Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 babit kanak-kanak meningkat 160 peratus

PUTRAJAYA, 17 FEB: Malaysia mencatat peningkatan kes Covid-19 sebanyak 160 peratus dalam kalangan kanak-kanak bagi minggu epid kelima hingga minggu epid keenam tahun ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ia menunjukkan peningkatan dari 6,524 kes pada minggu epid kelima kepada 16,959 kes pada minggu epid keenam melibatkan kanak-kanak dengan usia baru lahir hingga 11 tahun.

“Dari segi pecahan angka, daripada 6,524 kes berkenaan, 2,282 kes adalah kanak-kanak berusia baru lahir hingga empat tahun manakala 4,242 kes ialah kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Bagi 16,959 kes pula, beliau berkata ia melibatkan 6,163 kes dalam kalangan kanak-kanak berusia baru lahir hingga empat tahun dan 10,796 kes melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Merujuk kepada peningkatan kes agak membimbangkan itu, Khairy menyeru agar orang ramai membawa anak masing-masing menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) dan segera menerima vaksin Covid-19 seperti ditetapkan.

Beliau berkata pendaftaran PICKids juga agak rendah dalam negara dengan angka belum mencapai sejuta pendaftaran.

“Saya juga memohon kerjasama majikan untuk membenarkan pekerja mereka membawa anak untuk janji temu vaksinasi,” katanya.

Menjawab kebimbangan orang ramai mengenai peningkatan kemasukan kes Covid-19 ke hospital, Khairy berkata biarpun angka kes meningkat, vaksin Covid-19 menunjukkan keberkesananan yang baik dalam melindungi individu daripada jangkitan lebih teruk.

Memberi contoh kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam (16 Februari) iaitu sebanyak 1,269 kes, beliau berkata 428 kes atau 33.7 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 841 kes lagi atau 66.3 peratus adalah pesakit kategori satu dan dua.

Bagi kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima dilaporkan semalam juga, katanya antara 75 kes yang dilaporkan adalah sama ada tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan telah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum menerima dos penggalak.

Beliau turut menjelaskan antara sebab pesakit Covid-19 kategori satu dan dua dimasukkan ke hospital adalah kerana isu medical emergency antaranya menghidap penyakit komorbid tidak terkawal, baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit tidak terkawal, kes obstetrik yang memerlukan pemantauan rapi dan keadaan rumah kurang sesuai.

Bagi kes melibatkan kanak-kanak pula, ia disebabkan kekurangan air dalam badan, demam berpanjangan dan kelesuan, mempunyai penyakit kronik dan juga disebabkan tiada penjaga.

Berikutan gelombang Omicron yang aktif, Khairy juga menyarankan majikan untuk mengelakkan urusan pekerjaan secara fizikal seperti mesyuarat dan perjumpaan, sebaliknya menggalakkan konsep bekerja dari rumah.

Mengenai perkembangan dos penggalak Covid-19, beliau turut menyarankan agar individu yang masih belum mendapat janji temu dos penggalak untuk terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan dan menerima vaksin mereka.

Berdasarkan data di laman web CovidNow setakat semalam, sebanyak 13,607,475 atau 57.8 peratus populasi dewasa dalam negara menerima dos penggalak Covid-19; sejumlah 22,940,521 individu atau 97.5 peratus telah lengkap vaksinasi, manakala 98.7 peratus atau 23,217,374 menerima sekurang-kurangnya satu dos.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak rakyat bimbang, kes harian tidak lagi diumumkan berasingan mulai petang esok

SHAH ALAM, 17 FEB: Laporan statistik kes harian Covid-19 tidak lagi diumumkan berasingan mulai petang esok, sebaliknya dimaklumkan bersama data lain pada jam 10 pagi keesokannya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata langkah itu bagi memastikan keseluruhan data diperincikan dengan lebih menyeluruh seperti penggunaan katil dan bilangan pesakit di unit rawatan rapi.

