Categories
NASIONAL

Anggota kabinet dilarang bawa pasangan ikuti lawatan kerja luar negara

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Anggota kabinet terbabit lawatan kerja ke luar negara kurang dari seminggu, tidak dibenarkan membawa pasangan masing-masing.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia antara pembaharuan dilaksanakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi menangani masalah rasuah yang berlaku sebelumnya.

“Ia antara perkara diputuskan di mana lawatan kerja itu adalah bersifat kerja dan tidak boleh membabitkan perkara lain iaitu membawa isteri (atau suami) bersama.

“Antara garis panduan ditetapkan ialah lawatan kerja kurang dari tujuh hari, hanya dua pegawai boleh dibawa (menteri atau timbalan menteri) untuk tujuan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berakhir wacana Bicara Minda: Ekonomi Kesejahteraan Untuk Semua di ibu pejabat Sinar Harian di sini, hari ini.

Katanya, seseorang anggota kabinet itu hanya diizinkan membawa pasangan masing-masing sekiranya lawatan kerja dihadiri melepasi tempoh lebih tujuh hari.

“Tetapi Perdana Menteri dibolehkan membawa pasangannya (ke luar negara) atas kapasiti sebagai isteri Perdana Menteri,” katanya menjawab pertanyaan media berhubung perkara itu.

Sebelum itu, Mohamed Azmin dalam wacana berkenaan menjelaskan, pendekatan diambil kerajaan PAKATAN pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu bagi mengatasi masalah rasuah yang berlaku daripada kerajaan terdahulu.

Katanya, pemimpin menyertai lawatan kerja juga hanya dibolehkan hadir pada hari di mana ia berlangsung dan tidak dibenarkan pergi lebih awal.

“Jika pada masa dahulu, menteri pergi dua atau tiga hari lebih awak untu bermain golf dan isteri pergi membeli belah tetapi kini tidak dibolehkan lagi.

“Kerajaan juga menetapkan pengisytiharkan harta perlu dilakukan semua anggota kabinet dan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berbanding sebelumnya hanya diserahkan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Categories
NASIONAL

Malaysia masih pertimbang tawaran pinjaman Jepun

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Perbincangan antara Kerajaan Malaysia dan Jepun masih berjalan berhubung pinjaman yang ditawarkan negara itu, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, kerajaan juga sedang mempertimbangkan dan hanya akan menyetujui sekirannya tawaran itu memenuhi kehendak dalam mengatasi masalah hutang yang ditanggung negara ketika ini.

“Ia masih dalam perbincangan, kita sedang melihat tawaran diberikan Kerajaan Jepun itu.

“Kita boleh mempertimbangkannya sekiranya kadar faedah diberikan rendah dan boleh membantu menyelesaikan hutang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berakhir wacana Bicara Minda: Ekonomi Kesejahteraan Untuk Semua di ibu pejabat Media Karangkraf di sini, hari ini.

Beliau berkata, proses peribincangan bagi mencapai persetujuan masih berjalan antara kedua-dua pihak.

“Sebelumnya, Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) mengadakan pertemuan dengan delegasi Jepun dan mereka mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan,” katanya.

Selepas mengambilalih pentadbiran Kerajaan Persekutuan dari Barisan Nasional, pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendapati negara menghadapi masalah hutang lebih RM1 trilion.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, kerajaan menimbang mendapatkan kemudahan pinjaman itu bagi mengurangkan ‘high cost of money’ kerana kadar faedah hutang diambil pentadbiran terdahulu terlalu tinggi iaitu lebih enam peratus.

Pada masa dahulu, Kerajaan Malaysia pernah menerima kemudahan pinjaman daripada Jepun pada kadar faedah 0.7 peratus dengan tempoh bayaran semula selama 40 tahun.

Categories
NASIONAL

Kebebasan navigasi Laut China Selatan perlu kekal tanpa halangan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Kebebasan navigasi di Laut China Selatan perlu dikekalkan di Malaysia tanpa wujudnya sebarang halangan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, rantau ini mesti kekal sebagai zon keamanan, kebebasan dan berkecuali serta tidak boleh dibenarkan menjadi militari.

“Asia Tenggara melihat China sebagai ‘raksasa’ ekonomi baharu, namun timbulnya keraguan kerana kekuatan ketenteraannya.

