Categories
AGENDA NASIONAL

Saman RM300 nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi

SHAH ALAM, 17 JUN: Sebanyak 12,694 notis saman dikeluarkan sepanjang tahun ini jika menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, kata ketua pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata sebanyak 7,455 pemilik kenderaan turut dikenakan kompaun RM300 atas kesalahan sama sekali gus menunjukkan ramai pengguna jalan raya mengabaikan peraturan tersebut.

“Pemilik kenderaan yang diberikan notis saman perlu hadir ke pejabat JPJ untuk memberi penjelasan dan diperiksa sebelum disaman RM300.

“Jumlah notis saman yang tinggi menunjukkan ramai pengguna jalan raya mengabaikan peraturan. Nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi akan mengelirukan dan sukar dicam pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Shaharuddin berkata orang ramai yang melihat kenderaan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi boleh merakam gambar dan menghantar aduan ke e-mel [email protected].

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis keluarkan 80,950 saman sejak hari pertama PKPP

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Polis mengeluarkan sebanyak 80,950 saman terhadap pengguna jalan raya sejak hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) (10 Jun) sehingga semalam.

Antara kesalahan utama yang dilakukan adalah memandu melebihi had laju dengan sebanyak 37,802 saman, lesen tamat tempoh (12,169) dan sebanyak 10,390 saman tidak mematuhi arahan papan tanda trafik.

Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, pihak JSPT akan terus mengambil tindakan saman dan membawa pesalah ke mahkamah, jika melanggar peraturan dan undang-undang raya.

“Ini juga termasuk pengguna jalan raya yang memandu dalam keadaan mabuk dan penunggang motosikal yang didapati merempit di jalan raya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sebanyak hampir 40 juta saman masih tertunggak yang belum diselesaikan orang ramai, sejak tahun 2000.

Beliau berkata kesemua saman berkenaan mencecah nilai sehingga lebih kurang RM4 bilion.

Azisman turut mengingatkan mereka yang menerima saman trafik berkenaan agar melunaskannya dengan segera.

“Kategori kesalahan tertinggi yang dilakukan oleh pesalah trafik ialah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi arahan papan tanda trafik, kesalahan berkaitan lesen dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP: 10,000-15,000 saman trafik dikeluarkan setiap hari

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula pada Rabu yang antara lain membenarkan pergerakan merentas negeri, polis mengeluarkan 10,000 hingga 15,000 saman trafik setiap hari di seluruh negara atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata antara kesalahan ialah memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan melanggar lampu isyarat.

Ini menunjukkan tahap disiplin pemandu ketika di jalan raya masih rendah, katanya ketika menjadi tetamu dalam talian program ‘Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan: Raya atau Waspada’ terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Azisman turut mengingatkan mereka yang menerima saman trafik berkenaan agar melunaskannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Mengulas persiapan JSPT bagi menangani pergerakan masyarakat selepas dibenarkan merentas negeri, beliau berkata selain pasukan respons yang akan digerakkan segera untuk memastikan kelancaran aliran trafik, JSPT setiap kontinjen juga meletakkan unit kereta peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal di setiap hentian rehat dan rawat di lebuh raya.

Mengenai aliran trafik di seluruh negara ketika ini, Azisman berkata keadaan masih terkawal serta tiada kesesakan lalu lintas dilaporkan.

Pada Ahad lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan PKPP mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

PKPP antara lain membenarkan pergerakan rentas negeri dan aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

290,567 saman dikeluarkan, lebihi had laju punca utama kemalangan

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Sebanyak 290,567 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas di seluruh negara sepanjang 11 hari Op Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina sejak 18 Januari lepas sehingga semalam.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Dr Bakri Zainal Abidin berkata kebanyakan saman meliputi kesalahan memandu melebihi had laju dengan mencatatkan 57 peratus daripada jumlah keseluruhan saman.

Beliau berkata ini menunjukkan sikap pengguna jalan raya masih tidak berubah walaupun terdapat pertambahan kenderaan.

“Dalam data kami, mendapati faktor memandu melebihi had laju punca utama kemalangan jalan raya.

“Kalau kita lihat kebanyakan kenderaan terbabas disebabkan memandu laju dan bukannya sebab faktor lain,” katanya ketika hadir menjadi tetamu program Bernama Radio, di sini, hari ini.

Bakri berkata jumlah kemalangan pada Op Selamat kali ini mencatatkan peningkatan 10 peratus iaitu 16,940 kemalangan dalam tempoh 11 hari berbanding tempoh sama dalam op tahun lepas iaitu 15,464 kemalangan.

“Kami mendapati kumpulan penunggang motosikal masih lagi menjadi penyumbang tertinggi kemalangan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes saman Zunar-PDRM selesai

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kes saman kartunis Zunar terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia berhubung penahanan secara salah serta rampasan buku juga baju-T miliknya, pada satu majlis dua tahun lalu, selesai secara baik hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Geok Yiam merekodkan penyelesaian itu dalam kamarnya selepas Peguam Kanan Persekutuan, Kamal Azira Hassan yang bertindak bagi PRDM dan kerajaan serta peguam Latheefa Koya yang mewakili Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque bersetuju menyelesaikan kes saman itu.

