Categories
BERITA UTAMA

Dr Mahathir tiba di Vladivostok untuk forum Ekonomi Timur

VLADIVOSTOK, 4 SEPT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini hari ini untuk menyertai Forum Ekonomi Timur (EEF) kali kelima.

Ini merupakan lawatan kerja pertamanya di Rusia sejak memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia ketujuh. Lawatan rasmi terakhir beliau di Rusia adalah pada 2002.

Pesawat membawa Dr Mahathir dan delegasinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vladivostok pada 6.30 petang waktu tempatan dengan ketibaan beliau disambut Timbalan Gabenor Vladivostok, Melnikov Oleg.

Perdana Menteri sebelum ini berada di Kemboja bagi lawatan rasmi tiga hari.

Lawatan Dr Mahathir di Rusia adalah atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin, sempena EEF yang berlangsung di kampus Far Eastern Federal University di sini.

EEF merupakan inisiatif Putin pada 2015 bertujuan menyokong pembangunan ekonomi Timur Jauh Rusia dan memperluaskan kerjasama antarabangsa di rantau Asia-Pasifik.

Penganjur menjadualkan beberapa pertemuan rasmi bagi Perdana Menteri esok termasuk mesyuarat dua hala dengan Putin dan rakan sejawatan dari India, Narendra Modi.

Dr Mahathir juga akan diwawancara oleh media tempatan sebelum majlis makan tengah hari dihoskan oleh Putin yang akan disertai beberapa pemimpin lain.

Kemudian, Perdana Menteri dan delegasi akan menyertai Sesi Pleno EEF, acara utama forum tersebut.

Beberapa pemimpin negara lain termasuk Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe serta Presiden Mongolia, Khaltmaagin Battulga juga akan menyertai beliau.

Dr Mahathir diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

EEF diwujudkan menerusi dekri yang dikeluarkan Putin pada 2015 untuk menyokong pembangunan ekonomi Timur Jauh Rusia dan memperluaskan kerjasama antarabangsa di rantau ini.

EEF, dianjurkan oleh Roscongress Foundation, kini menjadi platform untuk membincangkan isu dan cabaran ekonomi global, penyepaduan serantau serta industri baharu selain teknologi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Roccongress Foundation, Alexander Stuglev, beberapa dialog perniagaan akan diadakan dengan negara rakan kerjasama terkemuka di rantau itu, khususnya ASEAN, perkumpulan penting negara membangun Asia Tenggara.

Beliau berkata lebih 6,500 peserta dari Rusia dan seluruh dunia menyertai forum itu untuk terlibat dalam mesyuarat perniagaan, pameran, program budaya dan sukan yang pelbagai.

Pameran tersebut akan mengetengahkan pembentangan oleh badan kerajaan persekutuan Rusia mengenai peluang pelaburan dan insentif termasuk projek pelaburan utama di Daerah Persekutuan Timur Jauh di sini, melibatkan kerjasama antarabangsa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir diberi sambutan permaidani merah di Kemboja

PHNOM PENH, 3 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini disambut dengan hamparan permaidani merah di Istana Damai Kemboja dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke negara itu.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan isteri Bun Rany menyambut mesra Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sejurus tiba di istana pada 9 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia) sebelum lagu kebangsaan Malaysia Negara Ku dan lagi kebangsaan Kemboja dialunkan.

Dr Mahathir kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Kemboja.

Terdahulu sungguhpun hujan, ratusan pelajar serta penduduk tempatan berbaris di sepanjang laluan ke pintu masuk istana bagi menyambut ketibaan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.

Dr Mahathir dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya Hun Sen.

Kedua-dua pemimpin membincangkan inisiatif bagi mengeratkan kerjasama dua hala Malaysia -Kemboja, serta isu serantau dan antarabangsa yang menyangkut kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Penghapusan Percukaian Dua Kali melibatkan dengan Cukai Pendapatan dan Pengelakan Cukai serta Memorandum Persefahaman berhubung kerjasama dalam bidang Pelancongan.

