Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Muda Selangor lawat mangsa banjir di Masjid Negeri

SHAH ALAM, 19 DIS: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan melawat mangsa banjir di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurut Twitter Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan menyerahkan bantuan asas.

Masjid tersebut antara yang menyediakan tempat berteduh dan pemindahan sementara untuk mereka yang terkandas susulan banjir di beberapa kawasan sejak semalam.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa sedih dan dukacita berikutan kejadian banjir terburuk yang melanda sebahagian besar daerah di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga bimbang atas kesukaran yang dihadapi rakyat selepas menyaksikan sendiri gambar dan video kawasan terjejas susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Hujan lebat luar biasa sejak kelmarin, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

800 mangsa banjir dipindah ke pusat pemindahan Johan Setia

SHAH ALAM, 19 DIS: Seramai hampir 800 mangsa banjir ditempatkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, Klang dekat sini sejak semalam.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri akan menyalurkan sumbangan diperlukan kepada mereka di pusat berkenaan.

“Bantuan makanan dan keperluan asas disediakan.

“Kerajaan Negeri akan terus menghulurkan bantuan kepada mereka di sini sehingga keadaan reda,” kata Dato Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Maklumat itu dikongsinya selepas mengadakan lawatan ke PPS berkenaan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba guna helikopter selamatkan mangsa banjir di Hulu Langat, Bentong

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersedia menggerakkan lima buah helikopter bagi melaksanakan operasi membantu mangsa di beberapa negeri yang terjejas akibat banjir.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata seramai 40 anggota dan pegawai dikerahkan untuk melaksanakan operasi membantu mangsa banjir menggunakan helikopter bermula awal lagi ini.

Beliau berkata dua lokasi tumpuan pasukan tersebut setakat ini adalah di Hulu Langat, Selangor dan Bentong, Pahang.

“Setakat ini kita memberi tumpuan kepada dua kawasan tersebut kerana arus sungai yang deras dan ada mangsa terperangkap, tetapi mereka dilaporkan selamat kerana berada di kawasan tinggi bersama tujuh hingga lapan anggota bomba yang turut sama terkandas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Nor Hisham berkata keadaan cuaca hujan dan angin kuat turut diambil kira sebelum aset helikopter diatur gerak bagi melaksanakan operasi membantu mangsa banjir.

Beliau berkata anggota diarahkan untuk mengenal pasti lokasi dan keadaan cuaca cerah sebelum melaksanakan operasi itu, bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini berlaku terutamanya apabila keadaan hujan.

Beliau berkata dalam tempoh 24 jam, pihaknya menerima 1,800 panggilan kecemasan di seluruh negara, dengan 1,600 adalah dari kawasan Selangor yang terjejas akibat banjir.

“Cabaran utama kita adalah untuk memberi respon cepat dan halangan utama adalah bagaimana untuk masuk ke kawasan terjejas dengan jalan yang ditutup, serta ada kereta yang terperangkap di atas jalan.

“Kita mohon mangsa untuk bersabar dan kita akan cuba masuk untuk membantu,” katanya.

Lembah Klang dilanda banjir menyebabkan lebih 3,600 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara setakat malam tadi, serta sejumlah pengguna jalan raya terkandas akibat laluan dan lebuh raya ditutup setelah dinaiki air.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 14,000 mangsa banjir dipindah setakat pagi ini

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Lebih 14,000 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,189 orang pagi ini.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tujuh daerah di Pahang iaitu Raub, Lipis, Bentong, Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan dilanda banjir dengan 116 PPS dibuka setakat 9 pagi.

Banjir turut menyebabkan laluan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ditutup di kedua-dua hala membabitkan Kilometer (KM) 113.4, KM84.6, KM198.7 dan KM74.4 setelah dinaiki air manakala hanya kenderaan berat dibenarkan melalui KM75.1.

Pemegang konsesi lebuh raya itu, ANIH Bhd memaklumkan KM66.4 hingga KM66.1 arah ke Kuala Lumpur juga masih ditutup bagi kerja pembersihan akibat banjir lumpur, selain kejadian tanah runtuh menyebabkan KM67.8 dan KM69.5 ditutup bagi semua kenderaan untuk laluan ke ibu negara.

