Categories
NASIONAL

Loji Benih Padi Diswasta Kepada Kroni Noh Omar

PERMATANG, 21 Febuari: Proses penswastaan loji benih padi yang dibekalkan untuk pesawah di Permatang, Tanjung Karang yang menjejaskan pengeluaran padi berbanding sebelumnya didakwa tidak dilaksana dengan telus.

Menurut Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri, pengusaha yang dilantik untuk membekalkan benih padi oleh kerajaan diketahui umum mempunyai hubungan baik dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

“Bukanlah suatu rahsia lagi, masyarakat di Dun Permatang ini rata-rata mengetahui bahawa Syarikat Hj Mohd Noor atau dikenali HMN yang mendapat manfaat dari penswastaan logi benih padi ini mempunyai hubungan baik dengan Noh Omar.

“Ini menimbulkan tanda tanya, adakah syarikat tersebut memang betul-betul layak atau hanya kerana beliau mempunyai hubungan baik dengan Noh Omar.

“Kalau kita teliti kemampuan syarikat itu dari pelbagai aspek berkaitan pengeluaran benih padi memanglah sangat diragui kemampuannya,” kata beliau yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Tanjung Karang.

Sementara itu Naib Ketua cabang yang sama turut memberitahu benih padi yang dibekalkan kepada pesawah turut mengandungi bahan-bahan lain sekaligus merugikan pesawah.

“Kerap kali benih padi yang dibekalkan didapati bercampur dengan batang padi, padi angin, bunga rumput dan lain-lain yang banyak merugikan pesawah.

“Paling teruk sekali kalau tidak silap saya pada musim pertama, tahun lepas.

Sementara itu, beliau turut mempertikaikan langkah penswastaan itu apabila langkah tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi berbanding sebelum penswastaan.

“Kenapa kerajaan perlu menswastakan pembekalan benih padi kalau langkah itu hanya menyebabkan bukan sahaja kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih, malah kualiti benih yang dibekalkan juga tidak memuaskan,” ujar beliau.

Sebelum ini Jabatan Pertanian Selangor bertindak menyediakan benih padi kepada pesawah tempatan tetapi setelah Noh mengambil alih Kementerian Pertanian dan Asas Tani beliau menswastakannya dan dipercayai diberikan kepada kroni beliau.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Sibuk Isu Pasir Untuk Elak Skandal NFC

SHAH ALAM, 21 FEB : Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sewajarnya memberi perhatian terharap isu besar seperti skandal Lembu Fidlot NFC yang dipertanggungjawabkan kepadanya daripada memperkatakan mengenai kes pasir di Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie berkata, Noh tidak seharusnya lepas tangan dalam isu itu dan cuba mengalihkan tumpuan rakyat terhadap pecah amanah duit rakyat berjumlah RM250 juta yang didakwa melibatkan seorang menteri.

Menurutnya, keutamaan perlu diberikan kepada kes itu sepertimana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Noh untuk memantau kes tersebut.

Katanya, pihaknya bersetuju dengan saranan Noh supaya isu kepentingan rakyat dibawa ke “mahkamah rakyat” supaya rakyat boleh membuat penilaian berhubung sesuatu isu dibangkitkan. “Apakah Noh masih belum menyiapkan kertas laporan untuk dibawa ke ‘mahkamah rakyat’ seperti diarah Perdana Menteri untuk Noh pantau dalam skandal Lembu Fidlot

NFC? Dalam perkembangan terkini yang saya ikuti sewaktu ditanya wartawan berhubung perkembangan skandal yang melibatkan RM250 Juta wang rakyat, dilaporkan beliau terkial-kial untuk menjawab soalan wartawan dalam mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa terdapat pecah amanah dana rakyat dalam pembelian aset NFC.

“Jawapan diberi Noh berhubung isu salahguna skandal Lembu Fidlot NFC adalah ‘saya tidak tahu’. Apakah itu jawapan seorang menteri yang ditugaskan oleh Perdana Menteri untuk memantau kegagalan projek Lembu Fidlot NFC? soalnya dalam satu kenyataan media dibuatnya hari ini.

