Categories
NASIONAL

Letupan Di Himpunan 901: Polis Perlu Siasat Segera

SHAH ALAM, 10 JAN: PKR menganggap isu letupan yang berlaku semalam semasa himpunan 901 sebagai amat serius dan memerlukan siasatan terperinci dan segera dari pihak polis.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata kejadian ini mengejutkan memandangkan himpunan tersebut adalah antara himpunan pertama yang mendapat permit Polis.

“Polis harus beri penjelasan sebab sepanjang malam polis sahaja yang dapat acces ke kawasan tersebut. Dari pada gambar-gambar dan saksi, didapati bahan letupan tersebut disimpan dibawah ‘kon’ polis dan ia diletupkan melalui remote control atau time bom. Ini bukan boleh dibuat oleh orang biasa,”katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Dalam kejadian tersebut terdapat pihak-pihak lain juga turut berada dilokasi tempat letak kereta berhampiran Mahkamah Jalan Duta semalam.

“Baik pun perkasa ke pekida pun saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi kerana mereka juga berhak untuk berhimpun, saya harap pihak polis boleh menyiasat dan mencari orang yang bertanggungjawab,”ujarnya.

Menyentuh mengenai himpunan aman semalam, Tian berkata keputusan pembebasan Anwar semalam merupakan suatu kegembiraan kepada seluruh Pakatan Rakyat.

“Ini saya anggap orang yang tak puas hati dengan himpunan aman yang berlangsung atau orang tidak berpuas hati dengan kes ini. Ini boleh menjadi sedikit klu kepada pihak polis untuk mengadakan siasatan untuk mengetahui siapa yang bertanggung jawab,”katanya.

Sehubungan itu, PKR dan Pakatan Rakyat akan cuba menemui pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak supaya siasatan segera dijalankan.

Dalam kejadian semalam tiga insiden letupan bom yang mencederakan lima orang awam berlaku selepas mahkamah melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan mengikut Seksyen 377(B) Kanun Keseksaan.

Categories
NASIONAL

Lepas Anwar, Rakyat Perlu Dibebaskan

KUALA LUMPUR 9 JAN : Kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan bermakna sistem perundangan negara bebas dari unsur politik dan salahguna kuasa.

Demikian kata pemimpin kanan Pakatan Rakyat Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu ketika memberi reaksi terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membebaskan Anwar hari ini daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Lim, yang merupakan Menteri Pulau Pinang berkata keputusan itu akan mendorong Pakatan membebaskan rakyat daripada cengkaman Barisan Nasional.

Manakala Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai “Mat Sabu” berharap keputusan itu merupakan titik permulaan untuk sistem penghakiman di Malaysia dibebaskan daripada unsur politik.

Ikuti kenyataan mereka di dalam klip video di bawah.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Tindakan Ke atas Adam bermotif Politik

SHAH ALAM, 10 JAN : Tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggantung mahasiswa Adam Adli selama tiga semester merupakan tindakan yang opresif,bermotifkan politik yang zalim dan jelas menghalang mahasiswa daripada menyuarakan pandangan mereka.

Naib Presiden Keadilan Nurul Izzah Anwar berkata jika suatu kesalahan telah dilakukan oleh mahasiswa, tindakan yang diambil harus bersifat memberi pengajaran, bukannya membudayakan budaya ketakutan di kalangan orang muda.

“Sebagai nadi masyarakat majoriti, mahasiswa dan anak muda wajib diberi ruang untuk berfikir secara kritikal, berbincang secara mendalam, dan bersuara dengan lantang. Di mana kah mahasiswa mampu mengalami ruang sebegini jikalau bukan di universiti,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Izzah , jawatankuasa disiplin yang menjatuhkan hukuman ke atas Adam Adli sebenarnya merendahkan maruah dan nama UPSI itu sendiri, yang mempunyai sejarah yang begitu dalam dan cukup berkait rapat dengan kebangkitan semangat kebangsaan sejak sebelum Malaya mengecapi kemerdekaan.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar kita bangkit dan pertahankan hak mahasiswa, kerana mahasiswa lah yang menjadi penyambung perjuangan kita demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

