Categories
AGENDA NASIONAL

Cemar Sungai Selangor: Reman lapan lelaki disambung enam hari

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Tempoh tahanan reman terhadap lapan lelaki termasuk seorang pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan berhubung kes pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor dilanjut enam hari lagi oleh Mahkamah Majistret Selayang.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan mengeluarkan perintah itu ke atas semua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 28 hingga 66 tahun selepas membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman sehingga 3 Nov ini.

Mereka sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari mulai 22 Okt untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding reman terhadap semua suspek yang memakai baju lokap polis berwarna oren dan ungu serta seorang berkemeja lengan pendek itu bermula pukul 9.30 pagi dan selesai 10.20 pagi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum ini mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada 12.38 pagi 19 Okt lepas, menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras 3 TON (nilai bau ambang).

Media sebelum ini melaporkan henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Tiga lelaki direman tujuh hari cemar Sungai Kundang

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Tiga lelaki termasuk seorang pengarah syarikat di sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit terpakai ditahan reman tujuh hari mulai hari ini hingga 2 November berhubung pencemaran air di Sungai Kundang, Rawang.

Perintah reman ke atas kesemua suspek berusia antara 36 hingga 67 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Hafizah Rajuni di Mahkamah Majistret Selayang di sini, selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan reman mereka selama tujuh hari.

Mereka yang ditahan ialah pengarah syarikat berusia 67 tahun dan dua pekerja kilang warga tempatan.

Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding reman ketiga-tiga suspek bermula jam 9 pagi itu selesai 9.30 pagi. Kesemua mereka yang memakai baju lokap polis berwarna oren tiba di Kompleks Mahkamah Selayang pada 8.45 pagi selepas ditahan 3 petang semalam di sebuah premis.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati pencemaran bau air sungai itu berpunca daripada bahan biodiesel yang melebihi 10 TON (ukuran kadar bau) pada aliran disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya.

Penjejakan pencemaran itu membawa kepada sebuah kilang di kawasan perindustrian Kundang Jaya yang kemudian dikenakan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen Luas 1999 supaya menghentikan serta merta discaj efluen selain melaksanakan tindakan pembersihan segera.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

523 individu ingkar PKP, meningkat lima kali ganda

SHAH ALAM, 27 SEPT: Jumlah individu ditahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat lima kali ganda kepada 523 semalam berbanding 115 pada 25 September.

Menteri kanan (keselamatan) berkata kesalahan paling banyak membabitkan aktiviti dalam pub dan kelab malam iaitu 356 individu, diikuti kesalahan tiada penjarakan fizikal (105) dan tidak memakai pelitup muka (38).

“Sementara kesalahan lain ialah gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri iaitu 20 dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (4).

“Daripada jumlah itu, seramai 483 individu dikompaun manakala 40 direman,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah sebanyak 45,847 pemeriksaan dilakukan semalam bagi memantau dan menguatkuasa tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Pemantauan dibuat di 3,213 pasar raya, 3,893 restoran serta 1,017 penjaja, 1,011 melibatkan kilang, 2,896 bank dan 520 pejabat kerajaan.

Turut dipantau ialah 903 terminal pengangkutan darat, 207 terminal pengangkutan air serta 99 terminal pengangkutan udara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat lelaki cemar Sungai Gong direman enam hari

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Empat pengurus kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang direman enam hari bermula hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun itu direman sehingga Khamis depan.

“Kita mendapat perintah reman terhadap kesemua suspek selama enam hari untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Bernama.

Noor Azam berkata, keempat-empat suspek merupakan adik-beradik yang menguruskan kilang itu selepas kematian bapa mereka.

Perintah reman dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Nurul Mardhiah Mohamed Redza ke atas kesemua suspek.

Terdahulu, kesemua mereka dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang kira-kira 9.45 pagi ini selepas ditahan malam tadi.

Noor Azam berkata tiga suspek ditahan di kediaman mereka di Selayang pada kira-kira 11.20 malam manakala seorang lagi suspek ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bersama peguamnya pada 12.30 tengah malam tadi.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek dibawa ke Ibu IPD Gombak untuk siasatan selanjutnya.

Ekoran pencemaran minyak daripada kilang itu pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jual organ manusia: Reman peniaga dilanjut lima hari

KUCHING, 21 OGOS: Seorang lelaki yang direman polis sejak 14 Ogos lepas untuk siasatan berhubung aktiviti pemerdagangan organ manusia bagi pasaran antarabangsa, diperintahkan hari ini direman lima hari lagi memandangkan siasatan kes itu belum lagi selesai.

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching yang bertindak sebagai Majistret, Dora Undau mengeluarkan perintah itu terhadap lelaki berusia 48 tahun tersebut berikutan permohonan yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat ASP Nor Elyanis Mohd Yusoff.

Suspek dibawa ke mahkamah hari ini selepas perintah tahanan reman pertama selama tujuh hari tamat semalam, selepas dia tampil menyerah diri pada 13 Ogos lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar M M Sree dalam kenyataan selepas lelaki itu ditahan, berkata suspek menyerah diri di IPD Kuching selepas menyedari dirinya diburu polis berikutan pendedahannya kepada akhbar tabloid Britain bahawa dia adalah broker aktiviti jual beli organ manusia.

Dalam artikel pada 8 Ogos, The Sun melaporkan lelaki itu memberitahu kepada wartawannya yang menyamar, yang suspek adalah broker pemerdagangan organ manusia yang diperoleh daripada mangsa miskin.