Kemudian Dr Mahathir membuat kunjungan hormat terhadap pemangku ketua negara dan Presiden Kemboja Samdech Vibol Sena Pheakdey Say Chhum dan menghadiri dialog dengan ahli perniagaan dan pelabur Malaysia, melibatkan 28 syarikat Malaysia yang beroperasi di Kemboja.

Pada sebelah malam Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah akan menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh Hun Sen.

Pada 2018, jumlah perdagangan Malaysia dengan Kemboja bernilai US$558.5 juta, meningkat 22.6 peratus daripada 2017. Malaysia kini merupakan sumber pelaburan langsung asing (FDI) ke-4 terbesar di Kemboja, dengan jumlah US$ 2.73 bilion .

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM saran umat Islam kikis sikap bergantung kepada bantuan

PHNOM PENH, 3 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan umat Islam untuk mengikis sikap, yang hanya mahu bergantung kepada bantuan dan pertolongan pihak lain.

Beliau berkata, umat Islam seharusnya menyemai amalan rajin, beramanah dan cekap, untuk memperkukuhkan taraf sosial ekonomi dalam kalangan umat Islam.

“Kita amat sedih kerana di mana-mana sahaja, kita dapati terdapat orang Islam dibelenggu kemiskinan dan berharap kepada pertolongan orang lain. Kenapa? Kerana mereka tidak berusaha.

“Kita tahu apabila kita berniaga dan memililiki pekerjaan, kita tidak perlu bergantung kepada bantuan orang lain.

“Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kita memiliki kepandaian dan kemahiran, tetapi kita tidak memanfaatkannya. Itulah kita perlu kembali kepada asas ajaran Islam,” katanya pada majlis pertemuan bersama komuniti Islam Kemboja di hotel penginapannya, di sini semalam.

Pada majlis sama, Dr Mahathir turut dianugerahkan Tokoh Kepemimpinan Islam oleh komuniti Islam Kemboja, bagi mengiktiraf peranan aktif Malaysia dalam membantu masyarakat itu.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Menteri Tugas Tugas Khas, bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kebajikan masyarakat Islam di Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan.

Dr Mahathir memulakan lawatan rasmi selama tiga hari bermula semalam, atas jemputan rakan sejawatannya, Hun Sen.

Perdana menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Kemboja, di hotel sama malam tadi.

Hampir 300 rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di sekitar Phnom Penh, hadir pada majlis makan malam itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wawasan Kemakmuran Bersama bentuk Malaysia maju, bermaruah

PUTRAJAYA, 30 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama dan dasar-dasar yang dibentuk kerajaan adalah untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju, bermaruah dan merdeka.

Dalam perutusan Hari Kebangsaan 2019 sempena ulang tahun kemerdekaan ke-62, Dr Mahathir berkata, kerajaan sedang menumpukan usaha kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama dengan matlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia dalam usaha memajukan negara.

“Ia sedang digerakkan dengan objektif menjadikan Malaysia lebih cemerlang dan menjadi antara paksi ekonomi penting di Asia,” katanya, di mana pada masa yang sama, usaha juga dipergiat untuk meningkat kuasa beli rakyat dan menghapus jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum dan wilayah.

Katanya, wawasan itu adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang 2030.

Dr Mahathir turut menekankan bahawa pengenalan wawasan dan dasar-dasar tidak akan tercapai kecuali sistem pentadbiran bersama mendokong dan menyokong usaha-usaha itu.

Beliau berkata, salah satu bencana paling besar kepada negara ialah gejala rasuah dan ia turut membabitkan perkhidmatan awam.

“Untuk memastikan dasar-dasar kerajaan tidak disabotaj oleh mereka yang menyalahguna kuasa dan menerima rasuah, maka kerajaan telah meletakkan usaha membanteras rasuah sebagai salah satu objektif utama,” katanya.