Hujan berterusan juga menyebabkan bacaan di 19 stesen sungai di Pahang melebihi paras bahaya antaranya Sungai Jelai di Lipis, Sungai Tembeling (Jerantut), Sungai Bentong (Bentong), Sungai Semantan (Temerloh), Sungai Pahang (Temerloh) dan Sungai Lembing serta Sungai Belat di Kuantan.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat berterusan peringkat bahaya akan berlaku di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan hari ini, manakala Temerloh, Maran dan Pekan dijangka dilanda hujan lebat berterusan tahap buruk.

Di Selangor, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan beberapa jalan ditutup untuk laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir.

Jalan-jalan tersebut termasuk di bawah seliaan kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Klang Utara, Sungai Buloh, Subang Jaya, Kuala Langat, Sepang dan Shah Alam.

Sementara itu, Info Bencana JKM memaklumkan 4,596 orang dipindahkan setakat 7 pagi ini, membabitkan pembukaan 55 PPS.

Di Kelantan, mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi ini, dengan 3,652 orang daripada 826 keluarga ditempatkan di 44 PPS.

Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan Kapt Mohd Hanif Omar berkata 21 PPS dibuka di Kuala Krai, 15 di Gua Musang, empat di Jeli dan masing-masing dua di Tanah Merah dan Pasir Mas.

Portal rasmi eBanjir Kelantan melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai yang merekodkan bacaan 27.06 meter (m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.94 m), Sungai Lebir di Tualang (36.59 m), Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah (24.01 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.04 m).

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat sedikit kepada 261 orang daripada 88 keluarga setakat 9 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan Dungun merupakan satu-satunya daerah yang dilanda banjir ketika ini dengan tiga PPS beroperasi.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 563 orang daripada 112 keluarga melibatkan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Di Negeri Sembilan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Seremban memaklumkan laluan menuju Jalan Seremban-Simpang Pertang yang menghubungkan jalan Pantai dan Jeram Toi, Jelebu ditutup sementara kepada pengguna jalan raya susulan tanah runtuh di kawasan tersebut malam tadi.

Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 413 individu daripada 96 keluarga dan 10 PPS dibuka setakat 8 pagi ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

5,731 pusat pemindahan sementara mampu tampung 1.63 juta mangsa banjir

PUTRAJAYA, 19 DIS: Sebanyak 5,731 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara mampu menampung 1.63 juta mangsa bencana.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata penyediaan PPS itu bagi mendepani monsun timur laut yang telah bermula pada Oktober lepas dan dijangka berakhir Mac 2022.

“Setakat pukul 11.30 malam tadi, sebanyak enam negeri telah dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Sebanyak 220 PPS telah dibuka melibatkan 5,076 keluarga dan 13,872 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rina berkata bagi menangani penularan Covid-19, kesemua mangsa akan melalui saringan Covid-19 untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes Covid-19 sebelum penempatan dibuat di PPS berkaitan.

Beliau berkata kementeriannya telah menggerakkan 1,000 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa di lokasi banjir.

“Tambahan itu, pada masa ini seramai 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS yang beroperasi,” katanya.

Rina turut menyeru orang ramai supaya memastikan keselamatan keluarga terutama kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya diberi keutamaan sewajarnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB tinjau 30 keluarga mangsa banjir di Klang

SHAH ALAM, 18 DIS: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa meninjau lebih 30 keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Padang Jawa di sini, malam ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut bertanya khabar dan beramah mesra dengan sebahagian penduduk selain memastikan proses penyaluran bantuan berjalan lancar.

“Saya telah melawat PPS di Sekolah Kebangsaan Padang Jawa. Bantuan makanan, keperluan asas, ubatan sedang diurus oleh sukarelawan dan agensi Kerajaan Negeri bagi mangsa yang terlibat,” katanya di Facebook pada 18 Disember.

Setakat jam 5 petang, sebanyak 46 pusat pemindahan, lengkap keperluan asas antaranya pakaian, makanan dan pelitup muka, dibuka di Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor bagi menempatkan 3,582 penduduk.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meredah banjir untuk meninjau mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Padang Jawa pada 18 Disember 2021. Foto Facebook Amirudin Shari

Hujan lebat luar biasa sejak semalam, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Categories
AGENDA NASIONAL

20 PPS khusus untuk pesakit Covid-19 mangsa banjir

PUTRAJAYA, 24 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti 20 pusat pemindahan sementara (PPS) isolasi khusus untuk menempatkan pesakit Covid-19 yang menjadi mangsa banjir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata PPS isolasi itu bagi memastikan penularan jangkitan dapat dikawal di sesuatu kawasan yang ditimpa banjir.