“Bermula esok, bilangan kes harian Covid-19 tidak lagi akan diumumkan pada petang hari tersebut, ia akan diumumkan bersama data lain pada jam 10 keesokan harinya,” katanya dalam sidang media hari ini.

“Ini supaya kita boleh melihat data kes harian bersama data lain seperti kadar kemasukan ke hospital untuk mengurangkan faktor ketakutan mengenai bilangan kes harian.”

Dalam pada itu, Khairy berkata tatacara baharu bagi pengasingan kontak rapat akan diumumkan minggu depan berikutan ia kerap berlaku akibat peningkatan kes ketika ini.

Jelasnya, keputusan itu berdasarkan protokol yang diguna pakai dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam ketika ini iaitu kakitangan tidak perlu menjalani isolasi jika tiada gejala.

“Apabila ini berlaku (isolasi), ia menyebabkan gangguan kepada ekonomi dan pengurusan kerja yang sangat ketara,” katanya lagi.

*Nota editor: Tajuk dan beberapa perenggan telah dikemas kini

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dos penggalak bantu cegah gejala teruk, turunkan kes ICU 90 peratus

SHAH ALAM, 17 FEB: Pengambilan vaksin dan dos penggalak berkesan untuk melindungi individu daripada jangkitan Covid-19 yang lebih teruk, kata menteri kesihatan.

Ia terbukti apabila bilangan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan kes kematian menurun antara 80 hingga 90 peratus berbanding Ogos tahun lalu, jelas Khairy Jamaluddin.

“Justeru, masyarakat diminta mengambil dos penggalak, bukan jaminan untuk tidak dijangkiti tetapi ia membantu mencegah gejala serius akibat jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata sebanyak 24 kes atau 24.7 peratus dalam kategori 3, 4 dan 5 (gejala serius) yang dilaporkan semalam tidak divaksinasi atau belum lengkap suntikan.

Manakala 51 kes atau 52.8 peratus lengkap dua dos tetapi belum menerima suntikan penggalak, namun berisiko kerana tahap imuniti terhadap Covid-19 menurun.

Khairy berkata kenaikan kes ketika ini turut dialami negara lain susulan penularan varian Omicron yang lebih pantas selain peningkatan pergerakan penduduk dalam kegiatan sosial dan ekonomi.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memberi jaminan bahawa kami membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang datang bersama gelombang Omicron ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Akta baharu larang aktiviti merokok akan diperkenal – menteri

PUTRAJAYA, 17 FEB: Akta baharu akan diperkenalkan bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 atau dikenali sebagai Generational End Game, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pengenalan akta baharu tersebut akan dapat mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser.

Beliau juga berkata kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok dianggarkan RM132.7 juta.

“Bermakna jika anda berumur 17 tahun dan Parlimen meluluskan akta itu, anda tidak lagi dapat membeli sebatang rokok di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Kanser Peringkat KKM secara maya hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata terdapat peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus di negara ini iaitu 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

Beliau berkata dianggarkan setiap seorang daripada 10 lelaki dan setiap seorang daripada sembilan wanita berkemungkinan akan mendapat penyakit kanser.

Tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia dalam kalangan lelaki ialah kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), paru-paru (14.8 peratus) dan prostat (8.1 peratus).

Sementara dalam kalangan wanita adalah kanser payudara (33.9 peratus), dikuti dengan kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

Menurut Khairy, kematian akibat kanser merupakan sebab utama kematian di hospital-hospital swasta iaitu 34.95 peratus dan sebab kematian keempat di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 11.56 peratus.

Khairy berkata pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM137 juta untuk Perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi dan jumlah tersebut tidak termasuk kos lain seperti pengimejan dan makmal untuk pengesahan diagnosa, pembedahan dan anesthesiologi, rehabilitasi dan perkhidmatan paliatif.

