Categories
AGENDA NASIONAL

Hari Kebangsaan: Sambutan norma baharu catat sejarah, teknologi 3D CGI

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini pastinya melakar sejarah baharu kepada rakyat Malaysia apabila buat julung kalinya, acara perbarisan dan perarakan mengikut norma baharu akan disiarkan melalui saluran televisyen.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Mohammad Diah Wahari berkata acara itu akan dirakam lebih awal secara berasingan bagi setiap kontinjen yang dikenal pasti bertujuan mengurangkan perhimpunan ramai selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik COVID-19 dipatuhi.

“Tahun ini, kerajaan tidak akan mengadakan sebarang acara perbarisan dan perarakan seperti sebelum ini. Acara kali ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memeriksa kawalan kehormat utama.

“Seterusnya baginda akan mencemar duli menyaksikan siaran langsung yang akan disediakan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya selepas menjadi tetamu program @Radio di Bernama Radio bertajuk Bulan Kebangsaan 2020 ‘Malaysia Prihatin’ hari ini.

Memperincikan sambutan bertema Malaysia Prihatin itu, Mohammad Diah berkata RTM diberi tanggungjawab menyunting rakaman menggunakan teknologi realiti gabung yang terdiri daripada realiti terimbuh dan teknologi 3D CGI (Imej Janaan Komputer).

Beliau mengajak rakyat untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-63 dengan menonton siaran RTM agar turut merasai kemeriahannya walaupun tidak dapat menyaksikan perarakan kontinjen beruniform, aset keselamatan dan persembahan acara simbolik secara langsung di lokasi.

“Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Hargailah perjuangan pejuang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya.

Mohammad Diah turut mengajak rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing selain menyertai pelbagai program kenegaraan anjuran KKMM, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan RTM sebagai tanda patriotik kepada negara.

Mengulas mengenai program kenegaraan, beliau berkata antara yang sedang dan akan diadakan ialah Merdeka@Komuniti, Sayembara Sajak Merdeka, pertandingan fotografi Klik@Merdeka 2020, Webinar Rukun Negara, e-Treasure Hunt, Kapsul ‘Terima Kasih Hero’ dan konsert Kita Merdeka 1957-2020.

Sambutan kali ini menyaksikan logo berbentuk hati menjadi pilihan selepas kali terakhir ia digunakan pada 2016 dengan warna bendera Jalur Gemilang menjadi latarnya, yang melambangkan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Logo dan tema Hari Kebangsaan diperkenal ketika Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Kewangan siasat isu BERNAMA tidak carum KWSP

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Kementerian Kewangan sudah diarah untuk memulakan siasatan berhubung dakwaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) tidak dapat membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana ia digunakan untuk membayar gaji bulan Julai.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, siasatan itu bagi menentukan siapa yang harus bertanggungjawab ke atas kedudukan serius itu dan menyekat bayaran sumbangan KWSP supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada wang yang harus diperuntukkan untuk bayaran emolumen, gaji dan sumbangan KWSP “dialihkan” oleh BERNAMA untuk tujuan pembayaran lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan memandang serius dakwaan itu, memandangkan fakta berhubung isu berkenaan menunjukkan sebaliknya.

“Sekiranya gaji bulan Julai tidak mampu dibayar kerana tidak menerima geran daripada Kementerian Kewangan, mengapa pula Kementerian Kewangan hanya menerima surat permohonan bertarikh 19 Julai 2019 yang diterima pada 22 Julai?” soalnya.

Menurut laporan portal semalam, agensi berita nasional itu didakwa menghadapi kekangan kewangan yang memberi kesan kepada caruman KWSP pekerja dan bayaran balik pinjaman walaupun potongan gaji sudah dilakukan.

Guan Eng berkata, dakwaan kerajaan menghadapi kekangan kewangan sehingga tidak dapat membuat bayaran KWSP adalah tidak berasas kerana Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan pembayaran gaji termasuk sumbangan KWSP.

Beliau menjelaskan emolumen dan gaji sentiasa akan diberikan peruntukan yang mencukupi agar bayaran emolumen boleh dibayar terdahulu berbanding dengan bayaran lain.

Katanya, Kerajaan Persekutuan bukanlah bankrap seperti Kerajaan Negeri tertentu yang tidak mampu membayar gaji anggota pentadbiran mereka.

“Laporan sedemikian yang membelakangkan fakta sememangnya memburukkan imej Kementerian Kewangan yang sering dipersalahkan apabila kementerian atau agensi melebihi perbelanjaan bajet dan cuba mencari alasan selain daripada kegagalan mereka sendiri menguruskan kewangan dengan baik,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Caruman BERNAMA: Kementerian Sumber Manusia belum terima laporan

IPOH, 10 OGOS: Kementerian Sumber Manusia belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), setakat ini.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat berhubung isu bayaran balik pinjaman kakitangan agensi berita itu yang tidak dilaksanakan walaupun pemotongan gaji sudah dilaksanakan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika menerima laporan berhubung isu itu daripada mana-mana pihak.