“Kita akan gunakan kaedah pemetaan untuk bekerjasama dengan beberapa pihak untuk lihat tempat-tempat yang berkemungkinan ada peningkatan kes-kes jangkitan Covid-19 dan keadaan banjir di situ.

“Kita akan pastikan PPS yang kita telah kenal pasti dapat tampung kes yang positif. Sekarang ini kalau positif, akan diasingkan dan dikuarantin di rumah, jadi (apabila berlaku bencana banjir) PPS isolasi yang kita kenal pasti ini akan tempatkan mereka di situ,” katanya kepada pemberita selepas menerima Pingat Ketua Pengarah (PKP) pada majlis penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga akan menawarkan perkhidmatan pemberian vaksinasi Covid-19 di PPS isolasi terpilih kepada individu yang belum atau tidak lengkap mendapatkan pelalian itu.

“Kita akan imbangkan untuk kita pastikan tiada penularan Covid-19 di PPS selain menggunakan strategi ujian saringan, tindakan kesihatan awam dan liputan vaksinasi.

“Kalau ada mereka yang ketinggalan dalam dapatkan vaksinasi, kita akan tingkatkan liputan pemberian vaksinasi di PPS (isolasi) dan mereka juga boleh dapatkan dos penggalak di sana,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dilaporkan berkata sejumlah 5,693 PPS membabitkan fasiliti sekolah, dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti setempat disediakan di seluruh negara yang berkemampuan menempatkan kira-kira 1.63 juta mangsa banjir.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mengenal pasti rumah yang mempunyai individu sedang menjalani kuarantin atau pesakit Covid-19.

“Dengan cara itu, kita dapat memaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah rumah mana yang perlu dihantar pasukan khas yang memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk kerja menyelamat.

“Bagi mangsa banjir yang tidak dijangkiti atau berisiko, kita selamatkan macam biasa,” katanya.

Aminuddin berkata ujian saringan COVID-19 menggunakan air liur akan dilakukan bagi kemasukan mangsa banjir yang bergejala ke PPS manakala mangsa banjir yang sihat tidak perlu melakukan ujian saringan.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

27 keluarga mangsa banjir Kuala Selangor dapat bantuan LZS

SHAH ALAM, 2 OKT: Seramai 27 keluarga dari Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya yang terkesan akibat banjir bulan lalu dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bantuan berkenaan bagi meringankan beban mangsa selepas rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat berterusan selama beberapa jam, menurut agensi itu.

“Semoga sumbangan ini mampu meringankan beban mereka yang terkesan. Terima kasih pembayar zakat,” kata LZS di Facebook semalam.

Pada 19 September, seramai 48 penduduk daripada 16 keluarga di kampung berkenaan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bestari Jaya.

Jumlah itu meningkat kepada 90 mangsa pada keesokannya berikutan limpahan air setinggi satu meter terus berlaku di kawasan kediaman rendah.

Categories
AGENSI SELANGOR

Santuni enam keluarga mangsa bah, Yide sumbang barang keperluan

SHAH ALAM, 15 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyantuni enam keluarga mangsa banjir di Sepang semalam.

Pengurus besarnya berkata pihaknya memberi bantuan barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka.

“Kita harap kesemua mangsa diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Sementara itu, salah seorang mangsa Zuraidah Juhari berkata beliau bersyukur tiada kemalangan jiwa dan berterima kasih kepada Yide atas sumbangan tersebut.

“Air banjir naik terlalu cepat awal pagi tadi (semalam) sehingga mencecah paras betis. Alhamdulillah ketiga-tiga anak saya sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Bantuan segera diserahkan di dua lokasi penempatan banjir iaitu tiga keluarga di Dewan Taman Gemilang manakala bakinya di Sekolah Rendah Agama Dengkil.

Turut hadir wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kajang kumpul maklumat mangsa banjir untuk bantuan

KAJANG, 9 MEI: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang mengumpul maklumat individu yang menjadi mangsa banjir kilat di kawasan itu pada Rabu lalu.

