Categories
KENYATAAN MEDIA

Penyelesaian kes saman Tan Sri Khalid Ibrahim vs Dato’ Saifuddin Nasution Ismail

Oleh: RAFIZI RAMLI

Kedua-dua pihak plaintif (Tan Sri Khalid Ibrahim) dan defendan-defendan (Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan Parti Keadilan Rakyat) telah bersetuju untuk menyelesaikan kes saman plaintif di luar mahkamah.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir sebagai saksi defendan telah berbincang dengan kedua-dua pihak plaintif dan defendan pagi ini. Sebagai menghormati beliau dan mengambil kira kepentingan masyarakat terutamanya dengan latar belakang kemelut politik negara akibat skandal melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak, kedua-dua pihak bersetuju perkara-perkara berikut:

1) Tan Sri Khalid Ibrahim menarik balik saman;
2) Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan KEADILAN memohon maaf kepada Tan Sri Khalid Ibrahim; dan
3) Tan Sri Khalid Ibrahim memohon maaf kepada Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan KEADILAN.
Persetujuan ini dimeterai dan difailkan di mahkamah seperti di dalam dokumen mahkamah yang disertakan bersama.

Bagi pihak PKR, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

#Rafizi Ramli adalah Naib Presiden/Setiausaha Agung PKR merangkap Ahli Parlimen Pandan

Categories
NASIONAL

PKR fail saman batal keputusan PRU-13

SHAH ALAM, 8 JUL: PKR akan memfailkan saman sivil bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) susulan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report berkenaan pemindahan berbilion ringgit ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata PKR akan memfailkan saman terbabit dalam kadar segera dan turut menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ekoran tindakan Perdana Menteri yang didakwa menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memenangi PRU-13.

Nurul-Izzah“Lanjutan daripada aduan dikemukakan, wajib diingatkan bahawa jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan untuk kempen pilihan raya bagi setiap calon RM200,000 (Parlimen) dan RM100,000 (Dewan Undangan Negeri) seperti diperincikan di bawah Seksyen 19, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Oleh yang demikian, jumlah maksima yang dibelanjakan untuk semua calon Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi 222 kerusi parlimen dan 505 DUN RM44.4 juta dan RM50.5 juta masing-masing.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan RM94.9 juta, jauh lebih rendah daripada jumlah yang didakwa digunakan BN iaitu RM2.67 bilion,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat PKR, hari ini.

Izzah berkata, Bersih 2.0, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dan Transparency International sudah mengemukakan empat aduan kepada SPRM berhubung perkara itu yang didakwa mengandungi elemen rasuah dalam penyaluran dana pada PRU-13.

najib-razak“Jumlah wang RM2.67 bilion yang diumumkan asalnya AS$700 juta dan didakwa berada dalam akaun peribadi perdana menteri adalah 26 kali lebih daripada had perbelanjaan dibenarkan.

“Siapa yang boleh memastikan ini adalah sumber tunggal kewangan untuk perbelanjaan pilihan raya Umno dan BN pada PRU yang lepas,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mahkamah akan menjadi pemangkin kepada pembatalan kerusi dimenangi Umno dan BN ekoran pendedahan amalan rasuah dan pembaziran wang melampau.

Katanya, antara aduan lain yang berkait adalah pembelian stesen janakuasa yang sebelum ini dimiliki Genting pada harga tinggi dan tidak munasabah serta wang yang disalurkan kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Categories
SELANGOR

Enggan pulang RM2.7 juta, lapan bekas pegawai Abdul Khalid ke mahkamah

SHAH ALAM, 30 JUN: Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) memfailkan saman terhadap mantan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faekah Husin dan tujuh yang lain berikutan keengganan memulangkan wang pampasan RM2.7 juta kepada agensi berkenaan.

Peguam mewakili MBI, Shahir Razak, berkata langkah itu diambil apabila pemulangan wang itu gagal dipenuhi semua defendan.

“Saman itu difailkan bulan lalu atas arahan anak guam saya selepas semua defendan enggan memulangkan wang itu

MBI“MBI juga menuntut semua defendan membayar faedah lima peratus ke atas jumlah dituntut, pampasan kewangan lain dan kos jika keputusan mahkamah memihak kepada MBI,” katanya dipetik Malaysian Insider.

Shahir berkata, saman difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas alasan defendan tidak layak menerima pampasan itu, pada 11 Mei lalu.

Wang pampasan itu diberikan kepada Faekah dan tujuh yang lain iaitu Rohani Talib, Arfa’eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd Talib, Rahimah Kamarudin, Dr Sulaiman Masri, Abdul Halim Mohamed Yusof dan Tuan Nazuri Tuan Ismail, apabila diberhentikan sejurus selepas Abdul Khalid melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

MB-FAEKAHShahir berkata, kes itu akan disebut di hadapan penolong pendaftar kanan pada 28 Julai ini bagi membolehkan semua pihak berkenaan mengambil tindakan lanjut.

