaah pulang dari Arab Saudi sekali gus mengelak sistem kesihatan negara lumpuh.

“Setakat ini, kita dapati jangkitan Omicron tidak seteruk Delta, tetapi apabila kes naik sampai 30,000 kes, walaupun pesakit hanya kategori 1 dan 2, kemasukan ke hospital akan meningkat.

“Sistem kesihatan kita baru saja nak pulih, berdasarkan kepada data setakat 30 September 2021, ada 57,355 kes tertunggak di hospital dengan 53,785 ialah berdasarkan kes pembedahan manakala 3,570 lagi ialah kes rawatan perubatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan pemulihan perkhidmatan kesihatan awam terjejas sekiranya gelombang Omicron tidak dibendung terutamanya apabila mula menular dalam kalangan petugas barisan hadapan.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dos penggalak: Empat pusat pemberian vaksin beroperasi di Lembah Klang

SHAH ALAM, 6 JAN: Sebanyak empat pusat pemberian vaksin (PPV) dibuka bermula 15 Januari bagi meningkatkan kadar vaksin dos penggalak, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata PPV tersebut beroperasi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, Axiata Arena Bukit Jalil, Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam dan Soka Gakkai Klang.

“Ini akan meningkatkan pemberian dos penggalak di Lembah Klang dan jika ada keperluan serupa di bandar-bandar besar lain, kita akan perluaskan.

“Pemberian dos penggalak dilakukan melalui janji temu yang diberikan menerusi aplikasi MySejahtera atau khidmat pesanan ringkas,” katanya pada sidang media  hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Umrah ditangguh sebulan, perkenal SOP baharu kekang penularan Omicron

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan memutuskan untuk menangguh sementara ibadah umrah selama sebulan bermula 8 Januari susulan penularan varian Omicron, kata menteri kesihatan

Khairy Jamaluddin berkata dalam tempoh penangguhan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan merangka tatacara operasi piawai (SOP)  baharu termasuk perlu mengambil dos penggalak sebelum mengerjakan umrah.

“Selain itu antara tambah baik SOP yang turut dilaksanakan adalah melibatkan pengurusan kes dan kontak rapat di Arab Saudi, pemantauan status kesihatan jemaah di Arab Saudi serta memperkukuhkan tanggungjawab kepada agensi pelancongan.

“Agensi pelancongan mesti memastikan pematuhan SOP jemaah umrah serta melaporkan kes positif dan kontak rapat kes positif,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata KKM melakukan penilaian risiko dari semasa ke semasa sebelum mempertimbangkan semula kebenaran mengerjakan umrah.