“Dalam hal ini, komitmen China terhadap pembangunan damai sangat penting bagi kemakmuran berterusan di rantau ini,” katanya semasa sesi ucaptama penutup pada Persidangan China 2018, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, pada masa lalu, tentera mungkin digunakan oleh kuasa tertentu bertujuan mengenakan ke atas negara-negara lemah tetapi China berdagang di Melaka selama dua abad dengan damai.

“Sekiranya terdapat sebarang niat imperialis, China boleh menjajah Melaka pada masa itu, tetapi kuasa-kuasa Barat yang melakukannya,” katanya.

Beliau berkata, hubungan dua hala antara China dan Malaysia harus dilihat daripada sudut sejarah panjang itu, bukan dengan perang atau kolonisasi, namun oleh perdagangan dan pertukaran budaya yang kuat.

“Hari ini, kita mengharapkan China untuk menyediakan kepimpinan global bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi dengan kuasa lembut untuk memajukan nilai sejagat seperti kebebasan bersuara, saling menghormati dan keadilan.

“Menjadi hampir dengan China, perkembangan geopolitik di Asia Tenggara dilihat sebagai pengaruh terhadap perdagangan, diplomasi dan keselamatan yang China mungkin ada di seluruh dunia,” katanya.

Ketika Malaysia menyusun semula ekonomi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan seimbang dan mengutamakan semula projek dan programnya, Mohamed Azmin berkata, beliau perlu menekankan bahawa walaupun nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) besar, kerajaan tetap komited melakukan semua yang diperlukan demi menjana pertumbuhan ekonomi dan mengeksploitasi semua peluang yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya tidak boleh menafikan betapa pentingnya pertumbuhan, saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus melabur dalam infrastruktur, pendidikan dan teknologi yang produktif.

“Daripada melihat Malaysia Baharu dengan kebimbangan, saya mendesak perniagaan China untuk melihat kita menerusi harapan dan peluang.

“Sekarang, lebih daripada sebelumnya, Malaysia adalah salah satu tempat yang paling menarik di Asia Tenggara untuk melakukan perniagaan,” katanya.

China kekal sebagai rakan dagang tunggal terbesar Malaysia, menyumbang 16.4 peratus kepada jumlah eksport dan import gabungan negara, pada 2017.

Tahun lalu, nilai perdagangan dua hala antara kedua negara meningkat sebanyak 20.6 peratus untuk mencapai RM290.7 bilion.

Categories
NASIONAL

Malaysia-Singapura sepakat tangguh HSR tanpa perlu bayar pampasan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kerajaan Malaysia dan Singapura berjaya mencapai kata sepakat menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura sehingga ekonomi negara kembali pulih.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kedua-dua kerajaan itu juga bersetuju tidak mengenakan sebarang pampasan sehingga tamat tempoh penangguhan.

“Setelah kita mengadakan perbincangan, Kerajaan Singapura bersetuju menerima pandangan Kerajaan Malaysia untuk menangguhkan projek ini kepada satu tempoh kerana dalam tempoh tersebut kita yakin ekonomi Malaysia akan kembali pulih.

“Dalam pertemuan saya dengan Perdana Menteri Singapura, perkara ini juga dibincangkan dan beliau gembira kerana kedua-dua negara bersetuju menangguhkan projek ini dan tidak ada pampasan perlu dibayar dalam tempoh penangguhan.

“Ia hanya akan dibayar sekiranya di akhir tempoh penangguhan kita membatalkan projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Sambil menyifatkannya sebagai perkembangan positif, Mohamed Azmin memberitahu satu perjanjian bakal dimeterai kedua-dua pihak di Kuala Lumpur pada masa terdekat.

Katanya, kerajaan Malaysia dan Singapura akan mengadakan perbincangan pada tempoh penangguhan ini bagi mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan kos projek terbabit.

Katanya, antara formula penjimatan dibincangkan termasuklah pilihan menggunakan teknologi baru yang lebih menjimatkan dan pelbagai aspek lain lagi.

“HSR ini ada dua komponen, pertama perkhidmatan antarabangsa daripada Singapura terus ke Kuala Lumpur dan satu lagi perkhidmatan domestik di mana terdapat tujuh perhentian sepanjang perjalanan tersebu.

“Kita akan fokus kepada perkhidmatan antarabangsa kerana memberikan kesan ekonomi yang baik Malaysia dengan Singapura,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Azmin terharu, mahu bawa kejayaan Selangor ke Persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 SEPT: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali terharu dengan pengiktirafan yang diberikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap pencapaiannya ketika memikul tanggungjawab sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Mohamed Azmin berkata, beliau berusaha membawa kejayaan cemerlang di peringkat Persekutuan seperti yang dicapainya sepanjang berkhidmat di Selangor sebelum ini.

