Categories
AGENDA NASIONAL

PM: 11 rakyat Malaysia di Ukraine tiba di Kuala Lumpur esok

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka yang dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine kini dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan dijangka tiba esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi hantaran di media sosialnya, perdana menteri berkata seorang warga Singapura turut dibawa keluar bersama-sama konvoi rakyat Malaysia ke Poland.

“Alhamdulillah sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka telah pun selamat dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, dijangka tiba esok.

“Atas dasar persahabatan dan diplomatik, kita juga membantu membawa keluar seorang warganegara Singapura bersama-sama rombongan rakyat Malaysia ke Poland,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Ismail Sabri berkata beliau menghargai ucapan terima kasih daripada Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur dalam laman facebook rasminya semalam kerana membantu rakyat negara itu keluar dari Kyiv.

Perdana menteri menyatakan kerajaan Malaysia sentiasa meraikan keakraban kedua-dua negara dan mengajak negara republik itu untuk bekerjasama sebagai keluarga ASEAN.

“Kita tempuhi bersama sebagai satu keluarga dan bekerja bersama sebagai satu keluarga ASEAN,” katanya

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi ciapan di Twitter memaklumkan konvoi yang selamat tiba di Poland awal pagi semalam itu diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud.

Sebelum ini Ismail Sabri dilaporkan berkata pemindahan baki rakyat Malaysia di Ukraine dilakukan berikutan keadaan tidak menentu di rantau itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ukraine: Kumpulan terakhir rakyat Malaysia dijadual pulang esok

PUTRAJAYA, 27 FEB: Kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang berjaya keluar dari Ukraine dijadualkan berlepas pulang ke tanah air dari Warsaw, Poland esok (Isnin) melalui penerbangan komersil.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui satu kenyataan hari ini selepas misi pemindahan melibatkan tujuh warganegara dan dua warga asing tanggungan kepada dua warga Malaysia itu berjaya dilaksanakan Kedutaan Malaysia di Kyiv yang turut membantu seorang warga Singapura.

Kumpulan berkenaan, diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud yang dibantu oleh Setiausaha Kedua Aminuddin Osman, bergerak dari Kyiv melalui jalan darat sejak petang Jumaat dan tiba di Poland pada 5.45 pagi Ahad (10.45 malam Sabtu waktu tempatan).

Menjawab tuduhan sesetengah pihak berhubung pelaksanaan misi itu, Wisma Putra menjelaskan, maklumat sensitif seperti pelan pemindahan tidak didedahkan kepada umum sebelum ini demi menjaga keselamatan semua pihak terlibat.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan pelaksanaan misi berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya seperti kedutaan-kedutaan Malaysia yang lain, kedutaan di Kyiv, mempunyai pelan pemindahan yang sedia diaktifkan sekiranya perlu dan sentiasa dikemas kini berdasarkan situasi di lapangan dan keperluan semasa, termasuk opsyen terbaik bagi pelaksanaannya.

“Keputusan pelaksanaan misi pemindahan dibuat berdasarkan laporan mutakhir daripada kedutaan Malaysia yang berkenaan,” katanya.

Tambahnya, kementerian sentiasa memantau perkembangan di Ukraine dan berhubung rapat dengan Kedutaan Malaysia di Kyiv sehingga ke peringkat komunikasi terus oleh Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dengan kuasa usaha sementara kedutaan itu.

“Perkembangan-perkembangan penting turut diangkat untuk makluman dan perhatian Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dari semasa ke semasa,” katanya.

Selain itu, Wisma Putra berkata kerajaan juga membincangkan pelan pemindahan dari Ukraine dan pelaksanaannya secara terperinci semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Feb lepas.

“Menteri Luar telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai perkembangan di Ukraine, terutamanya status keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di negara itu,” katanya.

Mengambil kira keadaan yang meruncing di lapangan dan bagi menjamin keselamatan serta kebajikan warga Malaysia, Perdana Menteri membuat keputusan pada 24 Feb supaya pelan pemindahan berkenaan diaktifkan serta-merta.

Wisma Putra menegaskan dakwaan-dakwaan seperti pegawai kedutaan melarikan diri, ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) pemindahan dan sebagainya seperti yang dilaporkan sesetengah pihak media dan media sosial adalah tidak berasas sama sekali.

