Categories
SELANGOR

WHB sumbang 4 ekor lembu korban

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 SEPT: Worldwide Holdings Berhad (WHB) menyumbangkan empat ekor lembu untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha.

Ketua Pegawai Eksekutif WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, aktiviti sejak 2004 itu dilaksanakan bersama kira-kira 50 kakitangannya sebagai salah satu tuntutan dalam Islam.

“Daging korban ini akan diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin di sekitar Shah Alam juga Subang Bestari.

“Kita juga akan bergotong-royong masak bersama untuk dihidangkan kepada warga kerja dan ahli keluarga WHB,” katanya kepada SelangorKini.

Acara menyembelih lembu dimulakan seawal jam 8 pagi tadi di belakang banggunan Pangsapuri Baiduri dan seterusnya melapah di perkarangan ibu pejabat Worldwide Holdings di Seksyen 7, Shah Alam.

Ia dilakukan secara bergotong-royong dari Kelab Sukan & Rekreasi (KSR) WHB dan Worldwide Landfills Sdn Bhd.

Pada masa sama, WHB turut menyumbangkan empat lagi ekor lembu korban kepada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) untuk diagihkan.

IMG_3997 IMG_20170904_105535 IMG_20170904_105551

Categories
SELANGOR

756 Ekor Lembu Diagih Seluruh Selangor

 

SHAH ALAM 23 OKT : Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira 756 ekor lembu untuk diagihkan di seluruh negeri sempena Hari Raya Aidil Adha tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 389 ekor lembu disediakan untuk seluruh masjid-masjid di Selangor.

“Kerajaan negeri turut menyumbangkan lembu-lembu korban kepada badan-badan bukan kerajaan seperti PERKIM, ABIM, Hidayah Center, Brigade Amal Selangor, PANTAS, Anak Syarikat Negeri, PPR Lembaga Perumahan, JAIS dan penduduk Asal yang beragama Islam,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu Korban Sempena Sambutan Hari Raya Aidil Adha Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Pekarangan Bangunan Sultan Idris Shah (JAIS) di sini.

Menurut Abdul Khalid, lembu-lembu itu disumbangkan oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Turut menyumbang juga adalah Worldwide Holding Bhd (WHB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Abdul Khalid berkata, kerajaan berharap disebalik penyerahan lembu-lembu korban itu dapat menimbulkan kesedaran kepada umat Islam agar lebih mengimarahkan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan memperbanyak ibadah korban.

“Umat Islam perlu mengorbankan gaya hidup yang mengutamakan kemewahan dan kesenangan duniawi semata-mata.

“Sebaliknya mengamalkan kehidupan yang sederhana dan berusaha mengelakkan pembaziran dan sikap boros,” kata Abdul Khalid.

 

Categories
SELANGOR

LZS Terima Zakat RM7.79 Juta Daripada Tiga Anak Syarikat Kerajaan Negeri

SHAH ALAM 24 JULAI : Sejumlah RM7.79 juta zakat perniagaan diterima Lembaga Zakat Selangor(LZS) daripada tiga anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS), Permodalan Negeri Selangor(PNSB) dan Worldwide Holdings Berhad(WHB) semalam.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat berkenaan di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah malam tadi.

Sementara itu, PKNS menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4.39 juta diikuti PNSB berjumlah RM2.04 juta manakala WHB pula sebanyak RM1.36 juta bagi tahun kewangan berakhir 2011.

PKNS diwakili Pengurus Besarnya, Othman Omar, PNSB oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Omar dan WHB diwakili pengerusinya, Datuk Mohd Arif Abd Rahman.

Dalam majlis yang sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya berjumlah RM400 setiap seorang kepada 100 orang asnaf fakir, 100 orang asnaf miskin, 100 orang asnaf muallaf dan 100 orang anak yatim.

Baginda turut menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan Asnaf Cemerlang kepada lima usahawan asnaf terbaik iaitu Muhamad Burhan Salikon, Mohd Yatim Abd Ghani, Syeikh Abd Rahim Syeikh Yahya, Sharifah Surit serta Sakilla Hanis Mohamed.

Selain itu, siri jelajah Sultan Selangor ke seluruh negeri ini merupakan salah satu daripada program Ihya’ Ramadhan 2012 dengan kerjasama JAIS.

Turut hadir di majlis ini, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, barisan Exco dan Adun-Adun Selangor, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Marzuki Hussin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.