Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Mahu MB Ambil Alih Syabas Bagi Elak Sabotaj

SHAH ALAM 23 JULAI : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggesa kerajaan negeri mengambil alih pengurusan dengan membeli saham-saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berikutan ?krisis air? yang dipercayai telah dicipta oleh pihak tertentu.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimie Shafie berkata hal itu kerana syarikat itu dilihat cuba mensabotaj kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat dengan mewujudkan krisis air bagi menakut-nakutkan rakyat negeri ini.

“Kita minta kerajaan negeri suntik wang dan beli Syabas. Tindakan segera perlu diambil kerana Syabas cuba mensabotaj dan memburuk – burukkan kerajaan negeri,” katanya selepas menyertai demostrasi Bantahan Kegagalan Syabas, di Wisma Rozali, di sini.

Lebih 100 orang penyokong Kerajaan Negeri Selangor berhimpun di hadapan pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini bagi mendesak Syabas agar membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih (Step In) pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Demonstrasi Bantahan Kegagalan Syabas itu dianjurkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berlangsung di hadapan pintu masuk bahagian belakang wisma itu kira-kira 12.00 tengah hari dan kemudian berarak ke perkarangan bahagian hadapan wisma terbabit.

Satu memorandum yang mengandungi tujuh perkara juga disampaikan kepada Pengarah Eksekutif dan Pentadbiran Sumber Manusia, Ismail Hashim untuk diserahkan kepada Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail.

Kerajaan negeri sebelum ini bercadang untuk memecat Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Syabas kerana gagal memberikan penjelasan berhubung catuan air yang diumumkan syarikat itu baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mendakwa Syabas tidak menjalankan tugasnya mengikut perjanjian konsesi dan kerajaan negeri mahu mengambil alih pengurusan syarikat berkenaan dalam tempoh 14 hari.

Khalid berkata keputusan itu diambil menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.

Bagaimanapun, Kerajaan Pusat hari ini menolak permohonan Kerajaan Negeri Selangor bagi mengambil alih pengurusan Syabas dan mengarahkan Peguam Negara mengkaji undang-undang agar projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dapat diteruskan.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Isu Air Negeri Selangor, di sini.

Categories
NASIONAL

Peneroka Hanya Pemilik 2.5% Dalam Saham FGVH

SHAH ALAM, 28 MEI : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menarik semula peruntukan Tawaran Permulaan Awam (IPO) saham Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGVH) yang diberikan kepada pelabur Bumiputera kerana didakwa melebihi keuntungan peneroka.

Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan, Wong Chen berkata, berdasarkan analisa 2.2 bilion saham FGVH yang akan dijual, 420 juta saham (11.5% daripada FGVH) diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, manakala peneroka Felda hanya menerima 91 juta saham, iaitu 2.5% daripada penyenaraian FGVH.

Sementara, dua peratus (73 juta saham) daripadanya akan diperuntukkan kepada awam, 41 peratus (1.5 bilion saham) diagihkan kepada pelabur institusi seperti KWSP, PNB, Tabung Haji dan Louis Dreyfus dan 109 juta saham (3% daripada FGVH) kepada pekerja Felda.

“Matlamat Felda ditubuhkan adalah untuk membantu Bumiputera miskin yang tiada tanah. Najib mengumumkan bahawa IPO FGVH ini adalah satu tindakan bijak yang akan memberi manfaat besar kepada peneroka. Tetapi cara saham diperuntukkan jelas menunjukkan bahawa Najib lebih berminat membantu golongan kaya.

“Kami menuntut MITI mengeluarkan senarai lengkap pelabur Bumiputera kaya yang akan menerima saham FGVH ini. Kami menuntut senarai ini kerana peneroka mempunyai hak untuk tahu mengapa golongan Bumiputera yang kaya ini berhak berlipat kali ganda lebih saham daripada mereka.,” ujarnya.

Katanya, peruntukan saham itu juga menimbulkan persoalan mengapa 112,635 peneroka mendapat saham kurang daripada 3,835 pekerja Felda.

Jelasnya, setiap peneroka hanya akan mendapat 810 saham seorang manakala kakitangan Felda akan mendapat 28,368 saham seorang. Secara purata, seorang pekerja Felda ditawarkan 35 kali ganda saham daripada seorang peneroka.

“Oleh kerana IPO ini adalah isu kepentingan nasional, kami percaya bahawa orang ramai juga berhak nak tahu sama ada mana-mana pelabur Bumiputera yang kaya ini ada atau tidak kaitan dengan Umno-BN,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Dakyah Blogger Umno Hanya Sia-sia

SHAH ALAM, 17 MEI : Blogger pro Umno-BN hanya membuang masa dengan cerita rekaan mereka kerana segala usaha bagi melemahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berkesan sama sekali.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata usaha blogger pro Umno-BN itu adalah sia-sia dan tidak memberi kesan langsung terhadap keutuhan parti itu bagi menempuh pilihanraya umum ke 13 (PRU13) nanti.

“Ia hanyalah usaha yang dibuat sekumpulan blogger kecil pro Umno-BN bagi mewujudkan satu keadaan yang memihak kepada Umno-BN tetapi malangnya tidak berlaku.

?Kita tidak terkesan langsung dengan segala usaha yang dibuat mereka,” begitu kata Shuhaimi kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media berhubung penafian Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Beliau dituduh meminta wang RM10 juta daripada bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo supaya keluar dari PKR selepas PRU12 2008 seperti didakwa blogger pro Umno-BN.

Tuduhan itu dipaparkan di dalam sebuah artikel blog yang mengatakan Manikavasagam bertemu Dr Mohamad Khir pada akhir 2008 untuk meminta wang tersebut.

Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda berkata tiada apa yang perlu dilakukan PKR bagi membetulkan keadaan berikutan segalanya berjalan seperti sedia kala.

Katanya, PKR tidak akan melayan sebarang usaha sebegitu kerana ianya hanya membuang masa dan tenaga.

“Tiada apa yang perlu kita lakukan bagi menanganinya kerana ia tidak memberi kesan.

“Ia dilihat usaha bagi melemahkan parti menjelang berlangsungnya PRU ke 13 nanti. Usaha untuk melaga-lagakan pemimpin dan ahli di dalam PKR.

?Bagaimanapun ia tidak menjejaskan kita dan tiada apa yang menggugatkan keutuhan kita,” katanya.