AIC: Tiada Lagi Kompromi Dalam Isu Fitnah

SHAH ALAM, 10 JAN: Kelab Anwar Ibrahim (AIC) berharap pihak berkuasa termasuk badan kehakiman di negara ini perlu mengekang sebarang bentuk fitnah yang disasarkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden AIC, M Hadi Hamka berkata pihak berkuasa tidak perlu ada kompromi dalam hal ini, tanpa mengira sasaran, budaya fitnah harus dikekang dan dihentikan sepenuhnya.

Katanya pembebasan Anwar semalam membuktikan bahawa segala fakta-fakta perundangan yang telah dikemukakan oleh pasukan peguam pembela Anwar berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah sehingga gagal disanggah oleh pasukan pendakwaraya.

“Walaupun mahkamah membebas dan melepaskan Datuk Seri Anwar, AIC melihat ini bukanlah bermakna sistem kehakiman Malaysia sudah bebas sepenuhnya. Malah, AIC berpandangan sekiranya sistem kehakiman Malaysia mempunyai integriti yang tinggi, kes ini sewajarnya dibuang lama dahulu kerana kes yang dibawa pendakwa adalah kes yang rapuh dan tidak kredibel sama sekali,” kata beliau dalam kenyataan medianya.

Menurut beliau dengan pembebasan Anwar menjadi nafas baru dalam usaha memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat di negara ini melalui usaha menguasai kerajaan persekutuan.

“Tanggal 9 Januari harus menjadi satu permulaan baru untuk rakyat Malaysia, memperbaharui azam dan tekad untuk mengeluarkan Malaysia dari gejolak rasuah, salahguna kuasa dan sistem tadbirurus negara yang lompong. Perubahan yang dituntut, melangkaui perbezaan agama, ideologi dan kaum: ianya untuk masa depan generasi muda Malaysia pastinya.’ kata beliau

Categories
NASIONAL

Tian Chua : Menconteng Bangunan Umno Usaha Memburukkan Imej Pakatan Rakyat

SHAH ALAM, 7 JAN : Insiden bangunan milik Umno Kedah yang diconteng kata-kata nista menggunakan cat tertera perkataan “Bebaskan Anwar” dan “Gerakan 901” awal pagi tadi dianggap sebagai taktik kotor untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat.
Naib Presiden PKR Tian Chua meyifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu sebagai satu konspirasi untuk menjatuhkan nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selain mengaibkan Perhimpunan di depan mahkamah Jalan Duta yang akan berlangsung pada 9 Januari nanti.

Menurutnya, Pakatan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu sekaligus menolak dakwaan bahawa kejadian itu mempunyai kaitan dengan Pakatan.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya jangan hilang fokus daripada isu pokok atau tujuan asal iaitu Perhimpunan 901 pada 9 Januari nanti.

Ini kerana, ia adalah hari yang akan menentukan imej negara kita dalam membuktikan sama ada institusi kehakiman di Malaysia adil atau tidak selain bakal menjadi hari yang akan mendedahkan konspirasi dalam usaha memfitnah dan memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Kejadian menconteng premis dan kenderaan di beberapa tempat di Kedah menggunakan semburan cat berwarna hitam itu dipercayai berlaku antara pukul 3.30 hingga 5 pagi dan hanya disedari pengawal keselamatan pada jam 5 pagi.

Premis perniagaan dan lebih 10 kenderaan di kawasan Kubang Pasu, Padang Terap dan Alor Setar turut diconteng dengan kata-kata yang mengaibkan “Perhimpunan 901”.

Selain itu, Pejabat Umno Padang Terap, pusat beli-belah Angsana dan restoran KFC, Kuala Nerang serta dua bas henti-henti dicat dengan kata-kata yang sama.

Ketika ditanya kemungkinan insiden-insiden tersebut merupakan usaha untuk sabotaj perhimpunan Pakatan, Tian berkata, ia terletak di bawah bidang pihak berkuasa untuk membuat siasatan terperinci ke atas insiden berkenaan.

