Categories
SELANGOR

LZS Terima Zakat RM7.79 Juta Daripada Tiga Anak Syarikat Kerajaan Negeri

SHAH ALAM 24 JULAI : Sejumlah RM7.79 juta zakat perniagaan diterima Lembaga Zakat Selangor(LZS) daripada tiga anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS), Permodalan Negeri Selangor(PNSB) dan Worldwide Holdings Berhad(WHB) semalam.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat berkenaan di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah malam tadi.

Sementara itu, PKNS menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4.39 juta diikuti PNSB berjumlah RM2.04 juta manakala WHB pula sebanyak RM1.36 juta bagi tahun kewangan berakhir 2011.

PKNS diwakili Pengurus Besarnya, Othman Omar, PNSB oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Omar dan WHB diwakili pengerusinya, Datuk Mohd Arif Abd Rahman.

Dalam majlis yang sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya berjumlah RM400 setiap seorang kepada 100 orang asnaf fakir, 100 orang asnaf miskin, 100 orang asnaf muallaf dan 100 orang anak yatim.

Baginda turut menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan Asnaf Cemerlang kepada lima usahawan asnaf terbaik iaitu Muhamad Burhan Salikon, Mohd Yatim Abd Ghani, Syeikh Abd Rahim Syeikh Yahya, Sharifah Surit serta Sakilla Hanis Mohamed.

Selain itu, siri jelajah Sultan Selangor ke seluruh negeri ini merupakan salah satu daripada program Ihya’ Ramadhan 2012 dengan kerjasama JAIS.

Turut hadir di majlis ini, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, barisan Exco dan Adun-Adun Selangor, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Marzuki Hussin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.