Mengenai penggunaan empat buah kereta dalam misi berkenaan, termasuk dua kenderaan kedutaan, katanya keputusan itu mengambil kira bilangan individu yang terlibat dan bagi memudahkan pergerakan serta menjaga keselamatan sepanjang perjalanan.

Menurutnya kerajaan sebelum ini telah melaksanakan pelbagai misi pemindahan dari negara asing, sama ada yang berdepan konflik atau bencana alam, antaranya repatriasi rakyat Malaysia dari 99 buah negara semasa pandemik COVID-19.

“Misi-misi seumpama ini dilaksanakan oleh perwakilan-perwakilan diplomatik Malaysia dengan penyelarasan dan kerjasama Kementerian Luar serta kementerian/agensi berkaitan di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Wisma Putra berkata operasi Kedutaan Malaysia di Kyiv terpaksa digantung sementara ekoran dua pegawai kedutaan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan misi pemindahan itu.

Katanya setakat ini, hanya beberapa kedutaan asing sahaja yang menggantung operasi di Kyiv atau memindahkan operasi mereka ke bandar lain di Ukraine.

Wisma Putra turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan misi pemindahan itu, terutamanya kepada Fadhilah dan Aminuddin serta pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia di Warsaw.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine.

Susulan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara. Ukraine turut mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, kerana ‘berisiko tinggi’ kepada penerbangan awam.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Konvoi bawa keluar rakyat Malaysia selamat tiba di sempadan Ukraine-Poland

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka dan seorang warga Singapura yang dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine selamat tiba di Poland awal pagi tadi dan disambut dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi ciapan di Twitter memaklumkan konvoi tersebut yang diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud kini sedang menuju ke ibu kota Poland.

“Mereka sedang menuju ke Warsaw pada waktu ini dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa yang terdekat,” katanya.

Sementara itu, Wisma Putra menerusi hantaran di Twitter memaklumkan konvoi itu selamat tiba di sempadan Korczowa-Krakovets pada pukul 5.45 pagi waktu Malaysia (10.45 malam, 26 Feb waktu tempatan).

“Wisma Putra sentiasa berhubung dengan pegawai kedutaan mengenai lokasi, keselamatan dan konvoi yang mengiringi mereka,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata pemindahan baki rakyat Malaysia di Ukraine sedang giat dilakukan manakala 13 rakyat Malaysia telah meninggalkan negara itu dalam tempoh beberapa minggu lepas berikutan keadaan tidak menentu di rantau itu.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine.

Susulan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

Ukraine juga telah mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, kerana ‘berisiko tinggi’ kepada penerbangan awam.

Difahamkan, pelan pemindahan untuk rakyat Malaysia adalah menerusi jalan darat ke Poland, yang meliputi perjalanan 782 kilometer.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Serangan Rusia: Malaysia bawa keluar 11 rakyat dari Ukraine 

PHNOM PENH, 24 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata 11 rakyat Malaysia yang berada di Ukraine kini dalam proses untuk dipindahkan, berikutan keadaan tidak menentu di rantau itu.

“Kedutaan Besar Malaysia’s (di Kyiv) kini sedang berhubung dengan rakyat Malaysia. Mereka yang berada di luar Kyiv sedang dalam perancangan untuk keluar. Mereka yang berada di Kyiv akan berkumpul di Kedutaan,” katanya dan menambah bahawa lapan rakyat Malaysia di Kyiv, manakala selebihnya berada di luar dari ibu kota tersebut.

“Keutamaan kerajaan adalah keselataman rakyat,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan rasmi dua hari di sini hari ini.

Dilaporkan Ukraine mengumumkan pada Khamis, penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, disebabkan ‘risiko tinggi’ terhadap penerbangan awam.

Difahamkan pelan pemindahan untuk rakyat Malaysia adalah menerusi jalan darat ke Poland, yang mungkin akan mengambil masa 10 jam meliputi perjalanan 782 kilometer.

