Categories
SELANGOR

MB: Dasar Terbuka Punca Pelaburan Selangor Meningkat

PETALING JAYA, 17 FEB – Selangor terus maju dan berjaya mengurangkan karenah birokrasi serta korupsi sejak berada di bawah pimpinan Pakatan Rakyat dengan mencipta lebih banyak peluang perniagaan yang terbuka luas kepada semua peniaga tempatan mahupun asing.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, konsep pelaburan mesra yang diamalkan kerajaan Selangor dalam sektor perniagaan dilihat memberi kesan positif, malah berjaya menarik lebih ramai pelabur saban tahun.

“Selangor sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka kepada semua ahli perniagaan termasuk peniaga asing dan tempatan. Selangor adalah tempat terbaik untuk semua peniaga menjalankan perniagaan.

Kerajaan negeri juga sedang dalam usaha membangunkan dan memberi tumpuan kepada industri perkhidmatan termasuk pelancongan dan kesihatan yang boleh diceburi oleh semua golongan perniagaan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa menghadiri majlis makan malam bersama Global India SMI/SME Forum and Networking Summit Malaysia 2012 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini malam tadi.

Majlis makan malam itu adalah anjuran Persatuan Perdagangan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) bagi meraikan penglibatan mereka sebagai pelabur selama lapan dekad dalam sektor pembangunan ekonomi di Malaysia.

Tambah Abdul Khalid, keadaan ekonomi yang berkembang pesat dan stabil di Selangor turut dipengaruhi oleh sokongan padu perniagaan SMI dan SME.

Ujarnya, perniagaan kecil dan sederhana juga adalah antara penyumbang terbesar kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara atau negeri.

“Justeru itu, syarikat-syarikat seperti KLSICCI perlu merangka sebuah program yang akan membuka pasaran luas dalam usaha untuk bersaing bersama pelabur lain terutama pelabur antarabangsa,” jelasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Di Minta Sedia Dedah Isu Pasir Kepada TI

SHAH ALAM 15 FEB : Transparency Internasional (TI) akan menemui Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar bagi mendapatkan bukti dakwaannya sebelum ini berhubung penyelewengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam pengurusan pasir.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya memohon kerjasama badan itu bagi menemubual Noh untuk mencari kesahihan dakwaannya itu.

“Jika benar Noh Omar mempunyai bukti seperti mana yang didakwanya itu, beliau sewajarnya memberi kerjasama kepada TI dan segala kebenaran akan dibentangkan kepada umum kelak.

“Kami (Kerajaan Negeri) mengharapkan kerjasama itu berlangsung dengan baik,”katanya.

Abdul Khalid berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.                                                                                                                                                                                                                                               

Sebelum ini, pada Sabtu lalu Noh mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh KSSB dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Noh mendakwa daripada maklumat yang diperolehnya, sebuah syarikat diberikan diskaun sebanyak 22 peratus atau RM4 bagi pembelian satu tan pasir yang berharga RM17.50 sementara syarikat-syarikat lain hanya diberi potongan 50 sen sahaja bagi setiap tan pasir yang dibeli.

Menjawab dakwaan ini, Khalid berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dan TI diberi kebebasan penuh untuk memantau syarikat milik penuh Kerajaan Negeri itu.

Menurut beliau pegawai SPRM dibenarkan memasuk secara bebas ke pejabat KSSB sejak 2009 untuk menjalankan siasatan sekiranya perlu.

Selain itu, semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau TI dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu.

Inisiatif ini dibuat kerajaan negeri bagi memastikan syarikat ini diurus secara telus dan bertanggungjawab.

“Saya sangat berharap Noh Omar bersiap sedia bertemu dengan wakil TI,”jelasnya.

Selain itu kerajaan negeri juga telah memperuntukan RM20 juta kepada orang ramai untuk mendedahkan pelbagai penyelewengan rasuah di Selangor.

 

Categories
SELANGOR

MB: Yayasan Selangor Di Audit 3 Tahun Sekali Ketika BN

SHAH ALAM 12 FEB : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Kahlid Ibrahim menjelaskan sebelum kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor pada 2008, yayasan Selangor di Audit tidak berdasarkan perbelanjaan tahunan tetapi dilakukan setiap tiga tahun.