“Itu saya serahkan kepada pihak polis untuk siasat. Kita sudah dimaklumkan, bahawa laporan polis telah dibuat. Kita tidak mahu lari daripada isu pokok di mana semua yang berlaku ini adalah sebahagian daripada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Nurul Izzah : Rakyat Diseru Hadir 9 Jan

KUALA LUMPUR , 6 JAN: Kehadiran rakyat pada Perhimpunan Aman pada 9 Januari di padang letak kereta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta adalah amat penting kepada negara sebagai sokongan padu untuk mengembalikan sistem keadilan dan kehakiman.

Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar yang ditemui TVSelangor/Selangorkini berkata perjuangan membela nasib Anwar Ibrahim bukanlah sokongan hanya kepada jasad pemimpin ketua pembangkang itu.

Namun yang lebih penting adalah Anwar Ibrahim merupakan simbol kepada perjuangan rakyat dalam menuntut sistem kehakiman yang adil dan saksama kepada semua.

“Pada saya apa yang akan berlaku pada 9 Januari ini, kita akan teruskan perjuangan ini, dan terus terang saya katakan sebagai seorang anak memanglah beliau 64 tahun yang mempunyai dua orang cucu, dengan kecederaan tulang belakang yang amat serius , jadi kita tidak mahu beliau menanggung kezaliman dan penderitaan ini untuk kali kedua, tapi apapun pada saya yang penting adalah masa depan Malaysia.

Kita bukan untuk melarikan diri , kita bukan untuk menyelamatkan kita satu keluarga, kita nak selamatkan Malaysia secara bersama, kalaulah ini pengorbanan yang terpaksa diambil dan dilaksanakan ,kita buat dengan keyakinan bahawa kita perlu berjuang dalam peperangan pilihanraya umum yang seterusnya mengembalikan keadilan,” jelas Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Menurut Izzah, rakyat Malaysia dan pihak antarabangsa telah memberikan sokongan mantap dan padu kepada Anwar Ibrahim sejak pemecatan beliau pada 1998.

” Pada saya Alhamdulillah, sokongan pihak antarabangsa itu wujud kerana saya masih ingat lagi dalam kes pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Lim Guan Eng ada laporan daripada lawatan fakta yang dibuat oleh BAR National Association yang bertajuk Justice in Jeopardy Malaysia 2000 .Sudah ada dalam rekod International Commission Jurist yang menyatakan pengaruh eksekutif ditemui dalam keputusan penghakiman Anwar Ibrahim dan juga Lim Guan Eng.

“Jadi saya merasakan itu dijadikan sebagai asas untuk membantu kita , tetapi segala-galanya berakar dan bermula daripada negara sendiri, rakyat Malaysia yang menentukan masa depan Anwar Ibrahim dan juga Pakatan Rakyat dan bukannya pihak antarabangsa.

“Pihak antarabangsa hanya memberikan dokongan , kita bukan seperti pimpinan Najib TunRazak yang menggunakan konsultan daripada Britain dan sebagainya, itu bukan tujuan kita, kita sudah ada tenaga dan kepakaran dalam negara yang kita perlukan adalah dokongan mereka isu kemanusiaan sejagat.Mereka dokong keadilan kerana kita menolak kezaliman secara sejagat seperti perjuangan Aung San Suu Kyi di Burma,” jelas Izzah.

Himpunan aman 901 akan berlangsung sebagaimana dijadualkan setelah mendapat kerjasama daripada pihak polis.

Categories
SELANGOR

Himpunan 100,000 Dapat Kebenaran Polis

PETALING JAYA, 6 JAN: Usaha mengadakan Himpunan Aman dengan mobalisasi 100,000 rakyat untuk memberi sokongan berhubung keputusan pembicaraan kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini mandapat kebenaran pihak polis.

Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali berkata pihak polis Kuala Lumpur memberi kebenaran untuk orang ramai berkumpul di tapak letak kereta di hadapan Mahkamah Jalan Duta dari jam 7.00 pagi pada tarikh tersebut.