Sejajar dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, Dr Mahathir berkata, harapan adalah untuk membersih negara daripada amalan rasuah yang mampu menggagalkan usaha untuk memberi kemakmuran bersama kepada semua rakyat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Rakyat tidak dapat gambaran sebenar kejayaan kerajaan

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Rakyat tidak mendapat gambaran sebenar tentang kejayaan kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) walaupun pelbagai usaha dilakukan sejak mentadbir negara setahun lepas, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, pelbagai tuduhan kononnya kerajaan tidak disukai rakyat adalah disebabkan segelintir pihak yang ekstrem bertindak memburuk-burukkan kerajaan hingga menimbulkan kemarahan rakyat.

“Hari ini kita bermesyuarat tentang pelbagai perkara termasuk dakwaan kalau ‘hari ini ada pilihan raya, PAKATAN akan kalah’. Jadi kita ingin tahu sebab apa dan kita bincang panjang lebar.

“Kita dapati, kesalahan itu tiada. Tapi komunikasi kita kurang baik. Kita dapat begitu banyak press (media), tetapi bila kita bercakap tentang kejayaan kita, press (media) tanya soal lain supaya ada kontroversi. Ada press (media) suka kontroversi.

“Kita juga dapati, ada pihak yang menggembar-gemburkan perbezaan soal agama, bangsa dan macam-macam lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PAKATAN, di sini hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PAKATAN, berkata tindakan sesetengah pihak ekstrem dan laporan negatif sesetengah media itu hanya akan memisahkan dan mencetuskan permusuhan antara kaum di negara ini.

Beliau turut menempelak golongan ini yang tidak bersyukur dengan keamanan yang telah dikecapi di Malaysia berbanding dengan negara lain yang berperang.

“Kalau kita benarkan diri kita dipengaruhi puak ekstrem, media pun api-apikan, jadi kita akan menjadi seperti Timur Tengah yang berperang walaupun satu bangsa dan satu bahasa,” katanya.

Dr Mahathir berkata, PAKATAN akan memperbanyakkan hubungan kerjasama dengan media arus perdana dan media alternatif untuk memberi penerangan mengenai perkara yang berlaku di dalam negara.

Perdana Menteri berkata, Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya adalah masyarakat yang aman dan perkara ini perlu disyukuri oleh semua.

“Oleh sebab itu, saya minta dan rayu pada media supaya jangan main isu perkauman dan isu agama, kalau nak buat laporan buat laporan yang benar.

“(Sekiranya) benda yang baik kita tidak lapor, dan kita cuma lapor yang tak baik saya khuatir permusuhan antara kaum dan agama apabila sudah berlaku amat sukar untuk kita memadamkannya,” katanya.

Dr Mahathir yakin bahawa PAKATAN akan menang jika pilihan raya dibuat hari ini atau dalam tempoh terdekat.

“Ada yang kata kita akan kalah jika PRU dibuat hari ini. Tapi kita yakin kita boleh menang. Tiada siapa yang ingin ambil balik Datuk Seri Najib kerana kita tahu dia sauk (ambil) duit banyak. Kita tidak ambil duit,” katanya.

Dalam mesyuarat itu, Dr Mahathir berkata keputusan telah dicapai sebulat suara agar Temurapat PAKATAN diadakan pada 5 dan 6 Oktober ini, manakala Mesyuarat Agung PAKATAN ditangguhkan selewat-lewatnya 31 Disember.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M: Tiada kekosongan dalam kabinet buat masa ini

PUTRAJAYA, 29 OGOS: Tun Dr Mahathir Mohamed membayangkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi anggota Kabinet dalam perubahan kecil portfolio jemaah menteri kerana tiada kekosongan buat masa ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita yang bertanyakan sama ada beliau akan membawa masuk Anwar ke Kabinet.