Sebaliknya selepas mengambil alih kerajaan Pakatan Rakyat menyediakan laporan Audit setiap enam bulan bagi memastikan kecekapan pengurusan kewangan dipantau dan diurustadbir secara berhemah.

“Satu perkara yang jelas ialah semua sedia maklum sebelum tahun 2008, akaun (Yayasan Selangor) tidak diaudit dengan betul, jadi isu mendedahkan laporan audit bukan satu perkara yang aneh kerana sejak kami (Pakatan Rakyat) ambil alih ia diaudit setiap tahun.

“Yayasan Selangor sebelum 2008, sepanjang tiga tahun akaunnya tidak diaudit dan sekarang ianya diaudit setiap enam bulan,”katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mencabar Khalid mendedahkan laporan audit dua anak syarikat kerajaan negeri itu.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, siasatan audit itu dipercayai dilakukan berikutan kontroversi perbelanjaan membabitkan kedua-dua syarikat itu baru-baru ini.

Antaranya kata beliau, Yayasan Selangor disiasat berikutan perbelanjaan RM300,000 bagi majlis sambutan ulang tahunnya ke-40 sehingga menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kos penganjuran.

Selain itu katanya, semua aktiviti membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS pula dibekukan berikutan dakwaan salah guna kuasa.

Menjawab persoalan ini, Khalid ketika menemui pemberita menjelaskan kepimpinan Selangor era pemerintahan Pakatan Rakyat ini mengamalkan ketelusan dalam tata kelolanya.

Khalid menambah, ia dibuktikan apabila akaun anak syarikat kerajaan negeri akan diaudit setiap enam bulan pada setiap tahun.

“Ia mesti diaudit dalam masa enam bulan, sasaran saya ialah bermula selepas tiga bulan, kerja-kerja audit sudah boleh dijalankan, ia tidak boleh diaudit selepas tempoh enam bulan kerana ia telah terlalu lewat.

“Displin inilah yang kerajaan negeri amalkan, jadi kepada sesiapa yang ingin melihat akaun Yayasan Selangor ataupun mana-mana anak syarikat dibawah kerajaan negeri Selangor, sebelum bulan Jun semua akaun itu telah tersedia,”ujar Khalid

Khalid berkata demikian sejurus selepas menghadiri Majlis Anugerah UPSR 2011 Sekolah-sekolah Tamil Negeri Selangor di sini hari ini.

Khalid menambah, usaha tersebut adalah untuk mencegah daripada kegagalan sebelum ini dimana akaun anak syarikat gagal diaudit selama tiga tahun.

Categories
SELANGOR

Sidang DUN 2012 Bermula 19 Mac

SHAH ALAM 9 FEB : Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor sesi 2012 akan bermula pada 19 Mac depan setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan SUK di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, antara isu yang akan diberi perhatian adalah keadaan kewangan negeri yang semakin meningkat termasuk program-program pembangunan yang bakal dilaksanakan untuk rakyat pada tahun ini.

“Menurut laporan Jabatan Kewangan Negeri Selangor, simpanan tunai kerajaan negeri bertambah lebih 26 peratus dan secara terkumpul melebihi RM1.9 bilion sehingga hujung 2011 berbanding kurang RM500 juta pada tahun 2007.

Penyata kewangan itu telah diserahkan kepada jabatan audit tetapi akan dikemaskini semula untuk mendapat pengesahan,” katanya.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut memaklumkan exco kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat sebagai usaha untuk melaksanakan pemberian Geran Selangorku bernilai RM300 juta yang telah diluluskan pada sidang DNS lalu.

“Pengagihan itu dibuat supaya proses pelaksanaan dapat dilakukan dengan cekap dan berkesan, sekaligus mengurangkan birokrasi dan tepat kepada matlamat iaitu terus sampai kepada rakyat.

Geran yang dibentangkan Belanjawan Selangor 2012 berasaskan dana sumbangan dividen daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan Selangor serta keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk dari Syarikat Talam Corporation.