Wakil rakyatnya, Hee Loy Sian berkata beliau difahamkan lebih 1,000 penduduk terbabit dan pihaknya sedang mengenal pasti untuk diberikan bantuan.

“Bantuan ini akan diberikan kepada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan. Kita akan cadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya memberi bantuan RM500.

“Walaupun nilainya tidak seberapa, diharap ia membantu mereka. Kita mungkin salur bantuan ini selepas raya,” katanya ketika meninjau program saringan Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian semalam.

Pada 5 Mei lalu dilaporkan hujan lebat menyebabkan lima kawasan di Kajang iaitu Taman Sungai Jelak, Taman Kantan Permai, Jalan Cheras Batu 13, Kampung Sungai Ramal Baru dan Jalan Sungai Kantan dilanda banjir kilat.

Sementara itu, Loy Sian berkata bantuan bakul makanan bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan golongan memerlukan boleh memaklumkan pihaknya untuk tindakan lanjut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong kurnia bantuan rumah baharu kepada mangsa banjir Pahang

PEKAN, 12 FEB: Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang mengalami kemusnahan harta benda, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan bantuan bagi membina rumah baharu kepada mereka yang terjejas.

Keprihatinan baginda terserlah, apabila turut berangkat turun padang bagi meninjau sendiri tapak pembinaan rumah baharu tersebut, masing-masing di Kampung Sungai Gangchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai hari ini.

Seri Paduka turut diiringi empat anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Sejurus tiba di Kampung Tanjung Pulai kira-kira 4 petang, baginda diberi taklimat ringkas oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Hafizah Zakaria, yang memaklumkan kerja pembinaan rumah setingkat berkeluasan 660 kaki persegi itu, akan bermula pada minggu depan.

Menurut Hafizah, pembinaan rumah yang mempunyai tiga bilik selain dilengkapi ruang makan dan tandas itu, akan mengambil masa 16 minggu yang dibina di atas tanah milik mangsa banjir sendiri.

Sementara itu, pemilik rumah Mohd Khanafiah Abu Bakar, 52, berkata, beliau sangat bersyukur dan tidak menjangkakan akan menerima sebuah rumah baharu pemberian Al-Sultan Abdullah.

Katanya, sebahagian struktur rumahnya runtuh akibat banjir pada awal bulan lepas dan beliau kini menumpang di rumah saudaranya, buat sementara waktu.

“Saya sangat terharu, rumah berkenaan merupakan rumah pusaka kami dan adik beradik, untuk berkumpul ketika raya dan kenduri, kami sangat menghargai pemberian baginda ini,” katanya yang menetap di Kampung Tanjung Pulai.

Bagi ibu tunggal Nur Hasnah Mat Yunos, 60, yang tinggal di Kampung Sungai Gangchong, Acheh, di sini, kurniaan baginda diibaratkan rezeki yang tidak disangka untuk mereka sekeluarga.

“Rumah kami hanya rumah papan, bila banjir habis lantai rosak. Junjung kasih kepada Tuanku yang begitu baik dan sudi membina rumah baharu untuk kami,” kata Nur Hasnah yang menetap di kampung berkenaan bersama tiga anak dan dua cucu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Islam sedia moratorium bantu pelanggan terjejas banjir

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Bank Islam Malaysia Bhd kini menawarkan kemudahan kelonggaran pembayaran balik pembiayaan atau moratorium sehingga enam bulan untuk pelanggan yang terjejas akibat banjir.

Dalam kenyataan hari ini, bank itu berkata inisiatif dikenali Program Prihatin itu bertujuan meringankan beban kewangan mangsa banjir dalam menunaikan komitmen pembayaran bulanan mereka.

Kemudahan moratorium itu adalah tertakluk mengikut syarat ditetapkan di bawah Pembiayaan Rumah, Pembiayaan Peribadi dan Pembiayaan Kenderaan Bank Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata bank berkenaan sentiasa mengutamakan kesejahteraan masyarakat dan pelanggan, khususnya dengan keadaan banjir yang buruk serta pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

“Kami berharap program ini dapat membantu melegakan mereka yang bimbangkan komitmen kewangan ketika waktu amat mencabar ini,” katanya.

Menurutnya, permohonan moratorium Program Prihatin itu boleh dibuat di cawangan Bank Islam dan mereka yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan di nombor 03-26900900.

-BERNAMA