Dalam artikel itu, suspek memberitahu kepada wartawan berkenaan yang dia boleh mengaturkan pakej pelancongan pemindahan organ secara haram untuk warga Britain dengan kos 85,000 pound sterling (kira-kira RM469,977).

Dia juga dilaporkan mendalangi 45 penjualan buah pinggang secara haram dan menggunakan Facebook untuk mempengaruhi mangsa miskin dari seluruh dunia untuk menjual organ mereka kepada pesakit yang amat memerlukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rasuah: Empat penguat kuasa MBSA direman tujuh hari

PUTRAJAYA, 12 OGOS: Empat anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman tujuh hari berkaitan siasatan kes menerima dan mengutip rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor.

Turut direman tujuh hari ialah seorang peniaga rokok seludup berbangsa Aceh kerana disyaki membayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguat kuasa.

Perintah tahanan reman bagi kelima-lima individu berkenaan bermula hari ini sehingga Selasa (18 Ogos) dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Semalam, keempat-empat penguat kuasa MBSA – tiga bertugas di cawangan Sungai Buloh manakala seorang lagi di Shah Alam – ditahan di ibu pejabat SPRM selepas hadir bagi memberi keterangan berkaitan kes berkenaan.

Empat penguat kuasa dan peniaga itu tiba di mahkamah pada kira-kira 8.40 pagi dengan digari dan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.

Isu berkenaan menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu, abang direman empat hari dakwaan dera OKU

KANGAR, 21 JULAI: Seorang wanita dan anak lelakinya direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes dera membabitkan remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) berusia 14 tahun di Mata Ayer di sini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah.

Wanita berusia 40 tahun dan anak lelakinya berusia 15 tahun yang juga abang kandung kepada remaja perempuan yang kurang keupayaan pembelajaran itu ditahan di kediaman mereka di Kampung Gial Tengah, Mata Ayer di sini, semalam.

Pada Jumaat, satu klip video tular di Twitter menggunakan akaun bernama Jurais Abdullah yang menunjukkan seorang remaja perempuan dibiar tinggal di luar rumah. Remaja itu turut dikatakan tidak diberi makan oleh keluarganya selain dipercayai dipukul.

Ketua Polis Perlis, SAC Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata, remaja perempuan itu kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dan polis sedang menunggu laporan pemeriksaan ke atas remaja itu.

“Polis juga mendapatkan keterangan daripada individu yang dikenali sebagai Jurais bagi membantu siasatan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua suspek baharu video lucah direman empat hari

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Dua suspek terbaharu yang ditahan semalam berhubung penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, direman empat hari bermula hari ini.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

“Dua suspek itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu. Tiga tangkapan dilakukan semalam di Pasir Gudang, Johor namun seorang lagi dibebaskan selepas keterangannya diambil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Permohonan reman bagi kedua-dua suspek dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tengah hari tadi.

Huzir berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Mahkamah Majistret hari ini ini mengekalkan perintah tahanan reman enam hari yang diputuskan terhadap bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz berhubung video lucah yang tular baru-baru ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun meminda perintah reman yang dikenakan terhadap lima lelaki yang ditahan bersama Haziq Abdullah daripada enam hari kepada empat hari.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Suami isteri disyaki dera kanak-kanak direman tujuh hari

 

YAN, 27 Mei: Sepasang suami isteri direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki dua tahun yang meninggal dunia pada 25 Mei lepas, disyaki akibat didera bapa tirinya di Jalan Yan, Guar Chempedak dekat sini.

Perintah reman itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret Yan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lelaki berusia 28 tahun dan wanita berumur 22 tahun itu juga didapati positif dadah ketika tangkapan dibuat ke atas mereka.

“Suspek lelaki tersebut juga mempunyai rekod lampau berkaitan melupuskan barang kes dan dadah iaitu masing-masing mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) ADB (Akta Dadah Berbahaya),” katanya.

Semalam media melaporkan mangsa Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul maut selepas mengalami kecederaan dalaman dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

Shahnaz dipetik sebagai berkata dalam kejadian jam 7.30 malam itu mangsa ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di lantai rumah di Jalan Yan, Guar Chempedak sebelum bapa tirinya membawa Muhammad Aqil ke hospital dan doktor mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Suspek tipu pekerjaan 47 rakyat Malaysia direman

KUCHING, 24 FEB: Seorang suspek terbabit dalam kes penipuan pekerjaan sehingga mengakibatkan penahanan 47 rakyat Malaysia, di Kemboja, baru-baru ini direman selama empat hari, mulai hari ini.

Permohonan reman ke atas lelaki tempatan berusia 35 tahun itu dibuat pegawai siasastan kes berkenaan, ASP Pricha Azin, di hadapan Pendaftar Mahkamah Kuching Dora Undau, di Mahkamah Majistret, di sini.

Permohonan perintah tahanan reman dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk melanjutkan siasatan terhadap lelaki yang berbaju kelabu semasa dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani berkata, suspek terbabit ditahan di rumahnya.

Beliau mengesahkan penangkapan suspek, di sini pada jam 3 petang.

Sehingga kini, 23 orang iaitu 18 lelaki dan lima wanita tampil membuat laporan polis berhubung kes berkenaan.

Baru baru ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kertas siasatan dibuka berdasarkan Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Kesemua 47 rakyat Malaysia yang dibebaskan dari penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja itu tiba di tanah air, pada 17 Februari lalu.

Sejumlah 43 orang iaitu 40 dari Sarawak dan tiga dari Sabah diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, sementara empat lagi dari Semenanjung iaitu tiga dari Selangor dan seorang berasal dari Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

*Sumber: BERNAMA