Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pekan Kajang selesai banjir, Pekan Najib apa cerita?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 13 MAC: Kerajaan Negeri optimis masalah banjir di Pekan Kajang diselesaikan menerusi dua projek pembangunan penstabilan Tebing Sungai Jeluh dan Projek Menaik Aras Jambatan Sungai Jelok, Pekan Kajang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali secara berseloroh berkata, keadaan sebaliknya berlaku di Pekan Pahang yang masih berdepan masalah banjir sehingga kini.

“Selangor berjaya mengatasi masalah banjir di Kajang berbanding masalah banjir di Pekan Pahang yang sehingga kini masih gagal ditangani sehingga sekarang.

“Itulah, kuman di seberang laut nampak. Tetapi gajah di depan mata tak nampak. Inilah sikap sesetengah pemimpin hari ini,” sindirnya sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini lantang menyerang pentadbiran Selangor.

Untuk rekod, Pekan Pahang merupakan kawasan Parlimen Perdana Menteri yang masih berdepan masalah banjir, terutamanya ketika berlakunya peningkatan taburan hujan di kawasan itu.

Awal Januari lalu menyaksikan peningkatan jumlah mangsa banjir di Pekan Pahang yang menyebabkan lebih 1,000 mangsa terpaksa berpindah selepas tiga sungai di daerah itu dilaporkan berada pada tahap amaran.

Sementara itu, sejak pembaikpulihan tebing Sungai Jeluh dan pembangunan Jambatan Sungai Jelok Pekan Kajang dilaksanakan Kerajaan Negeri, tiada laporan berlakunya banjir di kawasan itu direkodkan sehingga kini.

Perkembangan positif itu dijayakan susulan komitmen Kerajaan Selangor menyalurkan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi tujuan pembangunan projek itu pada 2014 lalu.

Terdahulu, Mohamed Azmin bersama pimpinan Kerajaan Negeri, Zaidy Abdul Talib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turun padang meninjau keberkesanan pelaksaan kedua-dua projek berkenaan.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Najib putar belit isu hutang kait isu air di Selangor

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MAC: Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bertindak memutar belit soalan dengan mengaitkan isu air di Selangor ketika menjawabisu hutang negara membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Najib harus menyelesaikan masalah hutang negara yang lebih besar terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada Selangor.

“Laporan di akhbar News Strait Times (NST) baru-baru ini melaporkan sejak Najib mentadbir negara jumlah pembayaran faedah hutang terus meningkat mencecah, sehingga 12.5 peratus.

“Jika dibandingkan dengan Singapura, republik itu hanya menggunakan enam peratus daripada pendapatannya untuk pembayaran faedah hutang negara.

“Adakah kemelut hutang 1MDB mendatangkan kesan kepada peningkatan jumlah pembayaran faedah hutang atau ada alasan lain yang lebih bertanggungjawab menyebabkan Putrajaya pada hari ini terpaksa membelanjakan 12.5 peratus daripada pendapatan negara hanya untuk membayar faedah hutang negara,” soalnya dalam Sidang Parlimen, pagi tadi.

Bagaimanapun, Najib enggan menjawab persoalan yang diajukan, malahan beliau memutar belit apabila cuba membabitkan isu air, di Selangor.

“Masalah kemelut air lebih kritikal,” kata Najib.

Perkara itu turut disokong Ahli Parlimen Umno-BN yang lain.

Mohamed Azmin membidas perkara itu dan disokong dengan laporan sama menyebut tahun ini Malaysia dijangka membelanjakan 31 bilion untuk membayar faedah hutang dan sudah tentu itu adalah satu jumlah besar sama banyak dengan kutipan Cukai dan Pendapatan.

“Isu hutang negara membabitkan lebih 42 bilion. Isu hutang negara adalah lebih parah dan kritikal berbanding air.

“Jika Ahli Parlimen Umno-BN yakin dengan perdana menteri, maka seharusnya bagi peluang untuk beliau menjawab bukan mencelah dan mengaitkan isu air,” katanya.

