Categories
AGENDA NASIONAL

Maeps diaktifkan semula sebagai pusat kuarantin, rawatan Covid-19

SHAH ALAM, 9 DIS: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) diaktifkan semula sebagai langkah berjaga-jaga, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata persediaan tersebut susulan saringan besar-besaran dalam kalangan warga asing di Lembah Klang.

“PKRC dibuka dengan kapasiti maksima sebanyak 1,000 buah katil. Pembukaan fasa pertama bermula hari ini dengan kapasiti 650 buah katil yang akan ditambah secara berperingkat.

“Kita jangkakan 400 pesakit akan di tempatkan di PKRC pada minggu ini termasuk 250 pesakit warga asing yang sebelum ini diasingkan di Institut Latihan KKM (ILKKM) Sungai Buloh,” katanya pada sidang media hari ini.

PKRC Serdang ditutup pada 15 Julai selepas digunakan sebagai pusat kuarantin kumpulan susulan kewujudan kluster tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI) masing-masing di Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang.

Sejak dibuka pada 16 April, pusat tersebut merawat 1,362 pesakit melibatkan 86 peratus warga asing.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Kemudahan cukup, tidak perlu hospital sementara di Maeps

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) belum bercadang membangunkan hospital sementara di Selangor seperti yang dibina di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), memandangkan kemudahan kesihatan sedia ada mencukupi untuk merawat kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika ini KKM menggunakan Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh bagi merawat kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan di Selangor.

“Kita ada 466 katil yang telah kita khaskan untuk pesakit bergejala ringan dan tidak bergejala. Sekiranya keperluan itu ada, contohnya peningkatan kes di Selangor dan kes yang discaj kurang, jadi kita mungkin akan melihat kepada membina hospital sementara di Maeps.

“Tapi sekarang ini, kita belum ada perancangan tersebut sebab kita masih berkemampuan untuk merawat kes tersebut. Kalau kita bersetuju untuk membina hospital sementara itu, kita hanya memakan masa tiga atau empat hari.

“Itulah pengalaman yang membantu KKM untuk kenal pasti lokasi yang boleh diguna pakai sebagai pusat kuarantin risiko rendah di Selangor,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai perkembangan Covid-19 yang disiarkan melalui Facebook KKM semalam.

Sehingga kini, Selangor mencatatkan sebanyak 2,964 jumlah kumulatif kes Covid-19 termasuk 150 kes baharu hari ini serta sembilan kluster yang masih aktif.

Kluster terlibat adalah Utama, Bah Manggis, Tasik, Simera, Bah Tropicana, Sungei Way, Jalan Meru, Bah Kasturi dan Kencana.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MAHA 2020 secara hibrid dari 26 hingga 29 Nov di Maeps

SERDANG, 26 OGOS: Mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara, buat julung kalinya Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2020, akan dilaksanakan secara konsep hibrid selama empat hari bermula 26 November ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata konsep hibrid yang diketengahkan menggabungkan pameran secara fizikal yang melibatkan lebih 700 gerai serta pameran maya secara dalam talian.

Beliau berkata pameran maya MAHA 2020 adalah platform yang direka khusus bagi memenuhi keperluan perniagaan dalam industri pertanian dan makanan secara dalam talian.

“Sama seperti apa yang ditawarkan oleh pameran fizikal, platform MAHA 2020 versi maya ini juga mampu untuk mengendalikan transaksi perniagaan sama ada bagi pasaran domestik mahupun luar negara,” katanya dalam sidang media selepas majlis prapelancaran MAHA 2020, di sini hari ini.

Beliau berkata pelbagai aktiviti dalam talian akan diadakan seperti sesi perbincangan, padanan perniagaan, webinar, sidang video serta promosi produk pameran yang boleh dipaparkan secara langsung.

Berikutan wabak Covid-19 dan setiap aktiviti terhad kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara, Kiandee berkata bilangan pengunjung fizikal akan dihadkan kepada 10,000 orang sehari dan hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas dibenarkan masuk.

“Bagi mereka yang ingin hadir pameran fizikal, dinasihatkan agar mendaftar terlebih dahulu di laman web yang akan dilancarkan hujung bulan hadapan namun sekiranya ingin walk-in, ia bergantung kepada kapasiti pada hari tersebut,” katanya.

Bagi penyertaan secara maya pula, beliau berkata dianggarkan seramai 100,000 pengunjung akan menyertai pameran maya MAHA 2020 dalam tempoh empat hari tersebut.

