Categories
PBT SELANGOR

MDKL, LBS Foundation jaya CSR bantu anak yatim

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 22 MEI: Jelas keceriaan terpancar di wajah 23 anak yatim dari Rumah Amal Raudhatul Jannah, Olak Lempit di sini, apabila mereka diraikan pada Program Menyantuni Anak Yatim sempena Ramadan anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), malam tadi.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, program tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dijayakan dengan kerjasama LBS Foundation.

“Rumah anak yatim ini dipilih kerana ia tempat yang baik dan statusnya juga berdaftar secara sah untuk penyerahan sumbangan, jadi sejak tahun lalu kita datang ke tempat mereka.

“Kita memperluaskan skop menyantuni anak yatim sebagai CSR memandangkan ini antara perkara perlu diambil kira dalam perancangan MDKL dan seterusnya memberi kesan kepada komuniti sedia ada.

“Malah, pentadbiran kita terdiri daripada rumah anak yatim, rumah ibadat dan penduduk, jadi kita menganggap mereka juga adalah sebahagian daripada komuniti di sini,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Hadir sama, Pengurus Besar LBS Foundation, Amal Abdul Aziz dan Pengerusi Rumah Amal Raudhatul Jannah, Zawalajam Mashod.

Terdahulu, Mohamad Zain menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim terdiri daripada 14 lelaki dan sembilan perempuan masing-masing berusia lingkungan lapan hingga 17 tahun.

Terdapat juga beberapa individu bermurah hati menghulurkan sumbangan duit raya kepada mereka sebagai tanda keprihatinan dan menjaga sifat belas kasihan.

Bagi meringankan perbelanjaan menjelang perayaan Aidilfitri, MDKL dan LBS Foundation turut menyerahkan replika cek sumbangan bernilai keseluruhan RM3,000 kepada rumah anak yatim terbabit.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Raudhatul Jannah zahir kesyukuran dirai MDKL

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

BANTING, 22 MEI: Rumah Amal Raudhatul Jannah menzahirkan rasa syukur di atas sumbangan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim, di sini, semalam.

Pengurusnya, Zawalajam Mashod berkata, sumbangan diberikan MDKL sedikit sebanyak dapat meringankan beban pihaknya dalam menyambut kehadiran Syawal.

“Kami berasa amat bersyukur kepada Allah SWT dengan adanya bantuan sebegini daripada MDKL sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan kami di samping dapat mengembirakan anak-anak ini.

“Mungkin bagi dermawan jumlah diberikan tidak besar tapi bagi anak-anak itu mereka rasa seronok kerana ada yang peduli dan mengambil berat.

“Bagi pihak anak-anak, saya ucap terima kasih,” katanya kepada SelangorKini selepas program terbabit.

Pada masa sama, Zawalajam berkata, pihaknya berbesar hati jika banyak pihak lain yang ingin memberi sumbangan, terutama dalam bentuk wang tunai.

“Kami tidak menolak sebarang bentuk bantuan pakaian atau makanan, tetapi keperluan utama adalah wang tunai bagi membiayai kos pembelajaran dan pendidikan mereka. Tanpa pendidikan mereka tidak akan keluar daripada keadaan ini,” katanya.

Rumah itu kini menempatkan 23 anak asnaf terdiri daripada anak yatim, fakir miskin dan saudara baharu.

Pada majlis itu, MDKL dan LBS Foundation menyerahkan sumbangan berjumlah keseluruhan RM3,000 kepada rumah terbabit berserta duit raya kepada anak-anak di sana.

Bagi orang ramai yang ingin menyumbang, boleh salurkan dana ke akaun Pertubuhan Kebajikan Asnaf Raudhatul Jannah, 5646-8710-8450 (Maybank).

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
PBT SELANGOR

MDKL mahu RGG dalam kalendar MoTAC

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 14 APR: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) merancang menjadikan penganjuran Retromania Grand Gathering (RGG) sebagai acara tahunan dalam kalendar rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC).

Yang Dipertuanya, Mohammad Zain A Hamid berkata, pihaknya akan menghantar surat permohonan secara rasmi kepada pihak berkaitan bagi memastikan hasrat itu dapat dicapai.

