Categories
GLOBAL

Kabus tebal sebabkan Trump batal lawatan ke DMZ

SEOUL 8 NOV: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terpaksa membatalkan lawatan mengejut ke zon bebas tentera (DMZ) yang membahagikan dua negara di Semenanjung Korea hari ini, berikutan cuaca buruk.

Rumah Putih melaporkan, Trump agak berdukacita dengan pembatalan berkenaan, lapor AFP.

Terdahulu, pemimpin Korea Selatan, Moon Jae-in yang terbang ke DMZ ketika cuaca masih dalam keadaan baik dibiarkan menunggu di kawasan sempadan yang dipenuhi pagar elektrik, periuk api dan penghalang kereta kebal itu.

Rumah Putih sebelum ini melaporkan, Trump yang memaklumkan tidak akan melawat DMZ sudah berlepas dari pangkalan tentera Yongsan di sini, namun helikopter dinaikinya terpaksa berpatah semula kerana kabus tebal.

Jae-in pula dilaporkan sudah terbang ke sempadan lebih awal dan menunggu Trump di pos kawalan keselamatan sebelum dimaklumkan mengenai pembatalan itu.

Lawatan oleh Presiden Amerika Syarikat ke DMZ adalah satu kebiasaan sebelum ini bagi menyaksikan lebih dekat pasukan tentera kedua-dua negara yang hanya dipisahkan oleh tembok batu di sepanjang sempadan itu.

Pengurusan Trump sebelum ini memaklumkan presiden itu tidak akan mengadakan lawatan ke DMZ kerana mendakwa ia sebagai sesuatu yang klise.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Pesawat pengebom B-1B sertai latihan ketenteraan di Semenanjung Korea

WASHINGTON 3 NOV: Dua pesawat pengebom Amerika Syarikat (AS) terbang melalui ruang udara Korea Selatan dan pusat latihan Pilsung, dalam latihan ketenteraan terbaru, kata jurucakap tentera udara negara itu.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan Kapten Victoria Hight berkata, latihan ketenteraan itu membabitkan dua pesawat pengebom jenis B-1B.

Tentera udara dalam kenyataan awal berkata, latihan itu bakal diadakan di sekitar Semenanjung Korea tanpa mendedahkan kedudukan khusus.

Menurut kenyataan itu, pesawat pejuang Jepun dan Korea Selatan turut melakukan misi yang sama bersama dengan pesawat pengebom AS.

=EZY=

Categories
GLOBAL

200 dikhuatiri maut di runtuhan terowong tapak ujian nuklear Korea Utara

GLOBAL 1 NOV: Sejumlah 200 pekerja dikhuatiri terbunuh selepas sebuah terowong sedang dalam pembinaan di tapak ujian senjata nuklear Korea Utara runtuh, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik laporan sebuah akhbar Jepun pada Selasa.

Kira-kira 100 terperangkap dalam insiden runtuhan di Punggye-ri manakala 100 lagi dikhuatiri maut ketika cuba menyelamatkan mangsa terperangkap apabila berlaku runtuhan kedua, lapor TV Asahi dari Jepun.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan butiran lanjut seperti bila insiden itu berlaku.

Pakar telah memberi amaran bahawa tapak itu mungkin sudah lesu dan tidak lagi stabil berikutan pelancaran enam ujian nuklear, termasuk yang terkuat bulan lepas, dan satu runtuhan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Pada Isnin, ketua agensi cuaca Korea Selatan iaitu Pentadbiran Meteorologi, Nam Jae-cheol, memaklumkan sidang parlimen bahawa satu lagi ujian nuklear berupaya mencetuskan runtuhan di tapak ujian yang terletak di kawasan pergunungan, serta kebocoran bahan radioaktif.

Seorang saintis China juga telah menyatakan kebimbangan bahawa sisa radioaktif dari retakan atau lubang di tapak dan ditiup ke sempadan ke China, kata SCMP.

Pada 17 Oktober, satu kajian yang diterbitkan oleh Institut US-Korea di Johns Hopkins University dan diterbitkan di laman web 38 North mencadangkan ujian bawah tanah keenam di tapak tersebut telah menyebabkan “kerosakan besar ke rangkaian terowong sedia ada di bawah Gunung Mantap”.

Korea Utara mendakwa ujian September 3 di bawah Gunung Mantap adalah bom hidrogen, dengan monitor mencadangkan letupan itu bersamaan dengan gempa bumi dengan magnitud 6.1 pada skala Richter.

Sesetengah penganalisis meletakkan hasil senjata setinggi 280 kiloton, manakala ahli seismologi mengambil tanda-tanda kejatuhan bawah tanah pada waktu dan hari selepas letupan.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Ujian peluru berpandu Korea Utara jejas industri penerbangan

TAIPEI 25 OKT: Ujian peluru berpandu Korea Utara mencetuskan kebimbangan kepada syarikat penerbangan yang beroperasi di seluruh Asia Pasifik.

