Categories
AGENDA NASIONAL

217 ditahan ingkar PKP, tidak pakai pelitup muka kesalahan tertinggi

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Sebanyak 217 Individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 210 dikompaun manakala tujuh direman, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tidak memakai pelitup muka mencatat kesalahan tertinggi dengan 99 kes, diikuti dengan kegagalan menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan sebanyak 60 kes.

Kesalahan lain adalah kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal sebanyak 31 kes, aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain (10), katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata seramai 67 pendatang asing diberkas hasil kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Turut dirampas dalam operasi itu ialah empat kenderaan darat dan lapan bot, katanya.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Ismail Sabri berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 27 tapak binaan di seluruh negara, dan kesemua mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Sementara itu, beliau berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 85,383 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 77 hotel serta 19 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 12,626 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 542 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, sementara 72,215 individu dibenarkan pulang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

‘Pesta persendirian’ kesalahan tertinggi ingkar PKPP

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Kesalahan membabitkan penganjuran ‘private party’ atau pesta persendirian merupakan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertinggi semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada 46 individu yang ditahan oleh polis , 15 adalah atas kesalahan itu.

Lain-lain kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka (11), premis beroperasi lebih masa (10), gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (8) serta masing-masing satu kes kerana beroperasi tanpa lesen perniagaan dan penganjuran aktiviti melibatkan kehadiran ramai orang yang menyukarkan penjarakan fizikal, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata sebanyak 26 tangkapan dilakukan oleh polis selain rampasan melibatkan lima kenderaan darat.

“Sebanyak 79 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan polis (65), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10 ) dan Angkatan Tentera Malaysia (4),” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata bagi tempoh 24 Julai lepas hingga semalam, seramai 22,906 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, seramai 9,028 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 70 hotel dan empat Institut Latihan Awam manakala 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 13,812 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang, katanya.

Mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPN: Polis terus buru individu rentas negeri, lolos sekatan

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Polis terus memburu segelintir individu yang mengingkari arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan berjaya ‘meloloskan diri’ daripada sekatan jalan raya untuk merentas negeri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis mula mengenakan tindakan kompaun terhadap mereka yang ingkar PKPB, sejak sehari sebelum Hari Raya.

Beliau berkata mereka yang berjaya meloloskan diri merentas negeri sedang dikesan melalui pemeriksaan dilakukan di lokasi sekatan jalan raya seperti di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Jalan Duta, Plaza Tol Sungai Besi dan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

“Anggota saya yang bertugas di sekatan jalan raya juga digalakkan untuk mengenakan kompaun terhadap mereka yang ingkar PKPB.

“Sudah tiba masanya polis bertindak lebih keras terhadap perkara ini (individu rentas negeri) kerana sebelum ini kompaun tidak dikeluarkan atas budi bicara anggota bertugas,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata tindakan polis kemungkinan dilihat sebagai kejam kerana perlu bertindak menjaga keselamatan orang ramai.

“Apa jua cemuhan terhadap anak buah saya (anggota polis), saya terima dengan hati terbuka kerana tindakan diambil untuk kebaikan masyarakat sendiri,” katanya.

Mengenai kadar pematuhan orang ramai terhadap rentas negeri, beliau berkata kadar pematuhan orang ramai hampir mencapai 100 peratus, namun terdapat segelintir atau lebih kurang lima peratus masih ingkar arahan larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, selain penugasan di sekatan jalan raya, beliau berkata terdapat juga pasukan pemantau melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan perumahan bagi memastikan masyarakat mematuhi peraturan ditetapkan untuk sambutan hari raya.

“Kami mendapati tiada kereta berkumpul di satu-satu rumah dan pergerakan kenderaan dalam daerah juga terkawal. Ini menunjukkan masyarakat faham dan mematuhi nasihat pihak berkuasa supaya melakukan kuarantin diri,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Syabas akui ingkari arahan kurangkan pelepasan air ketika air empangan menyusut

Oleh Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 25 FEB: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengakui tidak mematuhi hasil perbincangan dengan kerajaan Selangor untuk mengurangkan pelepasan air mentah ketika penurunan paras air empangan .

Pengarah Eksekutif Syabas, V Subramaniam, berkata ia membabitkan 600 juta liter sehari dari empangan Sungai Selangor dan pengurangan pengeluaran 500 juta liter sehari air terawat di lima loji rawatan air.

Pada sidang media di sini, hari ini, beliau berkata, hasil perbincangan pada 21 Februari lalu dibuat berikutan penurunan paras empangan berkenaan tetapi Syabas tidak mematuhinya.

“Syabas tidak boleh melaksanakan arahan tersebut tanpa mendapat kelulusan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya

Beliau memberi alasan, hanya SPAN berkuasa untuk memutuskan dan meluluskan rancangan sedemikian mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (AIPA 2006).

Malah,Subramanian berkata  Pelan Pengagihan Air Berjadual Syabas hanya berkuatkuasa pada 27 Februari ini meskipun penjadualan air bermula hari ini dengan memberi alasan.tempoh dua hari untuk berbuat demikian, terlalu singkat.

Sebaliknya, beliau lebih gemar menuding jadi kepada Kerajaan Selangor kerana enggan melaksanakan banyak projek pembangunan dan penambahbaikan kapasiti bekalan air.

Beliau juga mengungkit keputusan SPAN tidak meluluskan program perbelanjaan modal (CAPEX) bagi menambahbaik dan menaik taraf sistem pengagihan bekalan air termasuk usaha mengurangkan kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW).

– FZL