Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 800,000 rakyat Selangor belum ke arah digital

SHAH ALAM, 15 NOV: Lebih 800,000 rakyat Selangor dikesan tidak menggunakan internet dan menyesuaikan diri dengan ekosistem pendigitalan yang semakin berkembang.

Ketua digitalisasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berkata kelompok itu meliputi warga emas, peniaga kecil dan industri mikro serta belia berpendapatan rendah (B40).

“Kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mendapati 12.6 peratus rakyat Malaysia tidak menggunakan internet dan dalam konteks Selangor, kita anggarkan sekitar 831,000 individu terpinggir.

Kamarul Nizam Kassim ketika bual bicara pendigitalan dan keusahawanan di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 14 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Menyedari perkara ini, MBI mengambil inisiatif melantik 1,000 rakan digital untuk mengenal pasti dan membantu golongan sasar,” kata Kamarul Nizam Kassim dalam Program Bual Bicara anjuran Media Selangor semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri perlu menyegerakan proses pendigitalan dalam kalangan masyarakat sesuai dengan norma baharu pascawabak Covid-19.

“Wakil rakyat juga perlu memainkan peranan dengan memberi penerangan kepada masyarakat di kawasan masing-masing berhubung kepentingan serta manfaat pendigitalan,” kata Kamarul Nizam.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM3 juta bagi memastikan warga emas, pengusaha kecil dan sederhana, industri mikro serta belia B40 meningkatkan kualiti hidup mereka.

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Dari Kaca Mata MB: Merombak daya menuju pendigitalan

Kenyataan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang disiarkan dalam akhbar SelangorKini edisi 12-18 November 2020

Harus diakui pendigitalan menjadi mauduk utama Belanjawan Selangor 20121. Saya percaya hikmah di sebalik Covid-19 memerlukan kita merombak pemikiran dan daya tindak. Kita harus bersedia menerima norma baharu dalam kehidupan.

Aktiviti ekonomi, sosial dan gaya hidup pasti berubah. Rakyat perlu mendakap pendigitalan sebagai norma baharu.

Mengapa usaha ini tidak dapat dielak? Mari kita teliti sejenak beberapa isu mikro yang dihadapi saat ini: kehilangan kerja ataupun pengangguran meningkat. Syarikat mula menghentikan pengambilan pekerja baharu. Kurangnya penyerap kejutan (shock absorber) untuk membantu rakyat sememangnya menggelisahkan.

Beginilah situasi hidup akibat ancaman Covid-19: suatu realiti baharu yang harus kita hadapi dan gagahi, mahu atau tidak.

Banyak langkah disusun kerajaan persekutuan wajar dipuji seperti pengecilan kadar pinjaman asas (BLR) dan juga insentif pengurangan cukai untuk pembelian kereta bagi menggalakkan rakyat berbelanja tetapi ia tidak berlaku kerana kurangnya keyakinan rakyat dan kerisauan mereka terhadap situasi ekonomi dan kesihatan sedia ada.

Apa pilihan lain yang kita ada dalam keadaan begini? Realiti pandemik yang bersifat maraton harus disusun dengan tindakan segera dan langkah-langkah berpanjangan — suatu perancangan sistemik dan bukan gimik.

Dato’ Seri Amirudin Shari melawat lokasi e-dapur di Dewan Terbuka, Padang Awam Batu Caves pada 8 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Selangor mengambil tanggungjawab dan menjadi negeri barisan hadapan di negara ini menerusi beberapa penyelesaian untuk meningkatkan keyakinan mikro melalui dasar makro dengan mengangkat Agenda Pendigitalan sebagai pemangkin negeri pintar ulung yang kalis Covid-19.

Maka, Kerajaan Negeri memulakan langkah memperkenal program seperti e-dapur dengan menggarap kerjasama syarikat e-panggilan. Peniaga makanan boleh menggunakan khidmat dapur berpusat (central kitchen) dan meneruskan perniagaan manakala pelanggan boleh membeli secara dalam talian. Peniaga memerlukan upaya ini untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kerajaan Negeri juga memahami usahawan ada masalah kecairan tunai. Justeru, Selangor Advance diperkenal untuk membantu peniaga memperoleh bantuan kecairan tunai supaya mereka boleh terus berniaga. Selain itu, Hijrah juga terus memainkan peranan dengan memberi pinjaman, malah program Niaga Darul Ehsan (NaDi) diperkenal untuk memudahkan rakyat mendapat pinjaman serendah RM1,000 dan mendapat lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan.

