Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH PILIHAN MINGGUAN

Pantai Morib jadi pilihan bawa anak, hilang bosan terkurung dalam rumah

BANTING, 12 SEPT: Orang ramai menyambut baik kelonggaran rentas daerah diberikan kerajaan yang dengan membawa keluarga masing-masing menjalankan aktiviti sosial terutama berkunjung ke pantai.

Johari Ismail, 57

Penjawat awam Johari Ismail, 57, berkata beliau memilih Pantai Morib sebagai destinasi pilihan kerana sesuai untuk membawa anak-anak dan jarak dekat dengan kediamannya di Putrajaya.

“Saya memang ada perancangan untuk membawa keluarga berkelah di Pantai Morib bersama adik bagi melepas kebosanan anak-anak.

“Apabila tiba jam 10 pagi pengunjung mula ramai dan kebanyakan membawa keluarga masing-masing, tetapi saya lihat orang ramai masih mematuhi SOP (tatacara operasi piawai),” katanya kepada SelangorKini.

Eksekutif pemasaran syarikat fesyen Nur Salimah Mohamad Yusri,31, berkata setiap tahun beliau bersama tiga rakannya akan pergi melancong tetapi suasana berlainan pada tahun ini.

Nur Salimah Mohamad Yusri, 31

“Saya mengambil keputusan mengajak kawan-kawan ke Pantai Morib, Bukit Jugra dan pergi ke kilang kerepek yang popular di Banting.

“Untuk berkelah saya membuat persiapan membeli khemah dan rakan-rakan lain membawa dapur dan menyediakan bahan masakan,” katanya.

Kelmarin, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.

Antara kelonggaran adalah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas negeri, ibu bapa dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa anak bawah 18 tahun dan dibenarkan makan di gerai dan restoran.

Turut dibenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peniaga lega, Pantai Morib kembali meriah selepas enam bulan ‘sepi’

BANTING, 12 SEPT: Peniaga gerai di Pantai Morib di sini, menarik nafas lega apabila pusat pelancongan itu kembali dibuka selepas hampir enam bulan sepi tanpa pengunjung.

Azizah Saringat, 57

Pemilik gerai makan Azizah Saringat, 57, berkata beliau bersyukur apabila dapat membuka semula gerainya dan mencari rezeki.

“Orang ramai mula hadir terutama ketika hujung minggu kerana kebanyakan mereka membawa anak-anak berkelah selepas lama terkurung dalam rumah.

“Namun saya tidak berkompromi soal tatacara operasi piawai (SOP) dengan individu lengkap vaksin sahaja dibenar makan, cukuplah hampir enam bulan terjejas pendapatan, saya tidak mahu perkara sama berulang,” katanya kepada SelangorKini.

Peniaga barang permainan Azman Dali, 40, berkata orang ramai mula berkunjung ke Pantai Morib sejak dua minggu lalu.

Azman Dali, 40

“Alhamdulillah, Pantai Morib kembali meriah. Saya menjual pelbagai barang permainan untuk kanak-kanak, antara yang banyak dibeli ialah belon air dan layang-layang,.

“Cuma saya berpesan kepada diri saya sendiri dan pengunjung, patuh SOP, jangan leka jika tidak mahu kes Covid-19 Selangor kembali meningkat,” katanya.

Kelmarin Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.

Antara kelonggaran adalah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas negeri, ibu bapa dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa anak bawah 18 tahun dan dibenarkan makan di gerai dan restoran.

Turut dibenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Institut latihan memandu boleh beroperasi mulai Khamis

PUTRAJAYA, 7 SEPT: Industri Latihan Pemanduan (ILP) Kenderaan Motor di seluruh negara dibenarkan beroperasi mulai Khamis ini (9 Sept) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini.

Beliau berkata walaupun ILP dibenarkan beroperasi pada tarikh itu, proses pengujian untuk mendapatkan lesen memandu berkaitan hanya akan bermula pada 17 Sept.

“Ini bagi membolehkan institut memandu dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan isu-isu berbangkit yang boleh memberi kesan negatif kepada calon,” katanya dalam kenyataan.

Wee berkata kebenaran yang mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu adalah tertakluk kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PPN berfasa yang berkuat kuasa.

