Categories
AGENSI SELANGOR

Kuis tawar pengajian untuk lepasan SPM, STAM dan STPM

SHAH ALAM, 19 JULAI: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dipelawa menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Timbalan Rektor Pengurusan Korporat Pembangunan Dr Zulkifli Abd Hamid berkata universiti itu membuka permohonan pengambilan kedua bagi sesi 2020/2021 hingga Jumaat ini.

“Kita menyasarkan seramai 1,000 pelajar berdaftar dan keutamaan diberi kepada mereka yang gagal dalam sistem Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) ke Institut Pengajian Tinggi Awam,” kata ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata bagi pengambilan pertama 5 Julai lalu, Kuis menerima pendaftaran 1,500 pelajar baharu.

Tawaran dibuka bagi pengajian di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). Pelajar yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian di www.kuis.edu.my.

Menariknya, Kuis masih mengekalkan yuran pendaftaran pelajar baharu sebanyak RM650 iaitu pengurangan RM350 daripada jumlah asal bagi sesi tersebut.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Kuis tawar potongan 35 peratus yuran pengajian

SHAH ALAM, 8 JULAI: Pelajar tempatan yang mendaftar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) untuk sesi Julai 2020/2021 mendapat 35 peratus pengurangan yuran berjumlah RM350.

Dato’ Menteri Besar berkata susulan itu mereka hanya perlu membayar RM650 sahaja berbanding jumlah sepatutnya RM1,000.

“Saya berbesar hati berkongsi insentif Kuis, universiti milik Majlis Agama Islam Selangor dan berharap ia dimanfaatkan dengan menimbang situasi ekonomi sekarang, di mana ramai warga masyarakat terjejas berikutan wabak Covid-19.

“Moga sikap keprihatinan sebegini dapat meresap ke seluruh jiwa rakyat terutamanya warga Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Menurut Amirudin, tawaran berkenaan dibuka sehingga 24 Julai ini.

Sementara itu, Kuis melalui Facebooknya turut menghebahkan perkara itu disamping menyertakan pautan laman sesawang termasuk cara pendaftaran serta senarai semak bagi memudahkan pelajar mendapat pengurangan terbabit.

Categories
AGENDA PENDIDIKAN

Tangguh bayar balik pinjaman manfaatkan mahasiswa dan alumni

SHAH ALAM, 2 APRIL: Penangguhan bayaran balik pinjaman institusi pengajian tinggi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri bakal memanfaatkan ribuan alumni dan mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Rektornya, Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri menyambut baik inisiatif Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 itu.

“Sudah tentu penuntut atau alumni yang mungkin terbeban berasa lebih lega dan keputusan ini selaras dengan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Kerajaan Selangor mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman  secara automatik bagi peminjam bermula 1 April hingga 30 September.

Pada masa sama bantuan makanan percuma melalui pihak universiti juga diberi sekali gus membabitkan peruntukan sejumlah RM6.07 juta.

Dalam perkembangan lain, Ab Halim berkata terdapat kira-kira 170 mahasiswa masih tinggal di asrama Kuis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka diberi bantuan makanan tiga kali sehari dan Kuis turut menyediakan khidmat kaunseling sekiranya ada pelajar berasa tertekan dengan hanya duduk di dalam bilik.

“Diharapkan mereka bersabar kerana hanya dengan cara ini kita dapat membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KUIS komited martabatkan ilmu, pelajar meningkat hingga 200 peratus

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANGI, 13 OGOS: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) semakin terkenal sebagai pilihan pelajar yang berhasrat melanjutkan pelajaran apabila jumlah pelajarnya mengalami peningkatan 200 peratus sejak ditubuhkan pada 1995.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata hal ini berikutan kejayaan warga kerja KUIS melaksanakan transfomasi daripada kolej kepada universiti bertaraf antarabangsa.

“Hari ini KUIS berjaya mengangkat martabat ilmu dan mutu pendidikan di Selangor.

“KUIS menjadi pilihan pelajar dengan peningkatan 200 peratus iaitu daripada 3,500 pelajar kepada 9350 pelajar,” kata Mohamed Azmin pada Majlis Konvokesyen KUIS Kali Ke-19 yang berlangsung pada hari ini dan esok.

Katanya, KUIS berjaya memainkan tanggungjawabnya bagi memenuhi negeri untuk menjadi sebuah gedung ilmu selaras dengan motto KUIS, “pemangkin tradisi ilmu”.

mb kuisMohamed Azmin turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada 1,006 graduan KUIS.

“Saya melihat keceriaan terpancar di wajah ibu bapa yang gembira di atas kejayaan anak masing-masing sebagaimana cerianya saya beberapa minggu lalu apabila menyaksikan anak saya memakai jubah graduasi.

“Saudara saudari jangan sesekali melupakan pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa; yang berterusan berdoa untuk kejayaan anak-anak di dalam pendidikan dan kerjaya. Terima kasih untuk ibu dan ayah,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor digesa laksana pendidikan percuma

SHAH ALAM, 8 OKT:  Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa pentadbiran baharu Kerajaan Selangor melaksanakan janji pendidikan percuma di institusi pendidikan kawalannya.

