Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Data internet percuma bantu mudahkan PdPR diagih Oktober

SHAH ALAM, 25 OGOS: Data internet percuma akan diagihkan kepada pelajar pada Oktober ini bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Dato’ Menteri Besar berkata insiatif selama setahun melibatkan pelajar yang menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan golongan berpendapatan rendah.

“Kita menyedari PdPR merupakan salah satu unsur penting yang diperlukan. Saya faham peranti salah satu daripada kekangan tetapi bila kita melawat rumah ke rumah, paling tidak ada peranti milik keluarga yang boleh dikongsi.

“Tetapi bekalan internet juga merupakan salah satu yang kritikal jadi Kerajaan Negeri ambil pendirian ingin membantu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Taman Templer Mohd Sany Hamzan berhubung peruntukan untuk pelajar yang memerlukan peranti bagi kemudahan PdPR.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar PTRS, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Beliau menjelaskan manfaat tersebut turut dinikmati pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Categories
AGENDA NASIONAL

Guru: Teruskan PdPR hingga situasi Covid-19 selamat untuk sesi bersemuka

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi pelajar sekolah wajar diteruskan sehingga situasi semasa jangkitan Covid-19 di negara ini berada dalam keadaan selamat, sebelum sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka dapat dilaksanakan.

Walaupun sesi bersemuka masih diakui sebagai kaedah pendidikan terbaik, namun PdPR yang boleh ditingkatkan lagi pelaksanaannya sama ada secara dalam talian atau luar talian, diakui sebagai kaedah paling sesuai bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pendidikan, tatkala Covid-19 masih menjadi ancaman besar negara.

Seorang guru yang ingin dikenali sebagai Din berkata melihat kepada kes positif harian yang masih mencecah lima angka ketika ini, sesi PdPR yang sudah masuk tahun kedua pelaksanaannya adalah inisiatif terbaik dan selamat bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan warga sekolah.

“Eloklah sesi PdPR diteruskan sehingga keadaan betul-betul selamat. Walaupun amalan tatacara operasi piawai (SOP) boleh diperketatkan (jika sesi bersemuka dimulakan), kita masih berdepan ancaman varian baharu. Ia agak merisaukan komuniti guru kerana ada dalam kalangan kami dan ahli keluarga yang berisiko,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Guru Matematik di sebuah sekolah menengah di Bukit Baru Melaka itu berkata sesi PdPR yang telah dilaksanakan sejak tahun lepas kini telah dapat diperkasa dalam kalangan guru melalui penggunaan pelbagai kaedah agar sesi PdP berlangsung secara lebih efektif.

Katanya, golongan pendidik juga telah diberi pelbagai taklimat, input serta tunjuk ajar tentang pelaksanaan PdPR yang berkesan.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan hingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Zulkifli Muhammad di Slim River, Perak, Noraini Osman berkata pengumuman KPM yang menyambung sesi persekolahan secara PdPR sehingga 31 Ogos itu pastinya demi keselamatan pelajar ekoran situasi kes Covid-19 di Malaysia yang masih tinggi.

“Dalam keadaan Covid-19 ketika ini, saya akur pada arahan KPM kerana PdPR adalah untuk memastikan murid-murid selamat dan (pada masa sama) tidak tercicir daripada pembelajaran. Guru-guru mungkin kebanyakan sudah lengkap dua dos suntikan vaksin namun murid-murid masih belum (suntik vaksin). Perkara ini juga dapat mengelakkan daripada kluster pendidikan atau kluster sekolah timbul,” katanya.

Seorang ibu dari Taman Kenanga, Melaka Tengah, Shahidah Abdul Jalil, 34, berkata setelah hampir dua tahun kaedah PdPR dijalankan, terdapat banyak manfaat diperoleh anak-anaknya dan beliau sendiri dapat berperanan memantau sesi PdPR mereka.

“Saya dah mula teliti dan ambil berat tentang hal sekolah anak-anak. Ada ketika sama-sama bantu mereka selesaikan tugasan atau kerja rumah yang diberikan cikgu mereka terutama subjek yang kurang difahami…sama-sama cari penyelesaian, duduk berbincang dan secara tidak langsung dapat meluangkan masa belajar bersama mereka,” kata ibu kepada empat anak berusia sembilan hingga 15 tahun itu.