Menurut seorang eksekutif industri, ujian itu menyebabkan mereka terpaksa melaksanakan penilaian risiko dan mengubah sesetengah laluan penerbangan, lapor REUTERS.

“Masalah dengan Korea Utara ialah mereka tidak memberi notis awal. Ia membimbangkan. Serpihan peluru berpandu mungkin tersebar dan memberi kesan kepada kami.

“Semua pihak terpaksa melaksanakan penilaian risiko dan ia menyebabkan laluan penerbangan awam terjejas,” kata Pengarah Urusan Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik, Andrew Herdman, pada persidangan tahunan industri, di sini.

Peningkatan ujian peluru berpandu tentera dan pelancaran pesawat angkasa lepas awam memaksa industri penerbangan melaksanakan risiko penilaian lebih kompleks mengenai ruang udara.

Insiden membabitkan pesawat Malaysia Airline MH17, yang ditembak peluru berpandu di Ukraine pada 2014, adalah antara contoh yang jelas.

“Kita bercakap mengenai konflik ruang udara. Pengawal selia anda mungkin memberitahu anda tidak boleh terbang dalam kawasan itu. Mereka mungkin mengatakan anda boleh terbang di atas ketinggian tertentu.

“Syarikat penerbangan individu akan membuat penilaian sendiri. Ia adalah penilaian risiko yang kompleks dan industri perlu sentiasa berhati-hati,” katanya.

Herdman berkata, syarikat penerbangan tidak menerima amaran untuk melencongkan laluan penerbangan apabila peluru berpandu Korea Utara dikesan tentera.

“Tentera mungkin berkomunikasi antara satu sama lain. Mereka berupaya memaklumkan kami mengenainya apabila ia berlaku. Namun, pengumuman itu mengambil masa yang agak lama,” katanya.

 

=EZY=

Categories
GLOBAL

Korea Utara bersiap sedia lancar peluru berpandu

SEOUL 14 OKT: Korea Utara dipercayai bersiap sedia untuk melancarkan peluru berpandu balistik menjelang latihan tentera laut bersama Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, menurut laporan hari ini, memetik kenyataan sumber kerajaan.

Tentera Laut AS, semalam berkata kapal pengangkut pesawat AS akan mengetuai latihan itu minggu depan, tindakan terbaru mempamerkan kekuatan kepada Korea Utara ketika ketegangan memuncak berhubung program senjata rejim itu, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Langkah itu akan menaikkan kemarahan Pyongyang yang sebelum ini berang kepada latihan bersama itu.

Akhbar Donga Ilbo, memetik sumber kerajaan, melaporkan gambar satelit menunjukkan banyak peluru berpandu balistik di atas pelancar dibawa keluar dari hangar berhampiran Pyongyang dan di Wilayah Phyongan Utara.

Pegawai tentera AS dan Korea Selatan mengesyaki Korea Utara bersiap sedia melancarkan peluru berpandu yang boleh sampai ke wilayah AS.

Ia berkemungkinan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Hwasong-14 yang boleh sampai ke Alaska, atau peluru berpandu jarak pertengahan, Hwasong-12 yang pernah diancam oleh Pyongyang akan dibedil ke arah wilayah AS di Pasifik, Guam, Ogos lalu.

Kemungkinan lain adalah rejim itu bersiap sedia menguji ICBM Hwasong-13, tambah laporan, yang mempunyai jarak jauh maksimum berbanding dua peluru berpandu lagi dan boleh sampai ke Pantai Barat AS.

Jurucakap Kementerian Pertahanan enggan memberi ulasan mengenai laporan itu, berkata: “Kami tidak mengulang sebarang perkara mengenai perisikan tentera.”

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

AS terus ganda aset ketenteraan ke Semenanjung Korea

SEOUL 14 OKT: Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan bakal mengadakan latihan tentera laut besar-besaran di Laut Jepun berdekatan semenanjung Korea pada minggu hadapan, kata Tentera Laut AS.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan latihan membabitkan dua negara itu dilihat sebagai satu ‘pertunjukan’ kuasa baharu kepada Korea Utara kerana giat melaksanakan ujian misil dan persenjataan nuklear yang mencetuskan ketegangan sejak beberapa bulan lalu.

Pyongyang melakukan ujian nuklear dan misil keenam yang paling kuat setakat ini bagi menunjukkan keingkarannya terhadap sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

AS telah menggandakan latihan ketenteraan bersama dua sekutunya iaitu Korea Selatan dan Jepun di wilayah berkenaan.

Armada Ketujuh Tentera Laut AS dalam satu kenyataan menyatakan kapal pengangkut pesawat USS Ronald Reagan dan dua kapal pemusnah AS akan mengambil bahagian dalam latihan itu bersama-sama beberapa kapal perang Korea Selatan.