“Kami tidak bincang perubahan atau pertambahan anggota Kabinet, malah tiada juga perbincangan mengenai pertukaran portfolio anggota Kabinet,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), di sini, hari ini.

“Oleh kerana tiada siapa membayangkan mahu meletakkan jawatan (menteri), kita tidak ada kekosongan. Apabila ada kekosongan, kita akan cari calon yang sesuai,” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Minggu lalu, Dr Mahathir menafikan laporan bahawa akan berlaku rombakan Kabinet melibatkan pengguguran jawatan menteri tetapi sebaliknya berkata beberapa perubahan portfolio akan dilakukan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

PM: Pelabur, peniaga perlu bantu capai status negara maju 2025

HANOI, 27 OGOS: Pelabur dan peniaga Malaysia di luar negara digesa memainkan peranan membantu kerajaan dalam mencapai hasrat menjadikan Malaysia berstatus negara maju menjelang 2025.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau gembira melihat ramai rakyat Malaysia melabur dan menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang di serata dunia.

“Ini perkara yang baik. Kita mahukan Malaysia membantu ekonomi negara bersahabat ini. Selain itu, ia dapat meningkatkan ekonomi Malaysia apabila kita boleh eksport dan import barangan dari negara berkenaan.

“Kita tersasar (Wawasan) 2020, mungkin 2025. Ini bermakna, semua ahli perniagaan perlu banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Malaysia,” katanya pada sesi dialog dan majlis malam diaspora Malaysia di sini malam tadi.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Malaysia ke Vietnam, Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa turut hadir bersama kira-kira 200 rakyat Malaysia di Vietnam yang kebanyakannya komuniti peniaga dan pelabur.

Dr Mahathir tiba di Hanoi semalam untuk lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam atas jemputan Perdana Menteri, Nguyen Xuan Phuc.

Sementara itu, merujuk kepada kehadiran para pelabur dari bangsa Arab ke dalam negara, beliau berkata, Malaysia mengalu-alukan kehadiran mereka khususnya dalam bidang hartanah.

“Ada banyak bidang untuk mereka ceburi di Malaysia. Mereka mempunyai banyak kepentingan di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang “amat bertuah” kerana bebas daripada bencana alam, masalah dalaman mahupun konflik.

Selain itu, beliau berkata, tiada penghijarahan beramai-ramai di Malaysia.

“Kita adalah sebuah negara yang berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya. Di sebalik perbezaan, kita dapat hidup bersama aman damai.

“Kemungkinan ada yang berhijrah, namun bilangannya tidak ramai dan mereka (rakyat Malaysia) masih mengekalkan passport Malaysia kerana mahu balik suatu hari nanti,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan sedia kaji laporan PBB berkait kadar kemiskinan

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 24 OGOS: Kerajaan akan mengkaji laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa peratusan kemiskinan di Malaysia adalah 15 peratus dan bukan 0.4 peratus seperti dilaporkan pada 2016.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia bagi membuat semakan semula kaedah tahap kemiskinan rakyat.

“Kita akan kaji laporan itu, kalau perlu kaedah mengukur kemiskinan, ia akan dinilai semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sambutan Ulang Tahun ke empat dan majlis makan malam mengumpul dana MyPerintis: Permulaan ‘New Dawn’, di Hotel One World, di sini, malam tadi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) memakaikan topi keledar kepada kanak-kanak ketika pelancaran Program Adiwira Topi Keledar pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-4 My Perintis di ibu kota. Turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (dua, kiri) dan Pengerusi Kumpulan Ambank Tan Sri Azman Hashim (dua, kanan) pada 23 Ogos 2019.-Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, laporan PBB mendakwa situasi kemiskinan di Malaysia jauh lebih buruk daripada apa yang digambarkan oleh kerajaan.

Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut berkata, Malaysia berpegang pada kaedah semasa mengira garis kemiskinan, walaupun PBB tidak melaporkan kejadian seperti itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak implikasi kewangan, bukan tidak bertimbang rasa

PUTRAJAYA, 22 OGOS: Kerajaan hari ini bukan tidak bertimbang rasa dalam bentuk pemberian bantuan tunai kepada rakyat, tetapi tidak mahu pemberian sedemikian menyebabkan implikasi kewangan lebih besar kepada negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan ketika ini perlu berusaha untuk memastikan keselamatan negara terpelihara terutama dalam aspek kewangan.

“Jika kita guna wang yang dipinjam atau dicuri untuk tunjuk bahawa kita bertimbang rasa, akhirnya kita akan hadapi masalah yang amat besar,” katanya semasa berucap pada majlis perjumpaan pegawai kerajaan bersama Perdana Menteri sesi kedua 2019, di sini hari ini.

Bertemakan Perkhidmatan Awam Malaysia: Peneraju Pembaharuan, Penggerak Perubahan Negara, majlis itu dihadiri seramai 1,500 pegawai kerajaan gred 41 hingga 48.

Dr Mahathir, yang pemerhatiannya mendapati rakyat kini cenderung bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan, terpaksa menjelaskan perkara itu kerana tidak mahu kerajaan hari ini disalah anggap sebagai tidak bertimbang rasa seperti kerajaan terdahulu yang memberi bantuan tunai.

“Hendak duit minta kepada kerajaan dan kerajaan dahulu beri kerana mereka salah guna wang. Kerajaan ini tidak dapat beri kerana jika kita beri kita akan hutang lebih banyak.

Katanya, kerajaan terdahulu juga sering menaikkan gaji pegawai kerajaan sehingga 25 peratus untuk mendapatkan sokongan, tanpa mengambil kira jumlah pendapatan cukai sehingga menyebabkan kekurangan dana untuk pembangunan.

“Dalam negara, perbelanjaan terbahagi kepada dua, satu untuk operasi dan satu untuk pembangunan. Jika terlalu banyak untuk operasi maka tak cukup untuk pembangunan, maka kita akan pinjam wang dan kewangan negara mengalami defisit,” katanya.

Katanya, satu daripada masalah yang menghalang pemulihan negara dengan cepat ialah kerana kerajaan terdahulu membuat pinjaman sehingga RM1 trilion, menyebabkan kutipan cukai ketika ini terpaksa digunakan untuk membayar hutang dan faedah ke atas hutang berkenaan.

Untuk itu, Dr Mahathir berkata, jentera kerajaan perlu memberikan kesetiaan dan sokongan kepada pemerintah hari ini kerana proses pemulihan negara bergantung kepada kefahaman dan kerjasama antara jentera kerajaan dan pemerintah.

“Jentera kerajaan perlu beri kerjasama dan kesetiaan kepada kerajaan yang baharu ini melainkan kerajaan baharu ini juga terlibat mencuri dan rasuah. Tetapi setakat ini kita tidak lihat amalan pencurian besar-besaran seperti yang berlaku kepada kerajaan lepas.

“Oleh itu, kita harap jentera kerajaan tolong pulihkan negara apabila kerajaan baharu perkenal cara dan dasar untuk pulihkan negara. Inilah sikap yang perlu ada kepada jentera kerajaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB temani PM rai ulang tahun ke-21 KLIA

SHAH ALAM, 14 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir meraikan majlis sambutan ulang tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Tun Mahathir menzahirkan rasa bangga apabila menyaksikan ladang kelapa sawit bertukar wajah menjadi sebuah lapangan terbang yang begitu indah dan berupaya menjadi sebuah ikon.

“Ia adalah suatu keajaiban seni bina, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada mendiang Kisho Kurokawa, arkitek tersohor Jepun yang bertanggungjawab ke atas konsep ‘Lapangan Terbang di Dalam Hutan, Hutan di Dalam Lapangan Terbang’ KLIA.