Shahidah yang bekerja sebagai tukang gunting rambut bersyukur kerana guru sekolah anaknya sentiasa prihatin dengan semua sesi PdPR yang dijalankan mengikut kemampuan pelajar, dan pelajar tidak terlalu dibebankan dengan tugasan di luar kemampuan, khususnya melibatkan peralatan perbelanjaan tertentu.

Seorang pelajar SMK Lahat di Ipoh, Perak, Nurhaziqah Adilah Razmi, 16, berkata beliau kini sudah biasa dengan PdPR walaupun mengalami sedikit kesukaran untuk subjek yang memerlukan uji kaji dan penggunaan makmal.

“Guru banyak membantu dengan berkongsi video tambahan,” katanya sambil menambah guru juga akan memberikan pelajar permainan dalam talian seperti kuiz agar interaksi dan pembelajaran menjadi lebih menarik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendekatan PdPR diubah, ibu bapa ambil tugasan anak di sekolah

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Setelah lebih setahun negara dilanda pandemik Covid-19 yang turut menyebabkan perubahan drastik terhadap kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dari bersemuka kepada PdP di Rumah (PdPR), para guru dan pelajar serta ibu bapa kini dilihat semakin dapat menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

Meskipun pada awalnya pelbagai halangan dan kesukaran dilaporkan untuk melaksanakan dan mengikuti PdPR ini, namun seiring waktu berlalu halangan itu dapat diatasi kini dengan inisiatif mewujudkan pelbagai kaedah PdP dan bukan lagi bergantung sepenuhnya terhadap PdPR secara dalam talian.

Perkara ini diakui Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan  (SK) Sega, Rantau, Negeri Sembilan Intan Mardiana Roslan, 39, yang berasa lebih selesa untuk melaksanakan PdPR ketika ini berbanding ketika mula dilaksanakan secara mengejut sebelum ini.

“Kalau PdPR 1.0 (kali pertama) yang dilaksanakan pada Mac 2020, semua dilakukan secara dalam talian, ia bukan sahaja menyukarkan murid dan ibu bapa untuk mengikutinya malah turut memberi tekanan kepada guru untuk melaksanakan tugasan ditambah lagi dengan masalah ketiadaan gajet dan capaian internet.

“Namun atas pengalaman yang telah dilalui pada PdPR kali pertama,  kita ambil inisiatif untuk tambah baik kaedah PdPR kali kedua bermula pada November 2020 dengan pelbagaikan kaedah pembelajaran dan tidak lagi bergantung sepenuhnya secara dalam talian dan hasilnya dapat dilihat dalam PdPR terbaru  dilaksanakan sejak Mei 2021 berlangsung secara lebih tenang dan teratur,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Katanya, antara kaedah PdPR secara bukan dalam talian adalah penggunaan modul yang mengandungi beberapa subjek diambil sendiri oleh ibu bapa di sekolah untuk disiapkan dalam tempoh tertentu.

“Penggunaan modul ini kita beri sekali dalam seminggu tetapi tugasannya adalah untuk tempoh tiga minggu, selepas itu biasanya ibu bapa akan datang semula ke sekolah untuk menghantar tugasan anak-anak mereka dan begitulah seterusnya.

“PdPR kali ini dapat dilaksanakan dengan lebih lancar kerana kita sudah selaraskan ikut keperluan dan keselesaan ibu bapa, penjaga serta murid dan pihak sekolah yang mana untuk tugasan PdPR kali ni kita bagi mengikut keselesaan antara tiga pihak ini dengan pelbagaikan kaedah penyampaian termasuk menggunakan buku teks, latihan, Google Meet, YouTube, panggilan video, Telegram dan WhatsApp selain penggunaan modul,” katanya.

Turut menyatakan pendapat sama, penjawat awam Suzana Ismail, 40, yang kini lebih yakin untuk membantu ketiga-tiga anaknya berusia enam hingga 12 tahun mengikuti PdPR meskipun pada awalnya ia tidak teratur dan agak kelam-kabut.

