Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Terima Keputusan PRU-13, Tolak Penyelewengan Pengendalian PRU

Rafizi Ramli Konvensyen Pendidikan Unisel 2013

KUALA LUMPUR, 25 JUN : Walaupun Pakatan Rakyat (PR) menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), pada 5 Mei lalu, gagasan itu tetap membantah penyelewengan dan kepincangan yang didakwa berlaku di dalam sistem pilihan raya.

Malah bukan sahaja Pakatan yang memfailkan petisyen mahkamah terhadap keputusan pilhanraya, Umno-BN juga telah memfailkan petisyen terhadap keputusan di dalam 21 kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

MP Pandan, Rafizi Ramli berkata, Pakatan sentiasa menerima keputusan PRU-13 dengan hati terbuka, namun ia tidak bermakna gabungan itu perlu berdiam diri dan akur sepenuhnya terhadap pengendalian sistem pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR menegaskan, tindakan memfailkan petisyen yang dilakukan Pakatan pada awal Jun lalu bagi memastikan sistem pilihan raya tidak akan terjejas di masa akan datang.

“Menerima keputusan PRU tidak bermakna kita mengabaikan dan menutup sepenuhnya bab pilihan raya ini tetapi pendedahan mengenai penyelewengan sistem PRU harus diteruskan.

“Ini bukan sahaja mengenai PRU yang lalu, tetapi mengenai integriti sistem pilihan raya di masa akan datang.

Kami akan bekerja keras untuk memastikan penyelewengan dan ketirisan tidak lagi berlaku,” katanya.

Beliau mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena upcara perasmian Persidangan Dewan Rakyat Penggal ke-13, di sini hari ini.

Di dalam titahnya, Yang di-Pertuan Agong menyeru kepada semua Ahli Parlimen agar menerima keputusan PRU-13.

Sentimen tersebut turut diakui MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang menjelaskan Pakatan menghormati keputusan pilihan raya yang lalu, namun menegaskan undang-undang membenarkan pihak yang bertanding untuk mengemukakan bantahan.

Katanya, akur terhadap keputusan PRU tidak semestinya menghalang Pakatan untuk membuat teguran terhadap kepincangan sistem pilihan raya yang berlaku.

“Undang-undang memberi ruang kepada kita untuk mereformasikan sistem pilihan raya yang tidak sempurna.

“Teguran yang kita berikan itu walaupun kedengaran lantang, tetapi ia adalah untuk kebaikan negara. Teguran yang bertujuan membina itu seringkali diabaikan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Pakatan telah memfailkan 34 petisyen di mana membabitkan 24 kerusi Parlimen PRU-13 sementara 10 lagi petisyen adalah merujuk kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada keseluruhan jumlah petisyen kerusi Parlimen itu, 19 daripadanya adalah daripada PKR dan baki masing-masing empat bagi PAS dan dua bagi DAP.

Umno-BN pula memutuskan untuk memfailkan 21 petisyen.

Categories
NASIONAL

Zuraida: Wanita Perlu Peka Isu Semasa

Wanita kongres 2

PETALING JAYA 24 MEI : Ketua Wanita PKR menyeru semua kompenan wanita parti itu lebih peka dengan isu semasa dan mampu berhujah diperingkat akar umbi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 akan datang.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun Pilihan Raya Umum Ke 13 baru berlalu, tetapi gerak kerja pilihan raya akan datang harus dipersiapkan kini.

“Kita mahu wanita lebih peka dengan isu semasa supaya kita dapat mendedahkan kepada rakyat tentang penyelewengan yang dilakukan oleh pihak lawan,” katanya dalam ucapan dasar Kongres Nasional ke 9 di Dewan Sivil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini.

Beliau turut mahu Wanita PKR terus menjadi komposisi penting dalam parti seterusnya mempersiapkan diri menjadi model kepada pemberdayaan wanita seluruh negara.

Dalam pada itu, Zuraida meminta budaya meminggirkan calon wanita seperti yang dilakukan Umno-BN perlu dihakis dalam PKR.

Katanya, sewajarnya Wanita PKR tidak menjadi seperti wanita Umno-BN yang masih lagi ditakuk lama dan gagal mengetengahkan secukupnya calon wanita walaupun sudah 50 tahun bertapak di negara ini.

Wanita kongres 1

Ini berbeza dengan PKR, kerana ada wanita PKR berjaya menjadi Pengarah Pilihan Raya, Wakil Calon, Pengurus Kempen dan Ketua Daerah Mengundi.

Dalam PRU13, Wanita PKR berjaya di tiga kerusi Parlimen (27.3 peratus) daripada 11 kerusi yang ditandingi.

Manakala, berjaya meraih lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (42.1 peratus) daripada 18 kerusi yang ditandingi.

Bagaimanapun, berdasarkan kerusi yang dimenangi, Wanita PKR masih belum berjaya memenuhi kuota 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pusat, negeri dan organisasi parti.

Justeru, Zuraida berharap supaya pimpinan pusat parti mempertimbangkan seberapa ramai calon wanita masa depan.

Categories
NASIONAL

Sokongan PR Melonjak 52 %, Merentasi Kaum Terutama Golongan Muda

Anwar

PETALING JAYA, 7 MEI: Undi popular yang diraih Pakatan Rakyat (PR) meningkat kepada 5,623,984 atau 52 peratus, meninggalkan pencabarnya BN dalam saingan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) Ahad lalu.

Analisis awal juga menunjukkan peningkatan tersebut berlaku ekoran sokongan padu yang diterima dari pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda tanpa mengira faktor kaum.

Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, satu kajian lengkap akan dikeluarkan dalam beberapa hari lagi dan beliau yakin kajian tersebut akan membuktikan terdapat penipuan dan penyelewengan dalam pilihan raya tersebut.

“Undi rakyat menunjukkan bahawa rakyat negara ini bersatu membentuk satu keluarga Malaysia.

“Mereka mengundi simbol yang membawa harapan baru untuk Malaysia seperti yang diperjuangkan oleh PR,” kata beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Bagaimanapun menurut beliau PRU-13 itu dicemari dengan pelbagai insiden penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh BN dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRU-12 pada 2008 lalu, BN dinafikan majoriti buat pertama kali apabila hanya memenangi 140 dari 222 parlimen keseluruhan, manakala 82 yang lain dimenangi PAS, PKR dan DAP yang ketika itu masih belum membentuk PR.

BN ketika itu memperolehi undi popular sebanyak 4.08 juta undi atau 50.6 peratus manakala PAS, DAP dan PKR memperolehi 3.79 juta atau 49.4 peratus.

Dalam PRU-13 baru-baru ini, majoriti kerusi dimenangi BN terus merosot apabila hanya menang di 133 kerusi parlimen, sebaliknya PR menunjukkan peningkatan kepada 89 kerusi parlimen.

Mengikut perbandingan kerusi DUN seluruh negara pula, kerusi yang dimenangi PR turut meningkat dari dari 198 DUN dalam PRU-12 kepada 229, manakala BN menunjukkan penyusutan dari 307 kerusi DUN kepada 275 kerusi DUN sahaja.