Categories
SELANGOR

Usus babi jadi makanan ikan sebelum dijual

Oleh : Nazli Ibrahim

RAWANG 15 NOV: Seorang pemilik perusahaan pemprosesan babi tanpa lesen menjadikan organ dalaman babi seperti usus sebagai makanan ternakan ikan air tawar miliknya sebelum dipasarkan, selain memproses daging haiwan itu.

Ikan air tawar yang terdiri daripada patin, talapia dan keli itu diternak dengan menggunakan kaedah sangkar di lombong dan kolam berhampiran.

Penemuan itu dibuat dalam satu operasi bersepadu yang diketuai Ketua Unit Tindakan Khas Pejabat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), C Paramasivam, di Jalan Kundang, Kampung Sungai Bakau, di sini, semalam.

OLYMPUS DIGITAL CAMERAParamasivam berkata, pengusaha terbabit diberikan notis 30 hari sebelum premisnya dikenakan tindakan meroboh, selain dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan.

“Kami akan memohon untuk merobohkan premis ini kerana hanya Yang Dipertua sahaja mempunyai kuasa memberikan arahan itu.Selain menghadapi notis meroboh, pengusaha terbabit turut dikenakan enam kompaun berjumlah RM6,000 atas enam kesalahan,” katanya.

Antara kesalahan itu adalah menyimpan daging babi tanpa lesen, tidak mematuhi prosedur penyediaan makanan, membuang tali perut babi ke dalam kolam dan lombong serta tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu seperti syarat yang dikenakan terhadap penyedia makanan.

Sementara itu, pengusaha terbabit mendakwa dia hanya memproses babi seperti melapah dan memotong, selepas dihantar pembekal babi untuk dijual di restoran.

Selain itu, Selangor Kini turut difahamkan, air kolam terbabit turut dilepaskan ke Sungai Kundang sebelum mengalir ke Sungai Sembah dan Sungai Selangor yang membekalkan air kepada sebahagian pengguna air negeri itu.

Operasi bersepadu yang bermula jam 9.30 pagi dan berakhir jam 2.30 petang itu membabitkan kira-kira 70 anggota daripada pelbagai jabatan dalaman MPS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Operasi turut dijalankan ke atas dua premis lain iaitu kilang membuat tauhu kering bersebelahan tempat memproses babi berkenaan dan kilang kitar semula tong yang terletak di Taman Perindustrian Puteri Permai.

-NFN-

Kerajaan Selangor bantu penduduk Kg. Buloh Telor atasi tebing sungai runtuh

Sinopsis

FOKUS Untuk 07112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penduduk Kampung Buloh Telor kini boleh menarik nafas lega apabila runtuhan tebing sungai yang merosakkan satu-satunya jalan menghubungkan perkampungan Orang Asli itu akan dibaiki sepenuhnya tidak berapa lama lagi.

2. Kerajaan Selangor komited membantu meningkatkan taraf kehidupan penduduk Kampung Buloh Telor dengan menyediakan pelbagai prasarana untuk kemudahan penduduk kampung Orang Asli itu.

3. Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) komited untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dengan mengambil inisiatif mempromosikan tempat pelancongan dan rekreasi di sekitar Selayang.

4. Pertubuhan Sukarelawan Islam Hospital Selangor (SAHABAT) adalah pertubuhan berdaftar yang ditubuhkan bagi membantu dan memberikan sokongan untuk memenuhi keperluan sosial, kebajikan serta emosi pesakit ketika menjalani rawatan serta pemulihan di hospital.

5. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kekal fokus dalam usaha membangun sektor infrastruktur pengangkutan awam dan pengurusan lalu lintas yang efisyen serta berintegrasi bagi memastikan kemudahan juga keselesaan penduduk sekitar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Akan Teliti Perlaksaan Siaran Langsung Mesyuarat PBT Daerah

teng chang kim  pc dun 1 jul 01

KUALA LANGAT 15 JULAI : Kerajaan Selangor bakal menjadi negeri pertama mengadakan siaran langsung mesyuarat pihak berkuasa tempatan peringkat daerah sekiranya siaran langsung mesyuarat PBT mendapat maklumbalas positif.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim berkata Kerajaan Negeri juga bersedia menyalurkan dana kepada PBT yang kurang kemampuan kewangan seperti yang di luar bandar, bagi menjayakan usaha tersebut.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, objektif siaran langsung tersebut adalah supaya orang ramai mendapat maklumat tentang gerak kerja dan perkembangan PBT mereka.

“Kalau sekiranya ada masalah kewangan, kita boleh bantu dengan syarat kita nak pastikan berbaloi untuk melakukannya.

“Itu kita nak lihat bagaimana perlaksanaannya di peringkat bandaraya dan perbandaran dahulu,” kata Teng.

Beliau berkata demikian ketika sidang media dalam lawatan kerja ke Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di sini hari ini.

Menurut Chang Kim, kebanyakan kawasan tadbir PBT daerah adalah kawasan luar bandar dengan bilangan penduduk yang menggunakan internet sederhana.

Sehingga kini, lapan PBT, majoritinya kawasan bandar dan pinggiran bandar, yang telah diarahkan untuk mengadakan siaran langsung mesyuarat mereka.

PBT terlibat adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Turut terlibat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

Dalam isu yang berlainan, Chang Kim berkata, program bas komuniti juga bakal diperluaskan ke peringkat daerah selepas dinilai keberkesanannya di peringkat perbandaran dan bandaraya.

Minggu lepas, Selangorkini melaporkan bahawa lapan PBT, di bandaraya dan pinggiran bandar, sedang memperhalusi perancangan untuk mengadakan bas komuniti.

Kesemua PBT perbandaran dan bandaraya sedang mengemukakan kertas cadangan bas bagi usaha tersebut kepada Kerajaan Negeri untuk dinilai dan diteliti.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dolomite Boleh Menjelaskan Kontroversi Projek Batu Caves

kondo-batu-caves-color

SHAH ALAM 13 FEB : Kerajaan Negeri Selangor tidak menghalang pihak pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd untuk memberi penjelasan berhubung kontroversi pembinaan kondominium Park Avenue di hadapan Batu Caves.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemaju kondominium itu boleh bertemu pihak berkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk memberi penjelasan.

“Dolomite mempunyai inisiatif sendiri kerana untuk mendapat kelulusan dan perancangan perlu dibuat melalui Pihak Berkuasa Tempatan Selayang.

?Jadi apa yang perunding Dolomite nak terangkan dia boleh berikan kepada MPS.

“Dan jika perlu, MPS akan kemukakan pandangan mereka untuk dibincangkan di mesyuarat perancang negeri,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN), di Bangunan SUK, di sini.

Beliau berkata demikian selepas pemaju itu sebelum ini mendakwa projek kontroversi pembinaan kondominium Park Anenue itu adalah selamat dan tidak akan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

Pada 24 Januari, Abdul Khalid mengumumkan pembatalan projek kondominium tersebut.

Manakala keesokannya, (25 Januari), pemaju mendakwa mereka sebelum ini cuba bertemu menteri besar dan pihak berkuasa berkaitan tetapi tidak diberi peluang untuk mengemukakan penjelasan mereka.

Kontroversi berhubung pembinaan kondominium itu timbul susulan bantahan daripada masyarakat Hindu yang mahu projek tersebut dihentikan.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Dolomite Properties mendapat kelulusan untuk membangunkan projek mereka pada 2007 oleh MPS.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Pembatalan Kondo Batu Caves Kerana Langgar Syarat

elizabeth batu caves pc 01 copy

SHAH ALAM, 29 JAN: Kerajaan Selangor membatalkan projek kondominium 29 tingkat di Batu Caves kerana pemajunya, Dolomite Properties Sdn Bhd, tidak mengikut syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan itu dicapai selepas meneliti laporan daripada jawatankuasa khas yang dibentuk untuk mengkajisemula projek pembangunan itu.

