Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Nilai barangan dirampas antara RM900j hingga RM1.1 bilion

KUALA LUMPUR 27 JUN: Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengumumkan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Beliau mendedahkan jumlah itu pada sidang media hari ini menyatakan pada 21 Mei hingga 25 Jun lalu, JSJK sudah buat pengiraan dan pemeriksaan barang dirampas.

“Pengiraan dan pemeriksaan ambil masa lama kerana angka adalah besar.

“Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota,” katanya.

Beliau berkata, 25 beg daripada 72 beg mengandungi barang kemas seperti cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya sebanyak 12,000 barang.

“Jumlah pasaran barang kemas yang dirampas berharga kira-kira RM880 juta.

“Cincin sebanyak 2,200 unit, subang 2,800 unit, broch 1,600 unit, tiara 14 unit.

“Barang paling berharga adalah seutas rantai emas white diamond berharga RM6.4 juta,” katanya.

Amar Singh berkata, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel berharga kira-kira RM51.3 juta.

Katanya, sebanyak enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama.

FOTO: ASTRO AWANI

 

Categories
NASIONAL

Najib mungkin didakwa ubah wang haram, seleweng harta

KUALA LUMPUR 16 JUN: Pihak berkuasa Malaysia yang menyiasat syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang mempertimbang untuk mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas pertuduhan pengubahan wang haram dan penyelewengan harta, kata sumber.

Najib yang mengasaskan 1MDB pada 2009, menjadi subjek siasatan pengubahan wang haram dan rasuah, selepas beberapa laporan mendakwa berjuta dolar masuk ke akaun peribadinya daripada syarikat itu dan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Bekas Perdana Menteri itu secara konsisten menafikan sebarang salah laku berkaitan dengan syarikat pelaburan strategik negara terbabit.

Najib, 64, tewas mengejut ketika pilihan raya umum pada 9 Mei lalu, yang menyaksikan Malaysia bertukar kerajaan buat pertama kali sejak memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 1957.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri sebelum pilihan raya itu, berikrar akan mengembalikan dana yang didakwa dilarikan daripada 1MDB, selain menghukum mereka yang bertanggungjawab.

Selasa lalu, Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas dilaporkan berkata pihaknya sedang meneliti kemungkinan pertuduhan jenayah dan sivil, selepas menerima kertas siasatan berhubung 1MDB daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber rapat dengan penyiasatan itu memberitahu Reuters, Najib mungkin didakwa dengan tuduhan penyelewengan harta secara tidak amanah mengikut Kanun Keseksaan. Bagaimanapun, sumber itu enggan dikenali kerana tidak dibenarkan berbicara mengenai perkara itu.

Pertuduhan di bawah kesalahan terbabit membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, denda dan sebat, namun undang-undang turut melarang individu berusia lebih 50 tahun daripada dikenakan hukuman sebat.

Menurut sumber, Najib juga mungkin berdepan pertuduhan pengubahan wang haram, yang membawa hukuman maksimum 15 tahun penjara serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai wang haram yang diubah itu.

Ketika ini, bergantung kepada Peguam Negara untuk memutuskan sama ada menerima atau menolak cadangan itu, mendakwa dengan pertuduhan berbeza atau meneruskan siasatan lanjut.

Peguam Negara sebelum ini membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam skandal 1MDB manakala SPRM dan Pejabat Peguam Negara tidak memberi sebarang maklum balas ketika diminta mengulas mengenai pertuduhan itu.

Jurucakap Najib juga tidak memberi sebarang maklum balas ketika diminta mengulas mengenai perkara sama. Sebelum ini, Najib dilaporkan yakin mahkamah akan memutuskannya tidak bersalah jika beliau didakwa atas dasar politik.

Dakwaan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB menjadi subjek siasatan antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.

Jabatan Kehakiman (DoJ) AS sebelum ini mendakwa lebih AS$4.5 bilion (RM18 bilion) dilarikan daripada 1MDB, dengan kira-kira AS$700 juta (RM2.8 bilion) daripadanya dikatakan masuk ke akaun bank peribadi Najib.