Katanya, inisiatif itu adalah landasan terbaik dalam mengetengahkan pelancongan yang terdapat di daerah terbabit khususnya dan Selangor amnya.

“Rancangan untuk masuk MoTAC sudah lama, cuma kita belum membuat permohonan secara rasmi kepada pihak berkenaan.

“Ini adalah hasrat kita memandangkan kejayaan kita menganjurkan RGG sejak tujuh tahun lalu, malah kita sudah berjaya mencapai dua MBOR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup RGG’19 di Dataran Pantai Morib, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Seri Abdul Rashid Asari dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharudin.

Mengakui RGG mempunyai impak tersendiri, beliau berharap cadangan itu mendapat persetujuan dan pertimbangan sewajarnya daripada pihak terbabit.

“Kalau boleh kita mahu mewar-warkan kepada seluruh dunia bahawa RGG hanya berada di Kuala Langat dan dianjurkan secara bersama dengan MDKL,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RGG’19 cipta rekod baharu dalam MBOR

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 14 APR: Retromania Grand Gathering (RGG’19) berjaya mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menghimpunkan seramai 343 pemilik motosikal scrambler dari seluruh negara.

Lebih istimewa, dua daripada motosikal berkenaan pernah digunakan dalam filem Gila-Gila Remaja yang pernah menyinari industri filem tempatan sekitar era 90-an.

Edisi ketujuh perhimpunan motosikal terbesar yang berlangsung di Dataran Pantai Morib itu turut menyaksikan kehadiran hampir 30,000 pengunjung, khususnya penggemar jentera dua roda.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, acara selama dua hari itu bukan sahaja mengumpulkan motosikal retro, malah menjadi medan terbaik buat pemilik motosikal lama berkongsi idea dan pendapat berhubung penyelenggaraan, selain sumber mendapatkan alat gantian.

“Sejak ia mula diadakan pada 2014, kehadiran peminat yang datang ke sini meningkat saban tahun dan mungkin akan lebih meningkat pada tahun seterusnya.

“Walaupun cuaca panas, tetapi sambutan begitu hebat pada tahun ini. Kita harap program ini berterusan bagi menguatkan ukhwah silaturahim antara peminat dan pengguna yang aktif bermotosikal.

“Kita akan cuba memecah rekod pada tahun akan datang dan mengubah sedikit konsep kepada motosikal besar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup RGG’19, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohammad Zain A Hamid dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharudin.

Sementara itu, Mohammad Zain berkata, pihaknya komited menjadikan Pantai Morib sebagai lokasi penganjuran acara gah seumpama itu, sekali gus mampu menaikkan imej kawasan rekreasi berkenaan.

“Penganjuran ini memberi impak positif terhadap masyarakat, selain membantu merancakkan sosioekonomi penduduk di sekitar daerah ini,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Perkenal produk pelancongan ladang teh Sri Cheeding

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 12 APR: Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan BOH Plantations dalam usaha untuk memperkenalkan produk pelancongan daerah itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ladang teh Sri Cheeding dibuka pada 1927 dengan keluasan 210 ekar serta terkenal dengan ladang teh tanah rendah mempunyai keunikannya tersendiri.

Katanya, hal itu kerana teh di ladang berkenaan ditanam di tanah rendah yang mempunyai suhu yang sederhana, tidak seperti ladang teh lain di mana ia ditanam di tanah tinggi dan memerlukan suhu yang rendah.

“Kita boleh bekerjasama, tiada masalah. Namun, ia bergantung kepada syarikat berkenaan.

“Malah, ia boleh dibuka kepada orang ramai atau galeri untuk pengunjung melihat sendiri bagaimana ia diproses atau sebagainya.

“Bagi Kerajaan Negeri dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kita mengalu-alukan hasrat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Ladang Teh berkenaan di Bukit Cheeding, di sini.

Katanya, ladang itu mempunyai daya tarikan tersendiri terutamanya bagi mereka yang ingin melihat teh tanah rendah dan juga bagi mengetahui cara teh diproses dan dibungkus.