“Kita ada asas buat keputusan itu,? kata Abdul Khalid dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Khalid menggesa syarikat Dolomite supaya berurusan terus dengan MPS bagi mendapat sebarang penjelasan lanjut.

“Pemaju mesti berhubung dengan PBT Selayang, keputusan itu dibuat berasaskan maklumat yang kita dapati daripada kelulusan dan juga permohonan,” katanya lagi.

Abdul Khalid mengumumkan pembatalan projek itu pada minggu lalu demi menjaga keselamatan orang awam dan memelihara alam sekitar.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Jawatankuasa khas itu dianggotai lima profesional bebas dan bertujuan meneliti kelulusan projek pembinaan kondominium di Batu Caves dan kawasan sekitarnya.

Ahli-ahli profesional itu adalah Orang Besar Daerah Klang, Datuk Setia Diraja Datuk Abdul Ghani Pateh ; Pakar bedah neuro, Dr M Nachiappan ; bekas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ranita Hussein ; pakar undang-undang pembinaan, Harbans Singh dan Pakar Geologi, Tan Boon Kong.

Kelulusan pembangunan projek itu diberi oleh MPS pada tahun 2007.

Akan tetapi, projek tersebut telah mendapat tentangan yang hebat daripada masyarakat Hindu yang risau ia akan menjejaskan kawasan kuil Batu Caves.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Pastikan Pembangunan Batu Caves Secara Terancang

Sambutan Thaipusam 01

BATU CAVES 27 JAN : Kerajaan Negeri akan memastikan pembangunan di kawasan Batu Caves di sini pada masa depan dijalankan secara betul dan terancang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu perlu berikutan supaya kawasan kuil bagi masyarakat India beragama Hindu yang terdapat di situ terpelihara dan tidak terjejas.

Maka dengan itu, katanya, Kerajaan Negeri membuat keputusan membatalkan projek pembangunan kondominium 26 tingkat dirancang di kawasan bersebelahan kuil tersebut.

“Kita mahu pembangunan di Batu Caves ini dibuat dengan betul supaya kaum India dapat merasakan bahawa mereka mempunyai satu pembangunan yang tidak ada masalah dari segi kelulusan dan kuil ini terus dijaga beratus tahun.

“Maka sebab itu Kerajaan Negeri membuat keputusan supaya pembangunan di batu caves ini diteliti dengan betul,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Thaipusam di sini malam tadi.

Majlis tersebut dihadiri lebih 5,000 orang termasuk barisan pemimpin Pakatan Rakyat.

Abdul Khalid berkata, kuil kebanggaan masyarakat India perlu dipelihara dengan baik kerana ia terkenal di negara ini termasuk seluruh dunia.

“Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dari segi pembangunan yang akan dilakukan,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melantik lima profesional bagi menganggotai jawatankuasa bebas untuk meneliti kelulusan projek pembinaan kondominium di Batu Caves dan kawasan sekitarnya.

Ahli-ahli profesional itu adalah Orang Besar Daerah Klang, Datuk Setia Diraja Datuk Abdul Ghani Pateh ; Pakar bedah neuro, Dr M Nachiappan ; bekas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ranita Hussein ; pakar undang-undang pembinaan, Harbans Singh dan Pakar Geologi, Tan Boon Kong.

Projek Dolomite Park Avenue oleh pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd di Batu Caves mendapat tentangan yang hebat kerana kawasan tersebut merupakan tumpuan masyarakat Hindu beribadat.

Mengikut minit mesyuarat Majlis Perbandaran Selayang(MPS), projek tersebut diluluskan pada 2007 ketika pentadbiran Umno-BN dahulu.

