Categories
NASIONAL

Isu kediaman polis dibawa ke mesyuarat tertinggi KDN

PASIR MAS, 22 MEI: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador akan membawa maklum balas diterima sebelum ini ke mesyuarat tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepanjang beberapa siri lawatan mengejut yang diadakan sebelum ini.

Beliau berkata masalah berbangkit di peringkat bawah adalah berhubung tempat tinggal terutama di Lembah Kelang kerana kos sewa rumah adalah tinggi, namun gaji dan elaun yang diterima adalah rendah, sekali gus memberi kesan kepada pegawai dan anggota.

“Rumah yang mampu disewa pula terletak di luar kawasan formasi menyebabkan mereka semakin terbeban dengan kos.

“Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat KDN dan memohon kerajaan supaya memberi pertimbangan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan singkat ke sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan dan Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Supt Ramli Poncho.

Katanya polis faham dengan keadaan kewangan negara yang tidak begitu memberangsangkan ketika ini dan sanggup menunggu sehingga ekonomi negara kembali pulih agar kerajaan dapat membantu agensi keselamatan itu.

Beliau turut memuji kejayaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan PGA9 dalam melakukan operasi di kawasan sempadan walaupun mereka terdedah dengan bahaya pada sepanjang masa.

“Saya ambil kesempatan untuk ingatkan pegawai dan anggota untuk meningkatkan tahap intergriti dan sentiasa berhati-hati kerana kawasan Op Wawasan ini sensitif, ada penyeludupan senjata api. Kita tak boleh menolak perkara buruk daripada berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Selangor dan Kuala Lumpur untuk memantau kawasan yang menjadi tumpuan warga Afrika terutama dari Nigeria tinggal dan sering berkumpul.

Beliau berkata tindakan itu diambil bukan bermotifkan ‘racial profiling’ namun atas laporan yang dikemukakan oleh orang awam sebelum ini.

“Saya ada terbaca satu rintihan warga pangsapuri Desa Aman Puri di Kepong yang mengeluh mengenai warga asing dari Afrika yang membawa budaya kurang sopan seperti mabuk dan menari dalam keadaan separuh bogel di kawasan perumahan mereka tinggal.

“Saya telah arahkan supaya Ketua Polis Selangor dan Kuala Lumpur untuk menggandakan usaha, tinjauan dan serbuan di tempat tumpuan warga Afrika ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis ada petunjuk positif lokasi Jho Low

PASIR MAS, 22 MEI: Polis mempunyai petunjuk positif berhubung keberadaan Low Taek Jho atau Jho Low, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata, polis akan cuba membawa pulang ahli perniagaan kontroversi yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu ke Malaysia dalam masa terdekat kerana ‘mempunyai beberapa petunjuk baharu’.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan petunjuk baharu yang dikumpul polis ketika ini berhubung ahli perniagaan terbabit.

“Saya serius ni (ada petunjuk baharu), tapi sabar. Mana dia nak menyorok… tak akan selamat. Kita akan bawa balik Jho Low tak lama lagi kerana semua orang tertunggu-tunggu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan singkat ke sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan di sini, hari ini.

Ditanya adakah Jho Low berada di China, beliau berkata:” saya tak cakap,”

Katanya, tindakan yang dilakukan Jho Low menyebabkan negara berhutang dengan kadar tinggi dan ahli perniagaan itu sepatutnya menerima balasan terhadap perbuatannya.

Beliau turut menyifatkan tindakan ahli perniagaan itu yang sering membuat kenyataan melalui peguamnya dari Macau dan Hong Kong sebagai pengecut.

“Rompakan yang dibuat Jho Low menyebabkan negara berhutang. Bila dia dibawa ke mahkamah, insyaAllah akan keluar segala penipuan yang dia lakukan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Selepas 35 tahun, Mohamad Fuzi akhirnya tinggalkan PDRM

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Suasana meriah namun sayu, mengakhiri persaraan Ketua Polis Negara ke-11, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib hari ini.