Shuhaimi berkata, tidak cukup dengan itu adakah juga Noh bersedia untuk bersemuka di “mahkamah rakyat” berhubung skandal PKFZ, skandal tanah ADUN Umno dan yang lainnya.

Tidak mahu menyebut mana-mana pemimpin Umno Selangor, beliau berkata, cukuplah sekadar menjelaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit kerana terpaksa membeli tanah milik seorang ADUN Umno Selangor satu masa dahulu dan sehingga sekarang tiada siasatan pihak berkuasa berkaitan perkara itu.

Tambahnya, Noh tidak sepatutnya menyibuk dalam urusan lain yang bukan di bawah tugasnya dan perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab diberikan kepadanya.

“Isu pasir di Selangor ditangani dengan baik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dalam masa hampir empat tahun dengan angka dan statistik menunjukkan pencapaian dalam peningkatan royalti pasir.

“Malah isu ini sudah lebih 30 tahun bermula. Bukan sahaja di Selangor bahkan juga di Johor, Negeri Sembilan dan Perak. Mana suara pimpinan Umno dalam isu yang sama di negeri lain?,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Di Cabar Hadir Sesi SELCAT

SHAH ALAM, 21 FEB : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dituntut untuk mengadakan sesi pendengaran awam atau mahkamah rakyat bagi membongkar penyelewengan dana NFC sekiranya beliau benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan ketelusan dalam sesuatu pentadbiran.

Bagaimanapun, Noh Omar terlebih dahulu dituntut Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin untuk hadir pada sesi pendengaran awam terhadap pengendalian pasir di Selangor yang melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Yayasan Selangor dan dua anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS).

“Datuk Seri Noh Omar dijemput untuk menghadirkan diri sepanjang sesi pendengaran awam ini berlangsung supaya beliau dapat memberikan maklumat dan bukti apa yang didakwa penyelewengan dalam KSSB khususnya.

“Kehadiran beliau amat penting, selain dapat menunjukkan keikhlasan beliau dalam membenteras rasuah, beliau juga boleh mendapat idea, inspirasi dan semangat untuk melakukan perkara yang sama dalam pentadbiran Kerajaan Pusat BN,” ujar Faekah tegas.

Sementara itu, Faekah turut mengulas kesediaan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam membanteras segala bentuk penyelewengan dan salahguna kuasa.

“Usaha ini sejajar dengan aspirasi pentadbiran Kerajaan Pakatan yang mahukan pentadbiran kerajaan ini bersih daripada sebarang penyelewengan dan ketirisan dana awam.

“Ini penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran awam yang sebelum ini teruk tercemar disebabkan tindakan sesetengah pemimpin Umno/BN yang tamak dan mengamalkan kronisme,” jelas Faekah lagi.

Faekah juga menegaskan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab sekiranya terdapat bukti penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Selain itu, pendengaran SELCAT juga akan mampu menghapuskan reputasi buruk yang cuba dibayangkan sesetengah pihak terhadap anak-anak syarikat Kerajaan Negeri,” kata Faekah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Swastakan Loji Benih Padi, Petani Derita

PERMATANG, 21 FEB: Tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menswastakan loji benih padi di Negeri Selangor bukan sahaja menyebabkan pesawah terpaksa membeli harga benih tinggi.

Demikian menurut Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri ketika dihubungi Selangorkini baru-baru ini.

Menurut beliau, tindakan tersebut menyebabkan pesawah-pesawah di Tanjung Karang termasuk di Dun Permatang terpaksa membeli benih padi pada harga RM28 berbanding sebelum penswastaan RM22 tetapi dibekalkan benih yang tidak berkualiti.

“Dahulu kerajaan ada memiliki loji benih padi sendiri, jadi pesawah dapat beli benih padi dengan harga RM22  sahaja bagi setiap kampit 20kg.

“Tetapi apabila Datuk Seri Noh Omar jadi Menteri Pertanian, dia swastakan loji benih padi di sini dan menyebabkan pesawah terpaksa beli dengan harga RM28.