Sambutan Thaipusam 02

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Batal Projek Kondominium Batu caves

batucaves(1)

SHAH ALAM, 24 JAN : Kontroversi berhubung pembinaan kondominium 26 tingkat di Batu Caves akhirnya selesai apabila Kerajaan Selangor membatalkan kebenaran merancang yang telah diberikan kepada pemaju hartanah Dolomite Properties Sdn Bhd.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat demi menjaga keselamatan orang ramai dan memelihara alam sekitar.

Keputusan dibuat selepas jawatankuasa mendengar pembentangan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa berhubung masalah berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana kesediaan membantu Kerajaan Negeri mencari jalan penyelesaian jangka panjang terhadap isu pembangunan di Batu Caves dan sekitarnya.

“Dalam mesyuarat itu, Jabatan Perancang Bandar dan Desa telah membentangkan secara terperinci status pembinaan struktur dan bangunan di Batu Caves serta tahap keselamatannya.

“Selepas mendengar penjelasan itu, saya membuat keputusan supaya Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membatalkan kebenaran merancang yang telah diberikan kepada Dolomite Properties Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, Abdul Khalid berharap supaya keputusan ini diterima positif oleh semua pihak kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai.

Menurutnya, Kerajaan Negeri tidak berkompromi dengan mana-mana projek pembangunan yang boleh mengancam keselamatan rakyat.

“Kerajaan Negeri menyokong sebarang projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat tetapi ia perlu dirancang dengan teliti, mengikut peraturan dan tidak membahayakan keselamatan rakyat,” katanya lagi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah melantik lima profesional bagi menganggotai jawatankuasa bebas untuk meneliti kelulusan projek pembinaan kondominium di Batu Caves dan kawasan sekitarnya.

Ahli-ahli profesional itu adalah Orang Besar Daerah Klang, Datuk Setia Diraja Datuk Abdul Ghani Pateh ; Pakar bedah neuro, Dr M Nachiappan ; bekas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ranita Hussein ; pakar undang-undang pembinaan, Harbans Singh dan Pakar Geologi, Tan Boon Kong.

Projek Dolomite Park Avenue oleh pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd di Batu Caves mendapat tentangan yang hebat kerana kawasan tersebut merupakan tumpuan masyarakat Hindu beribadat.

Mengikut minit mesyuarat MPS, projek tersebut diluluskan pada 2007 ketika pentadbiran Umno-BN dahulu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PM Tak Payah Tunggu Pilihanraya Nak Batalkan Projek Kondo Batu Caves

SHAH ALAM, 19 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh terus membatalkan projek kondominium di Batu Caves tanpa perlu menunggu saat mengambilalih pentadbiran Selangor.

Sekiranya Najib benar-benar jujur, beliau boleh menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk memberhentikan projek itu kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew.

“Beliau boleh membatalkan permit penjualan dan iklan projek (sales and advertising permit) sebab projek pembinaan 29 tingkat kondominium ini adalah “service apartment”.

“Kalau Perdana Menteri benar-benar jujur dan ikhlas mahu memberhentikan projek ini, dia hanya perlu membatalkan permit berkenaan.

“Atau cara yang lain, dia boleh memberi arahan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membatalkan lesen pemaju.

“Setiap pemaju perlukan lesen sebelum membuat sebarang projek pembinaan.

“Dalam perkara ini bila menteri berkaitan menerima arahan dari Perdana Menteri maka tiada sebarang projek boleh dijalankan,” katanya dalam sidang media selepas sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Ronnie menjelaskan Najib tentunya memaklumi akan perkara itu atau sengaja “buat tak tahu” akan perkara itu.

Projek pembinaan kondominium 29 tingkat itu telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semasa pentadbiran Umno-BN pada 2007.

Pada bulan lalu, masyarakat Hindu mengadakan demonstrasi di kompleks kuil Batu Caves dan mendesak agar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membatalkan projek itu.