Membentang peluang

e-Permainan dan e-sukan yang dirangka pula bukan hanya untuk pemain tetapi kita mahu anak-anak muda terlibat dalam penciptaan kandungan (content creater). Industri ini ada potensi kewangan yang sangat besar; kita mahu anak muda mengambil peluang yang terbentang luas memandangkan institusi sedia ada sama ada swasta seperti studio animasi mahupun universiti cukup matang dalam industri animasi perfileman.

Teknik pembelajaran juga sudah jauh berbeza. Maka, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk memberi kad sim melalui program Data Internet Selangor yang membolehkan mahasiswa dan anak-anak sekolah belajar dalam talian dan mengakses pembelajaran dalam talian walau di mana mereka berada.

Petugas Kesihatan Selcare mencatat maklumat peribadi orang awam sebelum membuat saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Penting dinyata betapa usaha yang digariskan dalam Belanjawan Selangor 2021 harus dibaca bersama dengan pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin fasa satu hingga tiga. Pakej fasa satu bertujuan membantu mangsa dan petugas yang membendung Covid-19; fasa dua untuk menampan kesan langsung wabak seterusnya fasa tiga memberi tumpuan penyelesaian kitaran ekonomi bagi meningkatkan daya tahan rakyat dalam menempuh kesan Covid-19.

Jumlah keseluruhan pakej fasa satu hingga tiga ialah RM456.15 juta. Untuk Belanjawan Selangor 2021, kita merancang untuk berbelanja RM369 juta semata-mata untuk pendigitalan — suatu jumlah yang besar dan berani!

Selain perbelanjaan Kerajaan Negeri, Belanjawan Selangor 2021 juga disokong peruntukan anak syarikat Kerajaan Negeri berjumlah RM295.5 juta untuk bersama-sama melaksanakan program lain termasuk seperti Program Pendigitalan Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) dan e-Pembekalan Peruncit Mikro dan Kecil yang akan membantu Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dalam melancarkan perniagaan mereka dan memberi penyelesaian menang-menang dalam tawaran pasaran bersama-sama pemain besar sedia ada antaranya pasar raya mini 99 Speed Mart dan pasar raya Giant.

Menampan beban

Untuk mereka yang mahu menampan beban kewangan sekali gus memanfaatkan bakat sedia ada, rakyat Selangor boleh bergiat dalam ekonomi tidak formal melalui Selangor Freelancer ataupun meningkatkan kemahiran menerusi Selangor Kerjaya.

Kepada yang tidak begitu biasa dengan dunia digital dan mungkin ada sedikit fobia dengan perkomputeran, kita turut menyediakan Rakan Digital Selangor yang boleh membimbing mereka langkah demi langkah agar mereka tidak ketinggalan dalam pecutan teknologi yang dijuarai Selangor.

Dana Inovasi Selangor pula disediakan bagi memberi galakan yang lebih untuk para pemula (startup) bagi terus membantu menyelesaikan masalah masyarakat melalui kaedah keusahawanan sosial (social enterprise).

Selangor Kerjaya dengan latihan kemahiran baharu (new skill), tingkat kemahiran (upskilling) dan pulih kemahiran (reskilling) merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri mengurangkan pengangguran sekali gus membasmi kemiskinan. Foto ARKIB SELANGORKINI

Inovasi ternyata begitu penting, lebih-lebih lagi dalam penyampaian perkhidmatan. Kerajaan Negeri sendiri mendapat limpahan manfaat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan terlaksananya Smartbox Pejabat Tanah dan Galian (PTG). Sehingga 24 Ogos 2020, ‘Smartbox’ mencatatkan kutipan RM2.8 juta bersamaan lebih 12,000 transaksi, angka yang belum pernah dicapai melalui sistem bayaran di kaunter sebelum ini.

Banyak lagi inovasi yang sedang diterokai di luar Belanjawan Selangor 2021. Antara yang utama pastinya SELangkah. Portal penjejakan langkah kebanggaan Selangor sangat berjasa semenjak hari-hari awal pandemik bermula mendahului usaha seumpamanya. Marilah kita nantikan penambahbaikan ciri-ciri SELangkah yang bakal merancakkan lagi industri berasaskan teknologi.