Beliau yang menabur bakti selama 35 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) diraikan pada Majlis Paluan Berundur, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini dihadiri lebih 500 pegawai kanan pengurusan tertinggi termasuk anggota keluarga.

Majlis yang bermula pada pukul 5.00 petang itu, dimeriahkan dengan persembahan Pancaragam Pusat PDRM yang mengalunkan beberapa buah lagu serta deklamasi sajak selama sejam, sebelum majlis paluan berundur dimulakan.

Mohamad Fuzi juga turut diberikan penghormatan memimpin pancaragam itu, sebelum menaiki kenderaan istiadat polis bersama ahli keluarganya dan meninggalkan acara itu.

Turut hadir Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Mohamad Fuzi dilahirkan pada 4 Mei 1959 di Parit, Perak mula memasuki perkhidmatan PDRM sebagai Kadet ASP pada 8 Jan 1984.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya ialah Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dari 1998 hingga 2005; Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman dari 2007 hingga 2009; Pengarah Pasukan Petugas Khas (Counter Terrorism) Bukit Aman dari 2009 hingga 2014; dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dari 2015 hingga 2017.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Fuzi serah tongkat kuasa KPN kepada Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini menyerahkan Tongkat Kuasa Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini.

Majlis serah terima tugas jawatan nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Hamid dilantik secara kontrak sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok.

Pelantikan Abdul Hamid mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Selain itu, Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 Bukit Aman Datuk Ramli Hassan dilantik sebagai Pemangku Pengarah Cawangan Khas yang baharu berkuat kuasa esok.

Tongkat Kuasa jawatan berkenaan diserahkan Abdul Hamid sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, juga di Pulapol.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Muhyiddin: Nama calon KPN baharu sudah diserah kepada PM

MUAR, 26 APRIL: Nama calon Ketua Polis Negara yang baharu sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa minggu lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, nama yang ada akan diteliti oleh perdana menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah nama yang dikemukakan itu.

“Tidak penting berapa nama. Yang mustahak saya sudah bawa (kemukakan nama).

“Kalau dia (Dr Mahathir) hendak apa-apa perubahan, itu hak perdana menteri sebelum dia menghantarnya kepada Yang di-Pertuan Agong. Selepas perkenan, barulah perubahan akan dilakukan dan pengganti ditentukan,” katanya ditanya mengenai calon Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang dijadual bersara wajib bulan depan.

Muhyiddin ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Ulang Tahun ke-47 Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) peringkat negeri Johor di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin.

Sebelum itu, Muhyiddin menyerahkan sebuah Proton Persona dan empat Proton Saga kepada Rela negeri Johor sebagai membantu mereka melaksanakan tugas dengan lebih cekap serta berkesan.

Katanya penyerahan itu merupakan sebahagian daripada 109 buah kenderaan yang akan diberikan kepada setiap Rela negeri secara peringkat, tahun ini.

Selain itu, bagi menghargai jasa anggota-anggota Rela, Muhyiddin turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Rela (PPR) kepada dua orang penerima iaitu Penolong Pegawai Rela Daerah Kota Tinggi, Mohd Zain Abd Razak dan Pembantu Tadbir (Pengkeranian/Operasi) Rela Muar, Noor Aishah Idris.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

AS wajar tarik semula nasihat perjalanan ke Malaysia

KUNAK, 18 APRIL: Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan Amerika Syarikat (AS) dengan menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang ditanda K iaitu mempunyai risiko penculikan dan dijadikan tebusan, wajar ditarik balik, kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ketua Polis Negara itu berkata, perkara terbabit mendukacitakan kerana Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan AS terhadap Malaysia sebagai tidak berasas serta tidak mantap.

“Malaysia dari segi aspek kawalan keselamatan sentiasa serius dan siap siaga untuk menghadapi apa jua kemungkinan

“Tahap kawalan keselamatan kita ketika ini kita beri perhatian khususnya di pantai timur Sabah dan di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kita bekerjasama dengan agensi sahabat keselamatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, pengeluaran Nasihat Perjalanan itu bercanggah dengan statistik kemasukan pelancong ke negara ini, termasuk ke kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang meningkat dari semasa ke semasa.