Beliau berkata pekerja, tenaga pengajar dan calon perlu lengkap menerima vaksin Covid-19 dengan mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 dan kad pengenalan manakala institut pula hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja berdasarkan peratusan pekerja yang telah lengkap menerima vaksin.

“Sekiranya 40 peratus pekerja ILP telah lengkap menerima vaksin, institut dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja. Jika 60 peratus lengkap divaksin, institut boleh beroperasi dengan 80 peratus pekerja.

“Syarikat juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus sekiranya 80 peratus pekerja lengkap menerima dua dos vaksin,” katanya.

Wee berkata mana-mana kakitangan/calon yang bergejala, sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Pesakit Dalam Pemantauan (PUS) dan sedang menjalani perintah kuarantin tidak dibenarkan hadir ke ILP.

Katanya, semua kakitangan dan calon perlu mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan melaksanakan norma baharu seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan menggunakan pensanitasi tangan.

Memahami dan prihatin dengan kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh pengendali institut memandu akibat pandemik Covid-19, Wee berkata Kementerian Pengangkutan memutuskan pemberian moratorium selama tiga bulan iaitu hingga 30 Nov ini bagi keperluan pembaharuan permit institut memandu yang tempoh sah laku permitnya tamat antara Januari hingga September 2021.

“Diharapkan dengan pengoperasian semula ILP ini dapat memberi kelegaan kepada para pengusaha ILP atau institut memandu, tenaga pengajar dan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan berkaitan,” katanya sambil mengingatkan bahawa sebarang ketidakpatuhan SOP ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

80 peratus dapat vaksin, ADN yakin Selangor ke fasa dua bulan depan

SHAH ALAM, 25 OGOS: Wakil rakyat negeri ini yakin Selangor mampu beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada September susulan jumlah suntikan vaksin yang tinggi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang berkata kadar vaksinasi yang kini lebih 80 peratus berjaya mengurangkan bilangan kes harian dan kemasukan pesakit ke hopsital.

“Walaupun dalam tempoh beberapa hari ini kes menurun tetapi semua pihak perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerana jangkitan boleh berlaku walaupun telah menerima vaksin.

“Saya percaya jika kita terus menitikberatkan SOP, dalam beberapa minggu lagi Selangor akan beralih ke fasa seterusnya,” kata Chua Wei Kiat ketika ditemui.

Wakil rakyat Meru pula berpandangan kesedaran terhadap bahaya Covid-19 dan mahu menerima vaksin membantu Selangor mengatasi bilangan kes yang tinggi.

Bagaimanapun, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar bimbang jika terdapat golongan yang merahsiakan jangkitan dan tidak membuat saringan yang boleh menjadi ‘bom jangka’ kepada Selangor.

“Kita lihat Negeri Sembilan sudah beralih ke fasa dua tetapi di Selangor berbeza kerana kepadatan penduduk yang ramai, pendatang asing pun ramai jika dibandingkan dengan negeri lain.

“Kejayaan beralih fasa ini akan berlaku jika penurunan seminggu ke dua minggu secara konsisten dan kita yakin perubahan itu akan berlaku dalam tempoh beberapa minggu lagi,” katanya.

Tiga indikator perlu dipatuhi setiap negeri bagi membolehkan peralihan ke fasa dua PPN termasuk purata kes harian Covid-19 bawah 4,000, penggunaan katil unit rawatan rapi sederhana dan kadar vaksin dua dos mencapai 10 peratus.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah buka 3 Oktober kecuali negeri fasa satu PPN

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Okt iaitu dilewatkan berbanding 1 Sept seperti yang diumum sebelum ini.

Menteri  Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata bagaimanapun, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN.

Beliau berkata bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga, pembukaan penuh dibenarkan.

“Ini adalah berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN)… jadi, kita tidak boleh menyatakan 1 Sept akan buka semua (sekolah). Keselamatan murid adalah keutamaan kerajaan.

“Sasaran dan hasrat kita pada 1 Sept (untuk pembukaan sekolah) namun tertakluk kepada penilaian risiko yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN dengan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan,” katanya menerusi video dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau malam ini.

Radzi berkata keadaan semasa negeri termasuk kadar vaksinasi dan kapasiti fasiliti kesihatan juga perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan mengenai pembukaan semula sekolah dicapai.