Ia juga adalah hasil penstrukturan semula projek Canal City dan pengenalan polisi pemberi milikan tanah mengikut harga pasaran.

Antara program yang akan dilaksanakan melalui Geran Selangorku adalah pengenalan gaji minima, program memperkasakan wanita, program keusahawanan muda, pembinaan infrastruktur sukan, program sokongan pendidikan, program dari kebajikan kepada pekerjaan dan program jangkaan kehidupan bandar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Faekah: Khir Toyo Tinggalkan Beban Besar Di Selangor

SHAH ALAM,7 FEB : Kenyataan bekas Menteri Besar, Dr Mohamed Khir Toyo bahawa beliau tidak terlibat dalam penyerahan konsesi air kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) membuktikan beliau sebenarnya tidak layak dan gagal selaku Menteri Besar Selangor.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin,sebagai bekas pemimpin nombor satu di Negeri Selangor, Khir sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Syabas menguruskan perkhidmatan pembekalan air dengan baik seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bersama.

“Sesungguhnya Tun Dr Mahathir Mohamad yang memilih Khir turut bertanggungjawab di atas kegagalan ini. Sungguh memeranjatkan apabila seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat tiba-tiba menuding jari ke arah orang lain bagi melepaskan dirinya yang kini dianggap sebagai kera sumbang oleh partinya sendiri,” tegas Faekah dalam kenyataan medianya.

Menurut Faekah, Khir sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Syabas menguruskan perkhidmatan pembekalan air dengan baik seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bersama.

Khir terlupa perjanjian yang ditandatangani pada 2004 adalah perjanjian tiga pihak dan Kerajaan Negeri turut terlibat dalam perjanjian tersebut bersama Kerajaan Pusat dan Puncak Niaga selaku syarikat induk kepada Syabas.

Khir juga tidak boleh menafikan hakikat bahawa Puncak Niaga mempunyai kaitan rapat dengan Umno; Tan sri Rozali Ismail yang merupakan Bendahari Umno Selangor ketika itu.

“Syabas gagal mematuhi terma-terma perjanjian khususnya dalam meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air bersih kepada pengguna di Lembah Klang termasuk gagal mengurangkan peratusan air tidak berhasil (NRW) tetapi Kerajaan Negeri ketika itu di bawah pimpinan Khir, gagal bertindak sewajarnya,” katanya.

Tambah Faekah, di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN), masalah-masalah perkhidmatan air yang gagal ditangani Syabas amat jarang sekali diberi tumpuan biarpun rungutan serta aduan pengguna diterima setiap hari tetapi tidak endahkan hanya kerana Syabas adalah syarikat kroni Umno.

Hal ini membuktikan kegagalan penswastaan; meskipun penswastaan asalnya untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dengan sedikit tanggungan kepada kerajaan negeri namun apabila penswastaan dikhianati dengan memberi kontrak kepada kroni dan syarikat yang tiada kepakaran maka inilah akibatnya. Rakyat terpaksa menanggung beban yang tinggi.

Khir tidak perlu berlagak naïf kerana di bawah pentadbirannya, memberi kontrak kepada syarikat-syarikat kroni telah menjadi budaya dan kemestian; matlamatnya satu- untuk mengkayakan kaum kerabat dan sahabat handai bagi kesinambungan parti kononnya.

Khir tidak boleh menafikan, ketika zamannya sebagai Menteri Besar beliau telah memberikan kontrak-kontrak kepada syarikat yang berkait rapat dengan dirinya antaranya syarikat Lebar Daun Sdn Bhd (Lebar Daun); syarikat pembangunan hartanah yang kaya raya hasil pemberian kontrak secara terus, perjanjian usahasama dengan syarikat kerajaan negeri yang berat sebelah serta penganugerahan tanah berlokasi strategik.

Kontrak pembinaan asrama Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya adalah contoh nyata hinggakan Unisel berhutang ratusan juta yang terpaksa ditanggung kerajaan hari ini. Lebih malang lagi, sehingga hari ini asrama tersebut masih mempunyai kecacatan akibat dari mutu binaan yang jelek dan tidak mengikut spesifikasi selamat.