“Malangnya, sepatutnya apabila diswastakan kualiti benih dan sistem pembekalan jadi lebih baik tetapi menjadi teruk dan kucar kacir dan mampu menjejaskan pengeluaran padi negara ini,” ujar Yahya.

Tegasnya, Inilah jadinya apabila kerajaan memberikan tanggungjawab ini kepada syarikat yang kurang pengetahuan dan keupayaan teknikal dalam mengeluarkan benih padi.

Yahya turut mendesak menteri terbabit yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjung Karang agar menjelaskan butiran subsidi RM20 bagi setiap kampit yang diberikan kepada pegusaha loji terbabit.

“Selain harga RM28 yang dibayar oleh pesawah, kerajaan turut membayar subsidi sebanyak RM20 kepada pengusaha logi benih terbabit bagi setiap kampit seberat 20kg.

“Kita menyokong subsidi untuk meringankan beban pesawah, tetapi soalnya subsidi RM20 itu adalah tinggi, tetapi tiada perincian untuk menampung kos apakah subsidi itu diberikan,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Pendengaran Awam Selcat isu pasir 5 – 7 Mac

SHAH ALAM 20 FEB : Jawatankuasa Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) akan mengadakan pendengaran awam bagi tiga kes pengurusan anak syarikat kerajaan Selangor termasuk yang mengendalikan perlombongan pasir.

Pendengaran awam tersebut akan di adakan pada 5 hingga 7 Mac dan sesiapa yang mempunyai maklumat tentang dakwaan berlaku penyelewengan di dalam kontrak pasir di Selangor, samada menteri, blogger atau individu, diminta tampil ke hadapan.

Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Kim meminta orang awam memberi keterangan bertulis kepada Selcat supaya jawatankuasa itu boleh menentukan samada ia ada kaitan dengan kes-kes yang akan didengarkan nanti.

“Saya harap beberapa pihak yang mendakwa mereka mempunyai bukti penyelewengan dalam jabatan kerajaan atau Kumpulan Semesta atau PKPS atau Yayasan Selangor memaklumkan kepada pihak kami supaya kami dapat mengesahkan kaitan keterangan yang meraka akan berikan,” katanya di dalam satu sidang akhbar di sini.

Teng berkata tiga kes itu termasuk dakwaan ada penyelewengan di dalam pemberian kontrak perlombongan pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB)

Tambahnya, Selcat juga akan memanggil pegawai tertinggi Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi memberi keterangan.

Yayasan Selangor dipanggil berkenaan satu laporan audit dalaman tentang perlantikan pengurus besarnya.

Manakala dua anak syarikat PKPS, PKPS Agro-industri dan PKPS Premium Agro Produks dipanggil berkenaan pinjaman RM180 juta yang diambil bagi membeli peralatan pertanian.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata beliau mempunyai bukti tentang penyelewangan kontrak pasir KSSB dan akan tampil memberikan keterangan kepada Selcat.

Teng menjelaskan tujuan pendengaran awam tersebut adalah bagi memperbaiki cara pentadbiran kerajaan selangor dan anak syarikat dibawahnya dan bukan untuk menyiasat atau mendakwa sesiapa yang salah.

“Bidang kuasa dan fungsi Selcat dan polis dan SPRM berlainan. Selcat bertumpu kepada pentadbiran dan pemantauan.”

“Kita lebih lihat dari segi pentadbiran untuk menentukan kebertanggungjawapan dan ketelusan.

“Sementara itu kalau ada orang yang melakukan kesalahan jenayah, samada di bawah bidang kuasa polis atau SPRM, maka mereka perlu jalankan siasatan berdasarkan undang-undang berkenaan.”jelas Teng lagi.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng Chang Kim: SELCAT Minta Noh Beri Keterangan

SHAH ALAM, 17 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bersedia pada bila-bila masa untuk mendengar keterangan dari Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berhubung dakwaan penyelewengan pasir di Selangor.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim berkata Noh boleh berhubung dengan jawatankuasa SELCAT bagi membolehkan beliau mengemukankan pendengaran dan pembuktian berhubung pelbagai isu.

