Categories
AGENDA NASIONAL

245 kes Omicron dikesan, 12 jangkitan tempatan – Khairy

SHAH ALAM, 6 JAN: Sebanyak 245 kes jangkitan Covid-19 varian Omicron dikesan di Malaysia setakat hari ini, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata daripada jumlah tersebut, 233 kes merupakan jangkitan import manakala 12 kes penularan tempatan.

“Selain itu, sebanyak 157 kes atau 64 peratus daripada semua kes tersebut melibatkan jemaah umrah,” katanya pada sidang media hari ini.

– BERITA LANJUT MENYUSUL

Categories
AGENDA NASIONAL

Kebenaran umrah ditangguh mulai 8 Januari, elak Omicron terus merebak

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari ini bagi membendung penularan varian Omicron Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman yang menyebabkan berlakunya jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

“Kebanyakan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah telah memohon menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh tujuh hari kuarantin. Namun apabila berlaku tidak patuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan, kes-kes positif Covid-19 dalam kalangan jemaah umrah telah menyebabkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

“Ketidakpatuhan kepada prosedur kuarantin di rumah atau tempat kediaman juga telah mendedahkan ahli keluarga serumah atau jiran tetangga dan sanak saudara yang datang menziarah, kepada jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata berikutan situasi berkenaan, satu perbincangan khas telah diadakan semalam bersama beberapa agensi yang terlibat dalam pengurusan jemaah umrah membabitkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji; Kementerian Pengangkutan; Majlis Keselamatan Negara; Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma); Jabatan Imigresen Malaysia dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji.

Ia disusuli dengan Mesyuarat Khas Kuartet yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan cadangan penangguhan ibadah umrah susulan penularan Omicron.

Mesyuarat berkenaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini sehingga suatu tarikh yang dimaklumkan kelak dan tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa hari ini.

Khairy berkata selain itu, turut diputuskan adalah kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Nadma bagi jemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula 3 Januari ini.

“Bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci (Mekah) pada 1 hingga 7 Januari 2022, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan. Mereka bagaimanapun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Nadma apabila tiba di Malaysia.

“Hasil mesyuarat telah diangkat kepada persetujuan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya.

Khairy berkata perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah dari pelbagai negara semasa di Arab Saudi mendedahkan jemaah Malaysia kepada risiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron di mana situasi ini juga menyukarkan jemaah untuk mematuhi SOP Umrah yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

“Bilangan ketibaan jemaah umrah Malaysia yang ramai iaitu kira-kira 800 ke 1,000 sehari (menggunakan empat penerbangan khas) meningkatkan lagi risiko pengimportan kes Covid-19 dan varian Omicron ke dalam negara,” katanya.

Beliau berkata penilaian risiko situasi varian Omicron Covid-19 di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala sebelum keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah dibuat, dan penangguhan sementara itu dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19.

Menurutnya sehingga 30 Disember lepas 11,108 jemaah umrah telah tiba di Malaysia dan 1,306 daripadanya atau 11.76 peratus telah dikesan positif Covid-19 dan daripada jumlah itu, 592 dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia manakala 714 kes dikesan positif pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

Beliau berkata semalam (31 Disember), dua lagi kes Covid-19 disahkan varian Omicron, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah 64 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 32 kes atau 50 peratus dikesan dalam kalangan jemaah umrah.

Katanya 63 daripadanya melibatkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan.

Khairy berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 1,077 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari tempoh 21 sehingga 29 Disember lepas.

“Sebanyak 966 daripadanya telah menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS), dan daripada 966 sampel berkenaan, 750 atau 77.6 peratus melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi.

“Sehingga 30 Disember, terdapat sembilan kluster yang berlaku melibatkan jemaah umrah iaitu lima kluster melibatkan kes-kes indeks yang disahkan varian Omicron, satu kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron – menunggu keputusan Whole Genomic Sequencing (WGS) dan tiga kluster melibatkan kes-kes indeks positif Covid-19 yang bukan varian Omicron,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

55 jemaah umrah Malaysia positif Covid-19, jalani kuarantin di Mekah

SHAH ALAM, 30 DIS:  Kesemua 55 orang jemaah umrah dari Malaysia yang sedang menjalani kuarantin di Mekah, Arab Saudi kerana positif Covid-19 sejak Isnin lalu berada dalam keadaan baik.