Ikuti berita penuh dalam video berikutnya.

Categories
SELANGOR

PR Kesal SPR ‘flib-flop’ keputusan PSC

PETALING JAYA, 6 JAN: Pakatan Rakyat kesal dan terkejut dengan tindakan Suruhan Jaya Pilihanraya SPR Wilayah Persekutuan, yang bertindak membelakangkan keputusan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).

Dalam Sidang Media yang berlangsung petang tadi, pemimpin Pakatan Rakyat kesal dengan SPR pusat yang tidak membuat penyelarasan dengan SPR negeri-negeri sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

Dalam pertemuan semalam SPR wilayah persekutuan memaklumkan bahawa SPR menolak menggunakan khidmat MIMOS bagi mengatasi masalah pembersihan daftar pemilih

Selain itu timbul juga isu penggunaan dakwat kekal dan isu pengundi awal dan pengundi pos yang masih belum selesai.

Ikuti berita penuh dalam video berikutnya.

Categories
NASIONAL

PKR Selangor Sasar 20,000 Ahli Sertai 901

SHAH ALAM 5 JAN: Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei hari ini memberi jaminan untuk mengarahkan 20,000 ahli PKR negeri untuk menyertai himpunan Aman bermula sehari lebih awal dari tarikh 9 Januari ini.

“PKR Selangor dengan ini menyeru semua anggota parti untuk berhimpun dengan cara seaman yang boleh di Mahkamah Jalan Duta bermula dari 8 Januari depan. Komintmen KEADILAN Selangor ini diterjemahkan dengan cara mengerahkan sekurang kurangnya, 20,000 anggota parti dari Selangor duduk secara aman sejak awal pagi lagi di kawasan Mahkamah Jalan Duta.

Katanya perhimpunan rakyat pada 9 Januari ini bukanlah di atas niat untuk mencetus huru-hara ataupun revolusi sebagaimana yang diputarbelitkan oleh beberapa pihak termasuk PERKASA.

“Sebagai rakyat yang faham pada Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang Undang sudah tentu keamanan merupakan satu aset penting yang wajib dipertahankan oleh semua pihak termasuklah Polis, anggota parti dan orang awam.

“Hak untuk berhimpun secara aman adalah dijamin oleh undang undang dan Perlembagaan Negara ini tidak harus disempitkan oleh gesaan PERKASA dan mereka yang tidak matang.” jelas beliau yang juga Adun Sri Muda.

Ujar beliau,Perhimpunan 901 merupakan satu manifestasi sokongan rakyat kepada idealisma perjuangan yang dibawa oleh Dato Seri Anwar Ibrahim.

“Satu perkara yang sering dilupakan oleh pemfitnah beliau adalah merupakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang mewakili puluhan Ahli Parlimen Dewan Rakyat yang dipilih rakyat.

Dalam pada itu beliau menyambut baik usaha Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri untuk berbincang berhubung perhimpunan 9 Januari ini.

“Besar harapan rakyat negara ini jika kedua dua mereka bijak untuk menggunakan secebis keadilan yang tersisa ini bagi mencuci arang yang sekian lama terpalit di muka agensi keselamatan.

“Kepada anggota parti, inilah saatnya untuk menunjukkan disiplain tinggi anggota Parti Keadilan Rakyat.” tegas beliau lagi.

Categories
NASIONAL

Anwar : Keputusan 9 Jan Tidak Jejas Peluang Jadi PM

PETALING JAYA 03 JAN: Soal siapa yang akan menjadi Perdana Menteri di dalam kerajaan Pakatan Rakyat sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dihalang dari bertanding tidak timbul kerana muafakat yang kukuh di antara parti komponen.

Sebaliknya, Anwar berkata, jika PR dan rakyat tetap mahunya sebagai Perdana Menteri, soal kelayakannya bertanding tidak relevan kerana dia masih boleh dijadikan Perdana Menteri.