“Selepas lebih setahun PdPR dilaksanakan, saya rasa ia sudah boleh disesuaikan dengan sistem pembelajaran anak-anak, mulanya memang agak kelam kabut tetapi kini pada saya ia lebih mudah dan teratur. Guru kelas akan memberi jadual kelas untuk seminggu dan ini membolehkan ibu bapa memantau dan memastikan anak-anak dapat ikuti setiap kelas.

“Biasanya video rakaman kelas dan kerja sekolah juga diberikan selepas tamat sesi PdPR yang akan dimasukkan dalam Google Classrom, ini membolehkan ibu bapa memantau tugasan atau kerja sekolah anak-anak yang diberikan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meneruskan PdPR hingga 31 Ogos depan berikutan kes Covid-19 masih menjadi ancaman di negara ini, adalah langkah tepat bagi mengelakkan wujudnya kluster berkaitan pendidikan.

Sementara itu, seorang guru di SK Kimanis, Papar, Sabah, Azizah Hasan, 40, berkata meskipun pada awal pelaksanaan sesi PdPR keadaan agak kelam kabut, dan dalam masa sama perlu membantu PdPR dua anaknya, semuanya kini semakin lancar selepas beliau dan anaknya sudah mula memahami pembelajaran dengan kaedah itu.

“Sebagai seorang ibu dan guru, mahu atau tidak perlulah menyesuaikan diri dengan PdPR walaupun pada awalnya agak terkejar-kejar, bayangkanlah pada waktu kita laksanakan PdPR dengan murid-murid, saya juga perlu bantu PdPR dua orang anak saya yang berusia lapan dan tujuh tahun.

“Situasi ini memang mencabar tetapi kita kena rasional kerana ia bukan pilihan yang boleh kita pilih mahu atau tidak…ia tetap perlu dilaksanakan sebaik mungkin dalam memastikan anak-anak murid dan anak saya sendiri tidak tercicir dari pelajaran,” katanya.

Meskipun sudah mula serasi dengan PdPR ini, Azizah berkata beliau amat mengharapkan sesi persekolahan dapat dijalankan seperti biasa dengan kehadiran fizikal sekiranya situasi semasa Covid-19 sudah mula reda.

“Saya pasti apa dilakukan KPM ini adalah yang terbaik demi menjaga kesihatan anak-anak murid dan para guru daripada dijangkiti. Saya sangat berharap sekiranya sesi persekolahan dapat dijalankan pada September nanti, kesemua kakitangan termasuk para guru sudah menerima dua dos vaksin sebagai langkah mengurangkan jangkitan terhadap anak-anak murid yang tidak mendapat vaksin,” katanya.

Pada 17 Julai lepas, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR diteruskan hingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PdPR makin teratur, pelbagai kaedah imbangi keperluan pelajar

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Selepas lebih setahun pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kini ia semakin difahami pihak-pihak terlibat dengan penambahbaikan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa, bagi memastikan keberkesanannya.

Memasuki tahun kedua pelaksanaannya yang terpaksa dilakukan berikutan ancaman pandemik Covid-19, semakin ramai juga yang menyedari bahawa PdPR bukan lagi hanya dilakukan secara dalam talian, sebaliknya turut dilaksanakan secara luar talian, seperti dengan kaedah menyediakan modul mengikut keperluan dan kemampuan pelajar.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, penambahbaikan sentiasa dilakukan oleh pihak guru, hasil daripada pengalaman pelaksanaan PdPR sejak tahun lepas.

“Pelaksanaan PdPR 1.0 (kali pertama) dahulu semua orang ‘zero’. Cikgu pun masa nak mula memang tidak ada pengalaman, semua orang masa itu tidak biasa kerana mereka (guru) dilatih mengajar dalam suasana normal, iaitu suasana mengajar di sekolah bukan untuk PdPR.

“Jadi inisiatif sendirilah yang mana mereka bina dan teroka ilmu, maklumat sendiri. Sekarang bila sudah masuk tahun kedua, saya rasa pengalaman hendak mengurus itu sudah ada, apatah lagi PdPR kini juga dilaksanakan (dengan kaedah seperti) menggunakan modul pembelajaran yang diedarkan kepada pelajar, sebelum menyerahkan hasil tugasan mengikut tempoh yang diberikan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata masih terdapat kekangan dalam pelaksanaan PdPR menggunakan modul ini, apabila terdapat segelintir ibu bapa yang tidak datang ke sekolah untuk mengambil tugasan anak-anak mereka.