Latihan dijadualkan bermula 16 Oktober hingga 26 Oktober di Laut Jepun dan Laut Kuning itu akan mempromosi ‘komunikasi, saling kendali dan kerjasama’, menurut kenyataan sama.

Langkah berkenaan mungkin akan mencetuskan kemarahan Pyongyang memandangkan pemerintah negara komunis itu pernah memberi amaran terhadap sebarang latihan ketentera­an bersama.

“Jika pihak penjajah AS dan rakan boneka Korea Selatan menunjukkan sikap agresif perang nuklear ke atas kami, ia hanya mempercepatkan kematian mereka,” menurut agensi media rasmi Korea Utara, KCNA.

Semalam, sebuah kapal selam nuklear USS Michigan tiba di sebuah pelabuhan di Busan, Korea Selatan, menurut laporan agensi berita Yonhap, iaitu selepas beberapa hari kapal selam nuklear USS Tuscon kembali sebaik selesai lawatan selama lima hari di situ.

Awal minggu ini, dua jet pengebom supersonik AS terbang di semenanjung Korea menandakan latihan udara pertama bersama Jepun dan Korea Selatan. Misi itu diadakan selepas 17 hari empat pesawat tempur F-35B dan dua jet pengebom B-1B AS terbang di kawasan berkenaan.

Pada Selasa lalu, Presiden AS, Donald Trump membincangkan satu ‘rangkaian pilihan’ bersama pasukan keselamatan kebangsaannya sebagai respons terhadap ujian misil dan nuklear terbaru Korea Selatan.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Gempa bumi gegar Korea Utara cetus spekulasi ujian nuklear

SEOUL 13 OKT: Gempa bumi kecil menggegarkan kawasan berhampiran lapangan ujian nuklear Korea Utara, namun ia seolah-olah bukan buatan manusia, kata agensi cuaca Korea Selatan hari ini.

Insiden itu adalah perkembangan terbaharu di Korea Utara, selepas Pyongyang menjalankan ujian nuklear keenam dan terbesarnya, awal September lalu, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Gempa bumi hari ini merekodkan kekuatan 2.7 magnitud dan berlaku pada kedalaman tiga kilometer di utara wilayah Hamgyong berhampiran lapangan ujian nuklear Punggye-ri di Korea Utara, kata Pentadbir Meteorologi Korea.

Peninjau Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan gempa bumi sekuat 2.9 magnitud pada kedalaman lima kilometer dan menambah ia tidak dapat menentukan sama ada ia semula jadi atau buatan manusia.

Menurut USGS, gempa bumi itu adalah gegaran susulan selepas ujian nuklear keenam Korea Utara pada 3 September lalu yang mencetuskan gempa bumi 6.3 magnitud.

Ini menyebabkan ramai pakar dan pemerhati mengesyaki ujian nuklear terbaharu terbabit menjadi punca kawasan pergunungan tidak stabil.

=EZY=

Categories
GLOBAL

2 pesawat pengebom strategik AS lintasi Semenanjung Korea

GLOBAL 11 OKT: Dua pesawat pengebom strategik Amerika Syarikat (AS) melintasi Semenanjung Korea bagi memaparkan kekuatannya lewat semalam.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan ia ketika Presiden Donald Trump bertemu dengan pegawai pertahanan untuk membincangkan cara menanggapi sebarang ancaman dari Korea Utara.

Ketegangan telah melonjak antara Amerika Syarikat dan Korea Utara berikutan rangkaian ujian senjata oleh Pyongyang dan perang mulut yang semakin meningkat antara Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Dalam minggu-minggu kebelakangan ini, Korea Utara telah melancarkan dua peluru berpandu melintasi Jepun dan menjalankan ujian keenam nuklearnya, dalam menuju matlamatnya untuk membangun senjata nuklear yang mampu mensasarkan tanah besar AS.

Dua pengebom Tentera Udara AS B-1B diiringi dua pejuang F-15K dari tentera Korea Selatan ketika berlepas dari pangkalan mereka di Guam, kata Ketua Bersama Staf Korea Selatan dalam satu kenyataan pagi ini.

Selepas memasuki ruang udara Korea Selatan, kedua-dua pesawat pengebom itu melakukan latihan tembakan peluru berpandu udara ke daratan di perairan timur Korea Selatan, dan kemudian terbang ke selatan ke perairan antaranya dengan China dan mengulangi latihan berkenaan, kata kenyataan itu.

Tentera AS berkata dalam kenyataan berasingan bahawa pesawat pejuang Jepun juga menyertai latihan itu, menjadikannya latihan gabungan malam pertama untuk pengebom AS dengan pejuang dari Jepun dan Korea Selatan.