Anwar menjelaskan bahawa jika berlaku senario di mana PR menubuhkan kerajaan pusat selepas pilihanraya umum ke-13, seorang pemimpin dari PR boleh menjadi Perdana Menteri sementara dan mengembalikan kelayakan bertanding kepada beliau.

Beliau berkata ini berlaku di dalam kes negara Turki, di mana Perdana Menteri sekarang, Recep Tayyib Erdogan, dihalang daripada bertanding semasa partinya AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) memenangi pilihanraya umum pada 2002.

“Siapa yang pegang sementara itu bukan perkara pokok. Sepertimana beberapa pemimpin PR kata kalau kita pilih Anwar dalam atau luar penjara bukan soalnya. rakyat sokong maka dengan izin Allah ia akan berlaku.”

Beliau berkata demikian di dalam temubual Fokus Berita semalam.

Anwar tidak akan layak bertanding pilihanraya sekiranya mahkamah menjatuhi hukuman di dalam kes liwatnya pada Januari 9.

Seorang hilang kelayakan bertanding dalam pilihanraya selama satu penggal sekiranya dia dihukum tidak kurang dari setahun penjara atau denda dua ribu ringgit.

Tambah Anwar, soal siapa calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat bukan perkara perlu dirunsingkan kerana Pakatan Rakyat membawa dasar bersama yang jelas.

“Hubungan saya dengan tuan guru hadi dan tok guru nik aziz terlalu baik. kami saling mempercayai, saling memohon nasihat dan pendapat.

“Saya tidak fikir ada masalah. Kalau ada muafakat esok siapa yang harus jadi pemimpin sementara dari PKR atau PAS, DAP tidak menawarkan mana-mana calon, saya tidak fikir itu satu masalah.”

PR dijangka menurunkan lebih ramai muka muda dan profesional kali ini berbanding pilihanraya umum lalu.

Bahkan sudah ada tokoh individu menawarkan diri dan badan-badan bukan kerajaan turut menyarankan calon tersendiri untuk membantu Pakatan Rakyat.

“Kes yang saya hadapi ini sudah hampir tiga tahun. Sejak saya didakwa kita sudah jangka muslihat untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Maka oleh yang demikian kita memulakan beberapa langkah dan persiapan menjangkakan (muslihat) ini dan Alhamdulillah kita sudah hampir selesai.

Anwar yakin pemenjaraan beliau di tangan pemerintah Barisan Nasional tidak akan mengugat kerjasama PAS-DAP.

“Apakah ia akan jadi longgar andai Anwar dipenjara? Saya tidak percaya kerana hal ini (pilihanraya, dasar bersama) telah ditandatangani oleh pemimpin ketiga-tiga parti.”

Anwar berkata, harapan Pakatan Rakyat menakluki Putrajaya cerah kerana mereka telah membuktikan yang mereka mampu mentadbir dengan baik di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Tambahnya rundingan tentang strategi pilihanraya dan pembahagian kerusi antara PAS, DAP dan PKR sudah hampir selesai.

Bahkan Pakatan Rakyat kini lebih bersedia untuk mengancam kedudukan pemimpin-pemimpin kanan Barisan Nasional walau tanpa beliau selaku tonggak dalam PRU-13 nanti.

Jentera ini dikendalikan pemimpin ketiga parti oleh Azmin Ali (Ahli Parlimen Gombak), Anthony Loke (Ahli Parlimen Rasah) dan Dr Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai).

Urusetia dikendalikan oleh wakil ketiga-tiga parti. Walau ada sedikit gambaran seolah-olah saya memainkan peranan yang besar, sebenarnya ia adalah rangkaian pemimpin bekerja seabgai satu pasukan.

Categories
NASIONAL

PR Gesa SPR Sedia Hab Khas Berhubung Pilihanraya

PETALING JAYA, 3 JAN : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesa kerajaan agar membersihkan senarai pengundi terlebih dahulu sebelum bersikap ghairah menjalankan Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 dalam memastikan proses demokrasi itu bergerak secara adil dan telus.