“Walaupun kita menjangkakan keterlibatan pengunjung akan berkurang disebabkan SOP ini tetapi dari segi kualiti dan produk-produk pameran akan terus diangkat kepada produk terkini dalam industri pertanian dan agromakanan.

“Kita jangkakan daripada jualan-jualan reruai (booth), tapak-tapak pameran dan akses kepada Internet, MAHA kali ni akan menyasarkan pulangan nilai jualan RM300 juta termasuk padanan perniagaan,” katanya.

Kiandee berkata MAHA 2020 menyasarkan penyertaan kumpulan peserta seperti syarikat swasta, badan korporat tempatan, kementerian, jabatan, agensi kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana, institusi penyelidikan dan pembangunan antarabangsa dan tempatan serta institusi kewangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Covid-19 di MAEPS Serdang dikawal rapi

SERDANG, 26 MEI: Polis memperketat kawalan dan memasang pagar kawat duri di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bagi mengelakkan pendatang tanpa izin yang ditempatkan di situ melarikan diri.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata seramai 74 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditugaskan untuk mengawal selia pusat kuarantin berkenaan.

Beliau berkata kawalan rapi oleh pihak berkuasa disokong dengan pemasangan kawat duri yang dipasang semalam di blok pusat kuarantin terlibat untuk pendatang tanpa izin positif Covid-19.

“Ia adalah bagi untuk pastikan mereka (pendatang tanpa izin) ini agar tidak melarikan diri daripada saringan Covid-19 dan kawalan berkenaan turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Setakat ini, belum ada cubaan (pendatang tanpa izin) untuk meloloskan diri dan mereka ini di dalam pusat kuarantin dijaga jururawat dan anggota Imigresen,” katanya kepada Bernama hari ini.

Noor Azam berkata adalah sukar untuk polis mengesan pendatang tanpa izin yang positif Covid-19 ini semula sekiranya mereka berjaya meloloskan diri dari pusat kuarantin.

“Sekiranya ada yang positif Covid-19 susah hendak mengesan jikalau mereka melarikan diri maka lebih baik kita ambil langkah waspada awal-awal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pendatang tanpa izin di pusat tahanan lain yang didapati positif, dibawa ke pusat kuarantin di MAEPS untuk tindakan selanjutnya.

“Sebelum ini, pusat kuarantin itu digunakan oleh rakyat tempatan yang positif Covid-19 dan mereka (rakyat tempatan) telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh kerana telah kurang kes,” katanya.

Pada 23 April lepas, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 di MAEPS, Serdang mula menerima pesakit kategori tidak bergejala dari sekitar Lembah Klang sebelum digunakan untuk merawat pendatang tanpa izin.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat kuarantin berkenaan mendapati petugas media juga dilarang memasuki dan membuat liputan di situ.

Semalam, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pusat kuarantin berkenaan hanya menempatkan pendatang tanpa izin yang dikesan positif Covid-19.

Menurutnya, kawalan ketat sedemikian terpaksa dilaksanakan memandangkan terdapat kekhuatiran pendatang tanpa izin terbabit mengambil kesempatan melarikan diri ketika dikuarantin disebabkan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat Kuarantin MAEPS terima 12 pesakit Covid-19 tidak bergejala

SERDANG, 23 APRIL: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, menerima 12 pesakit kategori tidak bergejala sejak Selasa lepas.

Pengarahnya, Dr. Md Anuar Abd Samad@Mahmood berkata jumlah pesakit tertakluk kepada penerimaan maklumat mengenai pesakit daripada hospital Covid-19 di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata pihaknya turut menerima maklum balas daripada hospital Covid-19 lain antaranya Hospital Seremban dan Rembau di Negeri Sembilan yang pesakitnya memenuhi kriteria sama ada tidak bergejala atau bergejala ringan untuk ditempatkan di sini.

“Untuk tujuan itu, dua buah dewan digunakan di sini, bagi penempatan pesakit Covid-19. Berkemungkinan petang ini kita akan menerima pesakit dari Hospital Sungai Buloh untuk ditempatkan di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS di sini, hari ini.

Dr Md Anuar berkata sebanyak 64 daripada 400 buah katil pesakit sudah boleh digunakan untuk pesakit di Dewan A.

“Manakala 202 buah katil di Dewan C dikhaskan buat petugas kesihatan bergejala dan tidak bergejala akan turut mula digunakan dalam masa terdekat,” katanya.