Pada sambutan Hari Kanser Peringkat KKM itu, Khairy turut melancarkan buku National Strategic Plan for Cancer Control Programme (NSPCCP) 2021-2025 dan buku National Strategic Plan for Colorectal Cancer (NSPCRC) 2021-2025.

Menurutnya, NSPCCP 2021-2025 mengandungi sasaran serta strategi bagi semua aspek kawalan kanser yang merangkumi Pencegahan, Pengesanan Awal, Diagnosa, Rawatan, Rehabilitasi, Penjagaan Paliatif, Rawatan Tradisional & Komplimentari (T&CM), Surveilan & Pemantauan (Registri Kanser), Penyelidikan dan Sumber Manusia.

NSPCRC 2021-2025 pula adalah subset daripada NSPCCP 2021-2025 dan merupakan pelan tindakan kanser kolorektal bagi peringkat KKM untuk mengawal kanser kolorektal, kanser kedua penting di Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP, Khairy arah KKM kompaun Hishammuddin, pemimpin BN

JOHOR BAHRU, 13 FEB: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengeluarkan kompaun ke atas penganjur Majlis Pelancaran Briged MIC di Stadium Educity, Iskandar Puteri hari ini, kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19.

Turut berdepan tindakan kompaun Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad dan Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran.

Perkara itu diumumkan Khairy menerusi akaun Twitter rasmi beliau.

“Saya telah mengarahkan pegawai @KKMPutrajaya untuk keluarkan kompaun kepada DS Hishammuddin, DS Hasni, TS Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir & penganjur di bawah Akta 342.

“@KKMPutrajaya akan terus pantau SOP sempena PRN Johor,” menurut ciapan beliau.

Ahli Parlimen Rembau itu turut berkongsi pautan sebuah portal yang memuat naik video majlis berkenaan.

Difahamkan, majlis itu bermula pada 5.20 petang dan dianggarkan 3,000 hadir pada majlis berkenaan.

Ini adalah kali pertama pemimpin parti politik dan penganjur dikenakan kompaun sempena PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Apa sahaja vaksin penggalak lebih baik dari tiada, kata menteri

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan penggunaan vaksinasi dos pengalak Pfier-BioNTech atau AstraZaneca untuk Covid-19, namun mana-mana vaksin penggalak adalah lebih baik daripada tidak mengambilnya, kata Menterinya Khairy Jamaluddin hari ini.

Dalam ciapan di akaun Twitternya beliau berkata walaupun KKM menyarankan dos penggalak Pfizer atau AstraZeneca untuk memberi tambahan perlindungan yang terbaik, ada masyarakat yang masih meminta pilihan.

“Tetapi mengambilnya adalah lebih baik daripada tidak mengambilnya,” katanya sambil berkongsikan kenyataan dikeluarkan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd hari ini, yang menyatakan vaksin Sinovac akan ada di semua pusat vaksinasi Offsite (PPV Offsite) di bawah Program Imunisasi Covid-19 (PICK) secara percuma bermula Isnin.

Mengikut kenyataan ProtechHealth itu, mereka yang layak untuk mendapatkan dos penggalak dan mahu mendapatkan vaksin jenis Sinovac boleh melihat kepada senarai PPV Offsite di laman sesawang ProtectHealth: www.protocthealth.com.my.

“Bagaimanapun KKM masih menyarankan dos penggalak Pfizer kepada penerima Sinovac, kerana ia menawarkan perlindungan yang lebih tinggi,” menurut kenyataan ProtectHealth itu.

Sebelum ini, Khairy berkata penerima vaksin dos primer Sinovac kini boleh memilih jenis vaksin yang sama untuk dos penggalak mereka. Keputusan itu disebabkan keengganan penerima vaksin Sinovac untuk mengambil dos penggalak dari jenis yang berbeza, seperti Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

Khairy juga dilaporkan sebagai berkata terdapat 3.5 juta penerima dos primer Sinovac yang masih belum menerima dos penggalak mereka, dan KKM akan mengeluarkan janji temu untuk mereka.

