Categories
GLOBAL

Korea Utara sedia bantu AS tamatkan program nuklear

WASHINGTON 29 APR: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo berkata, beliau ‘berbual mesra’ dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un ketika kunjungannya ke Pyongyang, baru-baru ini.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan tambahnya, Kim sudah ‘bersedia membentangkan peta yang akan membantu AS mencapai penamatan program senjata nuklear’ negara itu.

Pompeo membuat kenyataan terbabit dalam satu temuramah ekslusif dengan ABC News, yang disiarkan semalam.

Pompeo yang ketika ini berada di Asia Barat dalam kunjungan pertamanya sebagai ketua diplomat Washington menyifatkan Kim sebagai ‘sudah bersedia’ ketika pertemuan rahsia itu pada minggu pertama April lalu.

“Kami melakukan perbualan yang intensif mengenai isu rumit yang dihadapi kedua-dua negara.

“Saya mempunyai satu misi jelas dari Presiden Trump dan Kim memahami misi sama seperti saya jelaskan hari ini,” katanya.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Pemimpin Semenanjung Korea ikrar akhiri program nuklear

SEOUL 28 APR: Pemimpin Korea Utara dan Korea Selatan berikrar untuk bekerjasama ke arah misi menghentikan program nuklear di Semenanjung Korea, semalam tetapi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau akan mengekalkan tekanan ke atas Pyongyang menerusi sekatan sebelum pertemuan tidak dijangka dengan ketua Korea Utara, Kim Jong Un, beberapa minggu lagi.

Pertemuan antara Jong Un dan presiden Korea Selatan, Moon Jae In berjaya melahirkan imej dramatik dan deklarasi kebaikan namun masih kekurangan dalam beberapa komitmen spesifik serta gagal menjelaskan persoalan utama sama ada Pyongyang benar-benar bersedia menghentikan peluru berpandu nuklear yang kini menjadi ancaman terhadap AS.

Pada pertemuan di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara Semenanjung Korea itu selama lebih enam dekad, Jong Un dan Jae In mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama dengan AS dan China tahun ini untuk menamatkan secara rasmi Perang Korea bagi memeterai perjanjian damai.

Dalam acara yang dihiasi dengan senyuman, saling bersalaman dan berpelukan, kedua-dua pemimpin itu turut berjanji meneruskan pengurangan senjata secara berperingkat, menghentikan tindakan keganasan, mengubah sempadan kepada zon damai dan mengadakan lebih banyak pertemuan bersama negara luar termasuk AS.

“Kami berikrar di hadapan 80 juta rakyat dan seluruh dunia bahawa tiada lagi peperangan di Semenanjung Korea dan era baru keamanan telah muncul,” kata kedua pemimpin terbabit.

Walaupun mereka saling sepakat dalam meneruskan misi semenanjung bebas nuklear, kedua-duanya masih tidak menjelaskan kaedah pelaksanaan atau maksud sebenar misi berkenaan.

Sementara itu di Washington, Trump ketika bercakap pada sidang media bersama Canselor Jerman Angela Merkel berkata, pertemuan bersama Jong Un nanti diharapkan mampu memberi keputusan produktif.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Korea Utara ikrar henti program nuklear

BEIJING 28 MAC: China berkata hari ini pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berikrar untuk menghentikan program nuklear di semenanjung itu ketika pertemuan bersejarah di Beijing bersama Presiden Xi Jinping.

China turut berikrar untuk mengukuhkan lagi persahabatan dengan negara yang terasing itu.

Pertemuan yang mengakhiri pelbagai spekulasi itu menyaksikan China dan Korea Utara mengesahkan bahawa Kim berkunjung ke Beijing dan bertemu dengan Jinping, aktiviti yang disifatkan agensi berita rasmi Xinhua sebagai kunjungan tidak rasmi bermula Ahad hingga hari ini.

Kunjungan luar itu adalah yang pertama buat Kim sejak memimpin pada 2011. Penganalisis percaya ia satu bentuk persediaan menjelang sidang kemuncak dengan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Agensi berita Korea Utara KCNA bagaimanapun tidak menyebut sebarang ikrar untuk menghentikan program nuklear mahupun pertemuan dengan AS.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Parlimen Korea Utara panggil mesyuarat luar biasa

SEOUL 22 MAC: Parlimen Korea Utara, akan mengadakan Perhimpunan Agungnya pada 11 April ini, kata media negara Utara, beberapa minggu sebelum sidang kemuncak bersejarah antara Korea Utara dan Korea Selatan berlangsung.

Keputusan mengadakan pertemuan yang jarang berlaku buat pertama kali tahun ini diambil oleh jawatankuasa perhimpunan pada 15 Mac lalu, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) tanpa mengulas lanjut.

