Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso salur RM90.45 juta bantu puluhan ribu individu hilang kerja

JASIN, 20 MAC: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM90.45 juta menerusi Sistem Insurans Pekerja (SIP) sejak awal Januari 2021 sehingga 16 Mac lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata bayaran tersebut melibatkan 18,074 pekerja yang kehilangan pekerjaan di seluruh Malaysia yang dilaporkan kepada pertubuhan itu.

Beliau berkata pada tahun lepas sahaja sebanyak 107,024 kes kehilangan pekerjaan dilaporkan memohon skim yang sama melibatkan bantuan kewangan sebanyak RM364.63 juta.

“Selain itu, kerajaan juga menyediakan bantuan tambahan melalui Program SIP Plus bagi mereka yang masih tidak mendapat pekerjaan selepas tempoh enam bulan skim tersebut.

“Ini menerusi peruntukan bantuan tiga bulan tambahan oleh kerajaan bagi pembiayaan tersebut untuk membantu mereka yang berlarutan tidak mendapat pekerjaan baharu selepas tempoh tersebut,” katanya kepada pemberita selepas program Mini Karnival Kerjaya 2021 di sini hari ini.

Mohammed Azman berkata sebanyak 55,811 majikan di seluruh negara telah mendaftar dalam platform MYfutureJobs yang menawarkan peluang pekerjaan baharu kepada pencari pekerjaan.

Beliau berkata menerusi portal pekerjaaan negara yang dikendalikan Perkeso itu, seramai 653,304 orang direkodkan mencari pekerjaan sehingga Disember lepas dengan jumlah berjaya mendapat pekerjaan seramai 196,403 orang.

“Di samping itu, kita juga mahu menggalakkan para usahawan dan pekerja wanita yang bekerja sendiri supaya mengambil peluang mendaftar menerusi insentif perlindungan sosial dalam Program Memperkasa Rakyat dan Ekonomi dengan RM10 juta diperuntukkan bagi tujuan itu.

“Kerajaan akan membayar 70 peratus daripada caruman setahun Pelan 2 Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) iaitu sebanyak RM163 manakala mereka hanya perlu membayar RM69.80 iaitu 30 peratus daripada caruman,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemandu bas wajib daftar, carum Perkeso – menteri

PUTRAJAYA, 25 FEB: Semua pemandu bas yang bekerja sendiri diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata ia susulan pelaksanaan Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Pemandu Bas) (Pindaan) 2021.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, pemandu bas boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Saravanan berkata sehingga semalam, seramai 81,331 pencarum aktif yang bekerja sendiri direkodkan berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS Perkeso, termasuk 1,346 pemandu bas.

Sehingga kini, katanya sebanyak RM2.35 juta faedah SKSPS telah dibayar kepada orang bekerja sendiri termasuk orang tanggungan mereka apabila pencarum mengalami kemalangan atau meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.

“Selaku menteri bertanggungjawab, saya ingin menyeru semua pemandu bas serta orang bekerja sendiri yang layak agar segera mendaftar dan mencarum bagi memastikan anda mendapat perlindungan di bawah SKSPS,” katanya.

Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2017.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Program Subsidi Upah 3.O ditambah baik, majikan di kawasan PKP layak memohon

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan ditambah baik dengan semua majikan yang beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang daripada RM4,000.

“Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja.

“Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion yang dianggar akan memanfaatkan 250 ribu majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika membuat pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) melalui siaran langsung TV dan platform sosial media di sini, hari ini.

Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP, perdana menteri berkata kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan (SIP PRIHATIN).

“Pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum, ataupun tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, sekarang dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan,” katanya.

Sementara itu, bagi membantu aliran tunai perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Muhyiddin berkata kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan skim-skim mikro kredit, seperti yang pernah diumumkan sebelum ini.

“Sejumlah RM1 bilion kemudahan mikro kredit disediakan, merangkumi pinjaman mudah berjumlah RM390 juta oleh Bank Simpanan Nasional, RM350 juta oleh Agrobank dan RM295 juta oleh TEKUN,” jelasnya.

Bagi terus menyokong golongan usahawan dan perniagaan untuk menjana pendapatan melalui jualan dalam talian atau platform e-dagang, Muhyiddin berkata kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro dan kempen Shop Malaysia Online dengan jumlah peruntukan RM300 juta.