“Pada mulanya tidak begitu, tetapi selepas 21 tahun, jelas ia adalah sebuah lapangan terbang dalam hutan dan hutan dalam lapangan terbang,” katanya.

Sementara itu, Amirudin dalam kenyataan berkata, ia adalah acara bersejarah kerana sambutan ulang tahun itu disertai lelaki hebat yang mengilhamkan KLIA, yang kini menjadi lapangan terbang paling ikonik dalam negara.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Tan Sri Zainun Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin.

KLIA adalah salah satu hab penerbangan terpenting di rantau Asia Tenggara selain Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Changi Singapura.

Lapangan terbang yang terletak di Sepang, Selangor itu dibina dengan kos mencecah AS$ 3.5 bilion dan kemudiannya dibuka secara rasmi, pada 27 Jun 1998.

Selain mampu menampung 35 juta penumpang setahun, KLIA juga berupaya memuatkan1.2 juta tan metrik kargo dalam fasa pembinaannya sekarang.

Lapangan terbang ini menduduki tempat yang ke-13 di dunia dari segi bilangan penumpang asing iaitu 24,129,748 penumpang sudah menggunakan lapangan terbang ini, pada 2006.

Pada tahun sama, lapangan terbang ini juga mengendalikan 677,446 tan metrik kargo untuk menduduki tempat ke-30 di dunia dari segi pengendalian kargo.

Categories
BERITA UTAMA

Dr Mahathir sertai ribuan jemaah solat sunat Aidiladha

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyertai ribuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini.

Solat sunat itu diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Dr Mahathir ketika ditemui pemberita kemudian mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

Beliau turut mengingatkan umat Islam bahawa Aidiladha bukan hanya menuntut korban binatang ternakan, sebaliknya mereka mesti sanggup berkorban demi membantu masyarakat Islam yang memerlukan.

“Inilah harapan kita iaitu kita belajar berhubung korban dan pentingnya pengorbanan dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Terdahulu, Syaikh Ismail dalam khutbah bertajuk Aidiladha: Di manakah Pengorbanan Kita? menyeru setiap umat Islam mengambil sikap prihatin dan bersedia berkorban menghulurkan bantuan kepada seluruh umat Islam yang hidup dalam kesusahan di serata dunia.

Beliau berkata, pengorbanan dan bantuan adalah berdasarkan kemampuan sama ada dengan wang, tenaga, buah fikiran dan doa.

“Semoga dengan secebis pengorbanan yang kita hulurkan, ia tetap dinilai sebagai amal soleh dan sebagai bukti kejujuran iman kita kepada Allah SWT,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Jepun serius bantu pembangunan Malaysia

FUKUOKA (Jepun), 8 OGOS: Jepun serius untuk membantu pembangunan Malaysia termasuk menghantar penasihat khas perdana menterinya serta pakar pelbagai bidang bagi berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, kerajaan Jepun melihat lawatan kerja beliau ke Fukuoka adalah peluang untuk berbincang berhubung peranan negara matahari terbit itu dalam menolong pembangunan Malaysia.

“Semuanya dibincang dan nampak kerajaan Jepun bincang dengan serius apa yang boleh mereka buat untuk menolong kita dan mereka kemukakan serta minta pendapat kita,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja dua harinya di Fukuoka, hari ini.

Perdana menteri mengadakan pertemuan dengan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun, Hiroto Izumi, yang bertanggungjawab berkaitan hal ehwal Malaysia, yang turut disertai sembilan pakar pelbagai bidang termasuk kewangan, hutang, pengangkutan dan pendidikan.

Dalam pertemuan itu, katanya, mereka memberi pandangan berhubung dasar pengangkutan darat, rel dan air supaya Malaysia dapat menyusun serta mendapat manfaat maksimum daripada sistem pengangkutan yang diamalkan.

Dr Mahathir berkata, beliau akan membangkitkan perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu di Kabinet untuk menteri mengambil tindakan sewajaranya.

-BERNAMA