Katanya, MBI bersedia menggugurkan tindakan itu jika defendan bersedia mengembalikan jumlah yang dituntut.

Pada Januari lalu, Faekah menafikan terdapat salah laku dalam bayaran pampasan yang diterima mereka.

Categories
SELANGOR

Datum Jelatek: Pengerusi BBDJ tarik kenyataan, bukan PKNS tak nak saman

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 FEB: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mendedahkan dokumen kenyataan Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ), Mohd Salehuddin Abd Samad, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (sivil), yang dibuat pada 7 Ogos 2014.

Dokumen penarikan semula kenyataan yang dikeluarkan terhadap PKNS berhubung projek Datum Jelatek itu dibuat sebagai penyelesaian supaya perbadanan berkenaan tidak meneruskan tindakan saman terhadap Salehuddin.

Ia sekali gus menafikan dakwaan bahawa PKNS menarik balik saman terhadap Salehuddin disebabkan kebimbangan kalah dalam perbicaraan itu.

datumjelatek02Dalam tindakan saman itu, PKNS sebagai plaintif menamakan Salehuddin sebagai defendan pertama, Datuk Mustapa Omar mewakili Harian Metro dan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd sebagi defendan kedua serta New Straits Times Press (M) Sdn Bhd sebagai defendan ketiga.

Kenyataan menarik balik tuduhan terhadap PKNS itu dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Rosnaini Saub.

“Saya Mohd Salehuddin Abd Samad, defendan pertama bersetuju menarik balik sepenuhnya perkataan-perkataan diadukan yang terkandung dalam kenyataan akhbar yang saya berikan terhadap PKNS dan seterusnya diterbitkan dalam edisi Ahad akhbar Harian Metro sebagai satu artikel bertajuk ‘bantah bina kondo’ pada 24 Febuari 2013.

“Saya mengaku janji bahawa akan mendapatkan penjelasan PKNS terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan dan komen terhadap PKNS berkenaan projek Datum Jelatek pada masa hadapan,” katanya dipetik daripada dokumen penghakiman terbabit.

Interview Khas PKNS isu Datum jelatek (1)Salinan dokumen pengakuan Salehuddin itu dihantar PKNS kepada Selangor Kini menerusi satu e-mel, semalam.

Terdahulu, Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah berkata, PKNS tidak pernah menarik balik saman itu sebaliknya diselesaikan dengan persetujuan Salehudin menarik semula kenyataan beliau.

“Saya tegaskan di sini, PKNS tak pernah menarik semula saman tetapi diselesaikan dengan persetujuan Salehuddin menarik kenyataan beliau,” kata Azlan.

Dokumen lima muka surat itu turut menyatakan PKNS boleh meneruskan tindakan saman jika Salehuddin gagal mematuhi penghakiman itu pada masa akan datang.

-NFN-

 

Categories
NASIONAL

Dapur Jalanan tak tunduk, sedia pasukan peguam hadapi saman DBKL

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Organisasi amal, Dapur Jalanan tetap meneruskan aktiviti memberi makanan kepada golongan miskin tegar bandar walapun berhadapan risiko disaman penguatkuasa seperti yang mahu dikuatkuasakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, baru-baru ini.

Ahli Dapur Jalanan merangkap jurucakap bagi salah satu kumpulan yang menjalankan aktiviti itu, Wong Kar Fai, berkata hal itu berikutan golongan miskin tegar bandar memerlukan pembelaan sewajarnya.

20140706_004126“Seharusnya, ini tanggungjawab kerajaan tetapi mereka tak buat dan bila orang lain nak buat mereka halang pula,” katanya ketika ditemui Selangor Kini selpas mengagihkan makanan sekitar Jalan Panggung, Pasar Seni, Medan Pasar dan Lebuh Ampang, di sini, malam tadi.

Katanya, sebelum ini kerajaan dijangka meminda Akta Papa 1977 dalam persidangan parlimen sesi Jun-Julai, baru-baru ini bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan lebih keras diambil terhadap golongan miskin tegar bandar yang tidak berumah.

Bagaimanapun, pindaan itu tidak berlaku, sebaliknya kerajaan terus membuat persediaan seperti mengadakan pelbagai operasi menangkap golongan tidak berumah sebelum pindaan akta itu dilaksanakan.

“Kami tak tahu apa pindaan yang akan dibuat dan bila, tetapi yang pastinya kerajaan dah buat persediaan awal dengan mengadakan pelbagai operasi seperti Operasi Kasih, Operasi Cantas dan Operasi Bersepadu membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen Malaysia serta polis.