Beliau berkata keputusan akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh pembukaan semula sekolah.

Radzi turut mengulas inisiatif bagi murid yang ketinggalan sekiranya sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan.

“Bagi murid Tahun Satu dan Dua yang mungkin agak ketinggalan dari segi pembacaan literasi dan numerasi, kita sediakan program pembugaran bagi membolehkan mereka menguasai tahap minimum,” katanya.

Pada 17 Julai lepas, KPM memaklumkan ketetapan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 Sept selepas mengambil kira kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan sekolah.

Bagaimanapun, KPM turut menyatakan bahawa penilaian risiko oleh KKM dan MKN diambil kira sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh itu.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kelonggaran aktiviti sukan hanya diberikan dalam fasa tiga PPN

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Kelonggaran bagi semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu yang tidak melibatkan sentuhan fizikal hanya diberikan kepada kawasan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), jelas Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Justeru menurut KBS hebahan infografik yang mendakwa semua aktiviti sukan individu dibenarkan seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar.

Setakat ini, hanya Perlis, Sarawak dan Labuan telah memasuki Fasa Tiga PPN.

“KBS memandang serius tentang penularan infografik palsu dan mengelirukan orang awam ini.

“Sila rujuk infografik tepat yang hanya dikeluarkan KBS atau layari http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi selain terus ke laman rasmi Majlis Keselamatan Negara www.mkn.gov.my,” menurut kenyataan dikeluarkan di Facebook KBS hari ini.

Terdahulu, tular hebahan infografik di media sosial yang mengelirukan orang ramai berhubung tatacara operasi piawai (SOP) am sektor sukan dan rekreasi yang hanya dibenarkan bagi Fasa Tiga PPN.

Ia membabitkan aktiviti sukan dan rekreasi seperti joging, senaman, badmiton, tenis, golf, permotoran, mendaki, renang, ski jet, taichi, berbasikal, skateboarding (papan selaju), ekuestrian, tenpin boling, memanah dan gimnasium dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti tertentu sektor perumahan dibenarkan

PUTRAJAYA, 27 JULAI: Kerajaan membenarkan sektor pemajuan perumahan beroperasi pada Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa serta-merta.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 23 Julai lepas.

Menurut KPKT kebenaran itu terpakai kepada pemaju perumahan yang masih aktif serta sah Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1996 (Akta 118).

“Di bawah Fasa 1 PPN, aktiviti yang dibenarkan beroperasi adalah pejabat pengurusan pemaju perumahan, urusan serahan notis milikan kosong (vacant possession) dan kunci rumah.

“Aktiviti lain yang dibenarkan beroperasi adalah kerja-kerja baik pulih kerosakan kritikal dalam tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period); dan kerja-kerja pembinaan untuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi kontraktor G1 hingga G4,” menurut kenyataan itu.

Di bawah Fasa 2 PPN pula, aktiviti tambahan yang dibenarkan adalah aktiviti pemasaran dan jualan di pejabat pemaju, agen jualan, galeri jualan, unit pameran dan unit hartanah subsale.

Menurut KPKT kebenaran beroperasi sektor pemaju perumahan adalah tertakluk pada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terkini sektor tersebut yang boleh dimuat turun di laman sesawang KPKT https://www.kpkt.gov.my.

Ini termasuk SOP lain seperti SOP pembinaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya di www.cidb.gov.my dan SOP am Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan di www.mkn.gov.my  bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Maklumat lanjut, boleh hubungi Jabatan Perumahan Negara di talian 03-8891 4493/4494.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banyak negeri dijangka beralih ke fasa empat PPN seawal Oktober

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan menjangkakan kebanyakan negeri akan dapat beralih ke Fasa Empat, iaitu fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara (PPN) seawal Oktober ini.

Dalam sidang khas Parlimen hari ini, perdana menteri berkata ini berdasarkan usaha berterusan kerajaan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang kini sedang berjalan lancar.

Untuk itu, perdana menteri berkata selain memantau secara rapi keadaan di setiap negeri dari semasa ke semasa dan mengambil langkah intervensi mengikut keperluan, kerajaan juga akan tetap melaksanakan penilaian risiko dari segi kesediaan negeri-negeri untuk beralih ke fasa seterusnya.