“Jika ada aduan dibuat kepada kami, kami akan ambil tindakan, memandangkan BERNAMA adalah sebuah agensi kerajaan, isu itu akan diselesaikan oleh kerajaan.

“Adalah lebih baik perkara ini dirujuk kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan kira-kira 1,000 Jalur Gemilang kepada orang ramai di Pasar Awam Kampung Tawas, di sini sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Menurut laporan portal semalam, agensi berita nasional itu didakwa menghadapi kekangan kewangan yang memberi kesan kepada caruman KWSP pekerja dan bayaran balik pinjaman walaupun potongan gaji sudah dilakukan

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rafizi: Laporan BERNAMA tak tepat

SHAH ALAM, 18 JUN: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyelar laporan Bernama berhubung kenyataan yang dikeluarkan beliau berkenaan Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

yb rafizi parlimenRafizi dalam laman facebook menyatakan, Bernama melaporkan beliau memberitahu media bahawa Mohamed Azmin akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan kedudukan Kerajaan Negeri.

“Laporan @bernamadotcom yang disiarkan @tm_insider memetik saya bahawa @AzminAli akan menghadap Sultan mengenai kedudukan Kerajaan Selangor tidak tepat.

“Saya jelaskan kepada wartawan dan @bernamadotcom bahawa isu kestabilan Kerajaan Selangor tidak berbangkit kerana @AzminAli mendapat sokongan majoriti.

“Sebagai Menteri Besar, @AzminAli mengadap Sultan setiap minggu untuk membincang pelbagai isu. Komen saya dalam konteks Menteri Besar memang brief Sultan dalam semua isu,” katanya.

Terdahulu, beberapa media termasuk Bernama melaporkan Mohamed Azmin  akan menghadap Sultan Sharafuddin dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan pentadbiran Kerajaan Negeri ekoran pergeseran PAS dan DAP.

Laporan terbabit juga menyatakan perkara itu dimaklumkan Rafizi dan tindakan Mohamed Azmin itu bagi menjelaskan situasi sebenar politik  kepada Sultan Sharafudin.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bernama Diminta Perbetul Fakta Isu Air Selangor

MB Majlis Ikrar PKPS dan SPRM Tingkat 22 SUK 01

SHAH ALAM 27 FEB : Kerajaan Negeri menegaskan bahawa artikel Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bertajuk ‘Air Selangor Dalam Keadaan Kucar-kacir’ yang disiarkan pada 26 Februari lalu oleh beberapa akhbar dan portal berita mengelirukan.

Ia juga mengandungi kesalahan fakta berhubung usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat mendapat perkhidmatan air yang lebih baik dan cekap pada kadar tarif munasabah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam suratnya kepada Ketua Editor Bernama, Datuk Yong Soo Heong berkata, Kerajaan Negeri meletakkan tanggungjawab membetulkannya atas bahu Bernama yang cuai di dalam memilih pendapat ‘pakar’ yang meragukan.

Ujar beliau, kenyataan seorang ahli akademik Dr Zaharuddin Ahmad Sabri yang mendakwa konon dirinya seorang pakar air, lantas Bernama merumuskan bahawa pengurusan dan insfrastruktur air di Selangor dalam keadaan kucar-kacir .

“Agak sukar untuk mengiktiraf beliau sebagai pakar air kerana dari semakan yang lakukan, tiada satu makalah pun samada terbitan buku mahu pun artikel pendek yang pernah beliau hasilkan khusus dalam pengurusan industri air,” kata Abdul Khalid.

Tambah Abdul Khalid, kenyataan Dr Zaharuddin yang mempersoalkan kemampuan kewangan Kerajaan Negeri membiayai tawaran RM9.65 bilion bagi membeli empat syarikat konsesi air dipertikaikan.

“Nampak jelas beliau sebenarnya tidak mengkaji Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang menerangkan secara terperinci penstrukturan semula industri perkhidmatan air.

“Selaras dengan Akta 655, aset air negeri dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada nilai yang ditetapkan.

“Oleh itu, pemerolehan aset air akan dibiayai oleh PAAB, sementara Kerajaan Negeri akan membiayai pemerolehan nilai ekuiti konsesi,” katanya.

Jelas Abdul Khalid, pada masa ini beberapa institusi kewangan tempatan dan asing menunjukkan minat untuk membiayai perjanjian ini bagi pihak rakyat Selangor.

Tawaran ini munasabah kerana memberi pulangan 12 peratus setahun kepada kepada pemegang saham disamping semua asset dan liabiliti diambilalih Kerajaan Negeri.

“Kita menegaskan bahawa penstrukturan semula industri perkhidmatan air adalah amat penting untuk memastikan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menikmati perkhidmatan air yang cekap dan berbaloi,” ujar beliau.