Lain-lain inisiatif pintar termasuk CEPat (Citizen e-Payment) yang memudahkan pembayaran urusan berkaitan kerajaan dan Rantaian E-Bekalan Digital Selangor atau Seldec yang mampu menyelesaikan masalah lambakan sumber, sekali gus menjamin kelangsungan bekalan makanan.

Selain usaha di atas yang dipandu Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), terdapat banyak lagi ‘startup homegrown’ yang berpotensi sebesar Grab dan Airbnb dalam bidang pertanian dan penyelesaian automotif serta logistik bawah seliaan Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec).

Itu belum lagi dikira geran penyelidikan yang masih aktif menggunakan internet segalanya (IoT), pengkomputeran awan (cloud-based) dan teknologi realiti luasan (Augmented Reality) antara lain untuk program pengesanan awal psoriasis, autisme dan cerebal palsy menggunakan kaedah permainan (gamification). Terdapat juga beberapa pengaplikasian penyelesaian untuk sistem Halal, e-fatwa dalam fikah dan pendigital pembelajaran bersepadu (immersive learning) untuk jawi serta bahasa Arab.

Diharap agar rakyat Selangor yang cekal mengambil peluang dan bersama-sama bingkas untuk menyumbang dalam realiti baharu lantaran dampak Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Dedah pendigitalan demi masa depan rakyat Selangor

SHAH ALAM, 4 NOV: Rakyat negeri ini perlu dididik dan didedahkan dengan pendigitalan sebagai persediaan masa hadapan pascawabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bertepatan, malah Belanjawan Selangor 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu mengutamakan platform maya.

“Memang diakui tidak semua rakyat bersedia apabila kita buat pendigitalan, namun kita perlu sedar walau dapat putuskan rantaian pandemik, kita mungkin berdepan gelombang baharu.

“Jadi kita tidak boleh mengeluh. Kita buat untuk masa depan sebab itu ditubuhkan program digitalisasi untuk semua termasuk sistem pendidikan,” katanya dalam program temu bual bersama Astro Awani malam tadi.

Amirudin berkata pemberian data internet pada tahun depan akan mengukuhkan langkah berkenaan selain memudahkan urusan rakyat.

“Kita juga akan jalin kerjasama dengan Telekom Malaysia bagi memastikan rangkaian jalur lebar tersusun,” katanya lagi.

Data Internet Selangor diperkenalkan pada 2021 bagi mengurangkan masalah jurang digital supaya golongan berpendapatan rendah (B40) berupaya mencipta pendapatan.

Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM17.5 juta diperuntuk bagi menjayakan program itu termasuk inisiatif WiFi yang dijangka memanfaatkan hampir 54,000 pengguna.

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKS, usahawan perlukan lebih banyak geran, pembangunan digital

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Peserta industri berharap Belanjawan 2021 menawarkan lebih banyak geran bantuan dan pemadanan terutamanya yang boleh membantu penerimaan pakai digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro (MSME) serta pengecualian cukai bagi membantu mereka menangani arus perubahaan keadaan pada masa ini.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Datuk Michael Kang berkata sementara penerimaan pakai pendigitalan amat penting untuk perniagaan dalam pelbagai bidang, perhatian khusus kepada PKS dan MSME sememangnya perlu kerana mereka telah terjejas teruk oleh krisis kesihatan Covid-19.

“Pendekatan yang padu dan berstruktur diperlukan untuk menyokong digitalisasi dan untuk mereka mengubah cara menjalankan perniagaan,” kata beliau kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Antara lain, penerimaan pakai digital boleh membantu PKS dan usahawan mikro memanfaatkan pelbagai platform yang ada termasuk Platform Bersepadu Halal (HIP) milik Halal Development Corporation (HDC) iaitu platform urus niaga dalam talian yang dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan.

“HIP akan menjadi hab urus niaga dalam talian terbesar yang menghimpunkan 200,000 syarikat PKS tempatan yang terlibat dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan halal.

“Dengan platform maya ini, perniagaan akan dikendalikan tanpa sempadan dan ia menggalakkan pengantarabangsaan dan urus niaga merentasi sempadan dan negara,” kata pengerusi HDC Datuk Mahmud Abbas.