Isnin lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Putrajaya yang dikaitkan dengan Najib, iaitu premis terkini yang disiasat berkait dengan skandal 1MDB.

Dalam serbuan di beberapa premis yang turut dikaitkan dengan Najib sebelum ini, pihak berkuasa merampas ratusan beg tangan mewah dan beberapa beg lain berisi barang kemas dan wang tunai.

Minggu ini, SPRM memanggil empat individu untuk membantu siasatannya 1MDB, termasuk pembantu Jho Low yang juga individu utama dalam skandal berkenaan, yang dikait rapat dengan Najib serta keluarganya.

SUMBER: REUTERS

Categories
NASIONAL

Najib sambung beri keterangan kepada SPRM Khamis ini

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 22 MAC: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan menyambung proses memberikan kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan SRC International Khamis ini.

Bercakap kepada media di luar Ibu Pejabat SPRM beliau berkata, kenyataan hari ini merupakan lanjutan pada 2015 atas isu sama.

“Saya nak beritahu bahawa saya telah memberi kenyataan atas kepada SPRM pada 2015 atas isu SRC (International).

“Kenyataan hari ini merupakan lanjutan pada kenyataan tersebut dengan lebih terperinci, dengan pengesahan dokumen dan beberapa perincian yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau memberikan kenyataan kepada SPRM bermula jam 10 pagi sehingga 2.15 petang dengan setengah jam tempoh berehat.

Dalam sidang media itu beliau turut mengucapkan terima kasih ke atas pasukan yang mengambil keterangannya kerana bertindak secara profesional selain sebahagian besar kenyataannya sudah selesai diberikan.

Najib meninggalkan perkarangan Bangunan SPRM sekitar jam 3.15 petang sambil diiringi pegawai keselamatan.

Categories
NASIONAL

Najib tiba di ibu pejabat SPRM

PUTRAJAYA 22 MEI: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Najib yang menaiki kenderaan Toyota Vellfire itu tiba jam 9.42 pagi dengan kawalan ketat anggota polis, lapor BERNAMA.

Difahamkan hanya ahli Parlimen Pekan itu akan masuk memberi keterangan kepada pegawai SPRM di bilik soal siasat di bangunan itu.

Seawal jam 8.00 pagi, puluhan media tempatan dan antarabangsa berada di perkarangan ibu pejabat SPRM bagi membuat liputan kes yang melibatkan Najib.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dijangka mengadakan sidang media pada jam 11.30 pagi ini.

Jumaat lepas, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di Kuala Lumpur untuk menghantar notis meminta beliau hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB, sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Januari 2016, media melaporkan bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Categories
NASIONAL

Siasatan adil dan bebas, Anwar minta Najib cari peguam terbaik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MEI: Siasatan terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd akan dilakukan secara adil dan bebas.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun, mahu semua pihak tidak menjatuhkan hukuman terhadap Najib sebelum siasatan rapi dan pelaksanaan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.

Anwar turut menasihatkan Najib mencari peguam bela yang baik.

“Kepada beliau (Najib), nasihat saya cari peguam bela yang baik,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan bekas Presiden Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie, sempena sambutan 20 tahun reformasi Indonesia, di Jakarta, semalam.

Dalam pertemuan dengan Bacharuddin atau lebih dikenali BJ Habibie itu, Anwar berkata, pertemuan dan perbincangan itu akan mengeratkan lagi hubungan antara dua negara serta memperkukuh iltizam melaksana agenda reformasi, di Malaysia.

Selain itu, Anwar berkata, Kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan agenda secara lebih spesifik antaranya mengukuhkan lagi badan kehakiman, kebebasan media lebih adil dan program pembasmian kemiskinan lebih tersusun.

Katanya, tahun 1998 adalah tahun keramat bagi Malaysia dan Indonesia dan tarikh 21 Mei 1998 diingati rakyat Indonesia sebagai jatuhnya rejim Orde Lama serta bermulanya zaman peralihan kuasa juga pengukuhan institusi demokrasi yang berlaku dengan pentadbiran Presiden BJ Habibie.