Malahan banyak projek perumahan kos rendah terbengkalai kerana syarikat yang mendapat kontrak ini gagal menyiapkan projek dan telah menghilangkan diri.

“Atas nama pembangunan banyak tanah peneroka diserahkan kepada syarikat yang kebanyakannya adalah milik kroni Umno dan BN sedangkan hakikatnya tiada pengalaman dalam projek pembinaan.

Akibatnya tanah-tanah tersebut tergadai kepada bank. Bukan sahaja peneroka kehilangan tanah, malah pembeli juga terpaksa menanggung hutang dan ramai di antara mereka telah diistiharkan muflis,” ujar Faekah.

Faekah turut menjelaskan,beberapa projek sekadar contoh termasuklah projek Alam Perdana di Kuala Selangor, projek Bukit Botak di Selayang, Kampung Berembang di Ampang dan projek perumahan di PJS1 yang kesemuanya berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Rakyat jugs masih menunggu apakah kesudahan kes Khir Toyo menggunakan dana Kerajaan Negeri untuk bercuti bersama keluarga termasuk orang gaji ke Disneyland yang masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mungkin menjadi amalan di dalam UMNO, tindakan hanya dikenakan ke atas seteru politik dan tindakan Khir menganggkat tangan adalah sebagai tanda tidak akan melawan lagi, namun bagi pembayar cukai dan seluruh rakyat Selangor , Khir harus bertanggungjawab ke atas dosanya yang mengkhianati amanah yang diberikan,” ujar Faekah.

Categories
SELANGOR

MB Selangor: Negara Berkebajikan Tidak akan Bankrap

BATU CAVES, 7 FEB : Negara Berkebajikan yang diamalkan Pakatan Rakyat tidak akan menjadikan Selangor bankrab kerana di urustadbir secara berhemah dan tidak melibatkan amalan rasuah, salahguna kuasa dan amalan kroni sebagaimana yang dilakukan oleh BN

Pakatan Rakyat (PR) telah membuktikan Selangor tidak menghadapi masalah ekonomi biarpun Kerajaan Negeri mengamalkan pendekatan mengutamakan kepentingan rakyat dengan menjaga kebajikan serta menyalurkan bantuan secara berterusan dan konsisten.

Sebaliknya dengan pentadbiran penuh berhemah dan kebertanggungjawaban, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Selangor mencatat pertumbuhan ekonomi membanggakan sejak PR mengambilalih pentadbiran negeri Selangor.

Beliau berkata, dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan negara akan mengalami masalah ekonomi dan bangkrap sekiranya PR mengambilalih pentadbiran negara dengan mempraktikkan “negara berkebajikan” adalah tidak benar.

“Dia (Najib) telah mengatakan jika ini diberikan kepada Pakatan Rakyat, negara kita akan bangkrap dan tiada duit untuk membiayai usaha kebajikan tersebut. Sebelum 2008 tidak banyak usaha kebajikan yang dilakukan Kerajaan Negeri Selangor sebelum Pakatan Rakyat mentadbir Selangor.

“Apabila kita mentadbir Selangor, kita bagi air percuma 20 meter padu kepada semua rakyat Selangor. Kita bagi peruntukan pendidikan, RM16 juta bukan sekali tetapi setiap tahun untuk sekolah yang tidak dibantu Kerajaan Persekutuan sebelum ini. Kita ada program warga emas, khairat kematian kepada semua rakyat Selangor tak kira bangsa dan agama malah tak kira fahaman politik pun,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniam di sini semalam.

Abdul Khalid mengulas kenyataan Najib ketika lawatannya ke Klang Ahad lalu yang mengatakan negara akan menghaadapi masalah ekonomi atau bangkrap sekiranya pentadbiran kebajikan diamalkan apabila PR mengambilalih tampuk pemerintahan negara.

Beliau berkata, sejak Mac 2008, Kerajaan Negeri ditadbir PR telah membuktikan pentadbiran dengan menjaga kebajikan rakyat tidak akan memberikan masalah terhadap Selangor dan negeri itu tidak akan menjadi bangkrap.