Pada 28 September, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan akan memudahkan pencepatan penerimaan pakai digital dalam kalangan PKS di bawah Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November.

Beliau berkata rekod menunjukkan penghijrahan teknologi dan digital belum lagi mencapai tahap kritikal dalam kalangan PKS.

“Kita perlu meningkatkan kesedaran bahawa dengan pendigitalan, PKS boleh mendapat jangkauan pasaran yang lebih besar dan seterusnya memasuki pasaran serantau, dan bagaimana institusi kewangan kita boleh menyokong mereka dalam proses ini,” katanya.

PKS menguasai 98.5 peratus perniagaan di Malaysia, menyediakan lebih lima juta pekerjaan yang menyumbang melebihi RM500 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sementara industri halal pula mempunyai 230,000 peserta termasuk syarikat multinasional dan PKS.

Sementara itu, ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Izuan Ahmad berkata kerajaan juga perlu terus memberi sokongan kepada automasi berdasarkan kepada asas-asas yang ditetapkan oleh pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (Kita Prihatin) bagi menggalakkan peralihan dalam kalangan PKS.

“Inisiatif seperti peruntukan Kemudahan Bantuan Khas BNM (SRF COVID-19) dan skim Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) patut diteruskan kerana kesan daripada pandemik mungkin berpanjangan,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) Datuk William Ng berharap selain daripada lanjutan inisiatif kewangan, kerajaan akan turut menambah geran pemadanan digitalisasi.

Beliau turut menyarankan kerajaan memperkenalkan insentif “Bekerja-dengan-PKS” untuk warga Malaysia yang telah menganggur selama tiga bulan ataupun diberhentikan semasa semasa tempoh pandemik ini dan mereka yang telah berjaya diterima bekerja dengan PKS.

“Kami mencadangkan agar jumlahnya ditetapkan pada RM300 sebulan untuk tempoh 12 bulan, dibayar terus kepada pekerja,” kata beliau.

Persatuan itu juga berharap Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan pengecualian cukai korporat untuk RM500,000 pertama pendapatan korporat yang dikenakan cukai, dan pengecualian cukai korporat untuk pendapatan tambahan bagi tahun kewangan 2021 berbanding 2020, tambahnya.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub, pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya yang turut bersetuju dengan pendapat Ng berkata, sekurang-kurangnya PKS memerlukan suntikan modal jangka panjang dan tanpa faedah.

Beliau turut berpendapat kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi perlu terlibat sama dalam mengubah platform pemasaran dan keusahawanan.

Ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan insentif seperti pengecualian cukai, pengecualian yuran pendaftaran perniagaan dan yuran pembaharuan pendaftaran perniagaan untuk syarikat yang mengendalikan perniagaan dalam talian serta mewujudkan pusat-pusat pemasaran digital setempat untuk pelbagai produk dengan memanfaatkan kemudahan sedia ada.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Peniaga kecil perlu terap norma baharu, manfaat pendigitalan

SHAH ALAM, 15 OKT: Penularan Covid-19 memberi kesedaran kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berhubung kepentingan pendigitalan dalam perniagaan.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata peniaga perlu memanfaatkan aplikasi pintar untuk kelangsungan perniagaan serta berkembang dalam norma baharu.

“Golongan peniaga amat terkesan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac dan kini kerajaan melaksanakan pula PKP Bersyarat di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.

“Sudah pasti ia sekali lagi memberi kesan kepada kita semua tetapi sektor PKS perlu menerapkan norma baharu yang menggalakkan penggunaan teknologi seiring persekitaran pendigitalan ekonomi,” katanya pada Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2020 secara maya hari ini.

Chang Khim berkata peniaga mungkin perlu mengeluarkan kos untuk mengembang atau menaik taraf keupayaan teknologi, namun bakal mendapat manfaat bagi tempoh jangka panjang.

“Penggunaan teknologi akan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos gaji pekerja, meluaskan capaian pelanggan serta mewujudkan rangkaian perniagaan baharu,” kata beliau lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Pendigitalan kunci pulih ekonomi, jana pendapatan

SHAH ALAM, 14 OKT: Selangor mengorak langkah ke arah pendigitalan yang menjadi kunci untuk
memulihkan ekonomi negeri yang terkesan berikutan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata teknologi pintar kini digunakan sepenuhnya bagi merangsang ekonomi, termasuk menjana pendapatan rakyat.