Ladang Teh berkenaan lebih menarik kerana ia ditanam di bawah pokok kelapa sawit secara berselang seli dan ia adalah yang pertama di dunia.

Di ladang itu juga terdapat sebuah kilang beroperasi untuk memproses dan membungkus teh.

Selain itu, kilang itu juga menerima bekalan daun teh dari ladang teh di Cameron Highlands untuk pembungkusan.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

 

 

Categories
SELANGOR

Jelajah Semenanjung Malaysia promosi tema Gila-Gila Remaja RGG19

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PORT DICKSON, 25 MAC: Gila-Gila Remaja yang pernah menyinari industri filem tempatan sekitar 1985 kembali diangkat sebagai tema penganjuran Jelajah Semenanjung Malaysia anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), bermula hari ini hingga 29 Mac ini.

Siri pertama jelajah edisi 2019 itu adalah inisiatif pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit bagi mempromosikan ‘Retromania Grand Gathering 2019’ (RGG19) yang bakal berlangsung secara besar-besaran, pada 13 dan 14 April ini di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat.

Yang Dipertuanya, Mohd Zain A Hamid berkata, jelajah kali ini menghimpunkan seramai 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada pelbagai model.

“Ini adalah program baharu di samping kita turut menghimpunkan motosikal retro atau klasik yang lebih spesifik kepada motosikal berkuasa tinggi digunakan dalam filem berkenaan.

“Kita akan menjelajah ke seluruh pelusuk negeri di Semenanjung bagi menyerahkan bahan promosi RGG2019, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke program dianjurkan MDKL.

“Pada masa sama, kita berharap semua pemilik dan peminat motosikal retro dapat hadir bagi menjayakan acara terbesar itu nanti,” katanya yang turut menyertai konvoi dalam menlengkapkan misi jelajah lima hari itu.

Pelepasan peserta konvoi itu disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MDKL, Mohd Yasin Alwi di perkarangan Dewan Jugra, Banting, pada kira-kira jam 8.30 pagi.

Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Negeri Sembilan menjadi destinasi pertama bagi penyerahan bahan kempen RGG19.

Bahan kempen berbentuk sijil dan banner itu diserahkan kepada Setiausaha MPPD, Azmi Abdul Manap.

Sementara itu, Azmi ketika ditemui berkata, pihaknya komited dalam membantu mempergiatkan promosi terhadap kempen promosi RGG19 yang bakal mencatat sejarah baharu buat MDKL.

Mengakui kerjasama erat antara PBT amat penting dalam menjayakan sesuatu acara, Azmi berkata, PBT memainkan peranan penting dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat melalui perkongsian pandangan dan pendapat.

“Terima kasih kepada MDKL kerana sudi mengadakan rombongan ke sini dan saya optimis program ini amat bermakna kerana MPPD turut dipilih untuk membantu promosi acara ini.

“Begitu juga MDKL akan bersama MPPD untuk mempromosikan program yang dianjurkan di Port Dickson pada masa akan datang,” katanya.

Selain Negeri Sembilan, RGG19 akan diteruskan promosi ke Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Categories
SELANGOR

MDKL bida lambakan sampah plastik di Jalan Sungai Rambai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) melaksanakan bidaan lambakan sampah plastik hanya di satu lokasi, di Lot 3267, Jalan Sungai Rambai, kata Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru itu berkata, bidaan dilakukan dengan persetujuan pemilih tanah terbabit.

Bagaimanapun, katanya, tiada pembeli yang berminat untuk membeli lambakan sampah plastik berkenaan.

“Tindakan notis 7(A) daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat di bawah Kkanun Tanah Negara 1965 sudah diberikan kepada pemilik tanah untuk proses remedi tanah terbabit.

“Malah, pemilik tanah diberi tempoh untuk membersihkan kawasan sehingga Mei tahun ini dan setakat 4 Mac, pemilik tanah masih lagi dalam proses membersihkan rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung industri kitar semula plastik termasuk status pembidaan lambakan sampah plastik di daerah berkenaan.