“Manakala 2 September 1998 diingati rakyat Malaysia sebagai tarikh bermulanya kejatuhan rejim Barisan Nasional yang akhirnya selesai hampir dua dekad kemudian, pada 9 Mei lalu,” katanya memetik BERNAMA.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan, pada 2012.

Pada 26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes membabitkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Categories
NASIONAL

Laluan masuk kediaman peribadi Najib mula dikawal polis

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Polis hari ini mula mengawal laluan keluar masuk ke kediaman peribadi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata ia dilakukan bagi mengawal keselamatan kediaman terbabit.

“Anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah ditempatkan untuk mengawal keselamatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati lima anggota polis ditempatkan di simpang masuk ke kediaman bekas perdana menteri itu.

Polis turut menempatkan balai polis bergerak selain membuat pemeriksaan ke atas setiap individu mahupun kenderaan yang ingin masuk ke laluan itu.

Difahamkan arahan kawalan keselamatan itu dikeluarkan mulai malam tadi.

Susulan itu, pengamal media yang berkumpul di kawasan kediaman itu juga tidak dibenarkan memasuki laluan berkenaan berbanding semalam yang mana wartawan dan jurugambar telah berkumpul di depan pintu pagar kediaman tersebut bagi membuat liputan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M: Belum pernah Malaysia ada kerajaan teruk seperti pemerintahan Najib

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MEI: Sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia belum pernah mempunyai kerajaan seteruk seperti kerajaan Datuk Seri Najib Razak seperti hari ini, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir berkata, jika dahulu pemimpin semuanya berjuang demi bangsa, agama dan negara namun kini Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia keenam itu berjuang demi wang.

“Kononnya buat syarikat untuk kekayaan negara (1MDB) sedangkan negara Arab yang keluar minyak banyak memang tidak habis duitnya daripada penjualan minyak.

“Tetapi Malaysia bukan pengeluar minyak, duit tidak cukup juga, bagaimana nak buat syarikat kekayaan negara, syarikat hutang negara bolehlah” katanya.

Tun Mahathir berkata demikian ketika mengadakan sesi Ceramah Mega Pakatan Harapan (PAKATAN) Parlimen Titiwangsa di Desa Pandan yang turut dihadiri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan calon P119 Titiwangsa, Rina Harun.

Tun Mahathir berkata, sejak 2013 belum ada mana-mana audit berkenaan syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) itu sehingga menimbulkan kemusykilan pelbagai pihak.

“Di Langkawi sahaja, RM1,000 seorang dapat suruh kita undi dia, tidak apa, orang bagi ambil memang hak kita duit kita, tapi 9 Mei nanti pangkah PAKATAN,” katanya.

Sementara itu, Mahathir juga merupakan calon Parlimen Langkawi P.4 turut bertanding pada PRU14 nanti dalam saingan tiga penjuru menentang penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ir Nawawi Ahmad dan calon PAS, Zubir Ahmad.

Categories
NASIONAL

Tun M serang Najib, Muhyiddin dakwa status Umno kini ‘haram’

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 24 APR: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan segala peluang dan cara yang ada untuk kekal berkuasa termasuk memberikan kad pengenalan palsu kepada bukan warganegara.

Menurutnya, rakyat perlu keluar mengundi bagi menyumbang kepada jumlah kemenangan besar dengan majoriti sekitar 10,000 hingga 20,000 kerana undi mereka sangat berharga kini.

“Sekarang pun saya fikir dia (Najib) akan keluarkan kad pengenalan biru bagi kepada orang bukan warganegara untuk mengundi dalam pilihan raya.

“Sebab itu kita perlu keluar (mengundi) beramai-ramai, ajak seluruh keluarga datang dan jika hujan, kita pakai payung supaya mengundi satu simbol (KEADILAN), tak payah undi yang lain,” katanya.

Bercakap pada Jelajah Harapan Selangor di Stadium Majlis Daerah Kuala Selangor semalam beliau turut memberi amaran BN mungkin membeli calon mereka pada hari penamaan calon nanti sebagai antara kaedah menggagalkan Pakatan Harapan.