“Ketika negeri mula dilanda wabak, semua bimbang dengan keadaan semasa tetapi pendigitalan memberi harapan kepada kita untuk memulihkan ekonomi lebih cepat daripada jangkaan.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif membantu usahawan menjana pendapatan melalui perniagaan dalam talian,” katanya berucap merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 secara maya hari ini.

Pada 24 April, Kerajaan Negeri menyediakan dua saluran e-dagang iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats), ruang untuk peniaga menjual juadah berbuka puasa.

Beberapa lokasi e-Dapur turut diwujudkan di Ampang, Bangi, Semenyih, Sepang, Damansara, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya.

Selain itu, Kerajaan Selangor melancarkan e-Bazar Raya khusus untuk 5,000 usahawan tempatan menjana semula ekonomi susulan penularan Covid-19.

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ekonomi digital terus kembang, pembeli tambah yakin

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Momentum pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dijangka akan berterusan selepas lebih banyak jenama serta perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendigitalkan operasi mereka, kata platform e-dagang yang terkemuka, Lazada.

Pada masa yang sama juga, keyakinan pembeli untuk membuat urus niaga dalam talian turut bertambah.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Leo Chow berkata cara pengguna membeli dan membayar banyak berubah, khususnya selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

“Rakyat Malaysia dilhat semakin yakin dengan kemajuan teknologi dalam penyelesaian pembayaran kerana mereka amat pantas menerima serta mengiktiraf faedah menggunakan penyelesaian pembayaran digital,” katanya kepada Bernama, sambil menambah pandemik Covid-19 telah mempercepatkan penggunaan digital di kalangan pengguna, penjual, jenama dan peruncit.

Bilangan penjual baharu di Lazada turut meningkat lebih daripada 200 peratus pada separuh pertama tahun ini, dan menyatakan bahawa rakyat Malaysia sentiasa mencari penyelesaian dalam talian untuk keperluan seharian mereka.

Menurut beliau, satu kajian yang dibuat oleh penyedia penyelesaian penyelidikan pasaran iaitu Vodus baru-baru ini, mendapati separuh daripada penduduk dewasa Malaysia berbelanja untuk barangan bukan makanan secara dalam talian semasa PKP.

Di kalangan pembeli dalam talian, 35 peratus daripada mereka mengaku hanya memulakan urus niaga untuk kali pertama selepas PKP bermula, yang mencerminkan kepada pertumbuhan 53 peratus dalam populasi pembeli dalam talian Malaysia, kata Chow.

Dengan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup digital, Lazada juga melihat penyelesaian pembayaran digitalnya, Lazada Wallet, menjadi pilihan kaedah pembayaran yang paling digemari di platform itu.

“Semasa acara 7.7 Mid-Year Super Sale, kami melihat hampir 40 peratus peningkatan dalam kadar pengambilan Lazada Wallet dari tahun ke tahun, dan hari ini, satu dalam tiga pelanggan Lazada Malaysia memilih Lazada Wallet untuk transaksi mereka,” katanya.

Pembayaran digital adalah lebih selamat, selain, lebih cekap dan kos efektif memandangkan pembeli dan penjual tidak lagi perlu mengendalikan wang fizikal atau pergi ke bank bagi mendepositkan atau mengeluarkan wang.

“Semua transaksi dilakukan secara dalam talian atau maya,” katanya, sambil menambah pembayaran digital bersifat hampir serta-merta dan tidak dibatasi geografi.

Pengguna mengakui pembayaran tanpa tunai mengurangkan kerumitan untuk pergi ke mesin juruwang automatik (ATM) bagi pengeluaran ringgit, menghapuskan beban menyimpan tunai, syiling dan menjadikan penjejakan pembelian lebih mudah dan telus.

“Ia juga jelas bahawa peniaga sudah mula bertindak balas terhadap tingkah laku ini dengan meningkatkan jejak penerimaan digital mereka,” katanya.

Dalam keadaan kecemasan yang membawa kepada kejutan seperti krisis Covid-19, kecepatan dan penghantaran yang tepat pada masanya memainkan intipati yang signifikan.

Bayaran digital atau kiriman wang dari luar negara dan bantuan kerajaan boleh dibuat dengan lebih pantas.

