Categories
NASIONAL SELANGOR

Raja Muda : Memelihara ekosistem tanggungjawab semua

DSC_0308a

BESTARI JAYA, 28 OGOS : Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli untuk turut serta dalam Majlis Penanaman Pokok Hutan Tanah Gambut di Kompartmen 100  Hutan Simpan Raja Musa, di sini.

Majlis itu membabitkan aktiviti menanam 600 pokok dari spesis perintis hutan tanah gambut, iaitu Tenggek Burung (Euodia sp) bersama 200 orang sukarelawan daripada beberapa organisasi amal, antaranya Sahabat Hutan Gambut Selangor Utara, Peatland Forest Rangers dari sekolah terpilih sekitar kawasan terbabit.

Hutan Simpan Raja Musa itu berkeluasan 73,592 hektar diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal pada Januari 1990.

Dalam titahnya, Raja Amir menyarankan semua pihak memupuk kesedaran mengenai pentingnya memelihara alam sekitar, terutamanya di peringkat sekolah dan di institut pengajian tinggi.DSC_0324a

Raja Muda juga berharap ekosistem hutan paya gambut yang terbesar di pantai barat Semenanjung Malaysia itu berupaya melestarikan alam sekitar, yang turut memberi impak kepada sosio-ekonomi penduduk tempatan.

“Kerjasama dan penglibatan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) akan membantu kerajaan dalam memulihara dan melindungi ekosistem hutan paya gambut,” titah Raja Muda.

Di acara yang sama Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong meminta semua pihak memberikan kerjasama serius terutamanya dalam menangani isu kebakaran hutan tanah gambut.

DSC_0577a“Ia penting kerana akan memberi kesan kepada ekonomi, kesihatan, sosial dan alam sekitar terutama jerebu.

“Kepelbagaian biologi hutan, menjamin bekalan udara dan sumber air yang bersih seterusnya menggalakkan sektor eko-pelancongan negeri,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

179 terima pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-67 DYMM Sultan Selangor

pingat

SHAH ALAM, 22 OGOS : Staf Sarjan Ikmal Hisham Mohd Jusin mengetuai 179 senarai penerima pingat negeri Selangor apabila dikurniakan Pingat Kebesaran Terbilang (P.K.T) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-67 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK.

Pingat ini dikurniakan bagi menghargai keberanian dan pengorbanan.

Turut diberi pengiktirafan adalah Staf Sarjan Mohd Zaidi Abdul Hamid; Bintara Kanan TMK David A/K Sanya, Bintara Kanan PAP (PKL)(GI) Syed Mahamad Nasir Syed Ali; Sarjan Mohd Haniff Mahasan, Bintara Muda PAP (PKL) Oseli A/K Dungun dan Laskar Kanan PNK (PKL) Salimi Mahktar.pingat 2

Istiadat pengurniaan pingat disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah. Majlis hari ini adalah bagi penerima Daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.

Turut dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) kepada 19 penerima yang melakukan perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya.

Selain itu, Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (P.P.C) dikurniakan kepada 31 pegawai Kerajaan di dalam kumpulan sokongan bagi menghargai kecemerlangan mereka yang sedang atau telah berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun dengan Kerajaan Negeri.

Turut dikurniakan Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S) dikurniakan kepada 17 penerima yang merupakan kakitangan Kerajaan yang sedang atau telah berkhidmat dengan kelakuan terpuji sekurang-kurangnya 20 tahun.

Manakala Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada 105 penerima yang berjasa kepada negeri serta tekun dan taat menjalankan tugas.

-FZL

Categories
SELANGOR

LZS Terima Zakat RM7.79 Juta Daripada Tiga Anak Syarikat Kerajaan Negeri

SHAH ALAM 24 JULAI : Sejumlah RM7.79 juta zakat perniagaan diterima Lembaga Zakat Selangor(LZS) daripada tiga anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS), Permodalan Negeri Selangor(PNSB) dan Worldwide Holdings Berhad(WHB) semalam.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat berkenaan di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah malam tadi.

Sementara itu, PKNS menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4.39 juta diikuti PNSB berjumlah RM2.04 juta manakala WHB pula sebanyak RM1.36 juta bagi tahun kewangan berakhir 2011.

PKNS diwakili Pengurus Besarnya, Othman Omar, PNSB oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Omar dan WHB diwakili pengerusinya, Datuk Mohd Arif Abd Rahman.

Dalam majlis yang sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya berjumlah RM400 setiap seorang kepada 100 orang asnaf fakir, 100 orang asnaf miskin, 100 orang asnaf muallaf dan 100 orang anak yatim.

Baginda turut menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan Asnaf Cemerlang kepada lima usahawan asnaf terbaik iaitu Muhamad Burhan Salikon, Mohd Yatim Abd Ghani, Syeikh Abd Rahim Syeikh Yahya, Sharifah Surit serta Sakilla Hanis Mohamed.

Selain itu, siri jelajah Sultan Selangor ke seluruh negeri ini merupakan salah satu daripada program Ihya’ Ramadhan 2012 dengan kerjasama JAIS.

Turut hadir di majlis ini, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, barisan Exco dan Adun-Adun Selangor, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Marzuki Hussin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.