“Nasihat Perjalanan yang dikeluarkan itu bersifat menjejaskan keyakinan orang ramai termasuk pelancong antarabangsa untuk berkunjung ke pusat peranginan di negara ini, khususmya kawasan pantai,” katanya.

Sementara itu, katanya PDRM giat memantau penyusupan masuk pengganas asing atau Foreign Terrorist Fighters (FTF) ke negara ini, dengan Sabah sebagai salah satu tempat hendak dijadikan pusat transit oleh elemen Daesh sebelum ke Selatan Filipina.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu setakat ini khususnya di Sabah adalah terkawal dengan operasi berterusan dilaksanakan.

“Pada Mac lalu ada 13 tangkapan FTF termasuk di Sabah.

“Kita tahu kehendak mereka mahu menjadikan Sabah sebagai transit ke Selatan Filipina tetapi kita tidak akan membenarkan gerakan itu berlaku,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan anggota PDRM tidak leka dengan kejayaan yang diperoleh kerana dalam era ini wujud pelbagai lagi ancaman yang boleh datang pada bila-bila masa termasuk ancaman Daesh.

Katanya, air tidak selalu tenang, begitu juga situasi keadaan keselamatan yang perlu konsisten di pantau serta diawasi dari semasa ke semasa. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Muhyiddin arah KPN siasat isu patung berhala di surau

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyiasat secara terperinci pihak yang bertanggungjawab meletakkan patung berhala, di Surau Sabilul Huda, Klang.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, beliau berkata, perbuatan terkutuk itu jelas berbaur hasutan dan provokatif yang berniat jahat untuk menghina Islam dan menjejaskan keharmonian kaum serta agama berkenaan.

Justeru, katanya, tindakan tegas berasaskan undang-undang perlu diambil terhadap pihak terbabit.

“Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan penghinaan terhadap agama yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

“Mereka yang melakukan perbuatan keji ini perlu ditahan mengikut proses undang-undang, didakwa di mahkamah dan dihukum jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian penghinaan terhadap Islam termasuk mesej penghinaan yang disebarkan di media sosial sejak kebelakangan ini amat berbahaya dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

“Terbaharu ialah kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan suspek kes ini sudah dikenal pasti serta siasatan diselesaikan polis.

“Saya percaya Timbalan Pendakwaraya akan membuat keputusan berkenaan pendakwaan suspek itu, di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, penduduk Taman Pendamar Indah terkejut apabila mendapati sebuah patung berhala diletakkan bersebelahan pintu masuk utama, di Surau Sabilul Huda.

Patung itu dipercayai diletakkan individu tidak bertanggungjawab sebelum disedari siak yang datang membuat persiapan solat Asar, di surau berkenaan.

 

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima menghadap KPN

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di Istana Bukit Kayangan, Shah Alamm,, pada 10 Januari lau.

Dalam pertemuan yang berlangsung sekitar jam 10 pagi, Mohamad Fuzi memberi maklum kepada baginda berkenaan pertukaran baharu jawatan Ketua Polis Selangor yang ketika ini disandang Dato’ Mazlan Mansor.

Makluman pertemuan yang berakhir sejam kemudian itu dikongsikan di laman sosial rasmi Selangor Royal Office.

Terdahulu, Mazlan dilantik sebagai Ketua Polis Selangor baharu, berkuat kuasa 7 Julai 2017 bagi menggantikan Datuk Abdul Samah Mat yang bersara wajib.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak, selain pernah menjawat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

Categories
NASIONAL

Perketat kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Indonesia

KUCHING, 7 JAN: Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia, di sebelah Sarawak akan diperketat susulan insiden penculikan lima rakyat negara ini oleh pasukan keselamatan republik itu, pada bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Puzi Harun berkata, usaha itu turut diselaraskan bersama Majlis Keselamatan Negeri.

“Usaha ini juga membabitkan pasukan tentera dan pihak berkuasa tempatan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 347 penerima, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Dalam kejadian pada 11 Disember 2018, lima pembalak Malaysia diculik sebagai tebusan oleh sekumpulan lelaki yang dikatakan anggota tentera Indonesia, di hutan berhampiran Kampung Danau Melikin.