Difahamkan Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv kini berhubung dengan pihak berkaitan di Warsaw dan telah meminta bantuan mereka untuk membantu dalam pergerakan melintasi sempadan.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ciapan di twitternya berkata “Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv kini berusaha memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat untuk rakyat Malaysia sebelum mereka dapat pulang ke Malaysia”.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Ukraine: Parti pemerintah dijangka menangi pilihan raya parlimen

MOSCOW, 22 JUL: Parti Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dijangka memenangi pilihan raya kilat parlimen negara itu yang berlangsung semalam, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik pemberian suara eksit.

Lima parti politik dijangka memenangi kerusi Parlimen Ukraine, Verkhovna Rada.

Parti Hamba Rakyat yang dipimpin Zelensky, diramal memperoleh 42.7 hingga 44.4 peratus undi.

Pembangkang Platform – For Life, yang dianggap sebagai parti pro-Rusia, menyusuli dengan meraih sejumlah 11.5 hingga 12.5 peratus undi.

Parti Solidariti Eropah yang diterajui bekas presiden, Petro Poroshenko diunjur meraih sejumlah 8.5 hingga 8.9 peratus undi.

Parti All-Ukrainian Union Fatherland pimpinan bekas Perdana Menteri, Minister Yuliya Tymoshenko pula dijangka meraih 7.7 hingga 8.5 peratus undi.

Parti Voice yang diterajui penyanyi pop, Svyatoslav Vakarchuk diramal memperoleh 6 hingga 6.5 peratus undi.

Zelensky membubarkan Verkhovna Rada semasa upacara mengangkat sumpah jawatan beliau pada Mei, yang menyaksikan pilihan raya kilat berlangsung.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Ukraine tingkat tahap keselamatan hadapi ancaman Russia

KIEV 2 DIS: Presiden Ukraine Petro Poroshenko berkata kerajaannya sudah meningkatkan tahap keselamatan di infrastruktur utama negara khususnya loji kuasa nuklear dan pelaburan Laut Hitam bagi menghadapi ancaman Russia.

Russia melepaskan tembakan dan merampas tiga kapal tentera laut Ukraine serta kru pada 25 November lalu dalam insiden yang membabitkan adegan saling salah menyalah antara kedua negara.

Poroshenko semalam mengulangi dakwaan bahawa Russia menghantar pasukan tentera dalam jumlah besar di timur Ukraine yang dikawal pasukan pemisah pro Russia dan di Crimea, kawasan jajahan Russia sejak tahun 2014.

 

“Russia menggerakkan pasukan darat dengan kekuatan kira-kira 80,000 anggota, hampir 1,400 meriam dan sistem peluru berpandu, 900 kereta kebal, 2,300 kenderaan perisai, hampir 500 pesawat dan 300 helikopter,” kata Poroshenko di Twitter.

Moscow turut menggerakkan pasukan tentera laut dalam kekuatan besar di Laut Hitam dan Laut Azov yang dikongsi kedua negara, katanya.

Siaran televisyen Ukraine ‘112 Ukraine’ semalam memaparkan Poroshenko menyerahkan pesawat baharu, helikopter dan dron kepada tentera Ukraine.

Ukraine sudah meningkatkan tahap keselamatan di infrastruktur utama negara berkenaan termasuk loji hidro dan nuklear, kilang kimia dan pelabuhan di Laut Hitam serta Laut Azov. kata Poroshenko.

Ukraine memperkenalkan undang-undang tentera di beberapa bahagian negara terbabit bagi tempoh 30 hari dan semalam Poroshenko berkata, ia turut membabitkan perubahan terhadap operasi tentera.

Presiden Russia Vladimir Putin berkata, pertempuran di Laut Hitam minggu lalu hanya satu insiden kecil di kawasan sempadan dan mendakwa, Poroshenko mencipta provokasi untuk meningkatkan populariti beliau sebelum pilihan raya tahun depan.

Barisan ahli politik Russia berkata, mereka percaya fasa konfrontasi tentera sudah berakhir.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Ukraine mohon bantuan ketenteraan NATO

KIEV 30 NOV: Presiden Ukraine, Petro Poroshenko menggesa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk membantu menghantar kapal tentera ke Laut Azov berikutan pertembungan dengan Russia yang kini makin tegang.

Beliau memberitahu akhbar Bild dari Jerman bahawa pihaknya berharap kehadiran kapal berkenaan dapat ditempatkan bagi tujuan membantu membekalkan keselamatan kepada Ukraine.