“Bukan sahaja isu pasir malah apa sahaja isu boleh di kemukakan kepada SELCAT.

“SELCAT tidak memilih bulu dan segala tindakan juga tidak memilih sesiapa sama ada menteri, Menteri Besar atau perdana Menteri sekali pun.” ujar beliau ketika dihubungi TV Selangor.

Menurut beliau, Noh perlu mengikuti prosiding yang ditetapkan supaya semua dapat berjalan secara lancar.

“SELCAT tidak akan memanggil Noh untuk memberi keterangan kerana SELCAT tidak akan menjadikan kenyataan media sebagai asas untuk memanggil seseorang untuk memberi keterangan.

“Sebagai sebuah institusi dibawah kuasa Dewan Undangan Negeri SELCAT tidak boleh bertindak berdasarkan kenyataan media Noh.

“Sekiranya Noh mahu memberikan keterangan dan membuktikan apa-apa berhubung apa sahaja isu, beliau dipersilakan untuk berbuat demikian.”kata beliau yang juga Speaker Dun Selangor.

Dalam kenyataan media semalam, Noh berkata beliau sendiri akan hadir dan tampil bersama saksi dan bukti kepada SELCAT.

Noh berkata beliau bersedia mematuhi syarat-syarat yang bakal dikemukakan kerajaan negeri sekiranya beliau gagal membuktikan dakwaan beliau.

Dua hari lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Ahli Lembaga Pengarah Bebas Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) dan Transparency International bertemu Noh untuk mendapatkan keterangan dakwaan penyelewengan pasir di Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Di Minta Sedia Dedah Isu Pasir Kepada TI

SHAH ALAM 15 FEB : Transparency Internasional (TI) akan menemui Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar bagi mendapatkan bukti dakwaannya sebelum ini berhubung penyelewengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam pengurusan pasir.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya memohon kerjasama badan itu bagi menemubual Noh untuk mencari kesahihan dakwaannya itu.

“Jika benar Noh Omar mempunyai bukti seperti mana yang didakwanya itu, beliau sewajarnya memberi kerjasama kepada TI dan segala kebenaran akan dibentangkan kepada umum kelak.

“Kami (Kerajaan Negeri) mengharapkan kerjasama itu berlangsung dengan baik,”katanya.

Abdul Khalid berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.                                                                                                                                                                                                                                               

Sebelum ini, pada Sabtu lalu Noh mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh KSSB dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Noh mendakwa daripada maklumat yang diperolehnya, sebuah syarikat diberikan diskaun sebanyak 22 peratus atau RM4 bagi pembelian satu tan pasir yang berharga RM17.50 sementara syarikat-syarikat lain hanya diberi potongan 50 sen sahaja bagi setiap tan pasir yang dibeli.

Menjawab dakwaan ini, Khalid berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dan TI diberi kebebasan penuh untuk memantau syarikat milik penuh Kerajaan Negeri itu.

Menurut beliau pegawai SPRM dibenarkan memasuk secara bebas ke pejabat KSSB sejak 2009 untuk menjalankan siasatan sekiranya perlu.

Selain itu, semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau TI dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu.

Inisiatif ini dibuat kerajaan negeri bagi memastikan syarikat ini diurus secara telus dan bertanggungjawab.

“Saya sangat berharap Noh Omar bersiap sedia bertemu dengan wakil TI,”jelasnya.

Selain itu kerajaan negeri juga telah memperuntukan RM20 juta kepada orang ramai untuk mendedahkan pelbagai penyelewengan rasuah di Selangor.

 

Categories
NASIONAL

Noh Jangan Tuduh Sebarangan Tentang Pendidikan Selangor

SHAH ALAM 13 FEB : Sekolah luar bandar di Selangor mencatat pencapaian akademik yang lebih baik daripada sesetengah sekolah bandar, malah mempunyai tahap kelulusan pelajar yang lebih tinggi kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Oleh itu, Abdul Khalid mengesa Timbalan Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar agar mendapat fakta yang sebenar mengenai taraf pendidikan di Selangor sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas.