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah berkata jemaah terbabit tidak menunjukkan simpton Covid-19 yang teruk dan ditempatkan di bilik hotel berasingan.

Katanya pihak agensi pelancongan yang membawa jemaah umrah itu menyediakan makanan dan minuman tiga kali sehari selain menghantar ubat-ubatan.

“Ujian PCR seterusnya akan dilakukan dalam masa terdekat. Jemaah yang mendapat keputusan negatif akan terus dibeli tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia,” katanya kepada Selangorkini melalui Facebook hari ini.

Terdahulu Wisma Putra ketika dihubungi menyatakan pihaknya berhubung rapat dengan para jemaah umrah terbabit dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah menghantar pasukan bagi memberikan bantuan.

Sementara itu Pengarah Urusan In Saff Travel and Tours Sdn Bhd Mohd Fahmi Mohd Nawi dalam kenyataan berkata pihaknya mempunyai pasukan operasi khas di Arab Saudi yang menyantuni jemaah bermula hari pertama mereka menjalani kuarantin.

“Kami telah memaklumkan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Arab Saudi berkenaan dengan isu ini pada 28 Disember dengan melampirkan maklumat jemaah seperti pasport, visa dan keputusan ujian PCR.

“Marilah sama-sama kita doakan agar jemaah kami sabar dan tabah serta cepat sembuh,” katanya.

Pada 28 Disember lalu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Arab Saudi dimasukkan dalam 18 negara berisiko tinggi jangkitan varian Omicron.

Jemaah umrah yang pulang ke tanah air kini diwajibkan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin.

Sabtu lepas Kementerian Kesihatan mengumumkan sebanyak 62 kes varian Omicron dikesan di negara ini dengan 30 daripadanya membabitkan jemaah umrah.
Categories
AGENDA NASIONAL

Penganjur program hari Keluarga Malaysia dikompaun langgar SOP

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Penganjur program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Kompaun itu dikeluarkan kepada Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri iaitu penganjur program itu yang berlangsung bermula Khamis hingga Ahad ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini berkata kompaun tersebut dikeluarkan kepada pihak penganjur bagi kesalahan gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342).

Susulan itu, katanya kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan di KLCC ditutup serta-merta bermula petang ini.

“Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak PDRM. KKM akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP,” katanya.

Susulan pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Dis lepas, nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi adalah RM1,000.

Menurut Khairy penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan serta semua kementerian dan agensi terlibat, telah dicemari dengan kegagalan penganjur memastikan kepatuhan kepada SOP dan kegagalan pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya penganjuran majlis rasmi kerajaan seumpama itu sepatutnya memberikan contoh terbaik dan menjadi teladan serta penanda aras kepada agensi-agensi lain termasuk agensi bukan kerajaan dalam aspek pelaksanaan program, pematuhan SOP dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

“Kejadian yang berlaku amat dikesali dan mengecewakan apabila pihak penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut akan dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat di samping aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan.

“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, katanya sebagai sebuah kerajaan, mereka seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat di samping berpegang kepada standard sama yang dikenakan ke atas rakyat.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengembara luar negara perlu jalani ujian Covid-19 enam hari

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Pengembara dari luar negara bagi kategori Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara dan darat, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan One Stop Centre (OSC) untuk pelawat perniagaan jangka pendek, perlu menjalani ujian Covid-19 selama enam hari selepas tiba di Malaysia.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keperluan itu berkuat kuasa esok dan merupakan tindakan pengukuhan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada langkah pencegahan dan kawalan sedia ada, bagi mencegah kemasukan dan penularan varian Omicron ke negara ini.

“Pengembara kategori tersebut perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 semasa ketibaan di Malaysia, ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan dan melakukan ujian RTK-Ag (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan.

“Bagi pengembara LITB, mereka perlu menjalani ujian RT-PCR dalam tempoh dua hari sebelum berlepas keluar dari Pulau Langkawi. Semua keputusan ujian perlu dilaporkan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan mengenai tindakan pengukuhan pencegahan dan pengawalan Covid-19 bagi pengembara dari luar negara hari ini.