Dua daripada mereka dilapor dibebaskan pada hari sama bagi membolehkan mereka membayar wang tebusan, manakala tiga lagi dibebaskan keesokannya susulan perundingan.

Ekoran kejadian itu, Wisma Putra menghantar nota bantahan kepada kerajaan Indonesia mengutuk perkara berkenaan.

Berhubung kes penculikan itu, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Tahniah Ketua Polis Negara baharu, ayuh siasat secara telus 1MDB

OLEH: MOHD SANY HAMZAN

Pemuda AMANAH Nasional mengucapkan jutaan tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dilantik menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib.

Perlantikan Ketua Polis Negara yang baharu diharap dapat memberikan sinar baharu terhadap perkembangan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Skandal besar melibatkan dunia itu sebelum ini seolah ‘disucikan’ dan dilepaskan biarpun pelbagai pihak sama ada dalam dan luar negara mendesak siasatan secara adil dan menyeluruh dijalankan terhadap 1MDB.

KETUA POLIS SANYBukti skandal melibatkan wang negara ini telah didedahkan oleh banyak negara dan menjadi buah mulut seluruh dunia menyebabkan Malaysia dipandang hina.

Ini termasuklah pendedahan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) apabila skandal ini melibatkan negara itu.

Pendedahan dan dakwaan yang telah dilakukan oleh banyak negara termasuklah Amerika Syarikat dan Singapura membuktikan skandal tersebut benar-benar wujud dan ia melibatkan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Adalah menjadi tugas pihak polis menyiasat secara telus biarpun yang disyaki terbabit itu adalah perdana menteri itu sendiri.

Individu-individu yang terlibat dalam skandal mega ini termasuklah Jho Low dan Riza Aziz masih bermaharaja biarpun pelbagai bukti yang didedahkan secara terperinci. Individu-individu ini seolah-olah kebal dan tidak mampu didakwa oleh pihak berkuasa negara.

Ketua Polis Negara yang merupakan jawatan kanan di dalam negara ini sudah pasti mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan dan kertas siasatan bagi mendakwa individu-individu yang terlibat dalam skandal 1MDB ini.

Kami berharap agar Mohamad Fuzi bersama dengan aspirasi rakyat Malaysia yang mahukan individu dan pihak yang tidak bertanggungjawab menjarah harta negara ini didakwa seadilnya!
* MOHD SANY HAMZAN adalah Ketua Pemuda AMANAH Nasional

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ucap tahniah pelantikan KPN baru

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun atas pelantikannya sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-11, hari ini.

Menerusi Twitter, Mohamed Azmin turut berharap pelantikan itu dapat memperkukuhkan institusi polis di negara ini .

“Tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun atas perlantikan sebagai KPN ke-11.

“Semoga kewibawaan institusi polis diperkukuhkan,” tulisnya.

Mohamad Fuzi Harun dilantik sebagai KPN menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Mohamad Fuzi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Antropologi dan Sosiologi pernah menyandang pelbagai jawatan dalam PDRM.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan Taiping serta Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman.

Pada 2014, beliau pernah memangku jawatan Timbalan KPN selama beberapa bulan ekoran penyandangnya pada masa itu, Tan Sri Mohd Bakri Zinin bersara wajib.

Categories
NASIONAL

Fuzi Harun KPN baru

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 SEPT: Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-11 menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Mohamad Fuzi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Antropologi dan Sosiologi pernah menyandang pelbagai jawatan dalam PDRM.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan Taiping serta Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman.

Pada 2014, beliau pernah memangku jawatan Timbalan KPN selama beberapa bulan ekoran penyandangnya pada masa itu, Tan Sri Mohd Bakri Zinin bersara wajib.

Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, berpengalaman lebih 40 tahun dalam PDRM selepas memulakan khidmatnya dengan pasukan keselamatan itu sebagai inspektor, pada 5 Disember 1976.

Persaraan Khalid dibuat awal sehari sebelum hari lahirnya yang diputuskannya sendiri.