“Ada ibu bapa yang bagi kerjasama baik, tetapi ada juga ibu bapa yang sukar untuk berbuat demikian, mungkin kerana mereka terpaksa bergerak dalam keadaan Covid-19 yang membimbangkan lagi, jadi mereka abaikan sahaja modul yang telah guru-guru letakkan di pondok pengawal sekolah. Itulah antara halangannya,” katanya.

Aminuddin mengakui, impak PdPR mungkin tidak sebaik proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara bersemuka, namun sekiranya isu PdPR secara dalam talian dan ‘real time’ dapat ditangani sepenuhnya, kesannya akan lebih positif.

Justeru, pihaknya berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan khas dalam belanjawan akan datang, bagi menyediakan peranti mudah alih seperti telefon pintar dan capaian internet yang baik.

“Penguasaan dan keupayaan melaksanakan dan mengikuti PdPR secara dalam talian sepenuhnya, akan lebih baik dengan syarat kena ada peranti dan capaian internet untuk sesuatu proses PdPR itu lengkap.

“Kita tidak tahu, mungkin pendidikan digital akan berterusan tahun hadapan, jadi kita harap ada peruntukan khas daripada kerajaan, untuk beri bantuan kepada pelajar yang kurang berkemampuan memiliki sekurang-kurangnya telefon pintar, bagi memastikan tidak ada pelajar yang tercicir daripada PdPR secara dalam talian,” katanya.

Katanya di samping itu, NUTP juga berharap agar ada inisiatif kepada guru-guru mungkin dalam bentuk rebat, untuk membolehkan mereka membeli komputer riba sebagai motivasi mereka meneruskan PdPR mengikut normal baharu, memandangkan selama ini mereka hanya menggunakan kemudahan sendiri.

Pada 17 Julai lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September, mengambil kira kadar vaksinasi yang melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Sehingga 16 Julai, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus), telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PdPR hingga 31 Ogos, sekolah dibuka kembali mulai 1 September

SHAH ALAM, 17 JULAI: Sesi persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di semua sekolah seluruh negara diteruskan sehingga 31 Ogos depan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata sekolah akan dibuka secara berperingkat melalui pembelajaran secara bersemuka mulai 1 September.

“Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendididkan yang berdaftar dengan KPM,” katanya.

Kementerian berkata pihaknya juga mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk mengubah tarikh tersebut.

“Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal,” menurutnya.

KPM juga memaklumkan sehingga 16 Julai, seramai 253,366 guru dan pentadbir selain kakitangan sokongan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guru teruskan PdPR ikut kreativiti, tarik minat pelajar

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Apabila bercakap mengenai Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), umum masih beranggapan ia hanya kaedah pendidikan secara dalam talian semata-mata seperti aplikasi Zoom, Google Meet, Google Classroom atau Skype.

Hakikatnya, PdPR juga boleh dilaksanakan secara manual, seperti pengedaran modul terus kepada murid terutamanya bagi sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak mempunyai akses kepada peranti dan jaringan.

Seorang guru R. Viloshena, 37, berkata sewaktu awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, sekolahnya pernah menggunakan kaedah PdPR secara modular dengan guru mata pelajaran memberikan modul secara salinan lembut (softcopy) kepada guru kelas.

Guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Pulau Carey Timur, Selangor itu berkata guru kelas kemudiannya mengumpul dan menghantar modul tersebut kepada Penolong Kanan Pentadbiran sekolah yang seterusnya akan mencetak dan meletakkan modul di pondok pengawal sekolah untuk diambil oleh ibu bapa murid.

Bagaimanapun, beliau berkata ada segelintir ibu bapa yang tidak mengambil modul tersebut, dan kerana itu, pada tahun ini guru-guru mencuba pendekatan berbeza dengan menyediakan dan menghantar sendiri modul ke rumah murid.

