Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas menteri Wilayah Persekutuan bebas tuduhan rasuah

PUTRAJAYA, 16 JULAI: Mahkamah Rayuan hari ini membebas dan melepaskan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada pertuduhan rasuah selepas membenarkan rayuan bekas menteri Wilayah Persekutuan itu untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Hakim Datuk Suraya Othman, yang membacakan keputusan majoriti 2-1 berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam penghakimannya apabila beliau mendapati perayu (Tengku Adnan) bersalah atas pertuduhan itu.

“Perayu sepatutnya telah dibebaskan. Kami perlu campur tangan dan benarkan rayuan ini.  Oleh sebab itu kami mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Hakim Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Suraya.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy bersetuju dengan Hakim Suraya, manakala Hakim Datuk Abu Bakar Jais, menentang.

Pada 21 Dis tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap Tengku Adnan, yang dikenali sebagai Ku Nan, selepas mendapati beliau bersalah.

Tengku Adnan, 70, didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Lelaki ugut ibu kandung guna pisau dijel tujuh bulan

PETALING JAYA, 22 JUN: Seorang lelaki yang melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya menggunakan pisau kerana wanita itu enggan memberikan wang untuknya membeli dadah dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret M. Barath menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Mahendran, 23, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu terhadap P. Kalaivaini, 50, di sebuah unit pangsapuri di Pelangi Damansara, PJU 6, Persiaran Surian di sini, pada 9 malam, 18 Jun lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 20 Jun lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang mengamuk telah meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah sambil mengacukan pisau ke arah wanita itu dan berkata “mahu duit, jika tak ada duit mahu kasi potong”.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara mengambil kira faktor mangsa yang diugut adalah ibu kandung tertuduh yang sepatutnya dilindungi, namun Mahendran yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara minimum atas alasan dia mabuk ketika kejadian itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Lelaki ugut, cedera teman wanita kerana tidak masak dijel tiga bulan

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Akibat mengugut, menampar dan mencekik teman wanitanya kerana tidak memasak, seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhi hukuman itu terhadap A. Hendry Kesavan, 26, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengugut V. Shamne, 21, menggunakan sebilah pisau dan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah rumah di Jalan Bukit Rawang Putra, Rawang, di sini, pada 8.30 malam, 15 Jun lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan, dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Jun lalu.

Lelaki itu didakwa mengugut Shamne dengan mengacukan sebilah pisau berukuran 24 inci kepada mangsa, dengan niat untuk mendatangkan ketakutan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap wanita itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes tertuduh yang tidak berpuas hati kerana teman wanitanya tidak memasak, telah menampar di bahagian mulut dan mencekik leher wanita itu selain mengugutnya dengan sebilah pisau, dan tertuduh kemudian ditangkap selepas mangsa membuat laporan polis.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal, mengambil kira faktor tertuduh pernah disabitkan atas kesalahan mendatangkan kecederaan parah pada 2018, namun peguam M. Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, merayu hukuman penjara singkat atas alasan pergaduhan itu berlaku kerana perselisihan faham.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

18 anak muda dibenar cabar tindakan kerajaan tangguh laksana Undi 18

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Sekumpulan 18 anak muda hari ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18 iaitu langkah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik (AVR).

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, ketika membenarkan permohonan kumpulan itu yang mewakili gerakan Undi 18 bagi mengemukakan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), berkata pemohon telah memenuhi kriteria bagi memperoleh kebenaran dan kes itu bukan sesuatu yang remeh atau menjengkelkan.

Beliau berkata oleh itu, mahkamah harus membenarkan isu ini diteruskan ke peringkat yang substantif dan membolehkan responden memberi penjelasan melalui afidavit.

“Saya bersetuju dengan hujah pemohon bahawa pindaan kepada akta dan peraturan yang berkaitan adalah isu kedua yang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pindaan perlembagaan untuk dilaksanakan.

“Pindaan perlembagaan yang menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun telah diluluskan oleh Parlimen dan mendapat perkenan Agong. Isu yang masih tergantung ialah bila ia boleh dilaksanakan,” katanya dalam penghakiman bertulis 22 muka surat yang dikeluarkan kepada media hari ini.