Katanya, kerosakan yang dilakukan kepimpinan Najib Razak terhadap negara tidak boleh diperbetulkan lagi jika Barisan Nasional terus mencapai kemenangan.

“Pada hari menamakan calon, ada besar kemungkinan Najib akan membeli calon-calon kita ataupun dia akan menyekat calon daripada sampai ke tempat penamaan calon dan lain-lain perkara termasuk tidak mengiktiraf Ejen Pusat Mengundi dan Mengira Undi (PACA) kita, pencadang serta penyokong calon kita.

“Banyak lagi yang boleh dilakukan oleh Najib, yang tidak mengikut undang-undang keranan dia tidak hormati undang-undang sama sekali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Umno berkemungkinan besar menjadi sebuah parti yang ‘diharamkan’ susulan penagguhan pemilihan lebih 18 bulan.

Selaku bekas Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Umno beliau berkata, tempoh 18 bulan itu sudah berakhir beberapa hari lalu dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sendiri tidak boleh memanjangkan tempoh penangguhan pemilihan walaupun sehari.

“Umno tidak mengadakan persidangan agung dan pengikut Perkembagaan Umno tidak ada peruntukan untuk ditambah (tempoh penangguhan pemilihan) walaupun sehari.

“Tak mungkin Pendaftar Pertubuhan ada kuasa dalam Akta Pertubuhan atau mana-mana peruntukan yang membolehkan ROS menyambung sehari hayat Umno.

“Bermakna Umno seharusnya sudah terbatal, Umno sudah tidak ada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden hatta Ketua Cawangan,” katanya.

“Bermakna Umno seharusnya sudah terbatal, Umno sudah tidak ada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden hatta Ketua Cawangan,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Najib tak hormati undang-undang, tabur janji lepas Parlimen bubar

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 8 APR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menghormati proses undang-undang apabila menjanjikan bantuan kepada rakyat melalui Manifesto Barisan Nasional (BN) selepas Parlimen dibubarkan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebagai ketua sebuah kerajaan sementara, Najib tidak boleh melakukan tindakan sedemikian kerana ia tidak melalui proses kelulusan betul.

“Saya kesal kerana Najib melakukan satu kesalahan jenayah kewangan dengan meluluskan jumlah bantuan besar untuk memancing undi dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) akan datang.

“Ini membuktikan beliau amat terdesak untuk menang dalam PRU nanti tetapi saya yakin rakyat Malaysia telah bersedia untuk membuat satu perubahan,” katanya kepada media selepas majlis perasmian pasar MPAJ Kampung Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengumuman dibuat Najib itu adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab untuk sebuah kerajaan sementara.

Katanya, tindakan dibuat selepas Parlimen dibubarkan adalah satu tindakan menunjukkan Perdana Menteri sendiri tidak menghormati undang-undang dan proses kewangan bertanggungjawab.

“Ini bahaya kerana ia menyogok pengundi dengan pengumuman berbentuk wang tunai seperti BR1M yang tidak diluluskan dalam Belanjawan 2018 dan jemaah menteri kabinet.

“Siapa akan bertanggungjawab dalam perkara ini, kalaupun Ummo-BN menang, ia melanggar satu proses kelulusan.

“Sebagai kerajaan sementara, ia tidak boleh meluluskan apa-apa pun dan hanya boleh meneruskan kerajaan sedia ada sehingga sebuah kerajaan baharu terbentuk,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, tindakan sebegitu hanya boleh dilakukan sekiranya berlaku sesuatu keadaan tidak mampu dielakkan seperti bencana alam atau yang lain.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Najib tak faham kesusahan dan derita rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 7 APR: Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak memahami kesukaran dihadapi rakyat apabila mereka terpaksa menanggung pelbagai beban.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pinang, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ketika di bawah pemerintahan Najib sebagai Perdana Menteri beliau melaksanakan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus yang membeban rakyat serta berlakunya kenaikan harga barangan.

Chang Khim berkata Najib mengeluarkan kenyataan kononnya pencapaian Akujanji Kerajaan Barisan Nasional (BN) mencapai 99.4 peratus setakat 28 Februari tahun ini.

