Categories
NASIONAL

Pelaburan Di Kedah: Mukhriz Perlu Rujuk Laporan Mida

Mahfuz

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Timbalan Menteri Perdagangan, Datuk Mukhriz Mahathir dinasihati agar merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) berikutan dakwaan beliau yang memperkecilkan kemampuan Pakatan Rakyat(PR).

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menambah, selain Pulau Pinang dan Selangor, Kedah yang diterajui oleh PAS turut mencatatkan nilai pelaburan yang memberangsangkan.

Menurut Mahfuz yang memetik laporan yang dikeluarkan MIDA, bagi tempoh 2008 hingga 2012 Kedah berjaya mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM15.89 bilion.

Dalam tempoh sama Kerajaan Kedah juga berjaya mewujudkan sebanyak 22,440 peluang pekerjaan untuk rakyat negeri itu.

“Negeri yang mecatat pelaburan terendah adalah Perlis yang ditadbir oleh BN, Kedah tak pernah lagi,” ujar Mahfuz lagi.

Sebaliknya Mahfuz menggesa Mukhriz mengakui dua negeri penyumbang tertinggi pelaburan di negara ini merupakan negeri yang ditadbir oleh PR.

“Datuk Mukhriz sepatutnya kena akui dua negeri yang menyumbang pelaburan tertinggi adalah negeri PR iaitu Pulau Pinang dan Selangor,” kata Mahfuz dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS Pusat hari ini.

Terdahulu, Mukhriz dalam satu kenyataannya kepada media memberitahu, beberapa pelabur bersedia untuk melabur di negara ini sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke -13 nanti.

Kenyataan beliau tersebut memberikan persepsi negatif kepada kemampuan pemimpin Pakatan Rakyat di peringkat pusat dan negeri membawa masuk pelabur ke negara atau negeri masing-masing.

Bagaimanapun kenyataan beliau itu tidak disertakan dengan sebarang bukti dan senarai syarikat yang dimaksudkan.

Categories
NASIONAL

Batu dan Cat Tidak Halang Perjuangan Membela Rakyat

 

SHAH ALAM 29 SEPT : Lontaran batu dan cat tidak menghalang PKR meneruskan untuk berjumpa rakyat dalam program Jelajah Merdeka Rakyat yang cuba digugat oleh samseng Umno-BN.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata parti akan tetap menggerakkan program ini sebagai salah satu kaedah menyuntik kesedaran rakyat.

Katanya, terdapat dua faktor utama yang membantu program ini berjalan dengan jayanya. Yang pertama kerjasama ahli parti atau mobilisasi rakyat dijalankan semaksimum dan faktor keselamatan merupakan dua petua kejayaan program tersebut.

“Kedua-dua petua itu merupakan faktor penting bagi menjayakan program itu secara berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan.

“Walaupun setakat ini ia tidak mengecewakan tetapi kita mahu momentum itu diteruskan.

“Begitu juga dari segi keselamatan, kita tidak akan diserang jika pemimpin kita ramai, jadi kita kena tingkatkan kawalan keselamatan. Kita perlu memastikan pemimpin kita selamat dan program kita berjaya,” katanya dalam program Rapat Pemimpin Nasional PKR 2012 di sini hari ini.

Jelasnya, disebabkan sambutan luar biasa dari rakyat, PKR menerima reaksi yang keras dari pihak Umno-BN.

Setakat ini, Jelajah Merdeka Rakyat sudah berjaya di sembilan negeri antaranya Pahang, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.

“Dalam sembilan negeri yang sudah kita jelajah, hanya Negeri Sembilan sahaja kita tidak diserang,” katanya.