Sementara itu dalam satu ciapan berasingan pagi ini, Khairy merakamkan ucapan tahniah kepada Sarawak dan Melaka, kerana peratusan tinggi bagi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

“Tahniah kepada Sarawak dan Melaka, kerana laju memberi perlindungan kepada kanak-kanak. Terima kasih kerana memastikan anak-anak anda selamat dari Covid-19,” katanya.

Infografik bersama ciapan tersebut menunjukkan 7.7 peratus kanak-kanak di Sarawak dan 6.0 peratus kanak-kanak di Melaka, sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19 setakat Jumaat 11 Februari.

Ini diikuti Lembah Klang dengan 5.8 peratus, Negeri Sembilan (3.3), Perlis (2.2), Labuan (1.8), Sabah (1.5), Kedah (1.2). Perak (0.6), Terengganu (0.5) dan Pulau Pinang (0.4).

Dua negeri dengan peratusan terendah vaksinasi untuk kanak-kanak ialah Johor dan Pahang, yang masing-masing mencatatkan kadar liputan vaksinasi PICKids 0.1 peratus sementara di Kelantan peratusannya adalah 0.

Berdasakan infografik yang sama, kategori umur kanak-kanak yang paling banyak mendapatkan vaksinasi Covid-19 ialah 10 dan 11 tahun.

Kadar vaksinasi PICKids dilihat mula menunjukkan trend peningkatan sejak 9 Februari sehingga semalam, dengan 97,975 kanak-kanak sudah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes rawatan tertunggak bukan Covid-19 di hospital berkurang 33.8 peratus

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya mengurangkan kes rawatan tertunggak bukan Covid-19 di hospital kerajaan sebanyak 33.8 peratus dalam tempoh yang singkat setelah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pembedahan secara besar-besaran sejak akhir tahun lepas.

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata sebelum itu, terdapat sejumlah 57,355 kes tertunggak bukan Covid-19 yang terdiri daripada 53,785 kes berasaskan surgikal dan 3,570 kes berasaskan perubatan dilaporkan pada 30 September 2021.

“Dengan beberapa inisiatif termasuk prosedur pembedahan secara besar-besaran yang dilakukan secara ‘bergotong-royong’ oleh KKM bersama dengan hospital swasta, jumlah kes ini telah dapat diturunkan sebanyak 19,392 kes atau 33.8 peratus kepada 37,963 kes pada 31 Disember 2021.

“Jadi melihat kepada ini, kita akan berusaha lagi mengurangkan angkanya dengan terus melaksanakan inisiatif sama di beberapa hospital termasuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan bagi disiplin neurologi,” katanya ketika berucap merasmikan Program Berskala Besar Pembedahan Urologi (MUSI) di Hospital Selayang hari ini.

Beliau berkata pengurangan kes tertunggak yang dicapai turut disumbang oleh pendekatan KKM melaksanakan penyumberluaran perkhidmatan kepada hospital swasta sejak awal pandemik Covid-19 serta pembukaan semula dewan bedah elektif di hospital kerajaan secara berperingkat bermula Oktober tahun lepas.

Mengulas program MUSI, Khairy berkata KKM menyasarkan dapat menyelesaikan sebanyak 50 kes tertunggak melibatkan penyakit sistem urinari dan sakit tuan sepanjang tempoh empat hari program dilaksanakan bermula semalam.

“Berdasarkan (data), terdapat sebanyak 4,000 kes tertunggak urulogi dilaporkan pada Oktober 2021 manakala pada akhir Disember 2021, jumlah kes elektif ini yang masih menunggu pembedahan adalah 2,780 kes.

“Majoriti daripada kes yang masih menunggu untuk pembedahan ini pula berkaitan kes batu karang sama ada di buah pinggang, ureter atau pundi kencing dan kes pembengkakan yang bukan kanser atau BPH.