“Selain itu, saya juga ada merakamkan sesi mengajar saya dalam Powerpoint dan kemudian memuat naik ke dalam YouTube dan menghantar pautan tersebut kepada para murid supaya mereka dapat menontonnya pada bila-bila masa.

“Saya juga menggunakan Kahoot!, Quizziz dan liveworksheet.com untuk memberikan latihan interaktif kepada murid. Selain itu, saya ada juga menggunakan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek yang memerlukan murid menyiapkan projek dan melaluinya,” katanya kepada Bernama.

Bagi Noor Azlinda Shuhaimi, 37, guru di Sekolah Kebangsaan Rtb Bukit Changgang di Banting, Selangor, beliau telah memulakan video semasa mengajar sejak awal PKP pada Mac tahun lepas memandangkan aplikasi dalam talian seperti Google Meet kurang berkesan berikutan masalah pemilikan peranti dan capaian internet.

Mengambil pendekatan memuat naik video di YouTube, guru Bahasa Inggeris itu merakamkan sendiri video cara penyampaian pengajaran supaya murid dapat merasai pengalaman seperti belajar di dalam bilik darjah bersama guru.

“Saya mulakan dengan tatabahasa asas untuk semua lapisan umur. Selepas itu apabila PKP berterusan, saya cuba buat bahan mengikut silibus buku teks. Semua video semasa mengajar saya muat naik ke rangkaian YouTube, kemudian saya sampaikan tugasan melalui WhatsApps kelas dan murid hantar semula kepada saya secara personal untuk disemak.

“Dengan adanya video semasa mengajar yang saya hasilkan dan muat naik ke YouTube, murid saya boleh mengulang kaji pelajaran pada bila-bila masa dan di mana-mana. Untuk menarik minat, saya pastikan video semasa mengajar dipelbagaikan, dan juga dari segi penyampaian.

“Saya juga ada selitkan kata laluan untuk setiap waktu mengajar di pertengahan dan di akhir video dan dengan cara itu saya boleh mengesan murid yang tidak mengikuti waktu mengajar sampai habis,” katanya yang dikenali sebagai ‘Teacher Linda’ di YouTube.

Beliau berkata penerimaan murid dengan kaedah PdPR sangat menggalakkan apabila murid masih meminta beliau menghasilkan video mengajar sebagai rujukan ketika sekolah dibuka sebelum ini.

Noor Azlinda juga pernah dipanggil menjadi panel di webinar untuk berkongsi cara penghasilan video semasa mengajar oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan pernah terlibat dengan rakaman TV Pendidikan semasa PKP tahun lepas.

“Cadangan saya kepada guru lain, kita kena teruskan meneroka pelbagai cara supaya murid dapat menangkap apa yang ingin kita sampaikan. Untuk buat pembelajaran secara langsung seperti Google Meet boleh, tetapi kena bergantung kepada latar belakang murid kita kerana tidak semua boleh sertai.

“Jadi, guru lebih tahu cara apa yang sesuai untuk murid masing-masing. Bagi saya, apa sahaja medium yang guru ada untuk sampai kepada pelajar, kita perlu gunakan sahaja semua,” katanya.

– BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat terima aduan tiada akses internet ikuti PdPR

SHAH ALAM, 8 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua menerima banyak aduan daripada masyarakat berhubung ketiadaan akses internet dan kekurangan peranti untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Wakil rakyat Edry Faizal Eddy Yusof berkata keluhan itu sering didengar daripada ibu bapa, namun tindakan sukar diambil kerana kemampuan untuk membantu agak terhad terutama akses internet.

Edry Faizal Eddy Yusof

“Untuk peranti, kita boleh menggunakan peruntukan sedia ada bagi membantu masyarakat supaya tidak ketinggalan dalam pendidikan.

“Bagaimanapun kita tidak dapat membantu semua kerana peruntukan diterima juga perlu diagihkan untuk bantuan lain,” katanya pada program bual bicara ‘PdPR: Cabaran Emosi di Sebalik Layar menerusi Facebook Media Selangor.

Menurut Edry Faizal, kerajaan persekutuan seharusnya tidak mengambil mudah kelemahan akses internet yang dihadapi masyarakat terutama di kawasan luar bandar.