Melalui kempen berkenaan, para usahawan mikro akan mendapat bimbingan perniagaan dan pembeli akan menikmati penjimatan melalui jual-beli secara dalam talian.

Untuk Geran Khas Prihatin Tambahan (GKP Tambahan) pula, beliau berkata kerajaan akan memperluaskan bantuan GKP Tambahan kepada 500 ribu PKS di tujuh negeri PKP dengan bayaran RM1,000, manakala 300 ribu PKS di negeri yang lain akan menerima RM500.

“Perluasan inisiatif GKP Tambahan ini, atau GKP PERMAI, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta.

“Namun demikian, sekiranya terdapat negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP, kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri tersebut dengan serta merta,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 0.5 peratus tuntutan pekerja diberhenti belum selesai

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Hanya 0.5 peratus atau 593 kes bayaran insentif dan bantuan kewangan untuk pekerja yang diberhentikan kerja pada 2020 masih belum selesai, menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Perkeso dalam kenyataan berkata kes yang belum selesai tidak melebihi 14 hari, iaitu mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Perkeso menjelaskan dakwaan mengenai kelewatan dalam memproses permohonan dan pembayaran insentif serta bantuan kewangan untuk majikan dan pekerja.

Ia memberi jaminan bahawa Perkeso memantau dengan teliti perkembangan setiap kes kehilangan pekerjaan (LOE) dan permohonan tuntutan.

“Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso juga sedang giat mengambil langkah menangani isu beban kerja untuk pegawainya,” menurutnya.

Ia berkata selain memproses tuntutan faedah SIP atau bantuan kewangan kerajaan, Perkeso turut menugaskan pengurus kes SIP bagi memudahkan setiap pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

Menurut Perkeso, ia beransur-ansur merekrut lebih ramai pegawai untuk memproses dengan cepat kes LOE biasa serta permohonan untuk program pengekalan pekerjaan dan insentif pengambilan pekerja di bawah inisiatif PenjanaKerjaya 2.0 pakej rangsangan ekonomi Belanjawan 2021.

“Dengan tuntutan SIP biasa di bawah Akta 800, Perkeso telah memproses 3.143 juta permohonan di bawah semua inisiatif dan memproses 74,795 permohonan bulanan bagi Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) di bawah Akta 800 pada 2019.

“Pada 2020, pegawai SIP menerima 262,547 permohonan bulanan EMP; 45,684 permohonan program pengekalan pekerjaan (ERP); 1.99 juta permohonan program subsidi upah (PSU) 1.0; 314,586 permohonan bulanan PSU 2.0; 772,674 program insentif pengambilan pekerja; 7,104 permohonan bantuan mobiliti (di bawah PenjanaKerjaya 1.0),” menurut kenyataan itu.

SIP bertindak sebagai jaring keselamatan pekerja yang diberhentikan yang memenuhi keperluan Akta SIP 2017 (Akta 800) yang menyokong pemohon yang layak dengan bantuan kewangan untuk mencegah kemiskinan serta pengurusan kes dan perkhidmatan untuk memudahkan mereka bekerja semula.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso tutup ibu pejabat hingga Jumaat untuk nyahkuman

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Ibu Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta semua pejabat dan premis perniagaan di Menara Perkeso, Jalan Ampang ditutup bermula Isnin (14 Disember) hingga Jumaat ini bagi kerja-kerja nyahkuman dan sanitasi.

Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan ia berikutan seorang kakitangan yang bertugas di ibu pejabat agensi itu dijangkiti Covid-19.

“Kesihatan dan keselamatan kakitangan serta pelanggan menjadi keutamaan dan Perkeso akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengekang penularan pandemik itu bagi menjamin keselamatan pelanggan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes ditangani dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh e-mel ke [email protected] atau menghubungi pusat khidmat pelanggan Perkeso di talian 1300-22-8000.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 3,719 pekerja asing zon merah Klang, Seremban disaring – Perkeso

KLANG, 9 DIS: Seramai 3,719 pekerja asing di kawasan zon merah di Daerah Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan telah disaring sejak 1 Disember lepas sehingga semalam, menerusi Program Saringan Covid-19 bagi Pekerja Asing ​Secara Bersasar.

Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Permulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Dr Azlan Darus berkata jumlah berkenaan akan terus meningkat apabila program saringan itu diperluaskan ke zon merah lain bermula hari ini.

“Bermula hari ini, majikan di kawasan zon merah di negeri ini antaranya Hulu Langat, Petaling, Gombak serta Kuala Lumpur boleh mula menghubungi klinik-klinik yang berdaftar dengan Perkeso bagi program ini.

Sehingga kini terdapat 592 klinik yang berdaftar di enam negeri (Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang serta Sabah) di mana di negeri ini sahaja, terdapat 298 klinik yang berdaftar dengan Perkeso dan majikan boleh menyemak senarai klinik tersebut di portal rasmi kami,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Program Saringan Covid-19 Pekerja Asing di sebuah syarikat hari ini.

Lebih 8,000 pekerja kilang dan kakitangan syarikat tersebut bakal disaring dalam program inisiatif syarikat bersama Perkeso yang bermula sejak Jumaat lalu hingga 16 Disember ini.

Dr Azlan turut menggesa lebih ramai majikan yang mencarum dengan Perkeso untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ini, kerana kos penyediaan kit ujian pantas antigen akan ditanggung oleh Perkeso.

Pada 28 November lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata Program Saringan Covid-19 Bagi Pekerja Asing secara bersasar di lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing tinggi dilaksanakan bermula 1 Disember lalu.

Fasa pertama ujian saringan dijalankan di Daerah Klang dan Seremban sejak 1 Disember lepas manakala lain-lain daerah zon merah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pula bermula hari ini.

Bagi seluruh Sabah, Labuan dan lain-lain daerah di negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan bermula 16 Disember depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saring pekerja asing: Klinik, hospital disaran kenakan caj khidmat minimum

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyarankan pihak klinik dan hospital supaya mengenakan caj perkhidmatan minimum kepada majikan yang berhasrat membuat ujian saringan Covid-19 bagi pekerja asing mereka.

Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso, Dr Azlan Darus berkata pihaknya hanya membiayai pembelian kit saringan, manakala caj perkhidmatan ditentukan sendiri oleh pihak klinik serta hospital.

“….Perkeso menyarankan agar pihak klinik dan hospital dapat mengenakan kos yang minimum kepada majikan, kerana ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial mereka bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melaksanakan Program Saringan Covid-19 Bagi Pekerja Asing secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi, bermula 1 Disember lepas (Selasa).

Dr Azlan berkata susulan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 November lepas, Perkeso hanya akan membiayai pembelian kit saringan RTK-Antigen dan tidak lagi menyediakan subsidi saringan ataupun menerima tuntutan bayaran daripada majikan, klinik mahupun hospital dalam program saringan pekerja asing itu.

Katanya bagi memastikan kos ujian saringan dapat dikurangkan, Perkeso telah mendapatkan bekalan kit saringan terus daripada pembekal dan mengedarkannya kepada klinik serta hospital yang menyertai program berkenaan.

“Ujian saringan yang dijalankan dengan kolaborasi bersama klinik dan hospital ini juga diharap boleh mengurangkan kos ujian saringan yang perlu ditanggung oleh pihak majikan,” katanya.

Selain itu, Dr Azlan berkata Perkeso juga mengalu-alukan penyertaan daripada semua kemudahan jagaan kesihatan swasta untuk mengambil bahagian dalam program saringan Covid-19 bagi pekerja asing ini.

“Bagi klinik atau hospital yang berminat, bolehlah mendaftar di sihat.perkeso.gov.my. Untuk pendaftaran yang berjaya, Perkeso akan membekalkan kit saringan dan seterusnya akan memantau proses pelaksanaan ujian saringan tersebut.

“Klinik dan hospital swasta yang mengambil bahagian perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Kemeneterian Kesihatan bagi pelaksanaan ujian saringan RTK-Antigen,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso hasil PPE untuk petugas kesihatan Sabah

KOTA KINABALU, 28 NOV: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menyerahkan 280 set peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk kegunaan petugas barisan hadapan kesihatan di negeri ini.