Categories
RENCANA SELANGOR

Mengata dulang paku serpih, mengata Selangor tapi Pahang lagi lebih

OLEH NAEEM RAFFI

Rakyat Pahang lebih memerlukan bantuan dan kepedulian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam isu bekalan air bersih.

Ini kerana, krisis bekalan air yang melanda negeri itu lebih jelas untuk digambarkan sebagai ‘krisis’ berbanding gangguan bekalan air yang berlaku, di Selangor, baru-baru ini.

Lihat sahaja perkembangan rakyat Pahang dari Kampung Alor Batu, Jabor dekat Kuantan. Khabarnya, bukan sehari dua masalah gangguan bekalan air di kampung itu tetapi berlarutan bertahun lamanya.

Penduduk mendakwa, bekalan air kerap terputus dan keadaan itu semakin kritikal kebelakangan ini apabila boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku gangguan hingga aktiviti seharian mereka terganggu.

Lebih mengecewakan, dalam situasi sukar itu, penduduk terbabit terpaksa membayar bil mencecah RM70 hingga RM80 sebulan, berbanding kadar semasa beberapa tahun lalu, di bawah RM20.

Ini pula kisahnya di Kampung Bukit Nikmat di Jerantut. Penduduk mengambil inisiatif membuat tangki, membeli tong dan menyediakan besen menyimpan bekalan air bersih, sejak dua tahun lalu.

Usaha itu dilakukan berikutan masalah air dihadapi penduduk kira-kira lima tahun lalu yang didakwa berpunca daripada masalah paip yang kerap pecah.

Cubaan Najib jadi ‘hero’

Sebelum ini, Najib sedaya upaya menggambarkan gangguan bekalan air di Lembah Klang sebagai krisis ‘maha dahsyat’ sekali gus cuba memujuk rakyat Selangor kembali kepangkuan Umno-Barisan Nasional (Umno-BN) jika mahu terselamat daripada musibah itu, pada masa depan.

“Saya dah dapat laporan berhubung kisah pentadbiran air, di Selangor ini. Apa cara untuk selesaikan (masalah ini), tukar dan tawan semula Kerajaan Selangor, saya janji masalah air selesai,” kata Najib dengan bangganya.

Penulis lihat, agak sukar untuk Najib menjadi ‘hero’ di hati rakyat Selangor yang kini semakin matang menilai ‘mana kaca, mana permata’.

Namun, perjalanan Najib menjadi ‘hero’ dilihat lebih mudah di Pahang kerana negeri itu adalah milik Umno-BN (itu pun jika mereka ikhlas mahu bantu rakyat, di sana).

Maka, penulis tujukan pepatah melayu ini buat Najib, ‘Mengata dulang paku serpih, mengata Selangor tapi Pahang lagi lebih’.

Jauhi fitnah, fahami cerita sebenar

Hakikatnya, gangguan bekalan air di 427 kawasan sekitar Lembah Klang bukan salah Kerajaan Selangor, sebaliknya ekoran urusan penstrukturan industri air membabitkan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) belum dimuktamadkan.

Kisah ini bermula seawal 26 Januari lalu lagi apabila Air Selangor mendapati produktiviti bekalan air dikeluarkan SPLASH mengalami penyusutan.

Bagaimanapun, Air Selangor tidak boleh menjalankan siasatan sebaliknya atas rasa tanggungjawab agensi itu meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan siasatan.

Hasilnya, terdapat pam yang perlu dinaiktaraf, namun ia perlu diselenggara mengikut garis panduan iaitu loji tidak boleh ditutup seminggu sebelum atau selepas mana-mana perayaan dan ketika itu adalah Tahun Baru Cina.

Atas keperluan dan meneliti semua aspek, Air Selangor mengeluarkan notis gangguan bekalan, bermula 6 Mac lalu.

Namun, selepas siap, berlaku pula letupan di tapak kerja pembaikan yang turut menyebabkan kecederaan pada lima petugas loji.

“Kita tidak mahu kemalangan ini berlaku. Jadi, saya harap semua pihak sabar dan tabah.