“Kenapa dia (Najib) tidak kata pencapaian 100 peratus sahaja?, ini kerana dia tidak berani.

“Memang dia hidup di alam lain kerana rakyat ketika zaman pemerintahannya dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai ringgit malah inflasi tinggi berlaku,” katanya.

Semalam Najib turut menggariskan tujuh kejayaan kerajaan di bawah kepimpinannya melalui ucapan khas pembubaran Parlimen.

Chang Kim yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan itu juga menyelar Najib hanya memperbesarkan pencapaiannya.

“Rakyat melalui waktu yang sukar bersamanya sebelum ini, jadi saya yakin mereka tidak mahu mengulangi sejarah lama itu.

“Pengundi semakin bijak dan saya yakin rakyat Selangor khasnya tidak mahu BN memegang negeri ini setelah melihat perkembangan pesat di bawah tampuk kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Jadikan Najib sebagai PM terakhir Umno-BN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 APR: Rakyat digesa untuk berani membuat perubahan dengan terus mengundi calon PAKATAN sekali gus menolak Barisan Nasional (BN) bagi memastikan era Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri berakhir.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuraida Kamaruddin berkata, semasa Najib mengambil tampuk pemerintahan negara, rakyat meletakkan harapan tinggi kepada beliau berlakunya perubahan positif.

“Apabila ISA dihapuskan ramai bersorak tanpa mengetahui bahawa ia diganti dengan SOSMA dan terkini Akta Berita Palsu pula diwujudkan bagi mengekang kebebasan bersuara rakyat Malaysia,” katanya.

Zuraida berkata, 4 April merupakan tarikh keramat penubuhan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) demi kelangsungan perjuangan menentang kezaliman dan menyeru kepada reformasi pentadbiran negara.

“19 tahun berlalu, bermacam perkara dihadapi parti ini dan kini sudah terbukti ia masih lagi utuh dan semangat perjuangan bagi menentang kezaliman BN tetap akan diteruskan.

“KEADILAN akan terus berusaha memastikan nasib dan hak rakyat Malaysia dibela,” katanya.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, orang ramai kini sudah tidak boleh menyuarakan pendapat dengan bebas malah ketidakadilan itu perlu dibalas.

“Rakyat tidak bodoh dan langkah dibuat Najib untuk menyekat pengkritik beliau terutamanya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bukan sahaja sibuk diperkatakan media tempatan tetapi juga media antarabangsa,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Tun M: Malaysia lebih malu kleptokrat Najib kekal teraju negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 MAC: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas seteru politiknya, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa adalah memalukan sekiranya negara ditadbir Perdana Menteri, berumur 90 tahun lebih.

Tun Mahathir berkata, Najib seharusnya lebih malu apabila seantero dunia kini lebih mengenali Malaysia yang kini ditadbir Perdana Menteri, kleptokrat dan perasuah.

“Negara malu Malaysia diklasifikasi sebagai negara rasuah dan kleptokrasi. Demikianlah rakyat berasa malu sehingga tidak mengakui rakyat Malaysia apabila ditanya di luar negara.

“Rakyat Malaysia malu tetapi Perdana Menteri mereka tidak malu. Kononnya mempunyai Perdana Menteri, berumur lebih dari 90 tahun memalukan Najib.

“Sesungguhnya amat pelik Perdana Menteri Malaysia ini. Apalah nasib rakyat Malaysia mendapat Perdana Menteri yang dipandang hina oleh dunia dan tak tahu malu. Rakyat malu,” tulis Pengerusi Pakatan Harapan itu di blog chedet.cc.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Najib mengeluarkan kenyataan kononnya individu berusia lebih 90 tahun bukanlah calon sesuai untuk terus menerajui kepimpinan negara.

Malah sebelum ini, Menteri Umno, Datuk Seri Ismail Sabri yang turut mengulas isu sama mendedahkan, Tun Mahahthir tidak mempunyai kredibiliti untuk mengurus negara.

Namun, Pakatan sebelum ini optimis Tun Mahathir sebagai individu berkelayakan memandangkan pengalaman negarawan itu menerajui kepimpinan negara selama, 22 tahun.

=EZY=