Selain menetapkan pengembara daripada kategori tersebut perlu lengkap vaksinasi, Khairy berkata mereka juga dikehendaki melakukan ujian RT-PCR dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia, menggantikan prosedur terdahulu yang menetapkan 72 jam sebelum berlepas.

Khairy berkata bagi pengembara dari lima negara yang melaporkan penularan varian Omicron dalam komuniti iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan Norway, mereka juga perlu melakukan ujian RT-PCR dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan perlu memakai peranti pengesanan digital sepanjang tempoh kuarantin wajib.

Keperluan melakukan ujian RT-PCR dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan pemakaian peranti pengesanan digital semasa kuarantin wajib juga terpakai bagi pengembara (warganegara dan pemegang pas lawatan jangka panjang) dari lapan negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara sebelum ini.

Menurut Khairy, tindakan pengukuhan yang dilaksanakan KKM itu akan disemak dari semasa ke semasa.

Sehingga semalam, sebanyak 43 negara telah melaporkan kes Covid-19 jangkitan varian baharu Omicron dengan lapan daripadanya dikenakan sekatan perjalanan sementara bermula 27 Nov lepas melibatkan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM siasat punca jangkitan kes indeks Omicron

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat punca jangkitan kes indeks positif Covid-19 varian Omicron yang dikesan di Malaysia pada Khamis.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata ini kerana kes indeks tersebut telah menjalani ujian saringan Covid-19 prapelepasan sebelum memasuki negara ini dari Singapura dan semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 19 November lepas.

“Kita tidak tahu (kes indeks) dijangkiti di mana dan nilai kitaran ambang (CT value) agak tinggi, maksudnya kalau CT value menghampiri 30 dia boleh dikatakan tidak berapa berjangkit, dekat nak habis jangkitannya, jadi saintis kita sedang melihat apa sebenarnya berlaku,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Luka Global Asia Ketiga 2021 di sini hari ini.

Beliau berkata saringan kontak rapat bagi kes indeks berkenaan masih giat dijalankan dan memaklumkan setakat hari ini jumlah kontak rapat bagi kes tersebut kekal tujuh orang.

Ditanya mengenai laporan kajian di Afrika Selatan yang menyatakan Omicron tiga kali ganda berpotensi mengakibatkan jangkitan semula, Khairy berkata kerajaan perlu memantau perkara itu dan bergantung kepada data lebih jelas dari negara yang mempunyai kadar prevalen varian lebih tinggi.

Beliau memaklumkan maklumat itu akan diperoleh dalam tempoh satu atau dua minggu ini seterusnya mengingatkan orang ramai supaya tidak panik, sebaliknya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta mendapatkan vaksin terutama dos penggalak bagi kumpulan berisiko tinggi.

“Langkah kita adalah antara langkah paling ketat di seluruh dunia. Malaysia ada kadar vaksinasi tinggi, kita ada stok yang cukup untuk dos penggalak dan telah mengoptimumkan kapasiti sistem kesihatan awam sekiranya berlaku kemasukan hospital meningkat,” katanya.

Mengenai langkah mewajibkan dos penggalak vaksin berikutan varian baharu ini, Khairy berkata pihaknya akan mengumumkan keputusan berkaitan perkara tersebut pada minggu hadapan.

Beliau berkata sasaran 75 peratus individu lengkap vaksinasi menerima dos penggalak dijangka dicapai pada Mac 2022, memandangkan pemberian dos penggalak adalah mengikut sela masa tiga hingga enam bulan selepas lengkap dos vaksinasi.

“Kita dah ada (bekalan) vaksin tapi ia mengambil masa sedikit kerana sela masa tiga hingga enam bulan, melainkan kita pendekkan tempoh sela masa tersebut dan sudah pasti kumpulan kerja kita sedang melihat perkara itu,” katanya.