“Suasana fitnah ini biasa berlaku apabila dekat dengan pilihan raya. Terutama, ada pihak yang tidak senang dan cemburu dengan kejayaan kita,” kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

#Naeem Raffi adalah Penolong Pengarang SelangorKini dan rencana ini adalah pandangan peribadi penulis tidak membabitkan SelangorKini

Categories
SELANGOR

ADN dedah fakta sebenar Selangor, tepis penipuan Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 MAC: Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbohong dan cuba memutarbelitkan fakta membabitkan beberapa isu yang berlaku di Selangor.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC), Ng Suee Lim berkata, penipuan Najib tidak akan mempengaruhi sokongan masyarakat Selangor terhadap pentadbiran negeri kini.

“Ini lumrah biasa menjelang PRU, bertubi-tubi media arus perdana dan Najib akan menyerang Kerajaan Selangor habis-habisan.

“Tetapi rakyat sudah matang, dan rakyat tahu apa yang berlaku sebenarnya di Selangor. Banyak isu yang berlaku kini sengaja diperbesarkan media Umno,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau diminta mengulas laporan muka hadapan media kawalan Umno, Berita Harian yang mendedahkan kononnya pentadbiran Kerajaan kini gagal menangani beberapa perkara besar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan itu berkata, Kerajaan Negeri komited melaksanakan kebajikan rakyat tanpa bermain retorik politik pilihanraya.

Katanya, pelbagai dasar terus diwujudkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk terus mengangkat martabat kebajikan rakyat seluruh negeri.

“Banyak perkara yang sudah diselesaikan termasuklah isu air, walaupun ada insiden tetapi atas komitmen dan tanggungjawab, proses pembaikan tetap diteruskan.

“Kerajaan Selangor terus mencari pelan pemulihan. Begitu juga isu pengurusan sampah yang dapat dilihat semakin berkesan hasil penurunan aduan daripada rakyat.

“Ini bukan auta, tetapi inilah fakta sebenar yang berlaku di Selangor,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PM perlu selesai isu air di negeri Umno-BN

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, harus menyelesaikan masalah air di negeri di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee, berkata janji Najib untuk menyelesaikan isu air di Selangor jika berjaya menawannya tidak menepati fakta kerana isu bekalan air berlaku adalah gangguan berjadual berikutan usaha pengusaha loji rawatan air menukar pam.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, Perdana Menteri perlu memberi tumpuan kepada Johor dan Pahang yang dikesan menghadapi masalah bekalan air berterusan.

“Mersing yang berada di dalam kubu kuat Umno-BN Johor, mengalami catuan air selama beberapa bulan setiap tahun sejak 2014 dan tempoh paling panjang pernah dicatatkan pada 2016 apabila berlaku selama lebih kurang tujuh bulan.

“Malah Johor turut mengalami 122 kali gangguan bekalan air berpunca daripada pencemaran air mentah sejak 2013 sehingga kini.

“Di Felcra Sri Makmur Peringkat Satu, Pekan juga pernah berlaku gangguan bekalan air dan ia adalah kawasan parlimen Perdana Menteri sendiri. Mengapa semua ini tidak diwar-warkan dalam media arus perdana?,” soalnya.

Beliau berkata, pendedahan Najib mengenai lima kelemahan Kerajaan Negeri adalah bertujuan memutar belitkan fakta kerana mengetahui kenyataan dibuatnya akan ditularkan media perdana sempena lawatannya ke Selangor.

Sebaliknya, Tien Chee menambah, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan masalah air di Selangor dan keadaan bertambah baik sejak pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) pada November 2015.

“Masalah harga perumahan tinggi di Selangor juga bukan isu boleh diselesaikan di peringkat negeri. Apabila menuduh harganya tinggi di Selangor, tidakkah situasi sama juga dihadapi di Wilayah Persekutuan?

“Antara faktor harga perumahan melambung tinggi adalah inflasi tidak terkawal dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah menaikkan kadar cukai berbanding GST yang membebankan pengguna termasuk pemaju yang perlu berbelanja untuk mendapatkan bahan binaan.