“Saya juga ingin jelaskan, kerajaan sudah memutuskan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara, bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, ia tidak akan kembali ke fasa pertama. Begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga, tidak akan patah balik ke fasa kedua.

“Ini kerana, pendekatan PPN menekankan dengan izin, exit strategy and no turning back (strategi keluar dan tidak berpatah balik),” katanya.

PPN yang diumum 15 Jun lepas menggariskan empat fasa peralihan merangkumi perincian SOP untuk setiap fasa dengan peralihan fasa bagi sesebuah negeri akan dinilai dan dipertimbangkan berdasarkan tiga indikator nilai ambang iaitu purata bilangan kes harian, kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan rakyat dewasa yang lengkap divaksinasi.

Sejak dilancarkan, lapan negeri telah beralih ke Fasa Dua iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata sekiranya berlaku semula peningkatan kes di negeri-negeri ini, kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah sepertimana yang dilaksanakan kini.

“Walau bagaimanapun, manusia merancang, tetapi perancangan Allah jualah sebaik-baiknya,” katanya.

Menjelas lanjut, perdana menteri berkata peralihan fasa ke fasa ini melibatkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial secara beransur dan ia tidak mengikut jadual masa, sebaliknya berlandaskan pencapaian dalam mengurangkan tekanan kapasiti sistem kesihatan serta meningkatkan tahap perlindungan rakyat menerusi suntikan vaksin.

Menurutnya, pelan pemulihan seperti ini turut dilaksanakan oleh banyak negara antaranya United Kingdom, Australia dan Singapura.

“Kita belajar, meneliti dan mengambil amalan terbaik dari negara-negara tersebut supaya acuan PPN ini dapat dijadikan panduan penting dan sebagai asas kepada proses pemulihan negara,” katanya.

Perdana menteri berkata PPN dirangka berdasarkan lima ciri utama iaitu mengimbangi keperluan melindungi nyawa dan kehidupan; bersifat dinamik dan berlandaskan sains dan data; dan memberi penjelasan sebagai panduan bagi memperincikan perancangan serta menekankan aspek ketelusan.

Selain itu, PPN mengguna pakai pendekatan whole of nation melibatkan peranan segenap lapisan masyarakat dan sentiasa dipantau bagi menilai keberkesanan pelaksanaan melalui pelaporan dan strategi komunikasi yang berkesan.

“Ringkasnya, PPN adalah sebuah pelan pemulihan yang menumpukan kepada strategi untuk keluar dari ancaman Covid-19 secara selamat dan sistematik. Fasa-fasa yang digariskan adalah tertumpu kepada usaha meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi, dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini.

“PPN tidaklah statik tetapi dinamik, komprehensif dan boleh ditambah baik mengikut keperluan dan situasi semasa,” kata perdana menteri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kelonggaran individu lengkap dua dos diumum beberapa hari lagi

PUTRAJAYA, 24 JULAI: Mereka yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 dijangka menerima berita baik tidak lama lagi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mengumumkan kelonggaran tatacara operasi standard (SOP) khusus bagi mereka dalam beberapa hari lagi.

“Kita akan muktamadkan perkara ini dan saya akan umumkannya sebagai satu pakej penuh, termasuk dalam aspek sosial, sukan dan aktiviti makan di restoran. Perincian ini akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam temu ramah khas dengan media di sini hari ini.

Beliau berkata antara kelonggaran yang diberikan termasuk SOP bagi pergerakan dalam negara, termasuk perjalanan rentas sempadan terutama melibatkan suami atau isteri yang tinggal berjauhan.

“Saya benar-benar berharap langkah ini akan memberikan sedikit ruang, keselesaan bagi orang ramai untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Pada 17 Julai lepas perdana menteri mengumumkan bahawa kelonggaran bagi individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan di mesyuarat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam minggu ini.

Beliau dilaporkan berkata ini selaras dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi apabila negeri beralih ke Fasa Dua PPN, terutama melibatkan kawasan Lembah Klang.

PPN dijadualkan untuk dibentangkan oleh perdana menteri dalam Sidang Khas Parlimen yang bermula Isnin ini.