Mengenai beberapa negara telah disenaraikan sebagai negara berisiko tinggi susulan penularan varian Omicron, Khairy berkata buat masa ini kerajaan hanya mengenakan sekatan perjalanan sementara ke atas pengembara dari Malawi, Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Omicron: Tangguh sementara kemasukan pelajar antarabangsa, pekerja asing

PUTRAJAYA, 1 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan beberapa langkah menyekat penularan varian Omicron antaranya menangguhkan sementara kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara-negara yang mempunyai kaitan dengan varian baharu itu. 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementerian turut melakukan sekatan perjalanan sementara ke atas lapan negara dengan Malawi menjadi yang terkini dalam senarai tersebut susulan penularan varian berkenaan.

Beliau berkata pada 26 November lepas, KKM menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dalam senarai sekatan perjalanan sementara.

“Hari ini Malawi tersenarai menjadikan jumlah negara terkini dalam senarai sekatan perjalanan adalah sebanyak lapan negara,” katanya pada sidang media perkembangan semasa varian Omicron dan Covid-19 di Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata sebanyak 20 negara sudah melaporkan pengesanan varian Omicron setakat semalam dan 203 daripada 215 kes varian itu telah dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

“KKM akan menyediakan senarai negara yang melaporkan kes varian Omicron atau berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan varian baharu itu secara harian untuk diedarkan kepada Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Imigresen melalui Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada langkah-langkah kawalan serta pencegahan varian Omicron yang telah dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 semalam.

Khairy berkata kerajaan juga menangguhkan perancangan untuk mewujudkan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan negara yang dikenal pasti melaporkan penularan varian Omicron sehingga gambaran lebih jelas diperoleh mengenai varian itu di peringkat global.

Beliau berkata pengembara yang menyertai VTL udara dan darat Malaysia-Singapura digalakkan untuk melakukan ujian pengesanan Covid-19 kendiri pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan.

Selain itu, Khairy berkata pelancong dari negara yang melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi tidak dibenarkan menyertai program gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi, Kedah.

“Warganegara Malaysia (penduduk Langkawi) yang pulang dari negara melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan Omicron dibenarkan memasuki Malaysia melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin khas.

“Pelancong asing yang disahkan positif COVID-19 varian Omicron akan diisolasi di hospital swasta dan perlu menanggung sendiri kos rawatan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Varian Omicron: KKM pantau laporan WHO, negara lain

KAPAR, 28 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain berkaitan perkembangan Omicron, varian baharu Covid-19.

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata pemantauan berterusan itu akan membantu KKM membuat keputusan bagi meluaskan sekatan pengembaraan terhadap mana-mana negara, sekiranya perlu.

Beliau berkata setiap hari, KKM akan melihat kewujudan varian ini dan sejarah perjalanan pengembara yang disahkan positif dijangkiti varian ini.

“Sekiranya penilaian risiko KKM menunjukkan bahawa risiko sesebuah negara itu sudah meningkat maka kita akan meletakkan negara berkenaan sebagai senarai merah dan mungkin sekatan akan dibuat.

“Setakat ini, tiada kes Omicron dikesan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Perasmian Klinik Kesihatan Kapar semalam.

Pada Jumaat, Khairy mengumumkan pengembara warga Malaysia yang merancang lawatan ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe tidak akan dibenar meneruskan perjalanan mereka.

Beliau berkata ia merupakan inisiatif kerajaan dalam mempertingkat langkah pencegahan dan kawalan sempadan termasuk bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara.

Katanya tiga negara telah melaporkan kes membabitkan varian Omicron iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (empat) dan Hong Kong (dua).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Model operasi Hospital Cyberjaya masih diteliti – menteri

KAPAR, 27 NOV: Kementerian Kesihatan akan membuka permintaan untuk cadangan (RFP) bagi model pengoperasian Hospital Cyberjaya kepada pakar dan juga syarikat-syarikat perubatan swasta, termasuk cadangan bagi perolehan perkhidmatan kepada penduduk Cyberjaya yang layak pada kadar hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata rangka bagi RFP itu telah pun siap dan pihaknya pasti akan mengambil masa untuk meneliti semua cadangan yang akan dihantar.

“Dalam model pengoperasian dalam cadangan itu, kerajaan mungkin akan pertimbangkan perolehan perkhidmatan kepada penduduk Cyberjaya.