Pada masa sama, katanya, untuk status 33 buah kilang yang sudah dilaksanakan operasi, kesemua kilang terbabit sudah tidak menjalankan operasi.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 22 buah kilang dibersihkan sepenuhnya, manakala 11 buah kilang dalam proses pembersihan dan dijangka akan bersih sepenuhnya pada Mei ini,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Pemilik tanah lepas tangan, asrama warga asing menjijikkan

OLEH AFIX REDZUAN

TELOK PANGLIMA GARANG, 13 MAC: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengingatkan pemilik tanah dan bangunan yang disewakan sebagai asrama bagi menempatkan pekerja asing supaya bertanggungjawab terhadap milikan mereka terutama dalam menjaga kebersihan serta keselamatan.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, kerakusan mengaut keuntungan hasil daripada aktiviti menyewakan rumah atau bilik kepada warga asing tanpa memikirkan mengenai aspek kebersihan serta kelestarian alam sekitar amat mendukacitakan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap asrama dan rumah yang menempatkan ratusan pekerja warga asing yang bekerja di kawasan kilang Telok Panglima Garang pada 11 Mac lalu, mendapati keadaan persekitarannya menjijik dan meloyakan.

“Pekerja warga asing ini dilihat langsung tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan serta memelihara alam sekitar dengan membuang sampah sarap terus ke dalam longkang hingga tersumbat serta ke tanah sebelah di bahagian belakang penempatan mereka.

“Kawasan belakang penempatan warga asing ini terlalu kotor dan menjijikkan hingga terdapat hampir semuanya yang berada dalam keadaan berlendir dan berlumut hijau tanpa dibersihkan dengan sebaiknya.

“Penempatan mereka ini juga telah dibina tanpa mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa hingga ada yang dibina setinggi dua tingkat tanpa ciri keselamatan selain ianya dibina di atas tanah berstatus pertanian.

“Pemilik tanah juga seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penempatan ini kerana mereka mengaut keuntungan hasil daripada sewaan terhadap pekerja asing ini,” katanya.

Hasil pemeriksaan di lokasi sama turut mendapati puluhan rumah telah dibina di atas tanah milik individu tanpa mempunyai kemudahan infrastruktur sebaiknya malahan ada rumah yang dibina hingga menutup longkang utama di tepi jalan sekali gus menyukarkan kerja pembersihan.

“Dalam pemeriksaan itu, kita turut mendapati rumah pekerja asing ini turut dijadikan tempat untuk memproses peralatan elektronik.

“Kita amat mengharapkan agar semua agensi yang bertanggungjawab seperti Tenaga Nasional Berhad dan juga Air Selangor di bawah bidang kuasa masing-masing memainkan peranan sepenuhnya bagi memastikan penempatan warga asing ini tidak menjadi tempat penyebaran penyakit mahu pun tempat pembuangan sampah.

“Ini kerana penduduk kampung yang berdekatan mengalami satu kehidupan amat tidak selesa hasil daripada pencemaran bau setiap hari yang datangnya daripada penempatan warga asing ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pertandingan Memancing MDKL-IJM tawar hadiah RM20,000

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 1 MAC: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dengan kerjasama IJM Land bakal menganjurkan pertandingan memancing, pada 23 Mac ini.

Pertandingan bermula dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari itu bertempat di Tasik IJM Land, Taman Rimbayu, di sini.

Menariknya, hadiah keseluruhan ditawarkan hampir RM20,000 kepada 50 peserta yang berjaya.

Juara bakal memperolehi wang tunai RM12,000; Naib Juara (RM4,000) dan tempat ketiga RM1,000.

Manakala, tempat keempat memperolehi RM600 dan RM400 dimenangi tempat kelima.

Sementara itu, tempat keenam hingga ke-10 bakal memperolehi RM250 dan tempat ke-11 hingga 30 pula masing-masing akan mendapat RM150.

Tempat ke-31 hingga 50 masing-masing bakal membawa pulang wang tunai RM100.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 012-2141 401 atau 019-6203 040.