Dalam majlis sambutan Deepavali di Batu Caves pada 13 November lalu, Najib mengumumkan Umno-BN akan membatalkan projek tersebut sekiranya gagasan itu kembali mentadbir Selangor.

Dalam masa sama, Ronnie, yang juga Adun Pandamaran berkata, Kerajaan Negeri memang berhasrat untuk membatalkan projek tersebut tetapi ia perlu mengikut prosedur yang betul.

Categories
SELANGOR

Pusat Bertindak Pindahkan Zainal Sebab Keluar Kenyataan Rugikan Umno-BN?

SHAH ALAM, 14 NOV: Tindakan Kerajaan Pusat memindahkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Aala dipercayai berkait dengan pendedahkan beliau bahawa kerajaan Umno-BN yang meluluskan projek kondominium di Batu Caves.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian Dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata Zainal Abidin merupakan ?mangsa keadaan? apabila beliau terpaksa mendedahkan fakta di dalam projek kontroversi tersebut.

“Dia terpaksa beritahu projek ini diluluskan bukan baru-baru ini tetapi di zaman BN mentadbir lagi.

“Bila ‘press’ minta minit mesyuarat dia kena bagi sebab Selangor ada Akta Kebebasan Maklumat, jadi sesiapa tak boleh salahkan dia,” kata Ronnie apabila ditemui selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Zainal sebelum ini memberitahu bahawa Kebenaran Merancang terhadap projek kontroversi Dolomite Park Avenue di Batu Caves telah dikeluarkan ketika BN menerajui Selangor, pada 30 November 2007.

Zainal juga mendedahkan projek itu telah diluluskan oleh Jabatan Mineral Dan Geo-Sains (JMG) pada ketika itu.

Namun Jabatan Alam Sekitar (JAS), dalam laporan awalnya, tidak menyokong pembinaan projek itu atas alasan yang tidak disebutkan.

Beliau turut mendedahkan suatu minit mesyuarat MPS yang jelas membuktikan Kebenaran Merancang kondominium 29 tingkat itu dikeluarkan dalam mesyuarat tersebut.

Projek yang dimajukan oleh syarikat pemaju, Dolomite Properties Sdn Bhd di Batu Caves dianggap sebagai sensitif memandangkan kawasan tersebut merupakan tumpuan masyarakat Hindu untuk beribadat.

Ronnie juga memberitahu hari ini pertukaran Zainal ke jabatan yang masih belum diketahui itu akan berkuat kuasa Jumaat ini.

“Hari ini adalah hari terakhir Zainal di MPS sebab esok cuti umum dan saya akan bercakap dengan dia nanti, apa pun saya anggap ini tindakan tidak adil,” ujar beliau lagi.

Categories
SELANGOR

MB : Task Force Bebas Diwujud Bagi Nasihat Pembangunan Batu Caves

BANDAR TUN RAZAK, 28 OKT : Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa task force’ bebas bagi memberikan pandangan dan nasihat berhubung pelaksanaan pembangunan di sekitar Batu Caves.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, melalui task force ini diharap akan memberikan nasihat yang adil dan saksama berkenaan pelaksanaan pembangunan yang sesuai dilakukan di kawasan itu yang berhampiran dengan kuil Batu Caves.

“Kita akan menilai dari semua segi samada pembangunan itu menurut undang-undang pembangunan, saya tidak memberikan apa-apa jawapan sehingga kita kaji dan meneliti.

“Ia akan mengambilkira bagaimana pembangunan itu boleh dilakukan dengan terbaik kerana Batu Caves ini adalah sebuah tempat yang sangat dihargai oleh masyarakat Hindu di mana kuilnya telah didirikan beberapa pembangunan,” kata Abdul Khalid dalam sidang media di Program Jelajah Bas Merdeka Rakyat di sini.

Abdul Khalid berkata, beliau akan membuat kajian dan menggunakan kepakaran semua berhubung isu pembangunan itu bagi mengelakkan sebarang spekulasi daripada mana-mana pihak.