Parlimen Utara lazimnya berperanan meluluskan keputusan isu berkaitan struktur pentadbiran dan belanjawan yang diwujudkan oleh Parti Pekerja.

Sidang kemuncak itu akan mendahului kemungkinan pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang dijadualkan pada bulan berikutnya.

“Perhimpunan April ini adalah pertemuan rutin di mana Korea Utara membuat keputusan mengenai projek-projek utama negara,” kata Profesor Pengajian Korea Utara, Koh Yu-hwan, dari Universiti Dongguk di Seoul.

Jong-Un dan Trump dijangka bertemu pada Mei ini selepas pegawai Korea Selatan menyampaikan hasrat pemimpin Korea Utara itu untuk berbincang mengenai penamatan ujian peluru berpandu dan nuklear.

Perhimpunan Agung Rakyat diadakan sekali atau dua kali setahun. Pertemuan sebelumnya adalah pada April tahun lalu, apabila ia mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya diplomatik yang menyasarkan untuk meningkatkan hubungan antarabangsa.

Tidak dinyatakan dalam laporan KCNA sama ada Jong-Un akan menghadiri sidang kemuncak itu April ini.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

AS sahkan Korea Utara bunuh Kim Chol guna agen VX

GLOBAL 7 MAC: Amerika Syarikat (AS) secara rasmi menyimpulkan hari ini bahawa Korea Utara mengarahkan pembunuhan abang yang juga pesaing kepada pemerintah Kim Jong-Un dengan racun agen VX yang dilarang.

“Perlakuan umum ini adalah penghinaan terhadap norma universal yang menentang penggunaan senjata kimia.

“Ia terus menunjukkan sifat Korea Utara yang melulu dan kita tidak mampu untuk bertoleransi dengan program nuklear mereka dalam apa bentuk sekalipun,” kata jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert, lapoer Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Penemuan itu mencetuskan satu lagi sekatan ekonomi AS terhadap Pyongyang, ketika rejim itu bersedia untuk mengadakan perbincangan menamatkan kebuntuan nuklear dengan Korea Selatan.

Namun menghidupkan semula kontroversi sepanjang pembunuhan Kim Jong-Nam atau Kim chol tahun lalu, yang disembur dengan agen kimia di muka oleh dua wanita ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), boleh mengganggu percubaan untuk memulakan perbincangan.

Kim chol pernah dilihat sebagai bakal pewaris bapa mereka Kim Jong-Il, selain beberapa laporan yang mencadangkan bahawa China mungkin akan mempersiapkan dirinya untuk menggantikan adiknya sekiranya berlaku krisis.

Nauert berkata, penyiasat AS yang beroperasi di bawah Akta Kawalan Senjata Kimia dan Biologi 1991 dan Akta Penghapusan Peperangan 1991 mendapati bahawa pada 22 Februari Korea Utara harus dipersalahkan atas pembunuhan itu dan racun agen VX digunakan.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Sekatan PBB tidak halang Pyongyang jana lebih RM700 juta

GLOBAL 3 FEB: Korea Utara didakwa melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila berjaya memperoleh pendapatan sebanyak AS$200 juta (RM777.7 juta) hasil eksport komoditi yang diharamkan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan menurut laporan sulit yang diperoleh kumpulan pemantau bebas PBB, Pyongyang turut dituduh membekalkan senjata kepada Syria dan Myanmar.

Laporan itu yang diserahkan kepada jawatankuasa sekatan, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) semalam, mendedahkan Korea Utara mengeksport arang batu ke beberapa pelabuhan, termasuk di Russia, China, Korea Selatan, Malaysia dan Vietnam.

Ia dibuat menggunakan dokumen palsu yang mendakwa negara seperti Russia dan China sebagai pengeksport arang batu itu dan bukannya Korea Utara.

UNSC yang mempunyai 15 negara anggota sebulat suara melaksanakan pelbagai sekatan terhadap Korea Utara sejak 2006 bertujuan menyekat dana bagi membiayai program nuklear dan peluru berpandu negara itu.

Sekatan itu termasuk larangan eksport arang batu, besi, plumbum, tekstil dan makanan laut serta pengimportan minyak mentah dan produk petroleum ditapis.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Korea Utara dan Korea Selatan setuju mula inisiatif damai

SEOUL 6 JAN: Korea Utara dan Korea Selatan semalam setuju berunding buat kali pertama dalam tempoh lebih dua tahun, beberapa jam selepas Seoul serta Washington bersedia menangguhkan latihan tentera bersama yang membangkitkan kemarahan Pyongyang sehingga Sukan Olimpik Musim Sejuk berakhir.

Pertemuan pertama sejak Disember 2015 itu akan diadakan di Panmunjom, sebuah kampung di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Ketegangan di Semenanjung Korea memuncak selepas Pyongyang mengadakan siri ujian misil pada 2017, terma­suk melancarkan peluru berpandu antara benua (ICBM) dan meletupkan bom atom keenam dan paling kuat setakat ini.