“Sekiranya dibiarkan terlalu lama, kes boleh menyebabkan pesakit mengalami komplikasi lain seperti jangkitan kuman dan kerosakan buah pinggang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Malaysia ambil langkah cermat sebelum isytihar endemik

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Malaysia mengambil langkah cermat sebelum mengambil keputusan mengisytihar pandemik Covid-19 sebagai endemik di negara ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ia termasuk memastikan kes Covid-19 di Malaysia, terutama melibatkan kemasukan ke hospital ketika ini tidak terus meningkat secara mendadak.

“Kita sedang memantau negara lain seperti Sweden dan Denmark… pada pandangan saya, mungkin mereka terlalu awal isytihar pandemik Covid-19 tamat kerana seperti di Denmark, mereka isytihar Covid-19 bukan satu ancaman kepada kesihatan awam tetapi kes hospitalisation meningkat dengan mendadak.

“Sebab itu saya dan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Noor Hisham Abdullah) pilih kita lebih berhati-hati… ada yang kata pendekatan kita konservatif dan ada kata terlalu konservaif, tetapi bagi kami, lebih baik bergerak dengan selamat daripada menyesal kemudian nanti,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program Mass Urology Surgery Initiative di Hospital Selayang hari ini.

Jelasnya sekiranya dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini gelombang Omicron kurang memberi kesan kepada peningkatan kemasukan pesakit ke hospital dengan kebanyakan kes menunjukkan gejala ringan, mungkin kerajaan lebih yakin untuk beralih ke fasa endemik.

Terdahulu dalam ucapannya, Khairy berkata walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) tidak panik dengan penularan Omicron, namun pelbagai intervensi kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka masih perlu diteruskan.

Katanya langkah itu bagi melindungi mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai komorbiditi dan golongan kanak-kanak daripada mendapat kesan serius pelbagai varian Covid-19.

Beliau turut menyeru pihak hospital melakukan vaksinasi ‘opportunistic’ bagi meningkatkan pengambilan dos penggalak Covid-19.

“Keengganan mendapatkan dos penggalak ketika ini tinggi, jadi kalau mereka (pesakit) datang ke hospital dan sebagainya, mereka perlu percaya dengan kata-kata doktor.

“Jadi, tanya mereka – dah dapat dos penggalak belum, periksa jika mereka (pesakit) ada sejarah alahan dan yakinkan mereka untuk mengambil dos penggalak kerana saya nak liputan dos penggalak kita melebihi 70 peratus dewasa, baru kita rasa selesa sikit nak menghadapi Omicron.

Menurut Khairy beliau merayu kepada masyarakat agar mengambil dos penggalak ini bagi memastikan mereka terus mendapat pelindungan yang lebih berkesan.

“Saya rayu, ambil booster (dos penggalak) kerana dos primer adalah sebagai perisai, namun semakin hari perisai semakin nipis, jadi nak kena tambah ketebalan perisai itu sikit supaya kita dapat berdepan dengan musuh,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Seramai 4,186 doktor kontrak dilantik jawatan tetap mulai Jun

SHAH ALAM, 10 FEB: Seramai 4,186 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang berkhidmat secara kontrak di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  diserap jawatan tetap mulai Jun depan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata lantikan tetap itu melibatkan 3,586 pegawai perubatan, 300 pergigian dan 300 farmasi.

Selain itu, katanya kerajaan juga bersetuju melantik sekurang-kurangnya 1,500 pegawai perubatan pada setiap tahun mulai 2023 hingga 2025.

“Bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan, kerajaan turut bersetuju supaya 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai 2023,” katanya menerusi sidang media secara dalam talian hari ini.

Khairy berkata menerusi langkah tersebut, 8,686 perjawatan tetap pegawai perubatan, pergigian dan farmasi diwujudkan sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.