Ia meliputi Universiti Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Antarabangsa Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS).

Penyelaras Segmentasi Wanita Muda SAMM (Wanita Muda), Young Syefura Othman, berkata ia boleh dilaksanakan sesuai dengan kemampuan Kerajaan Negeri sama ada:

rara3– Pendidikan percuma kepada semua mahasiswa UNISEL, KUIS dan INPENS, atau

– Pendidikan percuma kepada mahasiswa anak selangor di UNISEL, KUIS dan INPENS, atau

– Pendidikan percuma kepada mahasiswa miskin di UNISEL, KUIS dan INPENS beserta inisiatif mengesan golongan itu dengan lebih tepat.

Katanya, kuota perlu ditetapkan, umpamanya 40 peratus anak Selangor, pelajar pintar seluruh negara (30 peratus), pelajar pertengahan dari keluarga miskin (20 peratus) dan pelajar antarabangsa (10 peratus).

“Suka kami mengingatkan, salah satu janji pilihan raya Pakatan Rakyat ialah pendidikan percuma. Isu melibatkan anak muda khususnya mahasiswa wajar diambil perhatian,” kata Syefura.

Pada kenyataan media hari ini, beliau berharap Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad mempertimbang hal itu.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Faekah kekal Setpol sehingga penyusunan semula – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 09092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Faekah Husin dikekalkan sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar beliau sehingga proses penyusunan semula pejabat Menteri Besar selesa.

2. Persidangan Antarabangsa Pembangunan Mualaf 2013 anjuran Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS) mendapat pujian dari Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mendekati isu pembangunan mualaf berdasarkan kajian keatas pengalaman dari pakar-pakar terlibat.

3. Ketua Biro Guaman PKR, Latheefa Koya berkata, keengganan polis membuat siasatan baru kes pembunuhan Altantuya Shariibuu, menunjukkan sikap tidak lepas tangan pihak berkuasa itu dalam memberi keadilan kepada mangsa.

4. Kerajaan tidak wajar meletakkan kesalahan kepada takdir semata-mata apabila harga barangan keperluan harian naik ketika ada kumpulan hidup mewah, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

5. Rafizi Ramli hari ini menuntut keikhlasan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk mengemukakan usul tergempar kenaikan harga minyak di Parlimen selepas menolak tawaran mengadakan perdebatan berhubung isu berkenaan.

6. Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 30 peratus kerja-kerja pembersihan dalam kawasan perbandaran akan dilakukan oleh pihak dalaman pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim

7. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri bagi penubuhan Polis Bantuan dengan seramai 100 orang anggota bagi mempertingkatkan tahap keselamatan bandar raya itu menjelang 2014, kata Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

8. Exco Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, projek tebatan banjir akan dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi mengatasi kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dan Klang baru-baru ini.

Persidangan antarabangsa mualaf 2013 diyakini, dipuji

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 03BANDAR SERI PUTRA 9 SEPT : Persidangan Antarabangsa Pembangunan Mualaf 2013 anjuran Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS) mendapat pujian dari Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mendekati isu pembangunan mualaf berdasarkan kajian keatas pengalaman dari pakar-pakar terlibat.

Abdul Khalid berkata pendekatan itu wajar dijadikan contoh dalam mendekati pelbagai isu mendesak kerana ia membantu membuka perspektif serta menjana idea-idea baru.

“Saya percaya pendekatan ini sangat bernas,” kata Abdul Khalid, “Persidangan ini membentangkan kertas kerja dan pengalaman pakar-pakar kita yang telah membuat kajian mengenai usaha mereka membangunkan golongan mualaf.”

Beliau berkata demikian di satu sidang akhbar selepas merasmikan persidangan itu. Persidangan ini dianjurkan oleh KUIS, bersama Institut Islam Hadhari UKM dan disokong Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Turut hadir, Rektor KUIS, Profesor Madya Datuk Dr Abd Halim Tamuri dan Setiausaha MAIS, Datuk Mohd Misri Idris.

Selain kertas kerja hasil kajian tempatan, persidangan berlangsung dari 7 September hingga 8 September turut meneliti kajiselidik dari luar negara seperti dari Indonesia dan Singapura.

Abdul Khalid melahirkan keyakinan MAIS akan merangka kaedah terbaik mendekati isu pembangunan mualaf selepas pembentangan dalam persidangan itu dibukukan bagi tujuan rujukan.

Sementara itu, Abd Halim berkata, Selangor adalah antara negeri tertinggi di negara ini yang mencatat golongan bukan Islam yang memeluk Islam saban tahun.

“Pada tahun lepas perangkaan menunjukkan kira-kira 1,500 orang muallaf dan tahun ini setakat Julai ia sudah memcecah hampir 1,400 orang yang memeluk Islam.

“Ia bukan setakat orang India dan Cina tetapi dari bangsa lain macam Kadazan, orang Sabah, Sarawak termasuk dari luar negara seperti Filipina memeluk Islam di Selangor,” katanya.