Inisiatif keamanan itu muncul selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un memberi amaran semasa ucapan Tahun Baru 2018 bahawa beliau mempunyai butang nuklear di mejanya tetapi pada masa sama, menawarkan pendamaian kepada Seoul dengan berkata, Pyongyang akan menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan, bulan depan.

Seoul membalas dengan tawaran rundingan, manakala awal minggu ini pula, talian telefon utama antara kedua-dua negara kembali beroperasi selepas hampir dua tahun.

Sementara itu kelmarin, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersetuju menangguh latihan tentera Foal Eagle dan Key Resolve sehingga Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang yang bermula pada 9 Februari depan selesai.

Trump menyambut baik perbincangan peringkat tertinggi antara Korea Utara dan Korea Selatan itu walaupun Washington enggan berunding dengan Pyongyang.

Kementerian Penyatuan Korea Selatan berkata, pihaknya menerima faks daripada Ketua Jawatankuasa Penyatuan Semula Secara Aman Korea Utara, Ri Son-gwon yang memberitahu: “Kami akan hadir ke Rumah Aman di Panmunjom pada 9 Januari ini.”

Rumah Aman ialah sebuah bangunan Korea Selatan di selatan Panmunjom di mana tentera kedua-dua negara menghadap satu sama lain di sebalik tembok pemisah konkrit.

Jurucakap Kementerian Penyatuan Korea Selatan, Baek Tae-hyun berkata, agenda perbincangan termasuk ‘isu menambah baik hubungan antara kedua-dua Korea.’

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Seoul tolak dialog dengan Pyongyang

SEOUL, 2 JAN: Usaha menangani ketegangan hubungan dengan Korea Utara perlu dikaitkan dengan penyelesaian program nuklear Pyongyang, kata Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat Korea Utara untuk mengadakan perbincangan dengan Seoul, yang masih kekal dengin pendirian memperluaskan program nuklear mereka, lapor Reuters.

“Usaha memperbaiki hubungan antara Seoul dan Pyongyang tidak boleh dibuat secara berasingan dengan isu menamatkan program nuklear Korea Utara.

“Jadi, Kementerian Luar akan bekerjasama rapat dengan sekutu kami serta masyarakat antarabangsa berhubung perkara ini,” katanya.

Ucapan Jae-in itu dianggap bercanggah dengan kenyataan Presiden Korea Utara, Kim Jong-un yang meminta Seoul supaya berhenti meminta bantuan daripada negara luar untuk memperbaiki hubungan antara dua negara terbabit.

“Ini menunjukkan pentadbiran Jae-in melihat keadaan ini secara rasional dan realistik.

“Kenyataan ini membuktikan isu menangani nuklear Korea Utara adalah lebih penting (daripada memperbaiki hubungan antara dua negara di Semenanjung Korea),” kata Ketua Institut Pengajian Korea Utara di Seoul, Jeong Yeung-tae.

Sebelum ini, ketika berucap sempena sambutan Tahun Baharu, Jong-un berkata, beliau sedia mengadakan dialog dengan Seoul dan kemungkinan atlet dari negara itu untuk menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan, bulan depan.

Categories
GLOBAL

Sekatan baru terhadap pegawai Korea Utara dalang program ICBM

GLOBAL 27 DIS: Amerika Syarikat mengumumkan dua sekatan baru ke atas pegawai Korea Utara yang menjadi dalang program peluru berpandu balistik negara itu semalam ketika Russia mengulangi tawaran menjadi orang tengah untuk mengendurkan ketegangan antara Washington dan Pyongyang.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan langkah baru itu adalah yang terkini dalam kempen bertujuan memaksa Korea Utara meninggalkan program senjata yang mensasarkan pembinaan peluru berpandu berkuasa nuklear yang boleh sampai ke AS.

Perbendaharaan AS menamakan pegawai berkenaan sebagai Kim Jong Sik dan Ri Pyong Chol.

Ia berkata, Kim dilaporkan sebagai tokoh utama dalam usaha Korea Utara menukar program peluru berpandunya daripada cecair kepada bahan api pepejal manakala Ri dilaporkan tokoh penting dalam pembinaan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

“Perbendaharaan mensasarkan tokoh penting program peluru berpandu balistik, sebagai sebahagian usaha memaksimumkan kempen tekanan meminggirkan Korea Utara dan mencapai usaha membebaskan Semenanjung Korea daripada nuklear sepenuhnya,” kata Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin, kata kenyataan.

Langkah simbolik itu menyekat sebarang hartanah atau kepentingan kedua-duanya yang berada dalam bidang kuasa AS dan melarang sebarang urusan antara mereka dan warga negara itu.