Penyerahan dibuat oleh Pengarah Perkeso Negeri Sabah Dr Mohd Ali Hindia kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi pada satu majlis ringkas hari ini.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam ucapannya yang ditayangkan melalui rakaman video semasa majlis itu berkata Perkeso mengambil inisiatif untuk menghasilkan PPE bagi menampung keperluan petugas barisan hadapan kesihatan di Sabah ekoran bilangan kes yang masih tinggi.

“Kesemua 280 set PPE dihasilkan di Bengkel Jahitan Vokasional, Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka dalam tempoh lima hari. Set PPE tersebut dihasilkan oleh 15 orang termasuk pelatih vokasional dan Orang Berinsurans Perkeso yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat ini.

“Perkeso bukan sahaja menyediakan faedah kepada pekerja yang ditimpa bencana, malah kami juga mengutamakan keselamatan petugas barisan hadapan terutama dalam menangani keperluan bekalan PPE di hospital-hospital,” katanya.

Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat membantu mengurangkan risiko yang dihadapi oleh petugas-petugas kesihatan yang sentiasa bertungkus lumus melawan penularan Covid-19 dan menyumbang kepada usaha kerajaan pusat dan negeri memerangi wabak Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Guru Kafa hargai usaha Kerajaan Negeri beri caruman Perkeso

SHAH ALAM, 27 NOV: Langkah Kerajaan Negeri membangunkan pendidikan Islam secara konsisten dan membela kebajikan guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) dipuji meskipun berdepan dengan pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Guru Kafa Selangor menzahirkan penghargaan terhadap pimpinan Dato’ Menteri Besar berhubung pengumuman RM1.1 juta caruman majikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada mereka.

“Kami berterima kasih di atas pembentangan belanjawan yang terus membela kebajikan kami. Ini adalah hadiah yang sudah lama dinantikan dan Dato’ Seri memberikan di saat kami memerlukannya.

“Malah, peruntukan untuk Latihan Pembangunan Profesionalisme sebagai pendidik juga terus diberi membuatkan kami lebih sedar tanggungjawab dan lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas dan amanah,” kata Suhaimi Mahmud dalam kenyataan.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak RM1.1 juta caruman majikan Perkeso yang akan memanfaatkan seramai 4,200 guru Kafa di Selangor.

Selain itu, sejumlah RM377.77 juta disediakan termasuk mengurus dan membangunkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memantapkan institusi Islam di negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Masyarakat diminta waspada individu menyamar pegawai Perkeso

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima aduan berhubung kegiatan individu menyamar sebagai pegawai perkhidmatan pekerjaannya menyasarkan mangsa dalam kalangan orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata kegiatan itu telah mencemar usaha Perkeso yang giat melaksanakan pelbagai program pasaran buruh aktif bagi membantu Orang Berinsurans Perkeso dan rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan akibat krisis Covid-19.

“Dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti mempromosikan perkhidmatan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) seperti hebahan jawatan-jawatan kosong, Perkeso secara telus berkongsi nama dan nombor telefon pegawai perkhidmatan pekerjaan kami bagi memudahkan orang ramai berhubung dan mendapatkan maklumat jelas berkaitan perkhidmatan yang disediakan ini.

“Namun begitu, penyebaran maklumat berkaitan pelbagai perkhidmatan Perkeso menerusi media sosial telah menarik perhatian scammer (penipu) di luar sana untuk menjalankan aktiviti penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

“Laporan polis telah dibuat oleh pegawai kami, Khairul ‘Ammar bin Hashim berhubung profail dan dua nombor telefon beliau yang telah digunakan oleh scammer untuk menipu beberapa rakan sekerja.

“Scammer ini menghubungi beberapa rakan sekerja Khairul ‘Ammar dan meminta supaya sejumlah wang dipindahkan ke Akaun Maybank milik Muhd Nur Azami bin Manila,” katanya.

Menurut beliau seorang rakan sekerja Khairul ‘Ammar telah terpedaya dan memindahkan RM500 ke akaun tersebut selepas diminta oleh penyamar atas alasan tidak boleh mengakses perbankan dalam talian.

Sehubungan itu, Perkeso menasihati semua Orang Berinsurans Perkeso, majikan, orang ramai dan pegawai-pegawai Perkeso sendiri supaya lebih berhati-hati dengan taktik scammer agar tidak mudah tertipu.