Latheefa yang ditemui pemberita berkata. semua barang dirampas iaitu buku dan baju-T dipulangkan kepada Zunar.

Beliau berkata defendan iaitu PDRM dan kerajaan juga bersetuju membayar ganti rugi (ex gratia) kepada Zunar, namun tidak mendedahkan jumlahnya.

Zunar selaku plaintif memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dengan menamakan 16 anggota polis, dua pegawai, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Zunar mendakwa majlis minum petang anjurannya di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor (KLSCAH), pada 17 Disember 2016 diserbu polis sebelum acara bermula, pada jam 3 petang dan buku serta baju T miliknya dirampas.

Plaintif berkata, dalam serbuan itu, polis turut menangkap pembantunya dan dua orang awam yang menghadiri majlis terbabit, bagaimanapun enggan memberikan maklumat berkenaan alasan tangkapan juga rampasan.

Beliau berkata, sejumlah 1,187 naskhah buku dan 103 helai baju-T dirampas serta polis memaklumkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan (cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen).

Plaintif seterusnya menyatakan tangkapan dan rampasan itu tidak sah serta menyebabkan beliau mengalami kehilangan juga kerugian.

Sehubungan itu, Zunar menuntut ganti rugi khas RM22,388 atau secara alternatif memulangkan buku dan baju-T yang dirampas, ganti rugi penangkapan secara salah, ganti rugi kecuaian, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta perisytiharan bahawa defendan memungkiri kebebasan asasi plaintif.

Categories
NASIONAL

Op Selamat: 89,385 saman dikeluarkan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 FEB : Sejumlah 89,385 saman dikeluarkan untuk kesalahan memandu melebihi had laju yang dibenarkan di seluruh negara pada tempoh enam hari Op Selamat diadakan, setakat malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, kebanyakan pengguna jalan raya turut dikesan melakukan lima kesalahan lain selain memandu melebihi had laju.

“Dalam operasi ini, sebanyak 17,758 motosikal diperiksa dan 11,410 kesalahan dikenakan saman,” katanya memetik laporan Kosmo Online pada sidang akhbar selepas tamat operasi dijalankan di Plaza Tol Sungai Besi arah Selatan. di sini, semalam.

Manakala, operasi selama empat jam sehingga 9 malam itu turut disertai anggota Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

 

Categories
SELANGOR

Selangor kemuka permohonan batal saman PNHB

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri sedia memfailkan permohonan bagi membatalkan tuntutan saman sebanyak RM14 bilion oleh Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan itu diambil kerana tuntutan PNHB adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Katanya, ia juga dibuat bagi menjaga dan menjamin kepentingan negeri dan rakyat Selangor secara keseluruhannya.

“Saya sudah memberikan arahan kepada peguam yang mewakili saya dan Kerajaan Negeri untuk ambil tindakan sewajarnya pada 28 November, iaitu hari ini.

“Tindakan seterusnya akan saya serahkan pada peguam. Apa-apa kita akan selesaikan di dalam mahkamah,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus menyempurnakan Majlis Pelancaran Smart Desa Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada 22 November lalu, PNHB memfailkan tuntutan saman RM14 bilion ke atas Mohamed Azmin, bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Kerajaan Negeri berhubung pengambilalihan industri air Selangor.

PNHB dilapor mendakwa bahawa kedua mereka menyalahgunakan kuasa dengan mengancam untuk memaksa Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air untuk pengambilalihan itu.

Pada 2014, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menandatangani Memorandum Persefahaman dan membolehkan Selangor mengambil alih syarikat konsesi air yang beroperasi.

Kerajaan Negeri mengambil alih aset air yang dimiliki oleh PNHB, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Konsortium Abass bernilai lebih RM6 bilion.

Pada 15 Oktober 2015, Pelupusan syarikat PNSB dan SYABAS selesai pada harga RM1.55 bilion.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Teresa saman fitnah Jamal RM1 juta

SHAH ALAM, 6 APR: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok memfailkan saman fitnah RM1 juta ke atas pemimpin Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Teresa-KokSaman itu dikemukakan ekoran dakwaan Jamal yang juga Ketua Umno Sungai Besar kononnya Teresa melakukan salah guna kuasa ke atas dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di bawah pentadbiran Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

“Hari ini, saya memfailkan saman terhadap Jamal Yunos atas tuduhan palsu yang mendakwa saya menerima kad ATM SMUE Kerajaan Selangor untuk mengeluarkan sejumlah besar wang daripada akaun bank Kerajaan Negeri.

“Seperti yang kamu tahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia datang ke pejabat saya dan mengambil segala fail SMUE. Oleh itu, kita memberikan mereka banyak kotak dokumen.

“Apa yang Jamal Yunos lakukan itu merosakkan reputasi saya dan kerja saya sebagai wakil rakyat,” katanya lapor MalaysiaKini.

SMUE adalah skim bantuan kecemasan iaitu ahli keluarga yang lahir di Selangor boleh memohon untuk mendapatkan wang perbelanjaan pengebumian RM2,500.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Bicara saman fitnah Zuraida terhadap Jamal 15 Nov

KUALA LUMPUR 24 JAN: Perbicaraan kes saman fitnah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos ditetapkan pada 15 November depan.