Antara perkhidmatan yang disediakan di pusat itu ialah perkhidmatan klinikal, wad untuk pesakit Covid-19, ruang resusitasi untuk menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, perkhidmatan ambulans, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan X-ray, dan perkhidmatan makmal patologi.

Pusat kuarantin sementara itu mampu menempatkan sehingga 600 pesakit pada satu-satu masa dan ia diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Raya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

20,000 jayakan Mega Gathering 125z 3.0

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 APR: Mega Gathering 125z 3.0 di Tapak Ekspo Agro Malaysia Serdang (Maeps), Serdang, pada Sabtu lalu, berlangsung jaya dengan kira-kira 20,000 motosikal pelbagai jenis hadir ke program berkenaan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, himpunan anjuran Kerajaan Negeri bersama Pemadam Selangor itu berjalan lancar dengan semua pihak terutama peserta memberi kerjasama menjayakannya.

“Himpunan kali ketiga ini bukti aktiviti permotoran tidak semestinya berakhir dengan gejala negatif jika dilaksanakan dengan betul.

“Pemadam Selangor selaku penganjur utama yakin usaha berterusan mendidik masyarakat perlu tanpa memilih golongan sasar,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Amirudin yang juga Pengerusi Pemadam Selangor berkata, pihaknya merancang menganjurkan program sama tahun hadapan.

“Tahniah kepada semua yang memilih untuk berhimpun secara sihat dan memilih gaya hidup tanpa dadah.

“Jumpa lagi Mega Gathering 4.0 tahun hadapan,” katanya.

Mega Gathering 125z 3.0 dianjurkan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dengan kerjasama Pemadam Selangor serta dibantu Majlis Perbandaran Sepang, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan Penggerak Belia Tempatan Daerah Sepang.

Ia diadakan sebagai tanda sokongan dan menolak penyalahgunaan dadah serta meraikan ulang tahun
ke-20 motosikal Yamaha 125z.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Digesa Tidak Jual Tanah MARDI

SHAH ALAM 25 SEPT : Datuk Seri Noh Omar digesa tidak meneruskan hasrat menjual tanah milik Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang seluas 200 ekar kepada mana-mana pihak hanya untuk meraih keuntungan.

Exco Permodenan Pertanian,Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata Kerajaan Negeri Selangor menolak permohonan pihak MARDI untuk menukar status tanah itu daripada pertanian kepada perniagaan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada minggu lepas.

Dr Yaakob memberitahu pada waktu ini tanah milik MARDI berkenaan sedang dalam proses rundingan untuk dijadikan tapak universiti swasta yang berorientasikan keuntungan semata-mata.

Beliau menegaskan Noh selaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani sepatutnya melakukan transformasi terhadap MARDI untuk dijadikan sebagai salah satu pusat pertanian yang unggul di dunia.

?Selaku menteri kabinet beliau seharusnya menasihat ahli-ahli mesyuarat kabinet yang lain supaya mempertahankan tanah tersebut dari terus dijual.

“Sebaliknya, beliau hanya mendiamkan diri dalam isu ini tanpa memberikan sebarang maklumbalas.

“Difahamkan pihak MARDI tidak bersetuju dengan arahan menteri kabinet yang ingin menjual tanah tersebut dengan harga yang sangat rendah,” kata Dr Yaakob di sidang media yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
.
Beliau berkata, tanah itu ingin dijual pada harga kira-kira RM14.50 sekaki persegi walaupun harga pasaran adalah sekitar antara RM80 hingga RM100 sekaki persegi di kawasan itu.

Tambah Dr Yaakob, tanah milik MARDI ketika ini sebahagiannya dijadikan tapak Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Ujarnya, setiap tahun jutaan tetamu yang hadir mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA).

Pada 23 November hingga 2 Disember ini, dijangka seramai 3 juta orang ramai bakal hadir menjayakan pameran tersebut.

?Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha penganjuran MAHA di tapak tersebut, tetapi jangan sesekali menjual tanah di situ.

“Jika ada pihak swasta yang ingin mahukan tempat untuk pembangunan universiti atau hospital, Kerajaan Negeri bersedia menawarkan tapak pembangunan di tempat- tempat lain tetapi bukannya di tapak milik MARDI di Serdang,” katanya.

“Diharapkan pihak MARDI membatalkan permohonan jual beli tanah tersebut?,ujarnya.