“Jerman adalah sekutu kita paling rapat, kami berharap negara ahli NATO bersedia untuk menempatkan sejumlah kapal tentera laut di Laut Azov untuk membantu Ukraine dan memberikan keselamatan,” katanya.

Namun, Presiden Russia, Vladimir Putin pula memberi pandangan sinis terhadap apa yang mahu dilakukan rakan sejawatannya dari negara jiran itu.

Dalam perhubungan yang makin bertambah buruk ketika ini, beliau mendakwa Poroshenko mahu mencipta satu provokasi semata-mata untuk menarik sokongan menjelang pilihan raya 2019.

Apa pun, kerajaan negara Barat tampak menyebelahi Kiev dan menuduh Moscow menyekat akses ke Laut Azov secara haram yang digunakan kedua-dua negara serta menggunakan kekerasan tanpa sebab munasabah.

Ahad lalu, Russia merampas tiga kapal milik Ukraine serta menahan kru mereka di Selat Kerch di antara Laut Hitam dan Laut Azov.

NATO pula menyuarakan sokongan penuh kepada Ukraine ketika negara berkenaan bukan anggota pertubuhan itu.

Di Moscow, Putin menegaskan tindakan Russia tempoh hari adalah tepat, namun Presiden Donald Trump menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Moscow itu membabitkan sekutu Amerika Syarikat (AS).

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Russia kerah pasukan peluru berpandu S-400, kapal perang ke Crimea

MOSCOW/KERCH 29 NOV: Russia berkata semalam, ia akan menghantar lebih banyak sistem peluru berpandu permukaan ke udara canggih, S-400, ke Crimea dan kapal perang negara itu dihantar ke kawasan berhampiran ketika ketegangan dengan Ukraine meningkat susulan rampasan kapal tentera laut Kiev.

Russia secara berterusan menghantar perkakasan baharu tenteranya ke Crimea sejak mendudukinya dari Ukraine pada 2014, menukarnya dalam apa digelar media disokong Kremlin sebagai kubu.

Pengumuman Moscow mengenai pengerahan peluru berpandu itu diikuti rampasan tiga kapal tentera laut Ukraine dan kru mereka Ahad lalu dalam apa yang dikatakan kemasukan haram ke perairan Russia, namun dinafikan Kiev.

Kiev memperkenalkan undang-undang tentera di sebahagian negara itu selepas insiden terbabit, mengatakan ia bimbang pencerobohan mungkin Russia.

Episod itu berisiko menghalang pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden Vladimir Putin dalam sidang G20 di Argentina minggu ini.

Trump berkata kelmarin, beliau mungkin membatalkan pertemuan itu susulan insiden terbabit, namun Kremlin berkata semalam, ia beranggapan perbincangan masih diteruskan.

Seorang jurucakap tentera daerah selatan Russia, Vadim Astafyev, dipetik agensi berita semalam sebagai berkata, satu batalion baharu peluru berpandu S-400 akan dihantar ke Crimea tidak lama lagi dan boleh beroperasi menjelang akhir tahun.

Crimea sudah menempatkan tiga batalion sistem peluru berpandu anti-pesawat yang memiliki jarak sehingga 400 kilometer, membolehkan Russia mengawal sebahagian besar ruang udara di atas Laut Hitam.

Dalam pada itu, Putin berkeras semalam, pasukan keselamatannya berhak merampas tiga kapal Ukraine hujung minggu lalu.

Dalam kenyataan pertamanya sejak konfrontasi laut Ahad lalu, Putin berkata, ia dicetuskan Kiev sebagai satu ‘provokasi.’

Katanya, kapal Ukraine memasuki perairan milik Russia dan enggan menjawab permohonan supaya berhenti daripada bot peronda miliknya.

SUMBER: REUTERS/AFP

FOTO SUMBER: SPUTNIK NEWS

 

Categories
GLOBAL

Krisis Ukraine-Russia berpotensi cetuskan perang

KIEV 28 NOV: Presiden Ukraine, Petro Poroshenko, semalam memberi amaran mengenai ancaman perang besar-besaran dan berkata Russia meningkatkan kehadiran tenteranya secara dramatik di sempadan yang dikongsi bersama ketika ketegangan memuncak antara kedua-dua jiran bekas Kesatuan Soviet itu.