Merujuk kepada persidangan parlimen, Muhyiddin berkata walaupun sesi itu akan dibuka untuk perbahasan, kerajaan tegas dengan keputusan untuk meneruskan PPN sehingga keadaan negara pulih.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lanjut operasi pasar pagi, harian antara perubahan SOP pelan pemulihan

SHAH ALAM, 19 Julai: Kerajaan bersetuju melakukan beberapa perubahan tatacara operasi piawai (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dan Fasa 2 susulan perkembangan positif kadar pemberian vaksin negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan berkata antara perubahan terbabit ialah:

Fasa 1

  • Bagi meningkatkan produktiviti, kehadiran di pejabat bagi sektor awam ditingkatkan kepada 40 peratus dan tertakluk kepada arahan ketua setiausaha negara (KSN).
  • Perkhidmatan perakaunan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus.
  • Operasi pasar harian dan pasar awam dilanjutkan dari 6 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan, Manakala waktu operasi pasar segar terkawal (PST) akan dilanjutkan dari 7 pagi sehingga jam 2 petang.
  • Aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal 2-3 meter dibenarkan di kawasan kejiranan sahaja.
  • Pelabuhan, lapangan terbang, dan sektor logistik dibenarkan untuk beroperasi 24 jam.
  • Pengoperasian lombong dan kuari adalah dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60 peratus tertakluk kepada SOP perlombongan dan pengkuarian. Ini bagi memenuhi keperluan kepada projek kritikal yang melibatkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan luar bandar serta persekutuan.

Fasa 2

  • Penggambaran filem di luar studio dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat.
  • Waktu operasi premis perniagaan dari 6 pagi hingga 10 malam termasuk stesen minyak.

Setakat semalam, jumlah pemberian vaksin Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 14,347,285 dos merangkumi 9,815,735 dos pertama dan 4,531,550 dos kedua.

Categories
AGENDA NASIONAL

Seluruh negara dijangka beralih ke fasa dua PPN awal Ogos

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seluruh negara dijangka mampu beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Ogos, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memberi petunjuk bahawa kadar individu yang lengkap dua dos vaksin telah melepasi nilai ambang 10 peratus yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua PPN.

Perkembangan itu juga, katanya memberi gambaran bahawa negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

“Indikator ini sejajar dengan perancangan Pelan Pemulihan Negara yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir bulan Julai ini.

“Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu beralih ke Fasa Dua pada awal bulan Ogos seperti negeri-negeri yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Berdasarkan data PICK, jumlah populasi rakyat di negara ini yang telah melengkapkan dua dos vaksin mencapai 11.8 peratus semalam.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang beralih ke Fasa Dua PPN pada 5 Julai, diikuti Pulau Pinang (7 Julai), Sabah (10 Julai) dan Sarawak hari ini (14 Julai).

Di bawah PPN, peralihan fasa adalah setelah melepasi nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan ke Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 10 peratus divaksin, negeri yakin ke fasa dua pada September

SEPANG, 9 JULAI: Dato’ Menteri Besar yakin Selangor mampu beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang Ogos atau September ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jangkaan itu berikutan suntikan vaksin untuk penduduk negeri ini yang hampir mencecah 10 peratus dalam tempoh beberapa hari.

“Antara ciri untuk ke fasa dua adalah kadar vaksinasi…kita akan cecah 10 peratus vaksinasi kalangan warga dewasa, itu memang saya yakin dalam dua, tiga hari atau minggu depan kita akan capai.

“Kalau ikut rancangan YB Khairy (Jamaluddin), 80 peratus populasi dewasa di Selangor menerima vaksin boleh dicapai Ogos ini. Jadi Ogos atau September kita akan lebih pantas ke fasa seterusnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bersasar di Taman Murni di sini hari ini.

Amirudin berkata selain suntikan vaksin, terdapat beberapa faktor lain yang perlu diambil kira antaranya jumlah kes baharu dan sistem kesihatan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan kepada fasa dua PPN.

Indikator itu termasuk purata kes harian Covid-19 bawah 4,000 kes, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada kadar sederhana dan kadar vaksin dua dos mencapai 10 peratus.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan jumlah jangkitan di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka meningkat susulan saringan di kawasan PKPD.