“Sekarang ini ada pelbagai model diguna pakai iaitu hospital kerajaan, hospital swasta dan hospital hibrid iaitu ia hospital swasta tetapi kerajaan boleh memperoleh perkhidmatan untuk golongan tertentu mendapat rawatan, itu antara model yang difikirkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Klinik Kesihatan Kapar di sini hari ini.

Pada masa yang sama Khairy berkata Hospital Putrajaya juga akan menambah 250 katil yang akan meningkatkan kapasiti hospital itu dan juga boleh memberi perkhidmatan kepada penduduk Cyberjaya.

Khairy berkata demikian bagi mengulas status operasian Hospital Cyberjaya yang dilakukan secara kerjasama awam-swasta berkonsepkan ‘leasing’ yang diputuskan kerajaan pada 5 Mei lepas.

Mengenai Klinik Kesihatan Kapar, Khairy berkata ia akan mula beroperasi awal tahun hadapan, antara lain menawarkan perkhidmatan Klinik Perubatan Keluarga dengan dua pakar, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Klinik Warga Sihat, Klinik Pergigian, serta dilengkapi kuarters untuk kakitangan.

Selain itu katanya projek Hospital Kapar dijangka akan mula dibina pada tahun hadapan, dan dijangka siap dalam masa empat ke lima tahun akan datang bagi menampung keperluan penduduk sekitar kawasan tersebut, serta mengurangkan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Shah Alam.

Dalam isu lain, katanya sebanyak 528 daripada 2,859 klinik kesihatan atau fasiliti kesihatan kerajaan, dikenal pasti berisiko menghadapi banjir dan Jabatan Kesihatan Negeri diingatkan untuk membuat persiapan dan penilaian risiko, sebagai usaha memastikan jumlah kerosakan dapat diminimakan.

“Kalau berlaku banjir yang teruk dan tidak dapat dielakkan, biasanya klinik yang berhampiran akan mengambil alih perkhidmatan klinik yang terjejas,” katanya.

Khairy juga berkata kos ujian saringan Covid-19 di peringkat sekolah rendah yang perlu dijalankan secara rawak setiap minggu, akan dibiayai Kementerian Pendidikan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Insiden keracunan makanan dalam negara masih terkawal

PUTRAJAYA, 24 NOV: Insiden keracunan makanan dalam negara masih terkawal dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) terus melaksanakan pelbagai program intervensi bagi meningkatkan tahap keselamatan makanan dan mencegah kejadian keracunan makanan, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata menurut data KKM, 288 episod keracunan makanan dilaporkan pada 2020, manakala setakat September 2021 pula 123 episod keracunan makanan dilaporkan.

Berucap pada program Anugerah Pasar Bersih dan Selamat Peringkat Kebangsaan Tahun 2020/2021 sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia hari ini, Khairy berkata KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan bertanggungjawab memastikan makanan dan bahan mentah di pasaran tempatan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

Menurutnya daripada lebih 45,000 sampel makanan dan bahan mentah termasuk daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan di pasaran tempatan yang dianalisis hasil pemantauan KKM dari 2018 hingga Ogos lepas, sebanyak 2,654 atau 5.9 peratus sampel didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Katanya berdasarkan statistik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menjalankan pemeriksaan ke atas 273 pasar awam di seluruh negara pada tahun lepas memandangkan pasar merupakan tempat utama orang ramai mendapatkan sumber bahan mentah.

“Pelbagai punca pencemaran seperti mikroorganisma, kimia dan fizikal boleh berlaku di pasar sekiranya bahan mentah dan makanan tidak dikendalikan dengan bersih dan selamat,” katanya.

Pertandingan Pasar Bersih dan Selamat Peringkat Kebangsaan yang diadakan dengan kerjasama KKM dan KPKT itu melibatkan 21 penyertaan akhir melibatkan 12 calon untuk kategori A iaitu pasar awam di bawah pengurusan persatuan dalam kawasan pentadbiran PBT dan sembilan calon untuk kategori B iaitu pasar swasta di bawah pengurusan pasar raya.