Poroshenko memberi amaran pertempuran di laut boleh menunjukkan perkembangan lebih drastik dalam menyemarakkan ketegangan ketenteraan Ukraine-Russia.

“Saya tidak mahu sesiapa menyangka ini satu jenaka dan permainan.

“Ukraine dalam ancaman perang besar dengan Russia,” katanya dalam temubual dengan saluran televisyen tempatan.

Bilangan unit Russia yang ditempatkan di sepanjang sempadan kedua-dua negara bertambah secara dramatik manakala jumlah kereta kebal di pihak Moscow meningkat tiga kali ganda, kata Poroshenko, memetik laporan perisikan.

Beliau berkata demikian selepas tentera Russia merampas tiga kapal milik Ukraine di luar pantai Crimea Ahad lalu dan menangkap 24 kelasi negara itu.

Kiev menuntut pembebasan kelasi berkenaan dan menggesa sekutu Baratnya mengenakan sekatan selanjutnya ke atas Moscow.

Krisis itu juga mengancam perbalahan diplomatik dengan Presiden Donald Trump memberi amaran beliau mungkin membatalkan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin.

Trump dijadualkan bertemu dengan Putin pada sidang kemuncak G20 di Buenos Aires hujung minggu ini, tetapi memberitahu Washington Post ia bergantung kepada keputusan laporan mengenai kejadian itu yang kini sedang disediakan penasihat keselamatannya.

SUMBER: AFP

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Rusia dedah Ukraine ‘dalang sebenar’ tragedi pesawat MAS MH-17

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 17 SEPT: Kementerian Pertahanan Rusia hari ini mendakwa Ukraine disebalik tragedi  pesawat Malaysian Airlines (MAS) jenis Boeing 777 MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 lalu.

Agensi Berita Rusia RT NEWS melaporkan dalam sidang media Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan nombor siri yang ditemui pada serpihan-serpihan Buk yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di timur Ukraine menunjukkan ia dihasilkan pada tahun 1986, kata tentera Rusia. Roket itu dimiliki oleh Ukraine, kata mereka.

Terdapat dua nombor siri yang terdapat pada serpihan roket, yang telah menutup pesawat penumpang pada bulan Jun 2014, menurut pasukan penyiasat antarabangsa yang diketuai oleh Belanda. Mereka menandakan enjin dan muncung peluru itu.

Tentera Rusia pada hari Isnin mengatakan mereka mengesan peluru berpandu tertentu, yang mempunyai nombor siri 8868720.

Bercakap kepada wartawan, Jeneral Nikolay Parshin, menunjukkan jejak dokumen peluru berpandu Buk.

Menurut dokumen tersebut, sebahagian daripadanya telah dikemukakan untuk penyampaiannya, ia dihasilkan di kilang tentera di Dolgoprudny di rantau Moscow pada tahun 1986.

Peluru berpandu telah dihantar dari kilang pada 29 Disember 1986 dan dihantar ke unit ketenteraan 20152 yang terletak di kawasan yang sekarang menjadi Ukraine.

Ia kini dipanggil rejimen pertahanan anti-pesawat 223 pasukan bersenjata Ukraine, kata laporan itu. Unit itu mengambil bahagian dalam tindakan keras Kiev terhadap pemberontak di timur Ukraine pada Jun 2014, kata jeneral.

Foto Sumber: RT NEWS

Tentera Rusia juga mencabar rakaman video yang digunakan oleh kumpulan yang berpangkalan di UK Bellingcat, yang menyeru dirinya sebagai organisasi kewartawanan warga negara, untuk menyokong tuduhannya mengenai penyampaian pelancar Buk dari Rusia.

Kementerian Pertahanan menunjukkan klip video dengan beberapa rakaman, yang menonjolkan tidak konsiste, yang dikatakan membuktikan bahawa rakaman itu telah dimanipulasi untuk menyiarkan gambar peluncur ke latar belakang yang tidak ada pada asalnya.

Foto Sumber: RT NEWS

Video itu menunjukkan contoh bagaimana sebuah tangki Abrams boleh ditunjukkan dibawa oleh treler di jalan-jalan di Ukraine dengan cara yang sama.