“Dakwaan Kerajaan Negeri meletakkan politik di tempat pertama berbanding masalah rakyat adalah tidak benar sebaliknya ia sepatutnya ditujukan kepada Umno-BN sendiri,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Tun M: Tumbangkan Najib dan BN demi selamatkan negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

TAIPING, 4 MAC: Pemimpin Pakatan Harapan (Pakatan) tidak mengejar kedudukan sebagai Perdana Menteri atau Menteri Kabinet tetapi yang lebih penting adalah untuk menyelamatkan negara.

Pengerusi Pakatan, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata, hal ini berikutan tindak tanduk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang banyak memberi kerosakkan kepada negara.

“Saya telah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, bukan sekejap dan begitu juga dengan pemimpin Pakatan Harapan yang lain bukanlah nak kejar jadi Menteri tetapi untuk menyelamatkan negara daripada terus dirosakkan Datuk Seri Najib,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Harapan Perak di Kaki Bukit Jana di sini, malam tadi.

Jelasnya, rakyat harus bijak membuat pilihan dengan menolak Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Sebelum itu, Mahathir terpaksa menyampaikan ucapannya di hadapan ribuan penyokong Pakatan di atas kenderaan pacuan empat roda apabila dihalang berucap di atas pentas yang disediakan.

Bagaimanapun sekatan terbabit tidak menghalang pemimpin Pakatan meneruskan program seperti yang dirancang.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Najib dan Umno hanyalah ‘penari’ ikut alunan irama Pakatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 FEB: Pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa tol dikenakan membebankan rakyat membuktikan Umno dan Barisan Nasional (BN) bukanlah pencetus idea tetapi hanyalah pengikut kepada cetusan idea Pakatan Harapan (Pakatan).

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil, berkata, kenyataan Najib itu juga menunjukkan pemimpin Pakatan lebih memahami aspirasi rakyat berbanding golongan elit Umno-BN yang hidup dalam dunianya tersendiri.

“Tidak mustahil kita bakal menyaksikan usaha di peringkat akhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pihak Umno-BN cuba memenangi hati rakyat dengan menghapus beberapa tol tetapi rakyat pun faham yang berjuang untuk menghapuskan tol ini adalah Pakatan.

“Maka, sekali lagi terbukti Pakatan menetap agenda dan Umno-BN pula hanya menari mengikut rentak dan irama kami,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Jelasnya, kenyataan Najib itu juga membuktikan Umno-BN bersetuju bahawa hujah Pakatan berhubung isu ini sejak dahulu lagi tepat.

Katanya, keadaan ini memudahkan rakyat membuat pilihan menjelang PRU-14 nanti dengan menilaikan banyak idea bernas dilahirkan Kerajaan Negeri yang dikuasai Pakatan.

Katanya lagi, pelbagai idea bernas Pakatan itu timbul berikutan wujudnya gandingan saf kepimpinan berpengalaman mentadbir Kerajaan Negeri dan di peringkat Persekutuan.

Sebelum ini, beberapa program Kerajaan Selangor telah menarik minat Kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri yang dikuasai Umno-BN untuk meniru program yang dijalankan.

Antaranya adalah pemberian air percuma yang diikut kerajaan di bawah BN seperti di Johor, Kedah dan Terengganu.

=EZY=

Categories
GLOBAL NASIONAL

Solidariti Palestin retorik Najib

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 FEB: Sekretariat Palestin-Malaysia mendesak kerajaan supaya tegas berhubung dasarnya terhadap Israel sebagai negara yang menyalahi undang-undang.

Timbalan Pengerusi Sekretariat Palestin-Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, hal itu kerana Malaysia tidak menolak menjadi tuan rumah kemasukan perwakilan Israel ke persidangan World Urban Forum yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah, katanya, pendirian Malaysia dalam mengutuk pelanggaran Israel terhadap undang-undang antarabangsa sepatutnya dinyatakan dengan menafikan kemasukan ke perwakilan itu.

“Sekiranya Malaysia dipaksa menjadi tuan rumah kepada Israel dan perlu memberikan visa kepada semua delegasi bagi menghadiri persidangan itu, maka kerajaan sepatutnya menarik diri sebagai tuan rumah.