“Kami memuji usaha kerajaan yang bertindak mempercepatkan pemindahan negara ke arah pembayaran elektronik (e-pembayaran) seperti kadar penggunaan e-dompet,” tambahnya.

Faktor-faktor yang besar seperti keselamatan turut diambil kira, kata Chow.

Sering kali, penerima bayaran tunai perlu berjalan dalam jarak tertentu untuk menerima bayaran mereka, ini mendedahkan individu tersebut kepada ancaman jenayah.

Sebaliknya, pembayaran digital hari ini dijamin dengan teknologi canggih, seperti penyulitan secara menyeluruh, tokenisasi, kata laluan, biometrik, pengesahan di luar jalur, kata laluan satu kali (OTP) melalui SMS serta soalan keselamatan.

Chow berkata pembayaran mudah alih juga telah berkembang dari perkhidmatan yang ceruk sehingga kepada yang paling utama bagi pengguna digital dalam hanya beberapa tahun sahaja.

“Oleh kerana peningkatan permintaan pelanggan untuk pengalaman daftar keluar yang lebih lancar dan bayaran balik yang lebih mudah apabila membeli-belah dalam talian, kami melancarkan Lazada Wallet pada 2018 sebagai cara terkini untuk pembeli membuat pembayaran dalam talian mereka di Lazada, ia juga menawarkan bayaran satu klik dan diskaun eksklusif,” katanya.

Lazada Wallet yang diperkasakan oleh Alipay.com, memanfaatkan teknologi pembayaran e-dagang yang terkemuka seperti pemprosesan pembayaran dan perkhidmatan pengurusan penipuan, ini memenuhi keperluan yang digariskan oleh Bank Negara Malaysia termasuk ujian penembusan penuh serta penyulitan hujung ke hujung.

Memandangkan kerajaan terus menyokong dan menumpukan usaha bagi membina infrastruktur ekonomi digital negara melalui pelbagai inisiatif seperti pembentukan pakatan awam dan swasta yang lebih baik untuk memacu agenda negara ini, Malaysia bersedia untuk menampilkan kemajuan negara apabila ia beralih kepada kuasa ekonomi digital di rantau ini, kata Chow lagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pendigitalan percepat urusan rakyat dapat khidmat kerajaan – KSN

KUALA LUM​​​​​​PUR, 13 JULAI: Pendigitalan perkhidmatan kerajaan dilihat dapat mempercepat urusan serta mengurangkan keperluan rakyat untuk berkunjung ke kaunter agensi kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Justeru, beliau berkata pengurangan atau penutupan kaunter di agensi kerajaan dapat dilakukan kerana rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan melalui dalam talian.

“Pendigitalan juga boleh mengenal pasti perkhidmatan yang boleh dinaik taraf kepada perkhidmatan dalam talian secara ‘end-to-end’ (hujung ke hujung) melalui penambahbaikan proses, proses peningkatan kemahiran, sumber manusia, kajian peraturan dan polisi seterusnya menggunakan teknologi digital.

“Penjawat awam yang terlibat dengan pengurangan atau penutupan kaunter dapat diberi kemahiran baharu dan dipertingkatkan kemahiran mengikut keperluan,” katanya dalam wawancara bertulis semalam.

Tambah beliau, melalui pendigitalan proses kerja dapat dilaksanakan oleh penjawat awam secara dalam talian pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Jelasnya, sesetengah proses berkenaan boleh dilaksanakan secara automasi oleh sistem penyampaian perkhidmatan, sekali gus dapat memberi perkhidmatan yang cekap dan cepat kepada rakyat.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata kerajaan telah menyasarkan untuk mencapai 40 peratus bagi perkhidmatan dalam talian secara ‘end-to-end’.

“Kerajaan berpeluang untuk menyemak semula semua KPI (petunjuk prestasi utama) sedia ada sebagai usaha menyesuai dan mendayakan semua agensi sektor awam bagi mencapai hasrat mempercepat dan mempermudah perkhidmatan kepada rakyat mengikut kebiasaan baharu pasca pandemik Covid-19,” katanya.

Katanya, inisiatif di bawah PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) bertujuan untuk menggalakkan pembentukan lebih banyak kemudahan agar orang ramai dan ahli perniagaan dapat berurusan dengan pihak kerajaan dalam talian.