Jeneral Igor Konashenkov, yang menganjurkan taklimat itu, mengingatkan bahawa Ukraine gagal menyediakan data radar dari stesennya kepada penyiasat Belanda.

Beliau juga mencadangkan bahawa dokumen arkib dari unit Ukraine, yang menerima peluru berpandu Buk kembali pada tahun 1986, akan digunakan untuk siasatan, kecuali Kiev mendakwa bahawa mereka tidak lagi tersedia.
Beliau menegaskan mandat undang-undang bahawa dokumen itu masih disimpan di Ukraine.

Foto Sumber: RT NEWS

Sebelum ini, pasukan penyiasat antarabangsa telah menuding kesalahan itu terhadap Moscow, mengatakan video dan bukti lain menunjukkan peluru berpandu yang diangkut ke dalam zon perang di timur Ukraine dari negara jiran Rusia.

Pada Mei laly, penyiasat antarabangsa berkata peluncur peluru berpandu yang digunakan untuk menembak MH17 di rantau Donetsk adalah sebahagian daripada angkatan tentera Rusia.

Wilbert Paulissen, ketua pasukan jenayah polis kebangsaan Belanda, berkata peluru berpandu itu ditembak dari Briged Anti-Pesawat Rusia ke-53.

Empat tahun lalu, pada 17 Julai 2014, sebuah pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 yang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas berhampiran bandar Donetsk.

Kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat mati. Kiev menuduh anggota militia tempatan menjatuhkan pesawat itu, sementara mereka mengatakan bahawa tidak ada senjata yang mampu menjatuhkan pesawat itu.

SUMBER: RT NEWS/ MIRROR UK

 

Categories
NASIONAL

MH17: Britain desak mesyuarat tergempar PBB bincang pergolakan Ukraine-Rusia

SHAH ALAM, 18 JULAI: Britain mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu pergolakan Ukraine-Rusia ekoran nahas membabitkan pesawat MH17 milik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), semalam.

AFP melaporkan sumber diplomat memberitahu mesyuarat itu akan diadakan esok.

malaysia-airlines-boeing-777MH17 dilaporkan terhempas yang didakwa mengorbankan 295 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Amsterdam.

Pesawat itu juga didakwa menjadi mangsa serangan peluru berpandu milik pro-rusia.

-NFN-

 

Categories
SELANGOR

Ukraine Mahu Promosikan Industri Produk Minyak Sawit Selangor


SHAH ALAM, 2 NOV :  Bagi merancakkan sektor pelaburan di antara dua negara, Ukraine hari ini menyatakan kesediannya untuk mempromosikan Selangor kepada pelabur Ukraine yang berminat untuk terlibat dalam industri penghasilan produk berasaskan minyak sawit.

Perkara ini dinyatakan delegasi Wilayah Kyiv, Ukraine, kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengadakan kunjungan hormat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini, hari ini.

Dalam pertemuan kira-kira setengah jam itu, Timbalan Ketua Pentadbir Ukraine, Yevgen A Golovin berkata, sektor pembuatan khususnya bidang penghasilan produk-produk berasaskan minyak sawit antara sektor yang perlu diterokai pelabur Ukraine.

“Bekalan minyak sawit yang mudah diperoleh di samping kemudahan infrastruktur serta jaringan pengangkutan darat, udara dan laut yang bertaraf antarabangsa menjadikan Negeri Selangor sebagai lokasi paling berdaya saing untuk pelabur asing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya anak-anak syarikat milik Kerajaan Selangor menjalinkan kerja sama dengan syarikat Ukraine dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.

?Negeri Selangor mudah memperoleh bekalan minyak sawit pada harga yang munasabah kerana Malaysia memiliki ladang kelapa sawit yang luas.
?Kemudahan ini amat sesuai untuk pelabur-pelabur Ukraine terlibat dalam sektor pembuatan berasaskan minyak sawit,? katanya.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, selain sektor perkilangan, Selangor juga sesuai untuk pelaburan di dalam sektor perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Turut serta dalam pertemuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif SSIC, Hassan Azhari Idris.

Delegasi berkenaan turut dibawa melawat I-City selain diraikan dalam satu majlis makan malam anjuran SSIC di shah Alam Convention Center (SACC).