Ahmad Kamal berkata berdasarkan Hansard Dewan Rakyat, Perdana Menteri pada 16 Julai 2019 ketika membahaskan pindaan perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa semua undang-undang serta peraturan yang berkaitan perlu dipinda untuk menguatkuasakan Seksyen 3(a) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan Seksyen 3(b) akta sama.

Seksyen 3(a) adalah berkaitan langkah menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun manakala Seksyen 3(b) adalah berkaitan langkah membenarkan pendaftaran pengundi automatik bagi menggantikan sistem sedia ada iaitu rakyat Malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.

Beliau berkata ketiga-tiga responden dikategorikan sebagai pihak berkuasa awam.

“Justeru, pada pandangan saya keputusan responden pertama (Muhyiddin) bagi pihak responden kedua (kerajaan) pada 27 Mac 2021 dalam menerima dan mengesahkan keputusan responden ketiga (SPR) pada 25 Mac 2021 untuk menangguhkan pelaksanaan langkah menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun dari Julai 2021 hingga selepas 1 Sept 2022 adalah satu keputusan yang sah dan mengikat semua pihak yang berkaitan,” katanya.

Hakim itu juga berkata Perintah 53 Aturan 2(4) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 menyatakan bahawa mana-mana individu yang terjejas secara advers dengan keputusan mana-mana pihak berkuasa awam berhak mengemukakan permohonan tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Julai untuk pengurusan kes melalui e-Review.

Kumpulan itu diwakili peguam Datuk S. Ambiga dan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad mewakili responden pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.

Pada 2 April lepas, kumpulan anak muda itu yang berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun, memfailkan tindakan undang-undang memohon beberapa perintah mahkamah susulan tindakan responden yang menangguhkan pelaksanaan Undi 18.

Menerusi permohonan itu, mereka memohon satu deklarasi bahawa tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan langkah menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 sebagai tidak rasional, tidak sah, tidak seimbang serta adalah satu bentuk penindasan pengundi.

Mereka turut memohon deklarasi bahawa anak muda yang berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun adalah berhak mengundi pada atau sebelum Julai 2021.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

16 Jun keputusan kes pemandu lori bunuh isteri, anak

SHAH ALAM, 20 APRIL: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 16 Jun ini sebagai tarikh keputusan kes seorang pemandu lori Satvender Singh, 35, yang didakwa membunuh isteri dan bayi perempuannya berusia tujuh bulan, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa dalam keputusannya berkata beliau menetapkan tarikh itu, selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan, pada akhir kes pembelaan hari ini.

“Saya tetapkan 16 Jun depan tarikh keputusan bagi kes ini,” katanya di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin sementara tertuduh diwakili peguam Datuk Rajpal Singh.

Satvender didakwa membunuh D. Kamaljit, 34, dan bayinya Ishilyn Kaur Sandhu antara 3.55 pagi dan 4.15 pagi di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Rawang Perdana 2, Rawang pada 14 April 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Lembah Klang dilengkapi penghadang lutsinar mulai 1 April

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Mahkamah di Lembah Klang akan dilengkapi dengan penghadang lutsinar secara berperingkat mulai 1 April dalam usaha mencegah penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan mereka yang hadir ke mahkamah.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) Putrajaya ketika dihubungi Bernama berkata penghadang lutsinar berkenaan akan dipasang di meja peguam, tempat saksi, kandang tertuduh dalam bilik perbicaraan mahkamah dan bilik reman.

Menurut PKPMP, badan kehakiman telah memulakan projek rintis bagi pemasangan penghadang lutsinar tersebut di Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang bermula awal bulan ini.

“Inisiatif pemasangan penghadang adalah selaras dengan usaha badan kehakiman untuk mencegah penularan Covid-19 di premis mahkamah dan memastikan perkhidmatan dan penyampaian keadilan dapat berjalan dengan selamat, teratur dan lancar,” katanya.

Pengurusan tertinggi badan kehakiman telah bersetuju memperluaskan pemasangan penghadang di mahkamah-mahkamah di Lembah Klang susulan projek rintis di Mahkamah Sepang, jelasnya.

Ketika dihubungi, peguam Zaflee Pakwanteh, 51, yang berada di Mahkamah Majistret Sepang pada Isnin bagi sebutan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya memuji langkah pemasangan penghadang lutsinar di mahkamah itu.