Turut hadir, Exco Kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu Thian Khiew; ADUN Batu Caves, Amiruddin Shaari; Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa; Ahli

Parlimen Kapar, S Manikavasagam; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne dan Naib Presiden PKR, N Surendran.

Dalam majlis itu, Abdul Khalid menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri untuk Peruntukan Sekolah Tamil seluruh Selangor sebanyak RM1.03 juta, Peruntukan Rumah Ibadat Selain Islam (RM770,000) dan Peruntukan Pembinaan Bangunan SRJK(T) Ladang Coalfields Sungai Buloh (RM1 juta).

Menteri Besar turut menjelaskan Kerajaan Negeri telah melaksanakan banyak program kebajikan bagi rakyat Selangor melibatkan peruntukan lebih RM500 juta.

“Persoalan yang ditanya rakyat Selangor dengan kebajikan diberikan Kerajaan Negeri Selangor yang ada sekarang, Adakah Selangor bangkrap? Jawapannya tidak. Jawapannya lebih baik. Sebelum kita mentadbir Selangor, rizab kita hanya kurang RM400 juta dan sekarang masuk tahun keempat kita sudah kumpulkan lebih RM1.9 billion. Empat kali ganda lebih besar. Jadi kalau Najib kata negara kebajikan maka negara bangkrap, itu kerana tak tahu mentadbir,” katanya.

Categories
NASIONAL

PR Berbakti Pada Setiap Waktu

IJOK, 6 FEB : Kerajaan Pakatan Rakyat mengamalkan dasar bekerja untuk rakyat tanpa mengira waktu dan bukan sekadar mengambil hati sempena Pilihanraya Umum sepertimana yang diamalkan oleh Kerajaan Umno-BN.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu bahawa peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan PR bukan sekadar memancing undi sebaliknya dilakukan sejak memegang tampuk negeri pada tahun 2008.

“Setiap tahun semenjak 2008, kita memperuntukkan dana lebih daripada RM16 juta kepada sekolah persendirian Cina, Tamil dan Agama Rakyat yang sebelum ini tidak dihiraukan oleh Barisan Nasional selama berpuluh-puluh tahun.

“Ini bukti bahawa kita telah dapat jalankan tugas dan menunaikan janji-janji kita kepada rakyat,” ujar Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Sambutan Pesta Ponggal Peringkat DUN Ijok yang diadakan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Chi Batang Berjuntai petang tadi.

Selain itu, Khalid turut memberitahu bahwa kerajaan PR turut membawa banyak perubahan dalam pentadbiran negeri antaranya dari segi ekonomi dan sosial.

“Sebelum ini tidak pernah kita berpeluang menggunakan Sekolah Tiong Hua untuk sambutan perayaan Ponggal. Tapi kini kita sudah berpeluang.

“Inilah antara bukti bahawa kita telah bawa perubahan dalam minda tiap-tiap rakyat,” jelas Khalid lagi.

Majlis yang bermula pada pukul 5 petang itu dihadiri lebih 500 orang pengunjung selain kehadiran tetamu-tetamu kehormat yang lain iaitu EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Categories
SELANGOR

MB Gesa Masyarakat Sokong PBT Kutip Sampah

PETALING JAYA, 5 FEB : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa masyarakat setempat supaya bersama-sama berganding bahu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat didiami.
Beliau menyampaikan amanat itu dalam ucapannya di Majlis Mesra Gong Xi Fa Cai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2012 yang diadakan di perkarangan parkir Dewan Sivik MBPJ malam tadi.

“Saya mahu semua memberi sokongan tentang usaha membersihkan sampah kerana ia sekarang di bawah bidang kuasa majlis bandaraya.

“Ini kerana kamu semualah pemilik kepada bandaraya ini. Duit yang dibelanjakan bagi usaha ini juga hak rakyat. Maka kita mahu penglibatan semua masyarakat menjayakannya,” tegas Abdul Khalid.