“Ini kerana, tindakan ini sangat bertentangan dengan pendirian kerajaan yang sentiasa lantang bersuara berhubung dasar terhadap Palestin dalam setiap forum antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azmi berkata, baru-baru ini, dalam perhimpunan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai solidariti dengan rakyat Palestin kini boleh dianggap sebagai retorik kosong.

Katanya, tindakan kemasukan perwakilan Israel itu mencerminkan percubaan untuk mewujudkan hubungan dengan Malaysia.

“Apatah lagi, Diplomat David Roet mendakwa ada bertemu dengan pegawai tertinggi Malaysia. Roet juga mendakwa, data rasmi yang dikeluarkan pada 2014 oleh Biro Statistik Pusat Israel (CBS) menunjukkan hubungan perdagangan Malaysia-Israel mencecah AS$1.5 bilion setahun dan semakin berkembang pesat.

“Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan memimpin masyarakat Asean menentang kejahatan yang dilakukan kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin.

“Pada masa sama, hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel juga dihentikan serta-merta,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pengakuan Najib bukan pengakhiran skandal 1MDB

23 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengejutkan kita dengan pengakuan beraninya bahawa ‘projek mega’ 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal dan salah tadbir urus.

Ternyata dengan pengakuan tersebut, tiada sebab lagi untuk kerajaan menafikan segala kebobrokan yang telah berlaku di dalam 1MDB di mana syarikat tersebut telah merompak kekayaan negara sehingga rakyat terpaksa menanggung beban akibat daripada perbuatan tersebut.

Dalam pada masa yang sama, Najib jangan ingat dengan pengakuan tersebut akan memberi titik noktah kepada skandal terbesar negara dan seterusnya dapat membersihkan semua yang telah dilakukan di dalam 1MDB kerana ianya sudah terlambat.

Pengakuan tersebut bukanlah pengakhirannya, malah ia menimbulkan beberapa persoalan terhadap isu besar ini yang kononnya dahulu didakwa menjana keuntungan dan memberi kebaikan kepada negara sedangkan syarikat tersebut hanya memberi beban hutang sebanyak lebih RM50 bilion.

Apa yang menjadi kemusykilan rakyat, kenapa baru sekarang Najib mengakui kegagalan 1MDB ini? Adakah beliau ingin menunjukkan bahawa beliau tidak terlibat dan ingin meyakinkan rakyat mengenai perkara ini terutama PRU14 yang dijangka tidak lama lagi?

Adakah terdapat ‘udang di sebalik batu’ atau beliau telah mempunyai mangsa untuk ‘dikambing hitamkan’ bagi melepaskan diri beliau dalam skandal terbesar negara ini?

Sejak sekian lama, kerajaan sentiasa mengambil prinsip berdolak-dalik setiap kali isu mengenai 1MDB dibangkitkan. Lebih mengecewakan, Ahli Parlimen juga turut dilarang untuk menanyakan sebarang persoalan berhubung 1MDB di dalam Dewan Rakyat.

Sekiranya Najib serius dalam pengakuannya mengenai kegagalan 1MDB, sewajarnya laporan akhir pengauditan 1MDB yang kini masih dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), didedahkan kepada khayalak umum.

Dengan tindakan seperti itu, semestinya mereka yang bertanggungjawab terhadap kegagalan 1MDB akan dapat diheret ke muka pengadilan dengan pendedahan laporan audit itu. Najib tidak ada alasan lagi untuk takut mengeluarkan laporan itu daripada OSA kerana beliau sendiri telah mengakui kegagalan 1MDB.

Jika Najib tidak bertindak, saya menggesa untuk beliau meletakkan jawatannya sebagai Menteri Kewangan dan juga Perdana Menteri dengan kadar segera kerana syarikat 1MDB merupakan syarikat strategik milik penuh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan. Malah, Najib juga merupakan bekas pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang mana sudah tentu beliau turut terlibat dengan salah tadbir urus yang diperkatakannya itu.

Dato’ Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
KENYATAAN MEDIA

Biarlah Najib jadi diktator terakhir buat Malaysia

OLEH: NURUL IZZAH ANWAR

Seperti yang saya tegaskan sebelumnya, kita merupakan pakatan yang terbina atas dasar prinsip reformasi dan keadilan, bukan atas dasar harta, kebendaan, ataupun kepentingan mahupun kesengsaraan peribadi.