Pesawat pengebom AS telah berlepas dari Pangkalan Angkatan Udara Andersen di Guam. Pada bulan Ogos, Pyongyang mengancam akan menembak peluru berpandu ke arah Guam.

=EZY=

Categories
GLOBAL

PBB: 4 kapal langgar sekatan Korea Utara

NEW YORK 10 OKT: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan larangan berlabuh kepada empat kapal yang didapati melanggar syarat sekatan terhadap Korea Utara, kata ketua panel pakar.

“Terdapat empat kapal yang sudah disenaraikan majlis. Penyenaraian bukan bermaksud aset dibekukan atau larangan pelayaran tetapi larangan berlabuh,” kata penyelaras panel Majlis Keselamatan Pakar sekatan Korea Utara, Hugh Griffiths.

Menurut Griffiths, mereka mendapati semua kapal terbabit membawa barangan larangan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Ini adalah tindakan pantas dan sangat tegas majlis,” katanya.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Korea Utara siap sedia lancar peluru berpandu jarak jauh

MOSCOW 7 OKT: Korea Utara sedang bersedia untuk menguji peluru berpandu jarak jauh yang dipercayai mampu sampai ke pantai barat Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita RIA memetik seorang penggubal undang-undang Russia sebagai berkata semalam.

Ahli jawatankuasa hal ehwal antarabangsa Duma (Dewan Rakyat) Russia, Anton Morozov dan dua lagi ahli Parlimen Russia dalam rangka lawatan ke Pyongyang dari 2 hingga 6 Oktober, lapor RIA.

“Mereka sedang bersedia untuk membuat ujian baru peluru berpandu jarak jauh.

“Mereka turut memberi kami pengiraan matematik yang dipercayai membuktikan bahawa peluru berpandu mereka mampu sampai ke pantai barat Amerika Syarikat,” lapor RIA yang memetik Morozov sebagai berkata.

“Apa yang kami faham, mereka bercadang untuk melancarkan satu lagi peluru berpandu jarak jauh dalam masa terdekat dan secara umumnya, mereka agak agresif, lapor REUTERS.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Korea Utara ugut musnahkan Jepun

KOREA UTARA, 6 OKT: Pyongyang tidak teragak-agak menggunakan senjata nuklearnya keatas Jepun selepas negara matahari terbit itu cuba meyakinkan dunia supaya memaksa Korea Utara menghentikan program nuklearnya.

Korea Utara membuat ugutan tersebut melalui artikel yang disiarkan Agensi Berita Korea (KCNA), lapor International Business Times.

“Tokyo, mangsa pertama senjata nuklear mungkin akan menghadapi kemusnahan (melalui senjata nuklear) sekali lagi,” kata kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan KCNA lagi, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dituduh ‘mempunyai sasaran tidak elok dalam politik negaranya’ dengan menaikkan kos pertahanan negara Jepun dan mengadakan pilihan raya mengejut.

“Tiada siapa tahu bila situasi kecam-mengecam ini akan menjadi perang nuklear, jika ia terjadi, Jepun akan terbakar dalam masa sesaat,” kata kenyataan KCNA lagi.

September lepas, Shinzo Abe hadir ke mesyuarat agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat menggesa tekanan diberikan kepada Korea Utara dan bukannya diajak berdialog.

Ketika ini, PBB telah mengenakan beberapa sekatan terhadap Korea Utara sebagai tekanan untuk negara tersebut menghentikan program nuklearnya.

Categories
GLOBAL

Korea Utara siap sedia uji peluru berpandu lagi

SEOUL 30 SEPT: Beberapa peluru berpandu Korea Utara dipindahkan dari bangunan roket dekat ibu negara Pyongyang, ketika negara itu dikatakan bersiap sedia melakukan tindakan provokatif baharu, lapor Korean Broadcasting System (KBS).

KBS memetik sumber perisik yang enggan didedahkan identiti berkata, pegawai perisikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) mengesan aktiviti pemindahan peluru berpandu dari bangunan Penyelidikan dan Pembangunan Peluru Berpandu Korea Utara di Sanum-dong dekat utara Pyongyang.

Laporan itu tidak mendedahkan bila atau ke mana ia dipindahkan, lapor Agensi Berita Antarangsa REUTERS.

Menurut laporan itu, peluru berpandu itu dijangka jenis Hwasong-12, jarak sederhana atau peluru berpandu rentas benua Hwasong-14.

Sumber kementerian pertahanan Korea Selatan berkata, mereka masih tidak dapat mengesahkan butiran laporan sama ada berlaku aktiviti seperti yang didakwa di kawasan terbabit.

Korea UtaraPada masa sama pegawai Korea Selatan menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman Korea Utara menjelang ulang tahun penubuhan Parti Komunis negara itu pada 10 Oktober depan atau ketika China mengadakan Kongres Parti Komunis pada 18 Oktober.

=EZY=