20140706_010436“Kami cadangkan, Tengku Adnan turun tanya apa masalah golongan ini, apa mereka mahukan bagi mencari penyelesaian total, bukannya menyembunyikan kewujudan mereka daripada mata masyarakat dengan mengurung mereka.

“Antara keperluan utama yang harus disediakan kerajaan seperti peluang pekerjaan yang lebih baik, tempat tinggal dan tempat menyimpan beg,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan golongan miskin tegar bandar terbabit mempunyai pekerjaan tetapi diberikan upah yang rendah sekitar RM10 hingga RM20 sehari, sekali gus menyebabkan mereka tidak mampu menyewa rumah sebagai kediaman masing-masing.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Peguam: Kesesakan lalulintas, pengguna PLUS boleh failkan saman

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 JULAI: Pengguna lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan Bhd (PLUS) berhak memfailkan saman kepada pemegang konsesi itu jika kesesakan lalulintas boleh menyebabkan mereka terpaksa menanggung kesusahan dan kerugian daripada segi fizikal dan mental.

Ketua Biro Guaman PKR, Latheefa Koya berkata, hal ini berikutan pengguna lebuh raya itu dikenakan bayaran tol bagi menggunakan perkhidmatan disediakan PLUS.

sesak“Kalau dia nak saman boleh teruskan, tak jadi isu. Dia kena tunjukkan bagaimana PLUS menyusahkan dia walaupun dia sudah membayar tol dan sebagainya. Terpulanglah kepada dia sebab tak jadi halangan untuk dia saman.

“Kalau kita dapat arahan daripada seseorang menyaman PLUS, kita kena tengok apa bukti yang boleh dikemukakan pihak terlibat mengatakan mengakibatkan kerugian dan penderitaan kepada mereka,” kata Latheefa ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Tambah beliau, selain memfailkan saman di mahkamah sivil, pihak yang berhasrat menyaman PLUS juga boleh mengemukakan saman melalui Tribunal Pengguna atau kedua-duanya sekali.

“Dia nak saman adalah perkara lain tetapi kita tahu isu-isu berkenaan perjanjian konsesi tol PLUS masih lagi dalam keadaan rahsia.

“Jadi kalau saman pun, sama ada perjanjian itu boleh dikeluarkan, kita kena tunggu dan lihat kalau ada sesiapa yang nak saman PLUS. Ini baru spekulasi, sukar untuk kita komen lanjut,” katanya.

Sebelum ini, muncul satu rakaman panggilan pengguna lebuh raya PLUS melepaskan kemarahannya apabila setiap hari terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalulintas gara-gara penutupan lorong kepada operator talian hotline PLUS.

Wanita yang berulang alik setiap hari Melaka ke Kuala Lumpur mendakwa terpaksa keluar pejabat antara pukul 9.00 hingga 11.00 malam bagi mengelakkan kesesakan lalulintas tetapi masih terperangkap dalam kesesakan selama berjam-jam lamanya.

Wanita yang mempunyai anak itu mendakwa keadaan itu menyebabkan beliau tiba ke rumah beliau pada jam 3.00 pagi setiap hari.

EZY

Categories
NASIONAL

Saman terhadap Papagomo, pengajaran buat kroni Umno

Oleh: AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 23 JUN: Keputusan mahkamah yang memerintahkan pengendali blog, Papagomo membayar ganti rugi terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumlah RM800,000 perlu dijadikan pengajaran kepada semua supaya berhati-hati dalam berkongsi paparan kandungan berita di laman sosial dan blog.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh, berkata setiap pemilik akaun laman sosial dan blog perlu bertanggungjawab terhadap kandungan berita yang dikongsi serta memastikan ia daripada sumber yang benar.

“Di Malaysia, kita ada kebebasan bersuara yang membolehkan berkongsi di Facebook dan Twitter. Tetapi kena bertanggungjawab dan pastikan kandungannya benar kerana kalau sebaliknya yang dilaporkan, maka orang akan bawa kita ke mahkamah.

grafik papagomo“Saya berharap tindakan mahkamah terhadap Papagomo ini boleh dijadikan pengajaran kepada semua untuk lebih bertanggungjawab.

“Jika tidak, fitnah ini sangat berat dan membawa kepada implikasi besar dalam politik,” katanya ketika ditemui Selangor Kini, di sini, semalam.

Hannah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya berkata, beliau secara peribadi juga turut berhadapan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memetik beberapa ayat kononnya disebut beliau tetapi tidak benar.

“Saya pernah membuat laporan polis, namun masih belum ada tindakan terhadap individu yang menyebarkan gambar bersama petikan kenyataan itu.

hannahyeoh“Penduduk dan rakyat Selangor perlu berfikir sama ada benar atau tidak dan mengesahkan perkara itu kerana kini terlalu mudah meletakkan gambar seseorang serta perkataan yang tidak disebut kemudian disebarkan,” katanya.