Anwar berkata, menerusi perkembangan terkini Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, pihaknya curiga dengan proses penyenaraian pengundi yang dilihat sering berubah walaupun pada saat-saat akhir menjelang pilihanraya.

“Maka perlu ada satu senarai yang telus dan bersih dimaklumkan kepada rakyat, didaftar secara teratur dimana ianya perlu disahkan kerana ia adalah hak pengundi iaitu rakyat,”Katanya.

Berdasarkan desas desus yang kuat memperkatakan PRU-13 bakal berlangsung pada suku pertama tahun ini, Anwar secara jelas mengharapkan kerajaan komited menghormati permintaan rakyat yang dahagakan sistem pilihanraya yang adil dan bersih.

Menyedari kepentingan ini, Pakatan Rakyat (Pakatan) mengambil inisiatif mencadangkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengwujudkan satu saluran media khas yang bertindak sebagai hub berita muktahir berhubung pilihanraya terus kepada rakyat.

“Tidak guna memperkatakan soal demokrasi sekirannya pilihanraya terus diadakan dalam keadaan medianya masih tidak bebas.

“Perlu ada ruang kepada semua parti yang bertanding untuk memastikan pilihanraya kita tidak mirip kepada pilihanraya yang dianjurkan oleh presiden Mubarak di Mesir yang mana hanya dikendalikan oleh saluran Utusan Mesir dan TV3 Mesir,”

Anwar berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media khas bersama pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Ditanya lanjut mengenai cadangan saluran media khas yang bakal dikelolakan institusi pilihanraya negara itu, Anwar memaklumkan bahawa ia akan diperincikan kepada rakyat dalam tempoh masa terdekat ini.

Walaubagaimana pun, cadang tersebut memungkinkan seluruh rakyat Malaysia khususnya pengundi mampu menerima segala berita yang sahih dan kempen mana-mana parti politik bertanding tanpa sekatan seperti tradisi disetiap kali pilihanraya dijalankan di negara ini.

Categories
SELANGOR

Isu Kepala Babi: Cubaan Provokasi Di Selangor

SHAH ALAM, 3 JAN: Tindakan meletakkan kepala babi di di dua lokasi kawasan Masjid Al-Falah Taman Desa Jaya, Johor Bharu merupakan satu provokasi pihak yang muflis idea dan hanya ingin mencetuskan suasana tegang antara agama di Malaysia.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam reaksinya berkata, perkara penguatkuasaan undang-undang pencegahan yang serius perlu dilakukan memandangkan provokasi bersifat agama dan bangsa yang cetuskan oleh golongan-golongan tertentu boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni dalam negara.

Mengulas lanjut katanya, seandainya mereka benar-benar terlibat, pendakwaan dan hukuman mesti dilaksanakan supaya perkara ini dapat dicegahkan dan tidak berulang semula di negara kita.

“Sekarang ini rakyat sedang memerhati apa tindakan seterusnya sebab banyak tangkapan yang dibuat, pendakwaan tidak dijalankan. Jadi dilihat seolah mengaburi mata orang ramai. Penglibatan remaja tidak mustahil mereka mungkin dibayar atau diupah oleh pihak tertentu. Yang penting adalah tindakan tegas. Kalau mereka benar-benar terlibat, tindakan perlu diambil,” tegas beliau.

Minggu lalu, Masjid Al-Falah digemparkan dengan penemuan empat kepada babi di pagar belakang masjid manakala selebihnya ditemui di perkarangan luar pintu masuk masjid keesokkan harinya oleh jemaah yang ingin menunaikan solat subuh.

Sebelum ini kejadian sama berlaku di Selangor yang didalangi pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau menambah, provokasi agama ini mudah menimbulkan kemarahan rakyat dan sering berlaku saban tahun lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya umum. Apa yang diharapkan adalah masyarakat melihat perkara ini dari sudut yang matang selain menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa.

Beliau percaya sokongan terhadap Pas dan Pakatan Rakyat tidak tergugat dan beliau percaya rakyat tidak akan terpedaya dengan provokasi sebegini.