Sebelum ini, kerja-kerja pengutipan sampah dilakukan oleh syarikat Alam Flora Sdn Bhd sebelum diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) pada September tahun lepas.

Usaha ini bagaimanapun diganggu pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan kerja pembersihan sampah-sampah oleh PBT dengan mengugut kontraktor kutipan sampah dan membuang longgokan sampah di kawasan perumahan.

Pada majlis yang sama, MBPJ merealisasikan konsep hijau selaras dengan hasratnya menjadikan Petaling Jaya sebuah bandaraya hijau berkarbon rendah.

Majlis malam tadi mengaplikasikan penggunaan bekas makanan yang berasaskan bahan bio-degaradable serta kehadiran maskot kitar semula 3R dan pameran hijau.

Disamping kehadiran dua ribu pengunjung, majlis turut diserikan dengan kehadiran EXCO Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Haji Mohamad Roslan Sakiman serta ahli-ahli majlis MBPJ.

Categories
SELANGOR

Simpanan Negeri Melonjak Ke Hampir RM2 billion

SUBANG, 4 FEB : Kecekapan dan ketelusan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dalam mentadbir negeri Selangor sejak 2008 terbukti apabila hasil simpanan tunai kerajaan negeri meningkat kepada RM1.9 bilion.

Ini merupakan peningkatan daripada RM1.2 bilion yang dilaporkan tahun lepas.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya semasa menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Pekan Subang hari ini.

Menurut Abdul Khalid, pengurusan wang yang beramanah sebagaimana dilakukan kerajaan Selangor membuktikan komitmen PR terhadap pemerintahan yang adil dan tidak berbelah bahagi.

“Ini menunjukkan bahawa negeri Selangor yang ditadbir PR boleh menjaga wang rakyat dengan baik, selaras dengan tema Selangorku : Hasil Negeri Untuk Rakyat. Kerajaan terdahulu (Umno-BN) tidak pernah membela nasib rakyat.

Perkara ini juga sekaligus membuktikan PR boleh mentadbir negeri Selangor jauh lebih baik berbanding kerajaan Umno-BN,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru rakyat untuk menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 yang ditawarkan kerajaan pusat kepada setiap keluarga yang memiliki pendapatan kurang daripada RM3000.

“Rakyat perlu menggunakan peluang yang ada ini untuk segera mengambil bantuan yang diberikan kerajaan persekutuan kerana wang itu adalah hak milik rakyat yang dikembalikan semula.

Saya juga menyeru kepada setiap wakil rakyat untuk sama-sama membantu mereka yang berkelayakan ini segera mengisi borang,” tegasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rakyat Diseru Pilih Pemimpin Pejuang Rakyat

CHERAS, 1 FEB : Rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu memilih kerajaan yang bekerja kuat, yang memperjuangkan nasib mereka serta mampu menyediakan masa depan yang lebih baik dan terjamin.
Itulah amanat dan pesanan Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ucapannya dalam satu majlis rumah terbuka Sambutan Tahun Baru Cina di padang Flat Sri Johor, Batu 3 1/2 di sini petang tadi.

“Ada yang kata Anwar Ibrahim alat Cina. Nanti ada yang akan kata saya alat India. Memang saya mengaku saya alat Cina, saya alat India, saya alat Melayu.

“Kerana saya mahu jadi pemimpin yang menjadi alat kepada seluruh rakyat mendapatkan apa yang selama ini patut dinikmati mereka,” tegas Anwar.

Anwar turut berkongsi kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat yang menjaga harta dan kebajikan rakyat dengan baik di negeri-negeri pentadbirannya.

“Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang misalnya telah memperuntukkan lebih kurang RM1 billion wang kerajaan negeri bagi menyediakan rumah kos rendah yang mampu dimiliki rakyat.

“Sepatutnya ia dimajukan oleh kerajaan persekutuan tetapi oleh kerana kerajaan lembab, maka kerajaan negeri pakatan mengambil inisiatif sendiri demi rakyat,” jelas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat ini.

Sementara itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mengumumkan bahawa kerajaan Selangor kini mempunyai RM 1.9 ribu juta simpanan selepas perbelanjaan melebihi RM 500 juta.