“Saya sangat bersetuju dengan pemasangan penghadang itu terutama di kandang pesalah. Itu yang paling penting bagi menjaga keselamatan jurubahasa mahkamah dan peguam yang perlu berdepan dengan orang kena tuduh.

“Sebelum ini saya memakai pelindung muka ketika berurusan di mahkamah,” kata peguam itu yang berpengalaman 25 tahun dan mengendalikan kes di Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang sejak 2009.

Sementara itu, peguam Datuk Sheelan Arjunan, 44, yang berada di Mahkamah Majistret Sepang pada 8 Februari lepas untuk sebutan kes seorang artis India tempatan dikenali sebagai VJ Emergency yang didakwa membunuh, berkata penghadang itu telah dipasang di mahkamah berkenaan semasa prosiding anak guamnya.

“Mahkamah Sepang telah mengambil tindakan pencegahan tambahan dalam memastikan keselamatan bukan hanya kakitangan mahkamah tetapi juga peguam dan orang ramai.

“Kami (peguam) dapat menjalankan kes kami dengan tenang kerana mengetahui keadaan sekeliling kami terjamin dan dilindungi daripada wabak ini,” kata peguam itu yang berpengalaman 18 tahun dan banyak mengendalikan kes jenayah.

Menurut tatacara operasi piawai (SOP) semasa pandemik Covid-19 yang dikeluarkan oleh PKPMP, liputan media tidak dibenarkan dalam prosiding mahkamah terbuka kecuali bagi kes-kes yang melibatkan kepentingan umum, namun mahkamah boleh mempertimbangkan untuk menyediakan ruang untuk siaran langsung atau menyediakan kemudahan liputan media melalui aplikasi dalam talian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh kakitangan JPJ direman bantu siasatan tiris kutipan cukai jalan

JOHOR BAHRU, 22 FEB: Tujuh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan yang dipercayai melibatkan ketirisan mencecah RM3.1 juta, dua tahun lalu.

Perintah reman hingga 28 Februari itu dikeluarkan Majistret Nurmadiana Mamat yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kesemua mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berumur 27 hingga 42 tahun itu ditahan antara 11 pagi dan 1 tengah hari semalam di pejabat SPRM di sini, bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor.

Menurut sumber, mereka dipercayai telah memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM dan jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor itu dianggar mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019.

Menurut sumber tersebut, kaunter hadapan JPJ dikenal pasti antara yang mudah terdedah kepada aktiviti jenayah terutama membabitkan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa, dan isu paling kerap berlaku ialah perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan dengan menceroboh sistem JPJ.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysiakini didenda RM500,000, komen pembaca hina mahkamah

PUTRAJAYA, 19 FEB: Mahkamah Persekutuan memerintahkan Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda RM500,000 selepas mendapati syarikat itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

Bagaimanapun, mahkamah tidak berpuas hati kes telah dibuktikan melangkaui keraguan yang munasabah terhadap Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan, justeru berpendapat lelaki itu tidak bersalah menghina mahkamah.

Mahkamah memerintahkan Mkini Dotcom membayar denda itu dalam tempoh tiga hari bermula Isnin.

Keputusan Mkini Dotcom bersalah menghina mahkamah dicapai menerusi majoriti 6-1 yang disampaikan oleh panel tujuh hakim yang bersidang, diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf.

Keputusan majoriti dibuat oleh Rohana, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli, manakala Datuk Nallini Pathmanathan menentang.

Rohana berkata mahkamah mendapati pertuduhan mempermudah penerbitan komen pembaca terhadap Mkini Dotcom telah dibuktikan, justeru memutuskan syarikat tersebut bersalah menghina mahkamah.

Jabatan Peguam Negara memohon kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan berkaitan lima komen pembaca mengenai sebuah artikel yang diterbitkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

Pada 17 Jun tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan.

Pada 2 Julai tahun lepas, Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini, dan Gan gagal membatalkan kebenaran yang diperoleh Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua pengarah syarikat didakwa tipu bekal sarung tangan RM7 juta

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Dua pengarah syarikat hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung pembekalan 670,000 kotak sarung tangan melibatkan kerugian RM7 juta, tahun lepas.