“Sudah tentulah titah nasihat tuanku supaya saya dapat menjalankan tugas dengan baik itu menjadi satu dorongan untuk melaksanakan tugas mencabar ini,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa itu berkata demikian kepada media selepas selesai Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut melahirkan keyakinan beliau mampu melaksanakan tugas dengan baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan jemaah Menteri Kabinet lain.

Katanya, beliau akan berusaha untuk mengembalikan Malaysia sebagai satu kuasa ekonomi yang gagah di rantau ini.

Pada Mei lalu, Sultan Sharafuddin memberi perkenan kepada Mohamed Azmin untuk melepaskan jawatan sebagai Dato’ Menteri Besar bagi membolehkannya menerima tawaran jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat persekutuan.

Mohamed Azmin yang dilantik sebagai Menteri Besar pada September 2014 dianggap berjaya meletak penanda aras baru bagi mana-mana Menteri Besar yang dilantik selepas beliau.

Categories
SELANGOR

Azmin: Jangan terpedaya Umno mainkan lagu beri satu kerusi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 4 OGOS: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis diingatkan tidak terpedaya dengan rayuan Umno supaya memberi mereka satu lagi kerusi DUN di Selangor.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kemenangan Umno akan memberi isyarat yang salah kepada pengundi di kawasan lain.

“Walaupun ini hanya PRK tetapi ia memberi makna yang sangat besar kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Jangan terpedaya apabila Umno mainkan lagu hanya satu kerusi kerana walaupun kita menang besar di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi memberi kemenangan kepada Umno memberi isyarat pengundi boleh menerima perompak dan perasuah mewakili rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Grand Finale PRK Sungai Kandis di Padang Rakan Muda Taman Seri Andalas di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin berkata, pada PRU14 lalu pengundi telah membuktikan pendirian tegas menolak kleptokrat.

Katanya, tidak mungkin pengundi di Selangor memberi kemenangan sekiranya pemimpin Kerajaan Negeri mengamalkan rasuah.

Categories
NASIONAL

Azmin mahu fokus Parlimen dahulu

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali enggan memikirkan jawatan yang mahu ditandingi, pada pemilihan KEADILAN.

Sebaliknya, beliau berkata, fokus mahu diberikan kepada persidangan Parlimen.

“Pada ketika ini, saya ingin fokus persidangan Parlimen yang sepatutnya diutamakan.

“Menjawab banyak soalan ahli parlimen adalah tugas kewajipan moral saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di lobi Parlimen berhubung jawatan yang bakal ditandingi, pada pemilihan KEADILAN nanti.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, beliau akan mengumumkan keputusan jawatan ditandingi apabila masa sesuai.

Katanya, pemilihan parti merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang diormatinya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

RMK11 dibentang 18 Oktober, muatkan manifesto PRU

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 JUL: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi giat menjalanjan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan mengimbas kembali prestasi ekonomi negara bagi tempoh dua tahun lalu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kajian yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober itu nanti turut memuatkan cadangan manifesto Kerajaan Pakatan Harapan.

“Antara lain akan mengimbas kembali prestasi ekonomi negara dalam tempoh dua tahun lalu namun memandangkan kerajaan ini baru dibentuk maka kajian separuh penggal ini juga memuatkan beberapa cadangan berdasarkan manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam pilihan raya akan datang.

“Jadi, ada dua strategi dalam kajian separuh penggal, bukan sahaja melihat prestasi yang lalu tetapi juga kita merencana dan membuat dasar baru berdasarkan manifesto PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media Majlis Sambutan Aidilfitri Agensi Agama Islam Selangor di Perkarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini, hari ini.

Mohamed Azmin menjangkakan kajian RMK11 yang melibatkan pelbagai aspek itu dapat disiapkan sebelum hari pembentangan nanti.

Sementara itu, majlis sambutan aidilfitri itu dimeriahkan dengan kehadiran Mohamed Azmin dan Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Kehadiran dua ikon penting Selangor itu berjaya mencuri tumpuan hadirin yang ada di majlis terbabit.

Mohamed Azmin dan Amirudin turut mengambil kesempatan melayani pengunjung yang ingin mengambil gambar dan bersalam-salaman.