“(Sebagai contoh) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan perniagaan tidak dapat meneruskan aktiviti mereka akibat penutupan pejabat kerajaan.

“Ke arah meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, kerajaan komited ke arah usaha yang lebih gigih untuk pendigitalan perkhidmatan dan proses kerja,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Grab perkenal program bantu peniaga kecil ceburi ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Aplikasi terkemuka di Asia Tenggara, Grab berkata lebih 10,000 individu telah menyertai ekonomi gig di Malaysia, manakala bilangan peniaga yang mengalihkan perniagaan mereka ke dalam talian menokok dua kali ganda setiap bulan antara Mac dan Mei 2020 berbanding sebelum pandemik Covid-19.

Maklumat ini terkandung dalam Edisi Kedua ‘Grab for Good : Social Impact Report’ yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan itu, memandangkan negara sedang mempercepatkan langkah ke arah pendigitalan lebih luas, Grab akan memperkenalkan program Grab Digital Small-Biz (GDS) bertujuan untuk membantu perniagaan kecil menyesuaikan diri dengan normal baharu ini.

Program ini memiliki alat dan inisiatif yang membantu perniagaan fizikal beralih ke dalam talian, serta membantu mereka yang sudah berada di platform Grab mengembangkan keterlihatan dan menyesuaikan operasi mereka ke dunia yang semakin digital.

Pengarah Urusan Grab Malaysia Sean Goh berkata, perniagaan kecil dan usahawan mikro yang sudah memasuki ke dalam talian menyaksikan peningkatan sebanyak 25 peratus dalam hasil mereka melalui platform Grab sepanjang tempoh ini.

Antara Mac dan April 2020, Grab Malaysia telah melancarkan 11 inisiatif bagi menyokong perniagaan kecil, pemacu serta rakan kongsi penghantaran, barisan hadapan termasuk komuniti yang terjejas oleh Covid-19.

Program GDS akan memudahkan sama ada dengan kaedah memberi usahawan sebuah kedai digital dalam platform Grab atau melalui integrasi e-pembayaran.

Antara komponen utama program ini adalah harga GrabExpress yang lebih rendah, sokongan iklan percuma termasuk iklan yang boleh disesuaikan, serta membantu mereka menerima bayaran dalam talian melalui Remote GrabPay Link dan membaiki keterlihatan perniagaan melalui segmen ‘Nearby Merchants’ di aplikasi Grab.

Grab turut bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha untuk menghubungkan usahawan luar bandar dengan ekonomi digital melalui pelbagai inisiatif yang merangkumi Shop Malaysia Online, DesaMall dan Inisiatif Digital Selangor-Grab.

“Syarikat swasta seperti Grab menggunakan platform dan teknologi untuk mencari jalan bagi membolehkan usahawan kecil mikro atau perniagaan agar terus berlangsung terutama dalam tempoh yang mencabar ini.

“Memang masa hadapan adalah tidak menentu tetapi kita adalah komuniti yang tahu bagaimana menghadapi kesusahan dan berkembang maju,” kata Goh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Kajian dapati PKP tingkat industri guna teknologi, pendigitalan

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menggalakkan banyak industri untuk memanfaatkan teknologi dengan lebih cepat bagi memastikan kemampanan perniagaan, menurut kajian dijalankan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Dalam kajian mengenai impak Covid-19 ke atas produktiviti, MPC berkata data dikumpul turut mendapati perniagaan memerlukan tempoh enam bulan untuk pulih selepas krisis Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata MPC mengambil beberapa langkah untuk mempercepat pemulihan ekonomi dan membantu pemain industri membina semula perniagaan.

“Antara inisiatif penting yang diambil dan sedang berjalan ialah program membina kapasiti dan keupayaan melalui webinar dan latihan dalam talian, perkhidmatan khidmat nasihat maya perniagaan dan mengkaji peraturan untuk mengurangkan beban yang tidak perlu dalam membina semula perniagaan.

“Usaha masih dijalankan untuk mempercepat dan menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi dan pertumbuhan produktiviti berikutan aktiviti perniagaan mula meningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Kajian turut mendapati lebih 70 peratus responden terjejas oleh pandemik tersebut berikutan penguatkuasaan PKP, terutamanya dari segi aliran pendapatan.

-BERNAMA