Beliau turut menasihati mereka yang berkenaan agar menyemak dengan Perkeso atau melaporkan kepada organisasi itu sekiranya ada pihak yang meminta bayaran bagi perkhidmatan yang disediakan Perkeso.

“Saya juga tegaskan, semua bantuan faedah dan perkhidmatan Perkeso kepada Orang Berinsurans adalah percuma dan kami tidak menggunakan orang tengah dalam menyampaikan bantuan dan perkhidmatan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

42,000 nelayan boleh carum Perkeso mulai 15 Ogos

TAIPING, 9 OGOS: Seramai 42,000 nelayan buat julung kalinya dibenarkan mencarum dalam skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengikut Akta Perkeso Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu bagi menggantikan caruman insurans nelayan kelompok Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), yang akan dilaksanakan mulai Sabtu depan (15 Ogos).

“Hari ini merupakan hari yang bersejarah untuk pertama kalinya pekerja sendiri dalam sektor perikanan dibolehkan oleh Akta Perkeso untuk mencarum dalam Perkeso.

“Ini akan memberi perlindungan kepada para nelayan (dan keluarga) dengan caruman akan diambil (dibayar) daripada elaun sara hidup nelayan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Caruman Perkeso Nelayan dan merasmikan Mini Karnival Industri Makanan Bukit Gantang 2020 di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering di Bukit Gantang, hari ini.

Katanya, cadangan caruman adalah RM157.20 setahun bagi semua nelayan berdaftar dengan LKIM dan layak menerima Elaun Sara Hidup Nelayan.

“Potongan caruman ini akan dilaksanakan secara terus melalui Sistem Program Insentif Nelayan (FIP) secara berperingkat. Untuk peringkat permulaan, potongan bermula 15 Ogos ini melibatkan sejumlah 3,879 nelayan di seluruh negara,” katanya.

Kiandee juga yakin bahawa Perkeso akan mengorak langkah untuk meluaskan perlindungan pada mereka yang bekerja sendiri dalam sektor-sektor lain dalam industri agromakanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohamed dalam kenyataannya berkata SKSPS menyediakan faedah tunai kepada pencarum di samping rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

“Di bawah skim ini, orang tanggungan atau waris mereka layak mendapat Faedah Orang Tanggungan jika pencarum meninggal dunia akibat bencana kerja.

“Pinjaman pendidikan juga disediakan kepada anak-anak pencarum sekiranya pencarum meninggal dunia atau semasa menerima Faedah Hilang Upaya Kekal berkala,” katanya.

Katanya, jalinan kerjasama antara LKIM dan Perkeso bakal memberi manfaat perlindungan keselamatan sosial kepada golongan nelayan serta berharap untuk memperluas perlindungan SKSPS kepada sektor lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan seperti pertanian dan penternakan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 60,000 pekerja diberhentikan sejak awal tahun ini

TAPAH, 25 JULAI: Seramai 64,495 pekerja daripada pelbagai sektor di seluruh negara kehilangan pekerjaan sejak awal tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata statistik yang dikeluarkan Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu adalah lebih tinggi berbanding kadar 55,000 orang diberhentikan kerja yang telah diberikan pelbagai agensi pekerjaan.

Justeru, Saravanan berkata kerajaan telah mengambil beberapa langkah antaranya memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya) bermula 15 Jun lepas bagi membantu pekerja yang diberhentikan.

“Sehingga 23 Julai lalu, seramai 16,198 majikan telah membuat pendaftaran menerusi insentif ini dan daripada jumlah itu, 2,240 majikan telah membuat pengambilan pekerja dan seramai 6,928 pekerja telah diambil bekerja.

“Dalam masa yang sama kita mengumumkan kita tidak membenarkan pekerja asing dibawa masuk ke negara ini, dan pada masa yang sama saya bersetuju dengan pendapat majikan untuk mengambil semula pekerja atau apabila ada sektor yang ditutup, pekerja dari sektor tertentu akan berpindah ke sektor yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival dan Pelancaran Inisiatif PenjanaKerjaya Perkeso di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Jamil Rakon, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Jeffry Joakim, Pengerusi Lembaga Pembangunan Sumber Manusia Berhad Datuk Nelson Renganathan dan Pengarah Perkeso Perak Anthony Arul Dass.

-BERNAMA