Ia menyusul sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diumumkan Jumaat lalu sebagai reaksi kepada ujian ICBM dilakukan 29 November lalu yang didakwa Pyongyang meletakkan semua tanah besar AS dalam jarak peluru nuklearnya.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Korea Utara bakal lancarkan satelit

SEOUL 26 DIS: Korea Utara bersiap sedia melancarkan satelit, lapor akhbar Korea Selatan hari ini, ketika pemerhati luar memberi amaran program angkasa lepas rejim itu sebenarnya bagi melindungi ujian senjatanya.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Pyongyang dikenakan pelbagai sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung ujian nuklear dan peluru berpandu dan dilarang melakukan serangan pelancaran menggunakan teknologi peluru berpandu balistik termasuk satelit.

“Menerusi pelbagai saluran, kami baru-baru ini menyedari Korea Utara sudah melengkapkan satelit baru dan menamakan ia Kwangmyongsong-5.

“Rancangan mereka adalah meletakkan satelit dilengkapi kamera dan peranti telekomunikasi di orbit,” menurut laporan akhbar Joongang Ilbo, memetik sumber kerajaan Korea Selatan.

Pyongyang melancarkan satelit Kwangmyongsong-4 pada Februari 2016, yang dilihat masyarakat antarabangsa sebagai ujian peluru berpandu balistik.

Jurucakap Ketua Turus Staf tentera Korea Selatan berkata, ‘tiada yang luar biasa setakat ini’ tetapi menambah Seoul memerhati sebagai tindakan provokatif termasuk ujian peluru berpandu jarak jauh yang disembunyikan dengan pelancaran satelit.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Sidang tergempar Majlis Keselamatan PBB bincang tindakan Pyongyang

GLOBAL 29 NOV: Ujian Peluru Berpandu Balistik Antara Benua (ICBM) oleh Korea Utara memaksa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaksa pertubuhan itu mengadakan sidang tergempar.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Korea Selatan mengambil langkah segera dengan memohon untuk mengadakan mesyuarat itu awal pagi ini.

Anggota majlis bakal mengadakan pertemuan dalam sesi terbuka bermula jam 4.30 petang waktu tempatan.

Korea Utara melancarkan Peluru Berpandu Balistik Rentas Benua (ICBM) yang dipercayai mendarat di zon eksklusif Jepun (EEZ), kata Kementerian Pertahanan Jepun.

Ketua Kakitangan Bersama tentera Korea Selatan (JCS), berkata peluru berpandu dilancarkan dari wilayah selatan Pyongan dan pihak berkuasa Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sedang menilainya.

Pentagon melaporkan peluru berpandu itu merentasi kawasan sejauh 1,000 kilometer sebelum mendarat di Laut Jepun.

Terdahulu badan dunia itu sudah dijadualkan untuk membincangkan kemajuan pelaksanaan tiga pusingan baharu sekatan yang bertujuan untuk mengekang program ketenteraan Pyongyang.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Korea Selatan dan AS laksana latihan perang ‘luar biasa hebat’

GLOBAL 12 NOV: Kapal perang Korea Selatan menyertai tiga kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) dalam latihan ketenteraan bagi mempamerkan ‘kekuaatan luar biasa’ terhadap Korea Utara.

Latihan ketenteraan bersama selama empat hari di barat Pasifik itu melibatkan tiga kapal pengangkut pesawat termasuk USS Ronald Reagan, USS Nimitz dan USS Theodore Roosevelt selain tujuh kapal perang Korea Selatan serta tiga kapal pemusnah, kata Kementerian Pertahanan Seoul.

Latihan ketenteraan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya membabitkan tiga kapal pengangkut pesawat serentak di rantau tersebut dalam tempoh sedekad.

“Latihan ini bertujuan meningkatkan pencegahan terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara serta mempamerkan kesediaan menangkis sebarang tindakan provokasi oleh Korea Utara,” kata seorang jurucakap kementerian, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Korea Utara yang memiliki senjata nuklear sering mengecam latihan ketenteraan sedemikian sebagai latihan untuk melakukan serangan dan kadangkala melakukan tindak balas pergerakan tentera atau ujian peluru berpandu.

Kapal perang AS terbabit akan menyertai latihan pertahanan udara, pengawasan laut, latihan tempur pertahanan udara dan operasi latihan lain, kata Tentera Laut AS.

Latihan itu diadakan sejurus lawatan Presiden AS, Donald Trump ke Seoul dan Beijing minggu ini yang turut memberi tumpuan mengenai bagaimana mahu menangani ancaman senjata nuklear Pyongyang.

Dalam ucapan kepada Parlimen Korea Selatan pada Rabu lalu, Trump memberi amaran kepada Korea Utara agar tidak memandang rendah kepada AS dan menawarkan pemimpin negara itu, Kim Jong-un masa depan yang lebih baik jika beliau meninggalkan impian senjata nuklearnya.