Pada 28 Februari lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Rosilah Yop memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 dan kos RM50,000 kepada Anwar berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan beliau dalam video seks di blog Papa Gomo.

Dalam penghakimannya, Rosilah berkata, beliau mendapati Wan Muhammad Azri adalah blogger Papa Gomo dan menerbitkan kenyataan memfitnah dalam blognya daripada keterangan yang dikemukakan.

Anwar memfailkan saman terhadap Wan Muhamamad Azri pada 21 Mac 2013 dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwanya menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Enggan sedia kerusi roda, penumpang saman MAS di Mahkamah Australia

SHAH ALAM, 18 JUN: Seorang penumpang pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) menyaman syarikat penerbangan itu di mahkamah Australia dan menuntut ganti rugi A$250,000 (RM752,000) kerana didakwa enggan menyediakan kerusi roda mengakibatkan dia terjatuh dan mengalami keretakan tulang.

Memetik Malaysia Kini, Vineetha Latha Warnakulasuriya, 72, berkata kejadian itu berlaku pada 4 April lalu apabila dia tiba di Sri Lanka dari Kuala Lumpur dengan pesawat Penerbangan MH179 dan meminta kerusi roda daripada kakitangan bertugas.

unnamedBagaimanapun, Vineetha mendakwa, dia diberitahu bahawa kerusi roda tidak boleh dibawa masuk ke dalam pesawat dan perlu keluar ke lokasi kerusi roda itu akan dibawa.

Dalam pernyataan tuntutannya, Vineetha berkata, dia tidak ada pilihan tetapi terpaksa mematuhi arahan terbabit dan cuba bangun dari tempat duduknya tetapi terjatuh ke lantai menyebabkan mengalami kecederaan.

Pernyataan tuntutan itu difailkan di Mahkamah Daerah Brisbane semalam (17 Jun) dengan Vineetha memegang dua kerakyatan iaitu di Sri Lanka dan Australia.

Beliau mendakwa mengalami keretakan tulang pada tibia kanannya (tulang kering) dan kerosakan ligamen di tempurung lutut kanannya akibat terjatuh.

Menurut dokumen itu, Vineetha meminta kerusi roda kerana sebelum itu dia sudah terjatuh di Lapangan Terbang Melbourne hingga mengalami kecederaan pada lutut kanannya.

Categories
NASIONAL

Ibu Dyana akan saman pemfitnah

IPOH, 3 JUN: Ibu Dyana Sofya Mohd Daud, Yammy Samat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnah beliau berhubung kontrak, aset dan kekayaan yang didakwa dimilikinya.

Yammy, 59, berkata demikian ekoran tersebarnya pelbagai maklumat di laman sosial dan menyifatkan tuduhan itu amat berat serta meminta pihak yang menyebarkan fitnah itu mengemukakan bukti.

Katanya, dakwaan itu disifatkan berniat jahat dan fitnah yang bertujuan menjatuh serta menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap beliau.

image“Kenyataan di laman sosial itu tidak benar. Jika benar, saya cabar kemukakan bukti dan kalau profesional buat aduan mengikut saluran betul bukan membuat tuduhan melulu.

“Saya cabar kemukakan fakta seperti didakwa bukan hanya membuat tuduhan di laman sosial,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Terdahulu, laman Facebook Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad, berkongsi maklumat yang mendakwa Yammy memiliki pelbagai aset dan memperoleh pinjaman kewangan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Dalam muat naik status terbaharu Nawawi, beliau mendakwa, semua tuduhan itu diterima menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan berkongsi semua maklumat berkenaan.

Maklumat yang dikongsi itu antaranya menyebut Yammy menerima enam permit teksi di Ipoh, memiliki kawasan balak seluas 600 hektar di Kroh, rumah kedai di Pusing dan rumah berkembar di Gopeng, di samping memperoleh pinjaman MARA berjumlah RM750,000.

TELUKINTANDYANA_200514_TMIAFIF_016_yammy_540_360_100Selain itu, Yammy juga didakwa mendapat permit mengimport (AP) beras Siam dan pajakan 40 hektar tanah lombong besi di Kinta.

Kos pelajaran tiga anak Yammy juga dikatakan ditanggung Yayasan Menteri Besar Perak sejak mereka berusia tujuh tahun hingga melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Yammy berkata, beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang berkenaan semua tuduhan itu.

“Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Kampung Tawas petang semalam (kelmarin),” katanya.

Katanya, dakwaan yang dikongsi Nawawi bahawa beliau memegang jawatan Setiausaha Wanita Umno Bahagian tidak benar kerana Yammy hanya ahli biasa.