“Kenaikan rezab ini adalah sebanyak 27 peratus daripada tahun lalu. Jadi dengan lebihan ini dapatlah kita berbelanja untuk rakyat.

“Bukan seperti kerajaan persekutuan yang terpaksa berhutang untuk beri rakyat wang imbuhan, sebaliknya kita menggunakan wang yang ada dalam tangan untuk dikembalikan pada rakyat,” beritahu Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam pada itu, EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata bahawa majlis sambutan seumpama ini seharusnya menjadi program wajib untuk mengeratkan barisan pimpinan kerajaan dengan rakyat.

“Kesempatan ini bukan sekadar untuk merapatkan hubungan dua hala rakyat dan pemimpin, tetapi juga boleh dijadikan platform bagi kerajaan menjelaskan dasar-dasar mereka kepada rakyat.

“Ini kerana rakyat seharusnya faham dan tahu apa yang dilakukan kerajaan samada betul atau salah,” ulas Ronnie.

Majlis sambutan anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Parti Keadilan Rakyat Bandar Tun Razak itu bermula seawal jam 2.30 petang dan dihadiri kira-kira 2,000 rakyat dari pelbagai kaum. Sebanyak 14 gerai makanan dan minuman yang disediakan disamping acara selingan nyanyian dan bacaan sajak oleh penduduk di situ.

Di samping itu juga, Khalid turut menyampaikan sumbangan angpaw kepada warga emas dan kanak-kanak.

Selain Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim dan Ronnie Liu, antara tetamu lain yang turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub serta Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Dr Idris Ahmad.

Categories
NASIONAL

Bekas Mufti : Tiada Masalah Sekiranya Menteri Besar Pegang Portfolio Agama.

SHAH ALAM, 25 JAN : Sesiapa sahaja layak menyandang portfolio Hal Ehwal Agama Islam asalkan mereka mempunyai keupayaan dan kesungguhan dalam menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat.

Demikian reaksi bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya ketika dihubungi TV Selangor di sini hari ini.

Kenyataan itu disuarakan Hashim ketika mengulas mengenai tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam yang dulu disandang Dr Hasan Ali.

Beliau berpendapat, parti mana yang dapat portfolio tersebut bukan persoalan yang penting.

Sebaliknya, yang menjadi keutamaan adalah individu yang menggalas tugas tersebut mestilah mempunyai keupayaan dan kesungguhan dalam menjalankan program Islam.

“Kita tidak mengambil kira sama ada seseorang itu adalah ahli PAS atau PKR, tetapi yang penting adalah program agama di Selangor ini berjalan dengan lebih lancar.

“Kita tidak mahu apabila portfolio itu berpindah ke parti lain, maka ajaran Islam itu bertambah tidak bermaya atau lembab.

“Program Islam itu mestilah disebarkan secara berterusan dan ditingkatkan. Tidak kira siapa yang pegang. Kalau parti A yang pegang, tetapi tiada perubahan, apa faedahnya?

Begitu juga parti B. Bagi saya, tidak timbul parti mana yang layak, tetapi usaha seseorang itu untuk memberbanyakkan program Islam dan memberi fahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat. Itu yang penting,” tegasnya.

Kontroversi mengenai perkara ini timbul selepas media pro-Umno mendakwa PAS menerima tamparan hebat di Selangor apabila parti itu seolah-olah tidak diiktiraf oleh sekutunya di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ini kerana portfolio Hal Ehwal Agama Islam di Selangor bertukar tangan daripada pemimpin PAS kepada PKR pada 18 Januari.

Malah, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali turut mengkritik keputusan Abdul Khalid dan mendakwa ia memberi jalan kepada kegiatan tidak bermoral dan memelihara kepentingan kumpulan ahli perniagaan menjelang pilihan raya.

Hashim berkata, sekiranya Abdul Khalid menyandang portfolio tersebut
beliau akan memastikan supaya program agama berjalan dengan lebih lancar memandangkan Menteri Besar mepunyai segala keupayaan dan kemudahan.