Bagi kategori A, Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur memenangi tempat pertama diikuti Pasar Wirawati, Kuala Lumpur di tempat kedua dan Pasar Besar Tasek Raja, Pasir Mas, Kelantan di tempat ketiga.

Bagi kategori B, Pasar Raya Tesco Lotus Cheng, Melaka merangkul tempat pertama diikuti Pasar Raya AEON Klebang, Ipoh, Perak di tempat kedua dan Pasar Raya AEON Queensbay Mall, Pulau Pinang di tempat ketiga.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM pertimbang Sinovac, AstraZeneca sebagai dos penggalak

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan vaksin Sinovac dan AstraZeneca digunakan untuk suntikan dos penggalak, kata menteri berkenaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perkara itu sedang dibincangkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dalam mesyuarat yang sedang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Antara agenda dalam mesyuarat ini adalah akan mempertimbangkan Sinovac dan AstraZeneca sebagai dos penggalak dan apabila PBKD membuat keputusan saya akan umumkan dasar kita,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau membangkitkan perkara itu bagi menjawab celahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (HARAPAN-Bandar Kuching) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk membolehkan vaksin Sinovac diberikan sebagai dos penggalak terutama kepada penerima vaksin jenis itu.

Bagi mempercepatkan pelaksanaan pemberian suntikan dos penggalak di negara ini, Khairy berkata KKM akan mengembalikan beberapa pusat pemberian vaksin untuk tujuan itu, selain penggunaan klinik-klinik swasta serta perubatan awam.

Menyentuh isu moratorium terhadap kesalahan percubaan bunuh diri, Khairy berkata KKM menyediakan Memorandum Jemaah Menteri berhubung hal itu di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (KK).

“Memorandum ini memohon Jemaah Menteri untuk meluluskan tempoh moratorium segera iaitu tiada sebarang dakwaan sabitan di bawah Seksyen 309 KK bagi kes percubaan bunuh diri sehingga pemansuhan atau pindaan seksyen itu dilaksanakan di Parlimen.

“Memorandum ini telah dipersetujui oleh pihak pengurusan kementerian (KKM) dan dalam semakan unit kabinet KKM untuk dikemukakan pada jemaah menteri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KKM akan menilai semula Garis Panduan Pelaksanaan Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014 kepada golongan kanak-kanak bawah 18 tahun bukan warganegara yang ibu atau bapanya merupakan warganegara atau pemastautin tetap, dalam masa terdekat.

“Berdasarkan garis panduan ini, kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah layak diberikan perkhidmatan kesihatan di fasiliti KKM pada kadar caj warganegara sekiranya bapa atau ibunya adalah seorang warganegara atau pemastautin tetap di Malaysia.

“Buat masa ini, kelayakan ini adalah tertakluk kepada pembuktian dokumen status taraf kewarganegaraan Malaysia kanak-kanak itu seperti dokumen sijil kelahiran Malaysia atau kad pengenalan MyKid atau MyKad yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

4,186 pegawai perubatan dilantik ke jawatan tetap tahun depan

SHAH ALAM, 9 NOV: Seramai 4,186 daripada 10,583 pegawai perubatan kontrak yang tamat perkhidmatan wajib dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilantik ke jawatan tetap tahun depan.

Menteri kesihatan berkata lantikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam membabitkan 3,586 pegawai perubatan dan masing-masing 300 pegawai pergigian serta farmasi, lapor Berita Harian.

“Perkara itu selaras keputusan Jemaah Menteri pada 14 Julai membabitkan pegawai lantikan kontrak yang sudah melengkapkan latihan khidmat wajib dua tahun.

“(Kemudian) disambung dua tahun lagi demi kesinambungan perkhidmatan dan persediaan pengajian kepakaran untuk pegawai terbabit,” kata Khairy Jamaluddin menambah ia menelan kos RM377.48 juta.

Beliau menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung langkah kerajaan menghadapi gelombang kedua Hartal Doktor Kontrak di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 2 November, Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata mogok kedua akan diadakan di seluruh negara berikutan lantikan tetap mereka dalam KKM masih belum selesai.

Rancangan tunjuk perasaan itu hadir selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 yang tidak menyebut lantikan tetap mereka dalam kerajaan.