Categories
SELANGOR

Lebih 13 Ribu Pelajar Nikmati Program PTRS

SHAH ALAM, 12 JULAI : Seramai lebih 13 ribu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor menikmati manfaat daripada program Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sejak dilancarkan pada 2009 dengan peruntukan RM3.45 juta.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Kerajaan Negeri melaksanakan PTRS atau Tuisyen Percuma dengan sasaran golongan pelajar yang akan menduduki SPM dan berasal dari keluarga berpendapatan kurang RM1,500 sebulan.

Menurutnya, program tersebut dijalankan di seluruh Selangor mengikut DUN sebanyak 56 kawasan dengan setiap kawasan diberi kuota sebanyak 100 tempat sahaja.

“Kerajaan negeri konsisten memberikan peruntukan sama pada 2010, 2011 dan tahun ini bagi meneruskan perlaksanaan program ini. Selama tiga tahun perlaksanaannya, Kerajaan Negeri berjaya mengumpulkan seramai 13,367 peserta PTRS.

“PTRS dirangka khusus untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan dan mempunyai prestasi pencapaian pendidikan yang lemah. Objektif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program ini adalah untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dan memperbaiki sahsiah atau akhlak pelajar,” katanya ketika menjawab pertanyaan Yap Lum Chin (Balakong – BN) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Dr Halimah menjelaskan PTRS menawarkan empat matapelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah dalam membantu pelajar meningkatkan pencapaian mereka.

Jelasnya, ini kerana penilaian ke atas pelajar hanya dapat dibuat melalui empat matapelajaran itu sahaja  dengan semua pelajar akan menduduki ujian prestasi dalam PTRS sebelum menghadapi SPM.

Prestasi keputusan SPM tahun lalu, tambahnya, melibatkan 4,526 pelajar PTRS mengikut pelajaran adalah Bahasa Melayu ialah 4,012 mencapai kredit dengan peningkatan 15 peratus, 411 lulus (menurun 33 peratus) dan 103 gagal (menurun 75 peratus); Bahasa Inggeris (3,292 kredit – meningkat 28 peratus, 1,029 lulus – tiada perubahan, 205 gagal – menurun 79 peratus); Matematik (3,600 kredit – meningkat 59 peratus, 926 lulus – meningkat 29 peratus), kosong  – menurun 100 peratus) manakala Sejarah (3,806 kredit – meningkat 61 peratus, 617 lulus – meningkat 20 peratus, 103 gagal – menurun 94 peratus).

Categories
SELANGOR

PTRS Bantu Anak Pekerja Kilang Raih Keputusan Cemerlang SPM

PETALING JAYA, 10 MEI : Selain doa ibu bapa dan usaha sehingga mencatat 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), Sharina Sarimin,18, tidak melupakan fungsi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang melayakannya menerima Anugerah Khas Pelajar Cemerlang peringkat DUN Taman Medan.

“Saya merupakan harapan keluarga dan ingin menjadi seorang ahli Sains yang berjaya seterusnya mengubah nasib keluarga saya,” katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Pelancaran PTRS di Dewan MBPJ malam tadi.

Bapanya, Sarimin Salleh ternyata berbangga dengan pencapaian anaknya dan berkata, beliau dan isteri hanya bekerja kilang dan berusaha mencari rezeki untuk anak-anak melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading.

PTRS dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiga tahun lalu di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan memberi peluang kepada keluarga berpendapatan kurang dari RM1500 sebulan menghantar anaknya ke program ini yang dijalankan secara percuma.

Selain itu, Sharina berkata, program PTRS berbeza dengan tuisyen berbayar kerana bagi pelajar yang berasal daripada golongan sederhana sepertinya, mereka akan lebih menghargai apa yang disediakan secara percuma demi mencapai cita-cita di masa hadapan.

“Suasana pembelajaran semasa PTRS berbeza kerana guru-gurunya gigih mencurahkan ilmu agar setiap pelajar sekurang-kurangnya memperbaiki sesuatu yang tidak boleh difahami semasa di sekolah,” katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Medan.

Sementara itu, 25 Pelajar Cemerlang SPM 2011 DUN Taman Medan turut diraikan dan diberikan penghargaan atas usaha yang ditunjukkan dalam SPM lalu.

Bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tunku Ampuan Jemaah, Muhd Qusyairei Paiman berjaya mendapat 7A dalam SPM lalu berkata, setiap pelajar boleh berjaya jika disertai dengan kesungguhan untuk memajukan diri dan cita-cita tinggi.

“Saya bercita-cita ingin menyambung pelajaran ke Mesir dalam bidang Syariah dan Usuluddin seterusnya menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Pelancaran PTRS Peringkat DUN Taman Medan ini dihadiri oleh Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli-ahli Majlis MBPJ, Mohd Akhir Pawan Chek dan Selvarajan Ratinam.

Pada majlis itu juga, seramai 75 pelajar kawasan DUN Taman Medan menyertai PTRS diraikan dan diberikan fail sebagai simbol permulaan PTRS yang dijalankan mulai bulan Mac lalu.

Sehingga kini PTRS mencatatkan hampir 13,000 pelajar di setiap 52 kawasan DUN di Selangor serta berjaya meningkatkan keputusan SPM pelajar-pelajar terlibat.

Categories
SELANGOR

Tuisyen Rakyat Bantu Nasuha Dapat 8A

SELAYANG 6 APR : Hasil inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan kelas tambahan secara percuma kepada pelajar-pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nasuha A’adil Bohara 18, mampu tersenyum lebar dengan pencapaian cemerlang 8A yang diperolehinya baru-baru ini.

Nasuha calon SPM dari Sekolah Agama Menengah Rawang yang menyertai Program Tuisyen Rakyat (PTR) sejak awal tahun lalu berkata, program tersebut telah banyak membantunya dari segi pemahaman sesuatu subjek dengan lebih mendalam.

“Contohnya, sebelum ini subjek saya seperti Bahasa Inggeris sekadar berjaya capai Gred C dan B.

“Tetapi, selepas menyertai PTR, prestasi pelajaran saya semakin meningkat dan kejayaan beroleh A dalam matapelajaran tersebut adalah bukti program itu sangat memberi manfaat kepada kami para pelajar,” ujar anak sulung dari empat beradik ini.

Selain itu, Nasuha juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibu bapanya.

“Ayah saya bekerja sendiri, jadi pendapatannya tidak menentu. Ibu pula bekerja sebagai pengasuh dan pendapatannya juga tidak besar.

“Dengan bantuan sebegini, sekurang-kurangnya, golongan sederhana seperti kami dapat menikmati apa yang orang lain mampu miliki terutama dari segi mendapatkan pendidikan yang lebih baik,” sambung Nasuha lagi yang bercita-cita ingin menyambung pelajaran dalam bidang Ekonomi jika diberi peluang.

Sementara itu, adik kepada Nasuha, Azroi Hanifah A’adil 16, yang menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun lalu turut beroleh keputusan cemerlang 7A hasil menghadiri PTR.

 

Categories
SELANGOR

Tuisyen Rakyat Dapat Sambutan Menggalakkan

TANJUNG KARANG, 8 MAC: Bersemangat untuk memperolehi keputusan peperiksaan lebih cemerlang, Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) Dun Sungai Burung menerima sambutan hangat di kalangan pelajar-pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

Menurut Penyelaras Dun Sungai Burong, Mohamad Judi Sarjo, kira-kira 140 orang pelajar yang layak telah mendaftarkan diri dalam program tersebut.

“Sebenarnya kouta cuma seratus pelajar sahaja untuk setiap Dun, tetapi sambutan amat menggalakkan hingga mencecah 140 pelajar.

“Jadi kami masukan semua 140 pelajar yang layak tu sertai program PTRS ini,” kata beliau.

Mohamad Judi turut berharap agar pelajar-pelajar yang berpeluang menyertai program ini tidak mensia-siakan kemudahan percuma yang disediakan kerajaan negeri.

PTRS merupakan sebuah program yang diwujudkan sebagai bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan percuma khusus untuk calon-calon SPM.

Program ini adalah anjuran Kerajaan Negeri Selangor di bawah portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Program yang diadakan di semua 56 kawasan Dun ini ditawarkan kepada pelajar bakal menduduki SPM di seluruh Selangor dan pelajar yang terlibat adalah berasal daripada keluarga berpendapatan kurang RM1,500 dan mempunyai tahap pencapaian akademik sederhana atau lemah.

Empat matapelajaran yang ditawarkan dalam program ini adalah matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Seramai 8,841 pelajar dari seluruh Selangor telah mengikuti program ini semenjak ianya dimulakan pada 2009.