Categories
NASIONAL

Pejabat Menteri Hal Ehwal Ekonomi anjur doa selamat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 29 JUN : Pejabat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, menganjurkan Majlis Doa Selamat bersama pegawai dan kakitangan kementerian itu di Pejabat Menteri Jabatan Perdana Menteri, pagi ini.

Majlis ringkas dihadiri Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu disusuli dengan penganjuran program jamuan Aidilfitri sebagai meraikan kemeriahan Syawal.

Turut hadir Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Nik Azman Abdul Majid.

Terdahulu, Mohamed Azmin turut menyantuni warga kerja Pejabat Kementeriannya, pada majlis berkenaan.

Sementara itu, sesi tazkirah ringkas turut diperdengarkan kepada kakitangan yang hadir.

Ia disampaikan Dr Zulkifli Mohamad yang sempat menitipkan pesanan khas kepada pegawai tertinggi di kementerian itu.

Beliau turut berkongsi kisah tauladan tentang kepentingan mengekalkan amalan ketelusan dalam pentadbiran kini.

Difahamkan, majlis ringkas berkenaan merupakan program julung kali diadakan selepas Mohamed Azmin menerajui kepimpinan itu sejak Mei lalu.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Keyakinan pelabur akan pulih – Mohamed Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan optimis keyakinan pelabur akan pulih, seterusnya menghentikan jualan asing yang berterusan di Bursa Malaysia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau yakin inisiatif diambil pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) akan membuahkan hasil positif sebaik sahaja pasaran stabil.

“Ia akan mengambil sedikit masa bagi kita untuk memulihkan keyakinan tetapi sudah tentu dengan inisiatif baharu yang dimulakan kerajaan.

“Saya percaya kita akan dapat meyakinkan pelabur, bukan sahaja untuk mengekalkan pelaburan di Malaysia tetapi menarik lebih ramai pelabur datang ke negara ini,” katanya dipetik Bernama.

Beliau turut menegaskan pelaburan langsung asing (FDI) adalah antara keutamaannya selain kesejahteraan sosial rakyat.

Katanya, FDI penting untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat dan mewujudkan nilai kepada pemain tempatan yang akan ditangani dalam tempoh beberapa bulan.

“Bagaimanapun, kerajaan akan mengambil pendekatan lebih memilih dan menumpukan kepada pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan modal berbanding pelaburan berintensifkan buruh,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Tindakan Guaman Ke Atas Blogger Toyol of Selangor

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali telah meminta pihak guaman yang mewakilinya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik blog Toyol of Selangor dan mana-mana paparan yang mengulangi fitnah dalam blog tersebut di media sosial dan portal.

Tindakan undang-undang dibuat susulan fitnah kononnya Dato’ Seri Mohamed Azmin mempunyai sejumlah wang RM300 juta yang disimpan di luar negara.

Susulan itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin telah meminta pasukan guaman
menfailkan permohonan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti identiti pemilik blog tersebut untuk tindakan susulan.

Tindakan undang-undang ini bertujuan menghentikan penyebaran fitnah yang secara sengaja berniat jahat untuk menggugat kewibawaan dan integriti Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Dato’ Seri Mohamed Azmin sangat kecewa dengan sikap media yang melaporkan fitnah jahat tersebut daripada sumber yang sama sekali tidak berwibawa justeru terperangkap di dalam gejala ‘gutter politics’.

Mohd Hassanal Bolqiah Bin Mohd Yusoff
Setiausaha Akhbar
Kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi

Categories
NASIONAL

112,725 peneroka Felda terima duit raya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 JUN: Seramai 112,725 peneroka Felda bakal menikmati pemberian insentif kewangan berjumlah RM450 bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, seramai 7,431 peneroka bukan ahli juga bakal menikmati pemberian insentif sama.

“Pemberian insentif ini adalah untuk meringankan beban kewangan dan kos sara hidup rakyat menjelang sambutan raya ini,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, pemberian insentif itu memberi kesan implikasi kewangan negara sebanyak RM50 juta.

Selain itu kata Perdana Menteri, RM44 juta juga turut diperuntukkan bagi pembiayaan peruntukan bayaran insentif raya kepada peneroka tanah Felcra.

“Kerajaan memperuntukkan untuk Felda dan Felcra mengeluarkan peruntukkannya untuk sumbangan raya ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, Putrajaya pagi ini.

Untuk rekod, ini merupakan pengumuman bantuan kali pertama dibuat Kerajaan baru selepas pentadbiran Putrajaya bertukar tampuk kepimpinan.

=EZY=