Bagaimanapun, Razalif Mohamad Zain, 30, dan Mohd Razimi Ramli, 31, masing-masing pengarah syarikat Metamorphosis Skills Sdn Bhd mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah menipu Pengarah Syarikat Monosa Holding Sdn Bhd, Mohammad Nor Sakhawi Mohd Subri, 29, dengan memperdayakannya bahawa mereka boleh membekalkan 670,000 kotak sarung tangan Hartalega Nitrile Examination Glove sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang lebih kurang RM7 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Connaught, Cheras di sini, antara Jun hingga Julai 2020, mengikut Seksyan 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashraf Appoo.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas pengerusi Mara Inc didakwa 22 tuduhan rasuah, ubah wang haram RM20.45 juta

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Bekas Pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) Datuk Mohammad Lan Allani hari ini, dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini, atas 22 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM20.45 juta, membabitkan hartanah di Melbourne, Australia.

Mohammad Lan, 65, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.

Tertuduh didakwa atas 17 pertuduhan menerima suapan, tiga pertuduhan cuba menerima suapan dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, antaranya bagi meluluskan kertas cadangan bertajuk ‘Proposed Acquisition of a Student Accommodation Building and a Commercial Retail Block known as Dudley International House, 7-13 Dudley Street, Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia antara 2012 dan 2013.

Kemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi antaranya di Solaris Mont Kiara, Maybank Cawangan Mont Kiara, sebuah restoran di Bukit Kiara dan CIMB Bank Jalan Sagunting, Kota Kinabalu.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah, sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Isa Samad bersalah atas sembilan tuduhan rasuah RM3 juta

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusannya mendapati pembelaan Mohd Isa, 71, hanya merupakan penafian semata-mata dan tertuduh juga gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Dengan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munsabah terhadap tertuduh.

“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata hakim Mohd Nazlan.

Hakim Mohd Nazlan berkata mahkamah juga mendapati pembelaan tertuduh bahawa saksi pendakwaan ke-21 (SP21) Muhammad Zahid Md Arip (bekas pegawai khas politik Mohd Isa) yang merupakan saksi berkepentingan telah mengenakan ‘implicated’ tertuduh di dalam kes ini, adalah difikirkan kemudian.

“Pembelaan tertuduh bahawa SP21 berkomplot dengan saksi lain untuk berkongsi wang RM2 juta adalah tidak bermerit dan tidak boleh diterima,” kata hakim itu.

Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala peguam Datuk Salehuddin Saidin mengetuai barisan pembelaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah sekitar KL lengang susulan pelaksanaan semula PKP

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Keadaan di pintu masuk utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) di sini, yang kebiasannya sentiasa sibuk bertukar lengang susulan arahan kerajaan yang menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini, untuk mengekang penularan Covid-19.

Tinjauan Bernama di KMKL pada hari pertama PKP dilaksanakan mendapati hanya beberapa kenderaan dinaiki Hakim, Majistret dan Timbalan Pendakwa Raya yang bertugas, secara bergilir-gilir dibenarkan masuk sepanjang tempoh dua minggu perintah itu.

Menurut seorang petugas mahkamah, hanya beberapa bilik mahkamah, antaranya sebuah bilik Mahkamah Sesyen dan dua bilik Mahkamah Majistret dibuka untuk sebutan kes-kes baharu.

“Media dan orang awam tidak dibenarkan masuk kecuali petugas mahkamah dan pihak peguam yang terlibat dalam kes baharu,” katanya kepada Bernama.

Berlainan di Mahkamah Ampang, Petaling Jaya dan Selayang, pihak media dibenarkan masuk bagi membuat liputan kes-kes baharu dengan pematuhan SOP yang ditetapkan iaitu pengesanan suhu badan, pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial sepanjang masa ketika berada di kawasan mahkamah

Menurut seorang petugas Mahkamah Selayang, setiap individu yang ingin memasuki perkarangan mahkamah perlu diperiksa suhu dan mengimbas kod QR mahkamah, sebelum diberikan pelekat kuning yang ditulis suhu yang telah diperiksa.

Semalam, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan memaklumkan, semua pendengaran dan perbicaraan kes jenayah di mahkamah terbuka bermula hari ini (13 Januari) hingga 26 Januari ditangguhkan susulan pelaksanaan PKP.

Bagaimanapun, menurut PKPMP perbicaraan atau pendengaran kes sivil di mahkamah seluruh negara ini boleh dikendalikan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

Pada Isnin lepas, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – untuk tempoh 14 hari bermula hari ini (13 Januari) hingga 26 Januari.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.

– BERNAMA