 

Categories
SELANGOR

MDKL berjaya hapus kilang plastik haram

OLEH UMIRAH IZRIN

BANTING, 28 FEB: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berjaya menghapuskan operasi kilang plastik haram di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, MDKL komited memastikan Kuala Langat tidak lagi menjadi kawasan kilang plastik haram.

“Pejabat Tanah Daerah Kuala Langat mengeluarkan notis kepada pengusaha kilang bagi memulihkan tanah asal industri kepada pertanian.

“Sebanyak 55 kilang diberhentikan operasi serta merta manakala 14 kilang lagi diambil tindakan untuk dilupuskan sisa-sisa sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Masyuarat Penuh MDKL Bil 2/2019, di Bilik Mesyuarat Cempaka Kuning, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk setempat susulan daripada beberapa operasi yang berjaya dijalankan.

“Syarikat yang dibenarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sahaja boleh melakukan proses kitar semula,” katanya.

Terdahulu, pencemaran serius di Kuala Langat didakwa berpunca daripada kilang memproses plastik import secara haram.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

104 kilang plastik haram disita

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 23 JAN: Sebanyak 104 kilang memproses plastik tidak berlesen di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) disita, sehingga hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awan dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, ia membabitkan 71 kilang di MPK dan 33 kilang (MDKL).

Katanya, operasi bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak Imigresen itu dilakukan susulan kebanjiran plastik haram yang dibawa masuk ke negeri itu melalui Pelabuhan Klang.

“Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas dan penguatkuasaaan di dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini.

“Malah, ia juga akan membabitkan PBT lain, kita akan mengambil tindakan yang sama,” katanya selepas Operasi Bersepadu Penguatkuasa Kilang Plastik Tanpa Lesen di Telok Gong, di sini.

Sze Han berkata, hasil siasatan mendapati kilang haram berkenaan mula dibina di dua PBT ini sejak tahun lalu.

“Mereka ini degil. Kebanyakkannya sudah dikompaun tetapi masih beroperasi dan berpindah ke kawasan lain,” katanya.

Dalam operasi itu, sebanyak lima buah kilang diserbu di sekitar Telok Gong bersama beberapa agensi antaranya Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Terdahulu, ADN Kinrara itu berkata, dua PBT terbabit menjadi tumpuan kilang-kilang plastik haram ekoran kedudukannya berhampiran dengan Pelabuhan Klang.

 

“Sebab pertamanya dekat dengan Pelabuhan Klang. Keduanya, kebanyakan kawasan di sana status tanah pertanian.

“Tanah pertanian itu sewa dia murah dan dia boleh sembunyi di dalam ladang kelapa sawit, orang lain tidak nampak,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDKL: Sedia tong sampah atau dikenakan kompaun RM1,000

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 15 JAN: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengarahkan semua pemilik premis perniagaan di sini menyediakan tong sampah di tempat masing-masing bermula Januari ini.

MDKL dalam kenyataan memaklumkan, kegagalan berbuat demikian membolehkan pemilik premis dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau tindakan pendakwaan di mahkamah dengan denda tidak lebih RM2,000 serta berisiko untuk dibatalkan lesen.

Katanya, arahan itu dibuat hasil pemantauan MDKL yang mendapati masih ada pemilik premis perniagaan gagal mematuhi syarat pelesenan berkaitan pengurusan pelupusan sampah domestik.

“Lebih mengecewakan apabila pemilik tidak menjaga kebersihan di setiap premis perniagaan.

“Oleh demikian, semua pemilik perniagaan perlu mengikuti arahan ini dalam tempoh seminggu bermula dari tarikh penerimaan notis,” katanya.

MDKL sebelum itu mengeluarkan notis bertarikh 4 Januari mengarahkan peniaga di sekitar Kuala Langat menyediakan tong sampah jenis MGB 120 liter di premis masing-masing.

Pemilik premis juga diingatkan supaya tidak membuang sampah sarap ke dalam longkang sementara beg plastik sampah diikat kemas sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Pada masa sama, MDKL mengingatkan supaya pemilik premis memastikan tiada kebocoran pada beg plastik berkenaan.