Tambahnya, Menteri Besar juga tidak akan menggalas tugas itu bersendirian, sebaliknya beliau akan disokong oleh seorang pembantu sama seperti yang dilaksanakan exco sebelum ini untuk meneruskan urusan agama di Selangor.

“Saya tidak nampak perkara ini akan menjejaskan, tetapi gandingan yang hendak membantu itu mestilah terdiri daripada individu yang mempunyai keupayaan dan kesungguhan serta keikhlasan dalam menyebarkan fahaman Islam yang syumul kepada rakyat,” ujarnya.

Pada 18 Januari lalu, Abdul Khalid membuat rombakan portfolio ekoran pelantikan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Kerajaan Negeri menggantikan Dr Hasan.

Dr Ahmad Yunus yang sebelum ini merupakan Pembantu Exco Belia dan Sukan dilantik untuk mengetuai portfolio Jawatankuasa Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

Categories
SELANGOR

Yayasan Selangor Perlu Bangun Pendidikan Pelajar Luar Bandar

HULU SELANGOR,21 JAN : Yayasan Selangor diseru untuk terus memainkan peranan penting dalam memberikan peluang dan menolong pelajar luar bandar mencapai kecemerlangan setanding dengan pelajar bandar.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan pengurusan Yayasan Selangor untuk terus menjadi penggerak dan pemangkin generasi luar bandar.

“Jadi sebab itulah Yayasan Selangor diilhamkan, supaya murid-murid daripada luar bandar dapat bersama-sama berganding bahu dengan pelajar-pelajar di sekolah menengah di bandar dengan itu mereka akan mempunyai pelajaran dan aktiviti yang sama, dalam keadaan itu minda mereka terbuka untuk bercita-cita menjadi pelajar yang terbaik,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2010 yang berlangsung di Kem Bina Semangat Ampang Pecah, Kuala Kubu Baru, di sini.

Turut hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan,Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali dan Pengurus Besar Yayasan Selangor Ilham Marzuki.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor merupakan majlis tahunan yang dilaksanakan sejak 1970-an yang merupakan salah satu usaha menggalakkan pelajar agar berusaha dengan lebih tekun dan gigih.

Abdul Khalid juga berharap Yayasan Selangor menunjukkan keupayaan dalam mengurus dana dan hartanah milik Yayasan Selangor dengan baik dan cekap.

“Dalam usaha untuk membangunkan pendidikan itu, saya juga meminta Yayasan Selangor supaya dapat mengurus harta-harta yang diberikan kepada Yayasan Selangor sebagai amanah untuk dijadikan punca-punca dana untuk membangunkan Yayasan Selangor .

“Kerajaan negeri adalah bertanggungjawab untuk berusaha dan menentukan pengurusan Yayasan Selangor ini terus bertanggungjawab dan membuktikan keupayaan dalam mencapai kejayaan mengurus hartanah Yayasan Selangor,dana dan para pelajar serta mampu menggembeling tenaga bagi memberi terus bakti,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Yayasan Selangor Ilham Marzuki berkata Yayasan Selangor terus komited membangunkan masyarakat luar bandar melalui pendidikan sebagai usaha membasmi kemiskinan melalui pemberian biasiswa dan pinjaman kepada para pelajar yang berkelayakan.

“Kita telah mengambil langkah meluaskan program asrama di bawah Yayasan Selangor di luar Kuala Lumpur dan telah terbukti mencapai kejayaan dengan program yang baik serta pelajar dapat mencatat keputusan yang sama baik dengan pelajar-pelajar di bandar.

“Kebelakangan ini, Yayasan Selangor turut menempatkan pelajar yang mempunyai sekolah harian dan sekolah rendah agama yang ditawarkan untuk menyertai program ini. Pada tahun ini kita telah meluaskan program ini kepada 50 buah sekolah harian dan sekolah agama ,” katanya.

Dalam majlis itu, Muhammad Firdaus Haris menerima Anugerah Khas Yayasan Selangor, manakala Afidah Ab Wahab dinobatkan sebagai Siswazah Terbaik. Anugerah Pelajar Harapan pula dianugerahkan kepada Muhammad Solleh Asmadi.