Abdul Khalid juga mengingatkan Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, yang sektor pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan pusat yang mana Noh sendiri ialah menteri kabinet.

“Itu saya suruh Noh Omar baca dulu laporan. Ini menunjukkan yang dalam Kabinet dia tak tahu perkembangan pendidikan. Untuk berkata pendidikan luar bandar adalah lemah itu satu tamparan kepada to kementerian pendidikan.

“Bukan Selangor kerana Selangor tidak ada belanjawan pendidikan kerana pendidikan adalah isu persekutuan. Jadi kena berhati-hati. Kalau nak tembak pun tembak orang betul.

“Kalau tidak salah pulak orang,” kata Abdul Khalid pada sidang media di sini hari ini.

Pada Feb 12, Noh mendakwa kerajaan Selangor tidak mengambil berat tentang pendidikan, terutamanya pendidikan pelajar luar bandar.

Noh mengkritik keputusan kerajaan Selangor merobohkan bangunan asrama Yayasan Selangor di kawasan Kampung Pandan Kuala Lumpur.

Tujuan asrama tersebut dibina adalah bagi menetapkan murid dari luar bandar supaya mereka dapat menghadiri sekolah-sekolah terkemuka di Kuala Lumpur seperti Victoria Institute dan SMK St John.

Menjawab tomahan Noh, Abdul Khalid berkata, perobohan tersebut adalah sebahagian daripada pelan pembangunan Yayasan Selangor yang mengambil kira struktur institusi pendidikan di Malaysia.

“Oleh kerana sistem pendidikan di Malaysia sudah tidak tertumpu di sekolah sekolah tertentu, tapi sudah sebar meluas supaya setiap daerah ada ‘excellence centre’.
“Bukan macam dulu kita hanya buat satu atau dua sekolah sekarang banyak sekolah supaya cara pendidikan adalah menyeluruh

Categories
SELANGOR

MB: Yayasan Selangor Di Audit 3 Tahun Sekali Ketika BN

SHAH ALAM 12 FEB : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Kahlid Ibrahim menjelaskan sebelum kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor pada 2008, yayasan Selangor di Audit tidak berdasarkan perbelanjaan tahunan tetapi dilakukan setiap tiga tahun.

Sebaliknya selepas mengambil alih kerajaan Pakatan Rakyat menyediakan laporan Audit setiap enam bulan bagi memastikan kecekapan pengurusan kewangan dipantau dan diurustadbir secara berhemah.

“Satu perkara yang jelas ialah semua sedia maklum sebelum tahun 2008, akaun (Yayasan Selangor) tidak diaudit dengan betul, jadi isu mendedahkan laporan audit bukan satu perkara yang aneh kerana sejak kami (Pakatan Rakyat) ambil alih ia diaudit setiap tahun.

“Yayasan Selangor sebelum 2008, sepanjang tiga tahun akaunnya tidak diaudit dan sekarang ianya diaudit setiap enam bulan,”katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mencabar Khalid mendedahkan laporan audit dua anak syarikat kerajaan negeri itu.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, siasatan audit itu dipercayai dilakukan berikutan kontroversi perbelanjaan membabitkan kedua-dua syarikat itu baru-baru ini.

Antaranya kata beliau, Yayasan Selangor disiasat berikutan perbelanjaan RM300,000 bagi majlis sambutan ulang tahunnya ke-40 sehingga menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kos penganjuran.

Selain itu katanya, semua aktiviti membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS pula dibekukan berikutan dakwaan salah guna kuasa.

Menjawab persoalan ini, Khalid ketika menemui pemberita menjelaskan kepimpinan Selangor era pemerintahan Pakatan Rakyat ini mengamalkan ketelusan dalam tata kelolanya.

Khalid menambah, ia dibuktikan apabila akaun anak syarikat kerajaan negeri akan diaudit setiap enam bulan pada setiap tahun.

