Categories
SELANGOR

‘Perkuburan Wilayah Bersepadu’ Atasi Masalah Tapak Kubur Di Selangor

SHAH ALAM, 9 APR : Berdasarkan perangkaan terkini unjuran penduduk sehingga 2060, kerajaan negeri mengambil inisiatif merancang Tanah Perkuburan Wilayah Bersepadu (PWB) bagi mengatasi isu kekurangan kawasan perkuburan di negeri ini .

Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, berkata PWB menggabungkan dua aspek penting iaitu konsep Perkuburan Wilayah dan Perkuburan Bersepadu.

Perkuburan Wilayah menyaksikan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berjiran atau berhampiran dengan maksimum 45 minit masa perjalanan berkongsi tanah perkuburan manakala Perkuburan Bersepadu merupakan pembangunan yang terancang menempatkan tanah perkuburan untuk mereka yang beragama Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain.

“Melalui konsep ini juga, perancangan PWB turut menyediakan kemudahan-kemudahan seperti pejabat pentadbiran, surau, bangunan krematoriom, tandas awam, laluan akses dan pejalan kaki selain tempat meletak kereta.

“Kita dalam usaha melaksanakannya mengikut lokasi dan wilayah kedudukan PBT dan setiap zon tapak perkuburan perlu dikenalpasti mengikut kewujudan tapak, kadar kemudahsampaian dan aksesibiliti yang dikongsi antara PBT berhampiran,” jelas Teresa ketika sidang medianya di Bangunan Darul Ehsan.

Sebanyak tiga zon dikenalpasti sebagai Zon Tapak PWB iaitu Zon Utara yang menggabungkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagi Zon Timur pula meliputi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), dan Majlis Daerah HUlu Selangor (MDHS).

Sementara itu, Zon Selatan menggabungkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSpg), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlid Daerah Kuala Langat (MDKL).

Di peringkat awal ini, Teresa berkata, kerajaan negeri dalam proses perolehan tapak dan perancangan lanjut di beberapa tapak iaitu di Sepang, Petaling dan Hulu Langat.

Categories
SELANGOR

15 Tahun MPS: MB Gembira Pencapaian MPS

SELAYANG, 31 MAC: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa gembira terhadap pencapaian 15 tahun Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Selain mengucapkan tahniah kepada warga MPS, menurut Khalid, rekod pentadbiran selama 15 tahun MPS telah membuktikan iltizam yang amat tinggi MPS meningkatkan kualiti perkhidmatan di Selayang.

“MPS juga menunjukkan iltizam untuk meningkatan mutu penyampaian perkhidmatan awam melalui aktiviti-aktiviti kualiti yang diamalkan.

“Antaranya, penubuhan jawatankuasa kualiti peringkat jabatan, aktiviti kumpulan inovatif dan kreatif, perlaksanaan ISO 9001:2008 dan penyediaan pelan startegik 2011-2015.

“Dalam hal ISO saya difahamkan MPS sudah pun mendokumenkan sebanyak 31 skop utama yang hampir kesemuanya meliputi keseluruhan aktiviti kerja MPS.

“Saya gembira kerana usaha tersebut melambangkan semangat kakitangannya untuk melaksanakan tugas mengikut standard yang diiktiraf,”katanya ketika berucapap dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulangtahun ke-15 MPS  di Ideal Convention Centre, Taman Prima Selayang malam tadi.

Sepanjang 15 tahun majlis perbandaran itu ditubuhkan, ia turut berjaya meningkatkan jumlah pegangannya (holdings).

“Daripada stastistik yang ditunjukkan, sepanjang 15 tahun MPS berjaya mencatatkan kenaikan jumlah pegangan.

“Pada 1997, jumlah pegangan berjumlah 65,581 dan meningkat ke 182,570 pegangan pada awal 2012, iaitu pertambahan sebanyak 178 peratus,” kata beliau lagi.

Ketika mengingatkan matlamat utama untuk meningkatkan usaha memberi bantuan kepada masyarakat, beliau turut membidas sesetengah pihak yang hanya mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dan menyalahkan pihak lain.

“Pihak swasta pula hanya hanya memikirkan keuntungan semata-mata manakala pihak NGO pula hanya pandai menunding jari menyalahkan pihak lain.

“Ingatlah, matalamat utama kita adalah untuk memberi bantuan dan kebajikan kepada rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama mahupun dukungan politik,” ujarnya.

Demi meningkatkan mutu perkhidmatannya, MPS turut mengambil beberapa langkah proaktif agar lebih memudahkan masyarakat berurusan dengan majlis perbandaran itu.

“Saya gembira kerana MPS berusaha gigih memberi kemudahan khususnya kepada orang ramai yang berurusan dengan MPS.

“Antaranya menerusi di pejabat tiga cawangannya, kemudahan bayaran secara online, penyediaan kaunter bergerak dan kaunter pandu masuk,” katanya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua MPS, Dato’ Zainal Abidin A’ala turut mengucapkan tahniah kepada warga MPS yang mendapat pengiktirafan empat bintang untuk penilaian Sistem STAR Rating (SSR) baru-baru ini.

“Dan yang terbaru ialah MPS telah mendapat anugerah empat bintang untuk penilaian SSR tahun 2010/2011 yang dibuat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Sukacita dimaklumkan MPS termasuk di kalangan 21 PBT di seluruh negara yang memperoleh empat bintang.

“Ini adalah merupakan peningkatan di mana penilaian SSR pada 2008, MPS hanya mendapat tiga bintang.  Tahniah kepada semua warga MPS,” ujarnya.

Malam tadi MPS telah mengadakan majlis makan malam sempena Sambutan ulang tahun ke-15 dan Pelancaran Pelan Startegik 2011-2015 di Ideal Convention Centre, Selayang.

Di samping kehadiran kira-kira 800 warga kerja MPS dalam majlis penuh gemilang itu, turut sama ialah Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

Selain ucapan MB Selangor dan YDP Selayang, majlis itu turut dimeriahkan  dengan pertandingan Akhir ‘Pop Yeh Yeh’ MPS Idol 2012 dan artis jemputan, Angah Raja Lawak dan Mie Raja Lawak.