“Ini adalah cara yang dibuat oleh Pakatan Rakyat selama empat tahun jadi kita menghormati keputusan yang dibuat oleh pihak yang lepas tetapi mesti mengikut syarat-syarat dan undang-undang,” kata Abdul Khalid.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dalam sidang medianya mendedahkan dokumen lengkap “Kebenaran Merancang” yang diluluskan pada 30 November 2007 dalam persidangan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC).

Ronnie juga membidas bekas ahli majlis Perbandaran Majlis Selayang (MPS) kerana berlakon tidak tahu tentang projek kondo, Dolomite Park Avenue tersebut.

Projek Dolomite Park Avenue oleh pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd di Batu Caves ini dianggap sebagai sensitif memandangkan kawasan tersebut merupakan tumpuan masyarakat Hindu beribadat.

Categories
NASIONAL

Siber Kafe dan Longkang Tersumbat Akan Dipantau MPS

SELAYANG, 1 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang(MPS) akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan lebih kerap di semua kafe siber di Selayang dan Gombak supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Ketua Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Azmi Ismail mencadangkan supaya setiap premis kafe siber di bawah MPS diperiksa lebih kerap bagi membendung kegiatan yang tidak sihat berlaku.

“Lambakan kafe siber perlu diberi perhatian sewajarnya dan saya akan berbincang dengan polis bagi mengadakan operasi bersepadu dengan lebih kerap lagi,” katanya ketika Mesyuarat Bulanan MPS di Bangunan MPS hari ini.

Perkara ini dipersetujui oleh Yang Dipertua MPS, Datuk Zainal Abidin Aala sambil menyatakan kerjasama bersama polis perlu dieratkan di masa hadapan.

Mesyuarat bulanan ini diadakan kali ke tujuh tahun ini dan turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPS, Mohamad Zain Abd Hamid, pengarah jabatan dan ahli-ahli Majlis MPS.

Selain itu, cadangan menambahbaik masalah saliran seperti longkang tersumbat di kawasan-kawasan perumahan di sekitar Bandar Baru Selayang turut dikemukakan oleh ahli-ahli Majlis MPS yang terlibat.

Kebanyakan ahli Majlis meminta MPS melipat andakan usaha dengan menambah kontraktor-kontraktor bagi membersihkan longkang-longkang ini supaya tiada perkara buruk yang berlaku seperti kejadian tanah runtuh dan banjir kilat.

Gangguan Samseng Jejas Projek MPS

SELAYANG, 1 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memadang serius tindakan sekumpulan samseng didakwa meminta ‘duit kopi’ daripada kontraktor ketika kerja-kerja menurap jalan di Batu Caves melalui peruntukan MARIS di bawah Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Yang Dipertua MPS, Datuk Zainal Abidin Aala berkata, kumpulan samseng bertindak merampas kunci jentera-jentera yang digunakan kontraktor yang dilantik MPS dan meminta ‘duit kopi’ daripada kontraktor terlibat.

“Perkara ini amat serius dan saya akan mengarahkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengadakan perbincangan dengan pihak polis bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPS di Bangunan MPS hari ini.

Katanya, samseng berkenaan turut mengganggu kakitangan Institut Kerja Raya Malaysia(IKRAM) ketika membuat kajian mengenai tanah runtuh di Taman Rawang Perdana minggu lalu.

“Mereka yang terlibat juga tidak berani melaporkan perkara ini kepada polis dan kita akan mengadakan satu mesyuarat segera mengenai perkara ini kerana sudah empat kali dalam tahun ini kita diganggu,” katanya.

Zainal Abidin berkata, tujuan kumpulan samseng ini adalah bagi mendapatkan wang segera dengan memeras ugut dan mengganggu projek di bawah MPS.

Sementara itu, mesyuarat bulanan ini turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPS, Mohamad Zain Abd Hamid, pengarah jabatan dan ahli-ahli Majlis MPS.