Hakim Mahkamah Tinggi, S.Nantha Balan menetapkan tarikh itu ketika kes disebut di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Melissa Sasidaran mewakili Zuraida dan Mohammed Nasser Yusof bertindak bagi pihak Jamal.

“Pihak defendan (Jamal) juga telah memfailkan memorandum kehadiran melalui peguamnya. Mahkamah menetapkan 13 Mac untuk pengurusan lanjut kes ini,” kata Melissa lapor BERNAMA.

Pada 17 November tahun lalu, Zuraida memfailkan saman fitnah terhadap Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia atas dakwaan mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya berhubung insiden pukul di sebuah pusat beli-belah di Ampang.

Zuraida mendakwa perkataan fitnah itu telah diterbitkan secara meluas melalui media cetak dan elektronik serta portal berita online, termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, Malaysiakini, Buletin Utama TV3 dan Astro Awani.

Zuraida juga mendakwa akibat penerbitan perkataan fitnah itu, reputasinya sebagai Ahli Parlimen telah terjejas kerana beliau merupakan seorang tokoh awam yang dikenali ramai.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Manivannan saman portal media, lapor cadang halal industri pelacuran

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 NOV: Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan nekad mengemukakan tindakan saman terhadap sebuah portal media berbahasa Cina yang melaporkan kenyataan fitnah terhadapnya.

Beliau berkata, media berkenaan kononnya melaporkan pimpinan KEADILAN itu mencadangkan supaya aktiviti pelacuran dibenarkan di negara ini.

“Perenggan pertama yang mengaitkan diri saya dalam berita itu melaporkan bahawa saya mencadangkan kerajaan membenarkan industri pelacuran dalam negara.

Manivanan-Gowin-4a“Laporan itu mendakwa, kononnya cadangan ini boleh menambahkan pendapatan rakyat Malaysia dengan menggadaikan tubuh badan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini dan ia adalah fitnah, bahkan saya tidak pernah menyebutnya sama ada di dalam atau di luar dewan,” katanya.

Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN itu berkata demikian dalam sidang medianya di Lobi Parlimen, semalam.

Manivannan tidak menamakan butiran lanjut nama media berkenaan.

Bagaimanapun, Manivannan berkata, hasil semakan terkini mendapati laporan berita atas talian itu telah dipadam, namun sempat dibuat salinan semula sebagai bahan bukti di mahkamah.

“Saya telah mendapatkan khidmat daripada peguam saya dan kita akan mengambil tindakan undang-undang yang munasabah terhadap portal media ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Tak wajar naikkan kompaun kesalahan trafik

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 FEB: Cadangan Polis untuk menaikkan kadar kompaun maksimum pesalah jalan raya tidak wajar dan menekan rakyat bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata Polis bercakap tidak merujuk undang-undang sedia ada yang menentapkan kompaun kesalahan jalan raya khususnya yang dirakam melalui kamera.

mahfuz AES 01“Tidak wajar untuk menaikan kompoun kesalahan jalan raya,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Muhd Fuad Abu Zarim, berkata pihaknya kini sedang meneliti proses bagi tujuan itu termasuk pindaan daripada sudut perundangan sebelum ia dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Tanpa menyebut jumlah kenaikan kadar kompaun berkenaan, beliau berkata, sudah tentu melalui proses perundangan kerana sebelum ini kadar bayaran maksimum RM300 ditetapkan merupakan sebahagian daripada Seksyen 120, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perkara sama dibangkitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini yang menyatakan tindakan itu bagi mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dalam pemanduan kerana mereka masih dilihat penyumbang utama kepada kemalangan.

EZY

Categories
SELANGOR

Saman batal ‘jika’ mesin rosak

SHAH ALAM, 26 OGOS: Konsesi mesin cetakan tiket parkir kenderaan di Kuala Langat perlu melakukan pemeriksaan peralatan ekoran pelbagai aduan diterima berhubung masalah terbabit.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali, berkata semakan lanjut akan dilakukan bagi meneliti punca sebenar masalah.

mohd azhar mohd ali mdkl“MDKL akan mengarahkan konsesi membaiki mesin parkir jika benar ia berpunca daripada kesilapan alat berkenaan.

“Saman boleh dibatalkan segera jika terbukti kesilapan daripada mesin cetak. Itu tiada masalah,” katanya dipetik Sinar Harian.

Sebelum ini, terdapat aduan berkenaan cetakan kertas mesin parkir yang tidak kelihatan dan sebahagiannya kurang jelas sehingga penguatkuasa mengenakan saman.

Mohd Azhar berkata, pengguna yang dikenakan saman walaupun sudah mempunyai bukti pembayaran melalui tiket parkir boleh terus ke MDKL untuk tujuan pembatalan.

“Pengguna yang dikenakan saman walaupun sudah membayarnya perlu membawa bahan bukti sah bagi tujuan semakan. Kami juga akan mengenalpasti lokasi yang dinyatakan bermasalah untuk tujuan penambahbaikan,” katanya.

-NFN-