“Ia mesti diaudit dalam masa enam bulan, sasaran saya ialah bermula selepas tiga bulan, kerja-kerja audit sudah boleh dijalankan, ia tidak boleh diaudit selepas tempoh enam bulan kerana ia telah terlalu lewat.

“Displin inilah yang kerajaan negeri amalkan, jadi kepada sesiapa yang ingin melihat akaun Yayasan Selangor ataupun mana-mana anak syarikat dibawah kerajaan negeri Selangor, sebelum bulan Jun semua akaun itu telah tersedia,”ujar Khalid

Khalid berkata demikian sejurus selepas menghadiri Majlis Anugerah UPSR 2011 Sekolah-sekolah Tamil Negeri Selangor di sini hari ini.

Khalid menambah, usaha tersebut adalah untuk mencegah daripada kegagalan sebelum ini dimana akaun anak syarikat gagal diaudit selama tiga tahun.

Categories
NASIONAL

Noh Omar Gagal Bela Nasib Rakyat Di Tanjung Karang

SHAH ALAM 1 FEB : Gagal menunaikan janji pilihanraya umum ke-12 dan sikap sambil lewa Datuk Seri Noh Omar merupakan faktor utama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Melaka, Osman Shamsudin meletakan jawatan selepas 28 tahun berkhidmat.

Menurut Osman, beliau meletakkan jawatan sebagai JKKKP secara rasmi pada tahun 2010 kerana kecewa dengan sikap kerajaan BN dan Ahli Parlimen Tanjong Karang yang gagal melunaskan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Beliau berkata, segala permohonan bantuan untuk urusan kemudahan infrastrukur dan baik pulih surau juga tidak pernah dilayan.

“Umno-BN hanya mementingkan kroni semata-mata. Segala permohonan peruntukan untuk tujuan pembangunan surau dan jalan raya tidak diluluskan, malah tidak diendahkan.

“Sebaliknya, mereka menyuruh saya meminta dana daripada kerajaan negeri. Tetapi apabila tiba musim pilihanraya, tidak perlu suruh pun mereka akan buat,” tegasnya.

Jelasnya, sebelum Noh dilantik sebagai menteri, beliau begitu mesra dengan penduduk setempat dan memenuhi setiap janji yang dibuat, namun kini tidak lagi.

Ujarnya, keputusan untuk meletakkan jawatan dibuat setelah melihat tiada perubahan dari segi kepimpinan Noh sebagai ahli parlimen di kawasan itu.

“Bila saya mintak peruntukan, satu pun tidak dapat. Sebagai contoh, kalau saya minta empat, sekurang-kurangnya berilah satu. Ini langsung tak dapat. Mereka kata tiada duit, malah meminta saya untuk memohon dana daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor sekarang,” katanya.

Osman dalam pada itu turut berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan negeri kerana banyak menghulurkan bantuan untuk urusan baik pulih kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut.

Beliau berkata, walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai JKKKP, namun sokongan padu akan terus diberikan kepada Pakatan Rakyat.

Categories
SELANGOR

Projek PR, Noh Omar Cari Publisiti Murah

SHAH ALAM, 1 FEB : Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, diseru supaya berpijak dibumi nyata dari mencari publisiti murah berhubung rumah di Ukay Bistari, Hulu Kelang.
Ini memandangkan projek Di Ukay Bistari adalah usaha kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang mengambil alih projek terbengkalai ketika zaman pentadbiran BN dahulu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar A. Samad berkata terdapat kekeliruan dan banyak persoalan menyelubungi majlis serah kunci oleh Noh kepada pembeli-pembeli pangsapuri Residensi Bistaria 29 Januari lepas.

“Laporan dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menunjukkan pemaju pada hari kunci diserah belum lagi memohon untuk mendapat sijil layak menduduki bangunan atau CF.

“Pada lazim penyerahan kunci hanya dilakukan setelah CF diperolehi atau sekurang-kurangnya CF sementara atau TCF diperolehi,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Menurut beliau lagi, bagi pembangunan ini, CF akan mengambil masa untuk diperolehi kerana kelulusan Bomba memerlukan masa untuk diperolehi.