Sebelum ini, Gerakan Hartal Doktor di seluruh negara mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada 26 Julai tahun lalu susulan kegagalan kerajaan menawarkan perjawatan tetap kepada doktor kontrak.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 dijangka melonjak sehingga 15,000 sehari – menteri

SHAH ALAM, 6 FEB: Gelombang Omicron dijangka melonjak kes Covid-19 dalam negara sehingga 15,000 kes sehari tidak lama lagi.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi Twitter, hari ini.

“Fully into Omicron wave (berdepan sepenuhnya gelombang Omicron). Kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi. Masih ada satu juta warga emas yang tiada dos penggalak.

“Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkongsi pautan Twitter ketua pengarah kesihatan mengenai model Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) yang menunjukkan unjuran kes dari 31 Ogos 2021 hingga 30 Mac depan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan liputan vaksin dan dos penggalak yang meluas dapat mengurangkan keparahan kes Covid-19 yang kembali meningkat.

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini melepasi paras 10,000 dengan 10,089 kes berbanding 9,117 semalam.

Ia menunjukkan peningkatan 972 kes hari ini iaitu hampir separuh daripada pertambahan dicatat semalam 1,883.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengambilan tembakau, alkohol berlebihan punca utama cetus barah

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Pengambilan tembakau adalah antara faktor utama pencetus kanser iaitu penyakit utama yang menyebabkan kematian di hospital swasta dan kerajaan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kanser menyumbang kepada 34.95 peratus penyebab kematian di hospital swasta dan penyebab kematian keempat tertinggi di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 11.56 peratus.

Beliau berkata kanser juga merupakan antara 10 sebab utama kemasukan ke wad di hospital KKM (5.17 peratus) dan hospital swasta (5.37 peratus).

“KKM melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus atau 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016, berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

“Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM132.7 juta,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kanser Sedunia hari ini.

Tiga jenis kanser paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus), manakala dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus), diikuti kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyatakan bahawa satu pertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan pengambilan tembakau (termasuk merokok), berat badan dan pengambilan alkohol berlebihan, kurang pengambilan sayur dan buah-buahan, serta tidak aktif secara fizikal.

Sehubungan itu, Khairy menyeru orang ramai agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan mengutamakan penjagaan kesihatan diri dalam kehidupan harian.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Khairy saman aktivis politik, pendakwah fitnah tidak ambil vaksin

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memfailkan saman fitnah terhadap Datuk Lokman Noor Adam dan Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq berhubung vaksin Covid-19 yang dimuat naik di media sosial.

Khairy, 46, selaku plaintif memfailkan dua saman itu secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini, menerusi Tetuan Rashid Zulkifli pada 25 Januari lepas, dengan menamakan Lokman, 49, dan Mohd Rasyiq, 41, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari lepas, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan Youtube ‘Lokman Adam’ pada 10 Januari.

Khairy mendakwa Mohd Rasyiq memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan fitnah, menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober tahun lepas, 6 dan 10 Januari lalu.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah dalam dua saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Menurut plaintif, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk serta mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasinya direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Plaintif juga mendakwa penerbitan fitnah itu adalah bertentangan dengan kepentingan awam dan ia mengganggu usaha serta semua yang terbabit dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan dalam perjuangan menentang Covid-19, menjejaskan tindak balas masyarakat terhadap pandemik dan menjejaskan data serta fakta rasmi yang diberikan oleh KKM kepada orang ramai.

Oleh itu, plaintif memohon suatu perintah injunksi supaya kedua-dua defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam dan suatu injunksi menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.

Plaintif juga memohon defendan-defendan untuk memadam kenyataan fitnah yang diterbitkan semula di semua portal berita serta akaun media sosial dalam tempoh 24 jam.

Plaintif juga menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk, faedah, permohonan maaf daripada defendan-defendan yang dimuat naik di media sosial serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Menerusi semakan sistem mahkamah, mahkamah menetapkan 17 Februari ini untuk pendengaran injunksi inter parte (dua pihak).

-BERNAMA