Categories
AGENSI SELANGOR

PdPR: Ibu bapa perlu positif terima perubahan

SHAH ALAM, 7 JULAI: Ibu bapa perlu kekal positif dan menerima perubahan terhadap proses pembelajaran sedang dilalui anak-anak akibat pandemik Covid-19, kata Nazia Mustafar.

Pelakon itu berkata beliau tidak menafikan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dijalani secara dalam talian memberi kesan kepada masyarakat kerana mudah berasa tertekan.

“Bagi mengatasi tekanan dihadapi, ibu bapa perlu mencari inisiatif lain dengan mewujudkan aktiviti bermanfaat bersama anak-anak untuk dijadikan terapi minda.

“Semua pihak terkejut dengan perubahan dialami dalam sektor pendidikan tetapi kita perlu terima dan kekal positif,” katanya pada program bual bicara ‘PdPR: Cabaran emosi di sebalik layar’ secara langsung melalui Facebook Media Selangor.

Nazia yang juga seorang usahawan berkata beliau mengamalkan etika pembelajaran terhadap anak-anaknya sepanjang mengikuti PdPR supaya tidak ketinggalan pelajaran.

“Saya perlu tegas dan memaklumkan jika di sekolah ada undang-undang begitu juga di rumah perlu ada etika dan mengikut jadual.

“Pembelajaran di rumah dan sekolah berbeza kerana saya melihat anak-anak hanya memperoleh 45 peratus sahaja daripada PdPR,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Guru berdepan cabaran komunikasi, aplikasi ketika PdPR

SHAH ALAM, 7 JULAI: Warga pendidik berhadapan pelbagai cabaran antaranya masalah komunikasi melibatkan ibu bapa dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Guru Bahasa Inggeris, Nazira Roslee berkata pada peringkat awal PdPR, beliau sering mengalami masalah komunikasi dan penggunaan aplikasi pembelajaran.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa kurang berkomunikasi dengan guru hingga menyebabkan mereka tidak dapat membantu sekiranya anak-anak mengalami masalah dalam pembelajaran.

“Selain itu, cabaran yang terpaksa dihadapi guru juga dari segi penggunaan aplikasi yang sesuai untuk mengajar kerana terdapatnya pelbagai medium.

“Dalam menghadapi PdPR kerjasama antara ibu bapa dan guru amat penting dalam membantu anak murid belajar,” katanya pada program bual bicara ‘PdPR: Cabaran Emosi di Sebalik Layar melalui Facebook Media Selangor.

Nazira turut mengakui tidak semua guru menguasai teknologi terkini dalam pembelajaran dengan menggunakan bahan dan buku secara digital.

“Bagi saya penting setiap guru berkolaborasi satu sama lain dengan membincangkan cara yang sesuai untuk mengajar.

“Apabila bertukar pandangan, ia dapat memberikan idea baharu dalam kalangan guru supaya teknik pembelajaran lebih sistematik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi sekolah: PdPR kekal di negeri dalam fasa dua PPN

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Sesi pengajaran dan pembelajaran bagi murid kelas peperiksaan di lima negeri yang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok akan terus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga cuti pertengahan penggal.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan cuti pertengahan penggal ini akan bermula pada 16 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri Kumpulan B.

Menurutnya pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai akan dibuat sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan itu bermula.

“Berdasarkan tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi PdP secara bersemuka terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.

“Bagaimanapun, KPM ingin memaklumkan bahawa Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 adalah kekal seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) dalam sidang media pada 6 Jun lepas,” menurut kenyataan itu.

Radzi pada sidang media Jun lepas berkata PdPR akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing sehingga cuti pertengahan penggal.

Semalam Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN mulai esok.

Keputusan itu diambil berdasarkan nilai ambang di negeri-negeri berkenaan yang telah berjaya dicapai iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penghantar makanan cemerlang STPM, anggap PdPR satu cabaran

SEREMBAN, 2 JULAI: Seorang penghantar makanan sambilan tidak menyangka memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), semalam.