Tanpa CF, meter air tidak dapat dipasang maka sudah tentu penduduk tidak dapat berpindah masuk secara sah.

“Oleh itu, saya menasihatkan Datuk Seri Noh untuk tidak mempolitikkan masalah rakyat.Telah terbukti di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor kemajuan pembinaan projek-projek terbengkalai di Ukay Bistari adalah lebih banyak dari di bawah Barisan Nasional,” ujar Iskandar.

Pada 29 Januari lalu, Noh hadir untuk di majlis penyerahan kunci kepada 500 penerima serta mendakwa projek sejak 2000 bukan terbengkalai tetapi lewat di siapkan.

Sedangkan projek tersebut adalah usaha kerajaan PR melalui Dasar Membaikpulih Projek Rumah Terbengkalai yang diilhamkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Categories
NASIONAL

NFC: Noh Omar Gagal Jelas Dakwaan Salah Guna Dana

SHAH ALAM, 28 JAN : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar diseru melupakan cita-cita menjadi jaguh di Selangor ataupun terpilih semula di dalam PRU13 kerana bimbang negara ini bakal menjadi kucar-kacir seperti yang berlaku terhadap projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang melibatkan dana RM250 juta.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata beliau kecewa apabila Noh Omar gagal untuk mempamerkan kredibiliti dan integriti beliau sebagai pemimpin yang baik untuk menjelaskan sebaliknya telah membongkar betapa dangkalnya pemahaman beliau selaku menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap isu mega tersebut.

Beliau menggunakan alasan-alasan teknikal untuk mengatakan projek RM250juta NFC ini tidak gagal – meskipun begitu beliau tidak berani pula untuk mengatakan ianya berjaya, memadai dengan “tidak gagal”.

“Sebagai Menteri, mustahil beliau tidak memahami isu sebenar NFC. Kalau pakcik-pakcik tua di kedai-kedai kopi pun faham isu pengkhianatan wang rakyat ini masakan Noh Omar selaku menteri tega buat-buat bodoh dengan menyimpang dari isu sebenar.

Hujah yang beliau bangkitkan gagal menjawab isu pokok iaitu salah guna dana dan pertanggungjawaban dalam menggunakan dana RM250 juta menggunakan wang rakyat untuk projek ini,” kata Faekah dalam kenyataan medianya.

Menurut Faekah, Jika Noh mahukan publisiti dengan menjawab isu berkaitan NFC ini selaku Menteri, beliau seharusnya menjelaskan secara terperinci siapakah dan untuk apakah harta mewah itu dibeli.

“Apakah relevan pembelian kereta Mercedez Benz menggunakan dana NFC dan apa kaitannya pembayaran bil-bil untuk ahli keluarga seorang Menteri menggunakan dana NFC ?

“Jika Noh mahu bermain politik selamat, seeloknya Noh berdiam diri sebagaimana yang dilakukan bosnya Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia,” ujar Faekah.

Tambah Faekah, rakyat jelas melihat Noh sebagai seorang menteri yang tiada kredibiliti dan integriti.

“Beliau mendabik dada kononnya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat tetapi membiarkan pembaziran dan salah guna kuasa yang berlaku di bawah portfolio pertaniannya – cakap tak serupa bikin.

“Beliau seolah-olah menghalalkan perkara jahat ini berlaku – kurang berteladan. Beliau tidak mempunyai kekuatan diri untuk secara berani membicarakan isu rasuah dan salah guna kuasa dan seterusnya mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasinya – lemah iltizam,” katanya.

Justeru Faekah, mencadangkan agar Noh Omar kembali meminta nasihat daripada Institut Integriti Negara apakah elemen yang perlu ada untuk menyelenggara dana amanah rakyat.

“Lebih elok lagi jika beliau mengambil kursus perjawatan mahupun peperiksaan integriti kelolaan institut tersebut agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan matlamat institut tersebut ditubuhkan,” tegas Faekah.