Sebahagian daripada prinsip menuntut keadilan memerlukan pengakuan kesilapan lampau, penerimaan agenda reformasi demi merubah sistem bobrok yang melahirkan diktator demi diktator.

Kita perlu mengorak langkah yakin ke depan, demi memacu harapan untuk membina masa depan Malaysia yang lebih baik.

Tindakan Tun Mahathir membantu melahirkan kepercayaan secara progresif dan mengambil kira kebimbangan dan kepentingan ramai.

Hanya Allah jualah yang mengetahui apa yang terbuku di sudut hati setiap manusia, dan kepadaNya jualah kita harus serahkan sebarang penghakiman.

Reformasi sistem wajib dilaksanakan kerana sistem yang sama telah melahirkan diktator demi diktator.

Kita mulakan langkah ke depan berbekalkan semangat 1998, demi menuai kemenangan 2018 dengan memastikan PM Najib Razak menjadi diktator terakhir buat Malaysia.

Saya terima permohonan maaf dan keterlibatan Tun Mahathir dalam usaha menyelamatkan masa depan Malaysia.

Biarlah Najib menjadi diktator terakhir buat Malaysia.

Jadikan masa depan, milik kita.

* Nurul Izzah Anwar adalah Naib Presiden KEADILAN

Categories
NASIONAL

Najib kata Melayu dibangsatkan adalah biadap, tak layak jadi PM

OLEH NAZLI IBRAHIM

KELANA JAYA, 10 DIS: Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kononnya orang Melayu akan dibangsatkan sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 mendapat kutukan keras.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, kenyataan itu merupakan sesuatu yang biadap dan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang Perdana Menteri.

“Kalau tak mahu membincangkan masalah orang Cina, orang India pun tak apalah tapi ini soal orang Melayu pun tak dibincangkan.

“Apa yang dilakukan hanya menakut-nakutkan, antara perkara disebut dalam ucapan dasar kalau pembangkang menang di Putrajaya, kalau KEADILAN menang, Melayu akan dibangsatkan.

“Bagaimana seorang Perdana Menteri guna istilah yang cukup biadab dan tidak teratur. Ini tidak layak menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Peduli Rakyat di Padang Awam Desa Mentari di sini, malam tadi.

Jelasnya, tuduhan Najib itu jelas satu pembohongan apabila nasib Melayu selama lapan tahun di bawah naungan Pakatan Harapan di Selangor lebih baik dibandingkan dengan rekod lebih 50 tahun di bawah Umno-Barisan Nasional.

Mohamed Azmin turut menemplak Umno apabila tidak memberikan perhatian khusus kepada masalah rakyat melibatkan tekanan kos sara hidup semakin tinggi dalam perhimpunan berlangsung selama empat hari itu.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Azmin: Dulu 20 tahun lawan Tun M, siapalah Najib

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 9 DIS: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tidak gentar berhadapan dengan fitnah dan pelbagai tekanan oleh Umno-Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor, berkata pengalaman panjang sebagai ahli politik menyebabkan beliau lebih bersemangat berjuang demi rakyat.

“Selama 20 tahun saya melawan Dr Mahathir tetapi sekarang Dr Mahathir dah insaf masuk pula Pakatan Harapan.

Kalau saya boleh lawan Dr Mahathir, siapalah Najib cicak mengkarung ini tuan-tuan,” katanya pada program Jelajah Peduli Rakyat di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Subang di sini, hari ini.

Jelasnya, sebelum ini beliau pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran getir termasuk ditahan di lokap, ditelanjang dan dimalukan dengan pelbagai cara.

Katanya, selain itu ahli keluarga dan saudara terdekat turut diancam dengan pelbagai cara.

“Kalau kamu tak setuju dengan saya, lawanlah dengan saya bukannya lawan dengan anak saudara saya, jangan lawan keluarga saya.

“Jangan ingat bila kamu lawan keluarga saya, saya akan takut dan bacul. Saya bukan Pemuda Umno. Saya akan lawan habis-habisan,” katanya.

=EZY=