Muhammad Izzuddin Amirrudin, 20, yang memulakan khidmat sebagai penghantar makanan GrabFood dua bulan lepas berkata keputusan tersebut disemak secara dalam talian ketika dia sedang menunggu pesanan makanan pelanggan di restoran.

Bercita-cita menjadi seorang peguam untuk berkhidmat kepada masyarakat, Muhammad Izzudin berkata dia berhasrat mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (UM).

“Saya terkejut dan sangat gembira selepas mengetahui memperoleh 4A dengan PNGK 4.00 dan sangat bersyukur kerana usaha dan pengorbanan selama ini akhirnya membuahkan hasil.

“Ibu bapa sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada saya untuk menghadapi peperiksaan terutama ketika negara kini dilanda pandemik Covid-19. Tidak lupa juga kepada jasa guru-guru yang selama ini tanpa lelah mengajar dan berkongsi ilmu kepada saya dan rakan-rakan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Forest Heights itu berkata Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah antara cabaran perlu dilalui kerana dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri belajar tanpa bersemuka dengan guru-guru dan rakan-rakan lain.

“Capaian internet lemah juga menyukarkan PdPR. Ada masa saya rasa patah semangat tetapi sokongan daripada ibu bapa menyuntik kembali semangat untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran,” katanya.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata antara resipi kejayaan cemerlang dalam STPM adalah rajin mengulang kaji di samping rajin membaca nota tambahan dengan melakukan penyelidikan di internet serta memperuntukkan antara dua hingga tiga jam sehari bagi mengulang kaji pelajaran.

Berkongsi pengalaman sebagai penghantar makanan, Muhammad Izzuddin berkata ia banyak mengajar dirinya untuk mengenal masyarakat dengan pelbagai ragam dan mempersiapkan diri menjadi seorang yang lebih matang.

Katanya, berkerja sambilan sebagai penghantar makanan juga mendidik menjadi seorang yang amanah serta dapat memperkuat dirinya dari aspek mental dan fizikal kerana situasi kerja yang tanpa mengira keadaan hujan atau panas.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perahu jadi ‘bilik darjah’, inisiatif guru elak murid cicir belajar

KINABATANGAN, 27 JUN: Perahu menjadi ‘bilik darjah’ seorang guru di Kinabatangan dalam memastikan tiada muridnya tercicir dalam pelajaran ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dijalankan.

Nasir Mohamed Jamal, 39, seorang guru dI Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Permai turut menggunakan perahu itu untuk menghantar modul pembelajaran setiap minggu kepada murid.

“Saya atau rakan guru lain akan mengambil inisiatif sendiri untuk menghantar modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan perahu sekali atau dua kali seminggu.

“Ini kerana menjalankan PdPR menggunakan peranti adalah mustahil kerana kami tiada perkhidmatan jalur lebar (yang baik),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Berbekalkan sebuah beg mengandungi modul PdPR dan meja lipat, Nasir, yang mengajar mata pelajaran Sains, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, meninggalkan rumahnya ke perahu kayu beratap yang dikemudinya sendiri di Sungai Kinabatangan untuk ke rumah murid-muridnya.

Berikutan tiada jeti atau tempat turun dari perahu yang sesuai, beliau keluar dari perahunya dengan berhati-hati di kawasan cetek di tepi sungai dan menjemput muridnya di rumah berdekatan.

“Mari kita belajar hari ini macam biasa,” katanya kepada muridnya dan akan mengimbas suhu badan muridnya, memberikan cecair pensanitasi tangan dan pelitup muka kepada muridnya sebelum sesi pembelajaran di dalam perahu dimulakan.

Nasir yang berasal dari Padang Rengas, Perak dan telah berkhidmat di sekolah itu sejak 10 tahun lepas, mengakui keadaan di kawasan pedalaman yang jauh berbeza di bandar mewujudkan perasaan tanggungjawab dalam dirinya serta lima guru lain di sekolah itu untuk mendidik dan memberi pendedahan kepada murid-murid mengenai realiti kehidupan di luar kampung mereka.

“Kami (guru-guru) akan menerangkan kepentingan untuk melanjutkan pelajaran kerana mereka ini boleh berjaya dan membawa perubahan kepada masyarakat sekeliling mereka,” tambahnya.

— BERNAMA