Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Cekal dalami ilmu agama, jalan berliku menuju Ilahi

Foto HAFIZ OTHMAN

SHAH ALAM, 10 OGOS: Baru dua minggu memeluk Islam, Farid Ravi Abdullah dibelasah ahli keluarganya sendiri.

Berdarah kepalanya terhantuk bucu tiang rumah. Peristiwa di Kampung Sungai Choh, Rawang pada 1990 juga mengakibatkan ibu pengsan.

Akibat kejadian tersebut, Farid Ravi menerima enam jahitan. Sejak itu, beliau mendiami rumah keluarga angkat, tidak jauh dari kediaman keluarganya.

Beliau kemudian berpindah ke Rumah Tumpangan Saudara Baharu di Shah Alam sebelum ke Sabah ekoran terdapat ancaman membawanya keluar Islam.

Pun begitu, Farid Ravi tetap cekal mendalami ilmu agama hingga kira-kira 30 tahun kemudian, beliau diberi kepercayaan menganggotai majlis agama tiga negeri iaitu Selangor, Pahang dan Wilayah Persekutuan.

Farid Ravi membaca sebahagian koleksi buku yang disimpan di pejabatnya di Kolej Universiti Islam Selangor, Kajang

Kini bertugas sebagai timbalan merangkap pemangku rektor Kolej Universiti Islam Selangor, Farid Ravi yang bergelar profesor madya telah mengIslamkan kira-kira 70 orang.

Lebih menggembirakan hatinya, ibu beliau memeluk Islam pada 2001. Abangnya pula melafaz dua kalimah syahadah tiga tahun kemudian.

Sejak darjah empat lagi, Farid Ravi atau nama asalnya Yasaya @ Jesiah Ravi a/l Jacob sebenarnya menaruh minat terhadap Islam. Beliau kerap mengikuti kelas Pendidikan Islam walau sekadar suka-suka.

Sebagai satu-satunya murid bukan Islam di kelas, beliau bosan bersendirian di kantin lalu memilih untuk kekal belajar bersama rakan sedarjah. Ustazah Rohana pula tidak menghalang.

Malah, guru Pendidikan Islam itu menawarkan buku teks mata pelajaran tersebut kepada Farid Ravi apabila beliau masuk darjah lima pada 1982.

“Sudah tentu saya mahu. Saya teruja dapat buku Pendidikan Islam. Saya bawa balik,” cerita beliau kepada Selangorkini.

Dipukul

Sebaliknya, beliau dimarahi abangnya yang ternampak buku tersebut ketika leka menyusun buku di rumah mengikut jadual persekolahan.

Keesokannya, beliau meminta rakan akrabnya untuk menyimpan buku itu dan membawanya ke sekolah setiap kali ada mata pelajaran Pendidikan Islam.

Tidak hairanlah, Farid Ravi pada usia 11 tahun mampu menghafal pelbagai doa, ayat kursi dan surah pendek sekalipun belum memeluk Islam.

Bahkan ketika umat Islam menyambut perayaan Aidilfitri, beliau turut ‘sibuk’ bertakbir, tumpang kegembiraan rakan-rakannya yang beragama Islam.

Kenangan Farid Ravi ketika menunaikan umrah bersama keluarganya pada 2013

Namun, ketika mula bersekolah menengah, rahsia beliau mengikuti kelas Pendidikan Islam sukar disorok. Lebih-lebih pelajar bukan Islam diwajibkan ke kelas bahasa ibunda.

Justeru, Farid Ravi meminta gurunya untuk membenarkannya mengikuti kelas agama Islam. Permintaannya dipenuhi. Namun, keputusan itu dihidu abangnya.

“Hampir setiap kali ada mata pelajaran agama Islam, abang pasti dapat tahu daripada anak kawannya. Saya dimarahi, pernah juga dipukul,” katanya.

Menginjak usia 16 tahun, Farid Ravi mula memahami hal berkaitan pegangan akidah. Sebelum ini, beliau hanya mempelajari urusan solat, puasa dan zakat.

Minat Farid Ravi terhadap soal akidah tumbuh mekar lantaran beliau tertarik dengan dialog antara Nabi Ibrahim dan Raja Namrud selepas peristiwa memecahkan berhala.

Selain itu, beliau berasa tenang apabila tiap kali terdengar alunan merdu bacaan al-Quran dan laungan azan di surau berhampiran rumahnya.

Saat itu, beliau membulat tekad untuk memeluk Islam tetapi Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) meminta hasrat itu ditangguh hingga usianya genap 18 tahun.

Dua tahun kemudian, bertempat di ibu pejabat Perkim Wilayah Persekutuan, Farid Ravi akhirnya melafaz dua kalimah syahadah yang dipendamnya selama ini.

Bapa enam anak tidak lagi menoleh ke belakang, terus mendalami bidang agama termasuk tafsiran al-Quran.

Beliau tidak jemu-jemu mendalami ilmu agama sama ada melalui ustaz di pondok pendalaman hingga membawanya terbang sejauh ke Jordan.

Farid Ravi kini mempunyai kelulusan doktor falsafah dalam bidang tafsir dan ulum al-Quran Universiti Jordan, Usuluddin di Universiti al-Bayt Jordan dan Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

 

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Rasmi Masjid Bandar Baru Sungai Buloh Bernilai RM4.1 Juta

DYMM Rasmi Masjid 02

PETALING JAYA 17 JULAI : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid di Bandar Baru Sungai Buloh di sini sempena Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat di sini.

Bangunan masjid ini dibina oleh Syarikat MK Land dengan kos RM4.1 juta dan mampu menampung sehingga 5,000 jemaah di mana masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Kuning kerana kubahnya berwarna kuning.

Sultan Sharafuddin juga turut berkenan menamakan masjid itu dengan nama Masjid Bandar Baru Sungai Buloh.

Pada kesempatan yang sama, Baginda perkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada kira-kira 302 daripada kalangan Asnaf anak yatim, fakir-miskin, saudara baru dan pelajar tahfiz.

DYMM Rasmi Masjid 01

Sementara itu, Pengerusi Gapurna, Tan Sri Abdul Halim Ali dalam ucapannya berkata, syarikat itu turut memberi sumbangan daripada segi kewangan dan material untuk kerja-kerja menaiktarafkan masjid itu.

“Antara kerja naik taraf itu termasuk kerja mengecat dinding masjid, membaik pulih tempat wuduk dan tandas, menukar lampu kalimantan dan lampu limpah untuk mimbar, memasang dan menggantikan sistem pembesar suara.

“Turut dipasang adalah kipas helikopter pada ruang masjid utama dan pemasangan tangki tambahan berdasarkan daripada senarai keutamaan keperluan yang disediakan Jawatankuasa Masjid,” kata beliau.

Turut mengiringi Sultan Selangor pada majlis itu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Husin.

DYMM Rasmi Masjid 03